MagzNetwork

Soal Jawab - Halusinasi

Posted by Alexanderwathern | 10:41 PM | , , | 0 comments »

PERSOALAN:
Assalamualaikum Ustaz,

Saya nak bertanya....ketika seseorang anak (lingkungan umur 10 tahun ke bawah) demam dan kemudiannya meracau serta nampak ketakutan kerana katanya terlihat 'benda yang menakutkan' , doktor mengatakan yang itu adalah 'halusinasi' akibat dari suhu badan yang tinggi..Bagaimana pula pandangan ustaz? Bagaimana nak bezakan antara gangguan jin dgn halusinasi?



JAWAPAN:
Wlksm Odah,

Pada pandangan saya, susah hendak membezakan antara gangguan jin dengan halusinasi. Bahkan susah juga hendak menceraikan antara keduanya, kerana biasanya halusinasi turut melibatkan gangguan jin.

Jin syaitan suka ambil kesempatan atas lemahnya tubuh badan dan minda kita. Apabila kita sakit, minda kita lemah. Apabila minda kita lemah, mudahlah untuk jin syaitan menguasai diri kita. Sebab itulah kita (terutamanya) anak-anak kecil biasa meracau ketika badan tidak sihat.

Ikhtiar merawat halusinasi antaranya seperti berikut:

1. Gunakan bacaan-bacaan yang membuatkan jin-jin tidak selesa. Apabila mereka sudah keluar, insyaAllah halusinasi akan hilang.

2. Jika halusinasi itu tidak melibatkan campur tangan jin, cukup kita bacakan bacaan-bacaan penyembuh. Gabungan kaedah 1 dengan 2 lebih baik.

3. Menggunakan ubat-ubatan. Cara ini boleh menghilangkan masalah halusinasi yang melibatkan jin ataupun tidak. Halusinasi berlaku kerana badan tidak sihat dan otak lemah. Dengan memakan ubat, badan jadi sihat dan otak pun kuat semula. Maka insyaAllah halusinasi akan hilang. Apabila badan dan minda sudah kembali kuat, maka lemahlah peranan jin syaitan untuk menguasainya, hilanglah halusinasi, walaupun tanpa bacaan apa-apa. Gabungan ketiga-tiga kaedah adalah lebih baik.

4. Melalui gerak badan (senaman) dan aturan nafas tertentu. Dengan senaman dan kawalan pernafasan yang baik, badan beransur kuat dan minda pun beransur tenang. Keadaan ini dengan sendirinya menghindarkan halusinasi kerana kita semakin menguasai diri dan jin syaitan semakin sukar menguasai kita. Gabungan keempat-empat usaha adalah terbaik.

Akhirnya, segala usaha dan ikhtiar kita kembalikan kepada Tuhan. Pada hakikatnya, Dia yang berkuasa menyembuh, bukan mana-mana bacaan, ubat ataupun gerak badan.



Abu Zulfiqar
21 Mac 2011

Seputar Bekam

Posted by Alexanderwathern | 10:06 AM | | 0 comments »

BEKAM/ HIJAMAH

Rawatan Ikhtiar Muslim

KELEBIHAN-KELEBIHAN BERBEKAM

“Penyembuhan itu ada dalam 3 perkara : sayatan bekam, minum madu ataupun sundutan dengan api. Namun aku melarang umatku melakukan sundutan dengan api.” (Bukhari)

“Sesungguhnya di dalamnya (berbekam) ada penyembuhan.” (Bukhari, Muslim & Ahmad)

“Sesungguhnya kaedah pengubatan kalian yang paling sesuai adalah bekam, dan menggunakan al-qustul bahri.” (Bukhari & Muslim)

“Kalaulah dalam sesuatu dari apa yang kalian gunakan untuk berubat adalah baik, maka perkara itu ialah bekam.” (Abu Daud)

Sebaik-baik pengubatan yang kalian lakukan ialah dengan berbekam.” (Ahmad)

“Pada malam aku diisra’kan, aku tidak melalui sekumpulan malaikat melainkan mereka berkata : “Ya Muhammad, suruhlah umatmu melakukan bekam.” (Ibnu Majah & Turmizi)

“Kalaulah dalam sesuatu antara ubat-ubat kalian ada penyembuhan, maka hal itu ada pada sayatan alat bekam ataupun sundutan dengan api, tapi aku tidak suka sundutan dengan api.” (Bukhari)

