MagzNetwork

Amalan Perisai Ghaib

Posted by Alexanderwathern | 10:48 PM | | 0 comments »




SUNGGUHPUN pemergian vokalis nasyid bersuara 'emas', Muhammad Asri Ibrahim sudah tiga bulan berlalu, namun terasa seperti baru semalam berlaku.

Saat berita kembalinya ikon kumpulan nasyid ini ke rahmatullah, dunia dakwah tanah air terpaku seketika. Pada 13 Ogos lalu, Allahyarham rebah sewaktu menjalani rakaman di Radio Televisyen Malaysia (RTM), sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 11.15 pagi.

Perginya pahlawan nasyid yang diibaratkan sebutir permata ini di saat umat Islam sedang menanti-nantikan bulan penuh keberkatan dan keistimewaan iaitu Ramadan al-Mubarak.

Muhammad Asri atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Asri pergi mengadap Ilahi pada usia 40 tahun. Allahyarham hakikatnya bukan sekadar penghibur yang turut mewarnai dunia seni tanah air malah merupakan pendakwah yang menyampaikan mesej Islam menerusi genre nasyid kontemporari.

Malah kejayaan dan pengiktirafan yang diperoleh Allahyarham bersama kumpulan Rabbani dalam tempoh lebih 12 tahun, berjaya menghasilkan sebanyak 19 buah album seperti Arah Dari Mana Ke Mana (1997), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000), Yalla Beena (2004) dan yang terbaru, Nostalgia Nada Murni.

Ini tidak termasuk album solo Allahyarham mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran serta rakaman berbentuk cakera padat (CD) dan kaset rintihan zikir dan munajat.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, pendakwah kesayangan ramai ini memiliki posisi yang mencakupi pelbagai sudut... Seorang hamba Allah, seorang anak, seorang suami, seorang bapa, seorang pendakwah, seorang penggiat seni, seorang pahlawan nasyid dan seorang ahli perniagaan.

Terkini, Hijjaz Records Sdn. Bhd. (HRSB) menghasilkan album berjudul, Amalan Perisai Ghaib merupakan buah tangan istimewa daripada Allahyarham Ustaz Asri yang sempat dirakamkan arwah sebelum kembali ke rahmatullah.

Sekurang-kurangnya, album yang telah berada di pasaran pada akhir Oktober lalu ini dapat mengubati rindu di hati peminat-peminat seni nasyid tanah air kepada insan tersohor ini.

Sememangnya album berbentuk zikir dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran adalah tidak asing dan sinonim dengan Allahyarham. Malah album-album sebegini mempunyai pengikutnya yang tersendiri, apa lagi yang mengalunkan itu adalah suara lunak daripada Allahyarham sendiri.

Album Amalan Perisai Ghaib ini menghimpunkan 24 amalan para ulama dan wali yang muktabar. Antara amalan-amalan tersebut ialah; Amalan Saidina Abu Hurairah: Untuk Kekuatan Jiwa, Amalan Saidina Saad Ibnu Abi Waqqas: Menghilangkan Kegerunan, Amalan Sheikh Abd. Qadir Al-Jailani: Memusnahkan Permainan Syaitan, Amalan Habib Nuh: Untuk Ketenangan Hati, Amalan Tokku Paloh: Meleraikan Segala Kesulitan, Amalan Tok Kenali: Hindari Ketakutan dan Amalan Mat Kilau: Wajah Tidak Dimamah Usia.

Kesemua amalan ini adalah benar-benar diperlukan oleh masyarakat kini bagi menguatkan kekuatan rohani dan memelihara diri daripada segala kesulitan hidup, dengan izin Allah SWT. Malah ia telah terbukti keberkesanannya.

Album ini boleh didapati di pasaran dengan harga RM19.90. Bagi peminat-peminat nasyid, khususnya peminat Allahyarham Ustaz Asri, segeralah miliki album ini sebagai tanda kenang-kenangan. Al-Fatihah.

sumber


*Ikhtiar Muslim menasihatkan agar diminta terlebih dahulu pandangan para ulama atau mereka yang ahli sebelum mengamalkan apa-apa amalan daripada album ini. Nama-nama tokoh yang dinisbahkan dengan amalan-amalan itu bukan sandaran untuk mensahihkan/ mengharuskan amalan-amalan itu. Wallahualam.


KAEDAH menggunakan rawatan ulat daripada lalat bermula sejak Perang Dunia Pertama.


SEKARANG saya boleh buat kerja lasak dan berjalan. Mungkin terapi ini membantu saya,” ujar seorang pesakit diabetes, Farawahida Mohamad Yusof, 44.

Bagi sebahagian masyarakat ulat adalah sesuatu yang menggelikan.

Namun, terapi ulat atau Maggot Debridement Therapy (MDT) ini perlu dikongsi sebagai sumber maklumat pesakit-pesakit kencing manis yang mempunyai luka-luka yang sukar sembuh di luar sana.

Terdapat empat asas terapi ulat ini, ia membersihkan luka, membasmi kuman, merangsang penyembuhan luka, merosak dan menghalang pembuatan biofilem.

Seperti kes Farawahida, dia mengalami luka yang teruk sebelum melakukan rawatan ulat.

Lukanya berair dan lembap. Farawahida sukar bergerak dan selepas pembedahan, dia banyak bergerak menggunakan kerusi roda.

