MagzNetwork

Pengalaman Meruqyah

Posted by Alexanderwathern | 1:37 PM | , , | 0 comments »

Ketika saya baru hendak memulakan tugas, Ustaz T iaitu rakan sejawat menelefon. Dia minta saya tengokkan seorang remaja perempuan yang lari ke belakang bangunan dalam keadaan terketar-ketar seolah-olah ketakutan. Biasanya apabila ada kes-kes begitu, rakan sejawat ini uruskan terus kerana dia pun ada kebolehan juga dalam hal-hal sebegini. Selain ayat-ayat dan doa-doa, dia memptaktikkan teknik ancaman menggunakan paku. Mungkin pada hari itu dia kurang sihat dan tidak bersedia untuk berusaha merawat, memang matanya nampak kuyu pun. Rakan saya ini seorang pendakwah yang gigih dan aktif ke sana ke mari, memang sesekali dia nampak begitu keletihan di tempat kerja.


Saya pun bergegas ke tempat yang dimaksudkan sambil membaca Bismillahillazhi..., Ayat Kursi dan zikir khafi Allahu Akbar berterusan. Di sana kelihatan beberapa orang pelajar sedang berdiri berhampiran teman mereka yang duduk mencangkung sambil bersandar ke dinding. Badannya tergigil-gigil seperti ketakutan dan menangis. Bersama-sama mereka ialah Ustazah A yang memegang si pelajar.


Saya pun pergi mencangkung di sebelahnya. Melihatkan keadaannya, jelas ada yang sedang melepak di dalam badan. Baru saya membaca dua kalimah syahadah, terus dia merapatkan dirinya ke dinding sambil menutup telinga. Apabila saya meneruskan ruqyah, dia menangis lebih teruk dan sesekali meraung. Saya cuba ajak orang di dalam tu bersembang, dia tak layan. Rupa-rupanya jenis menangis meraung sambil menyakitkan tuan punya badan saja tahunya. Jenis ini pernah saya rawat beberapa kali, ada yang berjaya dan ada yang gagal. Biasalah, saya ni akar saja, bukan rotan. : )


Keadaan terdesak seperti itu membuatkan saya membaca ayat-ayat dan doa-doa terpilih saja. Dalam masa tak sampai 10 minit, ruqyah saya pun sampai ke penghujung tapi kawan kita yang sedang melepak di dalam tu memang degil. Betul-betul pada bacaan terakhir, barulah dia keluar. Remaja tadi pun longlai dan hampir-hampir pengsan. Menurut teman-temannya, dia ada sakit jantung. Aduh, nak ‘lipat’ lebih-lebih pun tentulah tak boleh, nanti lain pula jadinya! Saya minta dia direhatkan di surau saja, takut-takut berjangkit pula kepada orang lain. Teman-temannya pun bergotong-royong mengangkatnya ke sana. Saya kembali ke kelas.


Selang tak berapa lama, beberapa orang pelajar datang memanggil. Kata mereka, “Dia jadi balik!” Pelik juga, kalau jenis ‘kutu rayau’, biasanya dia tak masuk semula. Kalau dia tak berambus pun, dia akan ganggu orang lain. Sembang-sembang dengan teman-temannya, barulah tahu yang si remaja ini memang selalu ‘naik syeikh’ macam tu. Patutlah kutu rayau tu masuk balik.


Di tengah surau, kelihatan si pelajar terbaring, tudungnya pun sudah tertanggal ataupun mungkin ditanggalkan oleh teman-temannya. Ini yang leceh ni! Pertama, dia ada sakit kronik. Kedua, sebahagian auratnya sudah terdedah, silap-silap boleh ‘tawar’ usaha meruqyah : ) Oleh itu saya cadangkan dipanggil saja Ustazah N yang ada kebolehan juga dalam meruqyah, tapi kata mereka dia pun tak berapa sihat dan keberatan untuk merawat.


Saya cadangkan pelajar ini dibawa pulang saja, sama ada dihantar ataupun keluarganya datang ambil. Kemudian pergi dapatkan rawatan susulan secara tradisional (Islamik). Ustazah A pun terus menelefon emak si pelajar.

Saya baru bergerak untuk ke kelas, Ustazah A panggil. Dia minta saya iktiarkan juga apa-apa untuk pelajarnya. Saya berfikir sebentar, kemudian ambil keputusan untuk berkeras sedikit dengan harapan cepat selesai.


Masuk saja ke dalam surau, saya ambil tudung si pelajar dan menutup kepalanya. Kemudian ubun-ubunnya saya cengkam dan mula membaca dua kalimah syahadah. Dia meronta-ronta dan berpusing-pusing di atas lantai melarikan kepalanya. Jenoh nak mengejar. Rupa-rupanya kawan kita tu bertenggek di dalam kepala, patutlah lari sakan. Macam ni tak dapatlah nak ‘attack’ dia secara langsung, asyik main kejor yeop kejor, ataupun lebih tepat lagi yeop kejor yeop : )


Elok Ustazah N tiba dan dia nampaknya bersedia untuk merawat. Alhamdulillah syukur, perempuan sama perempuan senang sikit nak bergusti. Nak kepak, nak lipat, nak kunci macam mana pun halal. Dia mengambil segayong air, didoakan lalu dilumurkan ke kepala dan muka si pelajar. Kemudian dia menekan rambut si pelajar ke lantai dengan kiri, menekan dan mengurut bahagian kepala dan dahi sambil membacakan ayat-ayat Al-Quran. Saya bantu dengan “Lauanzalna...” dari jauh sajalah. Akhirnya berjaya juga membuatkan kawan kita tu beredar. Tahniah ustazah!


Sebentar kemudian, emak si pelajar datang lalu membawa anaknya pulang.


Dalam kes seperti ini (kerasukan berterusan), si pelajar kena dapatkan rawatan secara tradisional (Islamik). Rawatan ringkas di sekolah biasanya gagal memulihkan, ia bersifat sementara. Kemudian si pelajar kenalah istiqamah mengamalkan ayat-ayat pendinding setiap hari. Wallahualam.

0 comments

Post a Comment