“Aku diberitahu Jibril bahawa bekam ialah kaedah pengubatan yang paling bermanfaat kepada manusia.” (... Sahihul Jami’)

“Telah datang seorang sahabat kepada Rasulullah dan mengadu bahawa dia sakit kepala, maka Rasulullah bersabda : “ Berbekamlah kamu.” (Abu Daud & Al-Hakim)

WAKTU TERBAIK UNTUK BERBEKAM

“Waktu yang paling baik untuk kalian melakukan bekam ialah pada tanggal 17, 19 dan 21.”( ... Tibbun Nabawi)

“Barangsiapa melakukan pengubatan pada tanggal 17, 19 dan 21, maka akan menjadi penyembuhan dari segala penyakit.” (Turmizi)

“Berbekamlah kamu pada hari Isnin dan Selasa, dan janganlah kamu berbekam pada hari Rabu.” (Ibnu Majah)

Pada waktu-waktu lain pun boleh berbekam.

PENTING

1. Sekiranya pesakit mengalami tekanan darah rendah, hendaklah dibekam satu satu cawan. Jangan gunakan banyak cawan sekaligus.

2. Jangan bekam kawasan luka, bekam di sekitarnya sahaja.

3. Jangan berbekam ketika sedang kenyang ataupun ketika terlalu lapar.

4. Jika pesakit berasa pening ataupun pitam, berikan air manis/ madu.

5. Jika pesakit pengsan (ini jarang berlaku), baringkannya dan sapu lehernya dengan minyak. Kakinya ditinggikan. Boleh juga tekan di bawah hidungnya, ciumkan wangian ataupun tekan daerah refleksi di kakinya.

6. Sebaik-baiknya pesakit didiagnos dan diruqyah terlebih dahulu kerana ada kalanya dia sakit kerana gangguan jin ataupun sihir.

7. Jangan bekam orang yang baru menjalani proses cuci darah akibat kerosakan buah pinggang.

8. Jangan bekam pesakit yang berdarah cair.

9. Jangan bekam wanita yang sedang banyak darah haid/ nifas.

10. Jangan bekam di tulang ekor.

11. Jangan bekam rahim wanita yang mengandung.

12. Untuk orang yang kejang, cukup dengan bekam angin.

13. Sebaik-baiknya di ruang yang tidak berdebu dan tidak berangin.

14. Minumkan air manis/ madu selepas berbekam.

15. Elakkan berjimak ketika hampir berbekam.

16. Lewatkan makan ataupun jimak selepas berbekam.

17. Bekam ulangan di tempat yang sama hanya selepas lebih kurang 1 bulan.

18. Jangan bekam pesakit HIV, AIDS atau pun Hepatitis kecuali oleh pembekam professional.

LEBIH PENTING

1. Allah yang menyembuhkan, bukannya rawatan bekam ataupun tukang bekam. Pesakit dan pembekam hanya berusaha, Allah yang menentukan kesembuhannya.

2. Pesakit dan perawat hendaklah berdoa sebelum, semasa dan selepas berbekam.

ALATAN

1. Cawan bekam.

2. Penyedut angin (pam vakum)

3. Pisau/ jarum penyayat.

4. Sarung tangan.

5. Tisu.

6. Plastik.

7. Minyak but but.

8. Minyak penawar racun.

9. Madu.

10. Air kosong.

11. Topeng mulut.

12. Gunting.

13. Pisau cukur.

14. Clorox/ garam bukit.

TITIK SUNNAH BEKAM

‘Ala ra’sun (atas kepala)

“Sesungguhnya Nabi telah berbekam di kepala dalam keadaan ihram kerana sakit kepala.” (Bukhari)

Al-Akhda’in (tepi tengkuk) & kahil (tengah bahu)

“Sesungguhnya Rasulullah berbekam di al- Akhda’in dan kahil.” (Ahmad, Turmizi & Ibn Majah)

Al-kafitain (kedua-dua belah bahu)

‘Ala warik (pinggang)

“Nabi telah berbekam pada pinggangnya kerana sakit yang ditanggungnya.” ( Abu Daud)

‘Ala zohril qadami (betis dan kaki)

“Sesungguhnya Rasulullah berbekam di Malal (nama satu tempat antara Makkah dengan Madinah) pada betis baginda.” (Ahmad, Abu Daud, Turmizi)

TITIK TAK BOLEH DIBEKAM

1. Ulu hati

2. Hujung tulang ekor

3. Bawah telinga

4. Bawah ketiak

5. Kemaluan

6. Leher pada tenggorok

7. Bawah otak kecil.



Abu Zulfiqar 2011

SJ - Lemah Sendi Kronik

Posted by Alexanderwathern | 11:25 AM | , | 0 comments »

PERSOALAN:

Assalamualaikum ust.

Ust, saya nak tanya...adakah saya ada gangguan atau sakit misteri....6 bulan yang lepas saya sakit kronik...kaki dan sendi-sendi lemah....pagi-pagi selalu buang air...’cek’ doktor kata cuma sakit gastrik..berat badan pun susut....sekarang masih lagi sakit sendi dan lemah....

JAWAPAN:

Wlksm Exxxx xxxx.

Dalam kes macam tu, saya cadangkan Encik Exxxx terlebih dahulu dapatkan rawatan bekam. Bekam di tengah belakang di bawah sikit daripada tengkuk, bahu belakang (kiri dan kanan), pinggang dan betis.

Di samping itu, cuba dapatkan kapsul Shark Cartillage untuk dimakan (untuk memudahkan kerja, cari Shark Cartillage keluaran HPA). Amalkan memakannya kerana ada bahan-bahan penting sebagai penyembuh untuk kes macam yang encik sedang hadapi.

Sebagai tambahan, jika encik tahu bacaan Bismillah 6 (atau disebut juga Bismillah 7), baca 1 kali pada waktu pagi, 1 kali pada waktu petang dan 1 kali sebelum tidur. Amalkan lebih kurang 40 hari.

Bismillah 6 tadi sebagai usaha kita untuk buang bisa/ sakit. Untuk dapatkan kekuatan kembali, amalkan Tasbih Fatimah. Sebelum tidur baca Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahu Akbat 34 kali. Amalkan selama 40 malam juga.

Semoga bermanfaat.

Abu Zulfiqar

18 Mac 2011

Bakal Pewaris Mahaguru Diperlukan

Posted by Alexanderwathern | 3:05 PM | | 1 comments »

Saya seorang mahaguru silat. Di bawah saya ada ramai anak murid. Dalam kalangan mereka ada beberapa orang yang sudah bertaraf guru. Oleh kerana saya sudah berumur, saya mahu mewariskan semua khazanah ilmu silat ini termasuklah jawatan mahaguru kepada salah seorang daripada guru-guru itu, tetapi tidak ada yang berani melalui ujian untuk tahap mahaguru. Oleh itu saya buka kepada anak-anak murid yang belum bertaraf guru, masih juga tidak ada yang berani. Jadi, kepada siapa hendak saya wariskan rahsia-rahsia perguruan peringkat tertinggi?

Saya tidak mahu ilmu-ilmu peringkat tertinggi ini hilang begitu sahaja. Nampaknya terpaksalah saya membuka tawaran kepada semua umat Islam yang bukan dari aliran silat saya. Sesiapa yang berminat dan sanggup melalui ujian peringkat mahaguru ini, bolehlah berhubung dengan saya nanti.

Ujiannya? Pada tarikh yang akan ditetapkan, mereka yang berminat sama ada ramai ataupun seorang hendaklah datang ke rumah saya selepas Subuh. Bawa bersama sebilah parang dan sebatang cangkul atau skop. Anda dikehendaki menggali sebuah lubang berukuran 7 kaki lebar dan 7 kaki dalam. Kemudian pada pukul 12 tengah hari, anda akan diminta mencari 7 batang buluh. Buluh-buluh ini akan dipotong dalam ukuran kira-kira 4 kaki panjang. Bahagian hujungnya akan diruncingkan.

Pada sebelah petangnya, saya sendiri akan pergi ke lubang yang digali dan mencacakkan 7 batang buluh runcing ini dengan disaksikan oleh para peserta. Buluh-buluh itu ditanam 1 kaki ke dalam tanah, bakinya 3 kaki terpacak ke atas.

Selepas itu calon-calon mahaguru akan dibekalkan dengan amalan peringkat mahaguru. Amalan ini akan mereka lakukan bermula selepas Isya’ sehinggalah menjelang tengah malam. Tepat pada pukul 12 tengah malam, para peserta mestilah sudah duduk pendekar di sekeliling lubang dalam jarak 7 depa. Ujian pun bermula.

Ujiannya... calon-calon diminta berlari-lari anak dan terus terjun ke dalam lubang yang digali siang tadi itu. Sesiapa yang sanggup dan terselamat tanpa sebarang kecederaan, dialah bakal pewaris segala ilmu hulubalang dalam aliran silat yang saya pegang ini. Sesiapa yang terjun terlebih dahulu dan terselamat, orang itulah pilihan saya.

Ada yang sanggup?

Setakat ini belum ada yang sanggup. Bahkan sebaik-baik sahaja mendengar peraturan pada malam itu, ada yang terus lari pulang. Mereka takut dikaitkan dengan jenayah pembunuhan, jika ada yang terkorban. Anda bagaimana?

Sebab itulah sampai sekarang saya masih gagal mencari pewaris. Padahal dahulu saya mewarisi ilmu ini selepas lulus dengan cemerlang dalam ujian yang dinyatakan tadi.

@@@@@@@

Sebenarnya cerita di atas tidak berkaitan dengan diri saya selaku penulis. Tugas saya hanyalah untuk menceritakan rahsia ujian ini, sebagaimana pendedahan-pendedahan dalam bidang perubatan yang biasa saya buat di blog saya. Ujian ini pada hakikatnya lebih kepada menguji kekuatan semangat juang si bakal mahaguru/ pewaris. Tidak ada apa-apa bahaya, kerana sebelum tengah malam si mahaguru pergi sekali lagi ke lubang dan mencabut kesemua bilah buluh. Yang tinggal hanyalah lubang kosong. Sebab itu ia dibuat pada waktu tengah malam gelap agar tidak nampak isi lubangnya.

Oleh itu, hanya murid yang betul-betul berani, hati kering dan berkeyakinan tinggi sahaja yang dapat melalui ujian ini. Si mahaguru bukan hendak uji kebal atau tidak, tapi hendak uji berani atau tidak. Itu sahaja. Sudah tentulah murid-muridnya tidak berani terjun, kecuali yang betul-betul hebat. Memang layaklah si penerjun jadi pewaris silat.

Namun secara peribadi, jika saya seorang mahaguru, saya lebih suka memilih murid-murid yang enggan terjun. Mengapa? Kerana mereka punya pertimbangan akal yang baik, tidak bertaqlid begitu sahaja : )

Abu Zulfiqar

10 Mac 2011

Mimpi Gangguan Syaitan

Posted by Alexanderwathern | 10:35 AM | | 0 comments »

Mimpi ini kualami pada awal bulan Mac 2011 lalu. Aku berada di dalam sebuah rumah di kampungku. Tiba-tiba aku ternampak seorang wanita yang sederhana cantiknya sedang terapung-apung di luar tingkap. Terus aku ketahui bahawa makhluk itu ialah jin betina. Dalam mimpi itu aku menyebutnya sebagai pontianak.

Aku pun membaca ayat-ayat Al-Quran untuk menghalaunya. Sambil itu aku berjalan ke arah tingkap. Ternyata usahaku berhasil kerana jin betina itu kelihatan tidak selesa dan beredar ke arah halaman depan rumah.

Ketika aku menjengukkan kepada ke luar tingkap, sakit betul hatiku melihat lenggang-lenggoknya yang selamba badak. Dia berjalan di tanah dengan bersahaja. Ketika itu dia sudah berubah rupanya menjadi makhluk buruk lagi hodoh, malah berbogel. Nasib baiklah aku terlihat bahagian belakang badannya, kalau dari arah hadapan, mahu aku termuntah dek buruknya rupa jin betina itu.

Terus aku serang dengan Jurus Dua Kalimah Syahadah. Pada awalnya nampak mendatangkan kesan kesakitan, tapi kemudiannya dia seolah-olah sudah membina perisai diri. Dia mula berpaling dengan senyum sinis. Goncang juga aku ketika itu, tapi aku terus melawan...

Aku terjaga dari tidur.

Setakat ini belum dapat apa-apa gerak. Rasa-rasanya mimpi ini sekadar gangguan biasa syaitan-syaitan.

Abu Zulfiqar

8 Mac 2011

Catatan Ringkas Sepanjang Februari 2011

Posted by Alexanderwathern | 12:54 AM | | 0 comments »


1. Dihempap bebanan dakwah yang besar. Cuba menyusun jadual. Hasilnya... tidak ada ruang waktu untuk tidur langsung. Kerja yang ada lebih banyak daripada masa yang ada. 24 jam sehari tidak mencukupi. Terpaksa korbankan sebahagian besar daripada matlamat yang sepatutnya boleh dan memang mampu dicapai. Dapatlah ruang untuk tidur 3 jam sehari. Namun... faktor usia, tenaga dan kesihatan tetap membuatkan keperluan kepada tidur sekurang-kurangnya sekitar 5 jam sehari. Entahlah...

2. Kesuntukan waktu sehari-hari menyebabkan amalan harian tidak teratur. Wirid pagi, petang dan malam yang diusahakan sebagai benteng dan pembina kekuatan roh sering saja gagal dihabiskan. Kesannya... pertahanan lemah dan sering tembus. Sekitar Februari ini sudah beberapa kali ‘diserang’. Sebelum ini, wirid harian memang kemas.

3. Antara serangannya datang dari rumah lama di kampung. Sebahagian orang tua dulu-dulu suka amal itu ini yang tak selaras dengan kehendak agama, mengharapkan ‘sesuatu’ menjaga keluarga mereka. Yang menerima, dia tak kacau. Yang menentang, itulah yang dicarinya. Sudah lama benar mereka tidak buat hal, suatu malam datang dalam mimpi. Berdua. Sanak-saudara sendiri, memang kenal sangatlah. Mereka pun tak nampak macam hendak menyelindungkan diri. Anak-anak pun turut dicubanya. Selepas dilakukan sedikit amalan (kasi sakit sikit), mereka tidak datang lagi. Alhamdulillah syukur.

4. Diserang oleh seorang ‘ustaz’ dan pembantunya, melalui mimpi juga. Agaknya marah sebab ada anak muridnya yang tidak mahu bersama mereka lagi, selepas bertanyakan hal ehwal agama kepada saya. Manalah tahu, orang tanya kita jawab sahaja. Tak tahu pun si penanya ada ikut mana-mana kumpulan. Sungguhpun begitu, memang elok ditinggalkan kerana ada ajaran mereka yang salah. Datang dengan wajah yang manis. Kedua-duanya berambut pendek, hampir-hampir botak. Berkopiah putih, berbaju Melayu dan berkain pelekat. Memang nampak macam orang baik-baik. Si ustaz memberi isyarat kepada pembantunya, pembantunya yang manis muka juga datang dengan baik dan duduk di belakang. Tiba-tiba dua jarinya menekan leher, punyalah sakit. Setelah terjaga pun sakit lagi. Kubalas sedikit, sebagai amaran. Tiada niat mahu memanjangkan permusuhan. Oleh itu, jangan berbalas-balas lagi. Terpulanglah jika mahu berpegang terus dengan kepercayaan selama ini.

5. Dua malam berturut-turut badan panas lain macam. Tak tahu puncanya. Tidak sihatkah? Sihirkah? Jinkah? Apakah? Bahagian atas badan panas perit, terutamanya pada kulit. Rasa-rasanya belum pernah panas badan seperti itu. Kemuncaknya selepas Isya’ hingga ke selepas tengah malam. Malam ketiga nampak macam nak jadi juga, tapi akhirnya menghilang.

6. Tidak cukup tidur menyebabkan setiap hari sakit kepala, pening (nampak alam tak stabil), sakit urat-urat badan dan pernafasan jadi semput. Begitulah setiap hari, tidak terkecuali walau sehari sekitar bulan dua ini. Punca lainnya ialah ketidakteraturan makan makanan tambahan. Bahkan beberapa hari langsung tidak makan. Sebelum ini teratur, dengan madunya, spirulina, tongkat ali, vitamin C, mengkudu dan lain-lain. Wirid harian hanya habiskan ayat-ayat asas (lebih kepada benteng), sedangkan ayat-ayat syifa’ (perubatan dan penyembuhan) tak sempat hendak dibaca. Maka kesembuhan pun lambat dan mungkin tidak berlaku. Riadah? Langsung tak ada ruang...