Berbekalkan sedikit duit, dia mencuba nasib dengan melakukan rawatan ulat di sebuah klinik swasta di Jalan Tenggiri, Seksyen 17, Shah Alam, Selangor.

Selepas mencuba rawatan untuk pertama kali, lukanya semakin kering.

“Selepas dua hari, anak saya pimpin ke klinik. Banyak ulat keluar. Pada awal rawatan, saya berasa geli juga. Seolah-olah ada benda bergerak. Tetapi melihat hasilnya, saya yakinulat ini boleh menyembuhkan luka selain menggunakan rawatan lain seperti ubat dan sebagainya,” jelas ibu kepada empat orang anak ini.

Menurut Ketua Unit Entomologi Perubatan Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr. Lee Han Lim, penggunaan ‘ulat lalat’ di Malaysia untuk tujuan perubatan adalah yang pertama setakat ini.

“Kajian mengenai kaedah ini telah dijalankan oleh IMR. Spesies ulat lalat yang digunakan itu adalah dari jenis Lucilia cuprina iaitu lalat tempatan, manakala di negara-negara Barat, spesies yang digunakan dikenali sebagai Lucilia sericata. Kedua-dua spesies ini telah dikenal pasti berkesan dalam merawat luka kronik yang sukar sembuh.

IMR telah membuat kajian mengenai ulat lalat ini dan menemui satu spesies berlainan dengan yang terdapat di Eropah, ia dikenali sebagai Lucilia cuprina yang dapat memainkan peranan dalam menyembuhkan luka”, ujar beliau.

Tambah Dr. Han Lim, penyelidikan ini telah menerima peruntukan daripada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi pada tahun 2002. Pada mulanya kami mengenal pasti jenis lalat yang sesuai yang boleh diguna untuk terapi ini.

Bukan semua jenis lalat boleh digunakan. Spesies lalat yang hanya akan memakan tisu yang nekrotik (reput) boleh diguna. Ada sesetengah spesies yang memakan tisu hidup. Apabila tisu hidup diserang fenomena ini dinamakan sebagai myiasis. Spesies seperti ini tidak sekali boleh diguna untuk rawatan ini.

Selepas kita sudah kenal pasti lalat, kemudian kita kena biarkan lalat itu membiak dalam makmal dengan menggunakan bahan yang sesuai untuk dapatkan pembiakan yang optimum. Ini juga merupakan salah satu aspek penyelidikan kerana bermacam-macam bahan telah diguna untuk mendapat hasil yang terbaik,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik IMR, Dr. Nazni Wasi Ahmad, berkata, spesies lalat yang digunakan di Malaysia ialah spesies Lucilia cuprina manakala di barat ialah Lucilia sericata.

“Spesies lalat ini boleh hidup di negara beriklim sederhana sahaja. Teknik mensterilkan larva yang merupakan teknik yang penting adalah berbeza dari luar negara. Objektifnya adalah sama iaitu membasmikan kuman-kuman yang ada pada ulat lalat. yang membezakan kuman-kuman di ulat dan juga kaedah mengklon lalat,” katanya. Ulat lalat yang digunakan terhadap pesakit mesti melalui proses pensterilan iaitu tidak ada kuman pada ulat lalat ini

Dr. Nazni menambah, terapi ini telah diamal di Malaysia sejak tahun 2003 apabila mendapat peruntukan daripada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi.

Tambah beliau, pada Mei 2003, percubaan klinikal yang pertama dijalankan di Hospital Tentera di Lumut.

“Terapi ini baru bermula di Malaysia kerana kita perlu mengkaji banyak isu-isu pengunaan terapi ini sebelum boleh digunakan kepada pesakit. Kelulusan etika perubatan adalah sangat penting sebelum ia dilaksana kepada pesakit,” katanya.

Dr. Nazni menambah, proses mendapatkan larva yang steril mengambil masa dua hari. Penyakit-penyakit yang boleh menggunakan terapi ulat ialah ulser yang disebabkan kencing manis (diabetes), bedsore ulcer, pressure wound dan ulser disebabkan kanser.

“Disebabkan ulat (daripada lalat) telah disteril, ia selamat diguna. Mekanisme tindak balas ulat terhadap tisu yang dicadang ialah ulat merembes sejenis enzim proteolitik yang mencairkan tisu-tisu nekrotik, faktor ulat menginges (memakan) tisu-tisu reput dan kehadiran ulat pada luka mempengaruhi pembasmian bakteria daripada luka-luka.

Selain itu, rembesan cecair daripada ulat menukar pH luka, bakteria yang dimakan oleh ulat biasanya dimusnahkan dalam saluran perut, rembesan cecair daripada ulat mempengaruhi penyembuhan luka sembuh dengan pantas dan tindak balas pergerakan ulat di atas luka menyebabkan stimulasi pembentukan tisu baru,” katanya.

Dr. Nazni memberitahu, ulat ini bebas daripada kuman. Penggunaan terapi ulat telah menunjukkan bahawa ulat lalat boleh membersihkan luka daripada bakteria jenis Gram- positif dan Gram- negatif, bakteria jenis aerobik dan anaerobik.

“Ulat lalat biasanya dengan pantas dapat membersihkan tisu-tisu nekrotik dan membolehkan terbentuknya tisu baru yang sihat. Malahan faktor yang paling utama ialah ulat dapat digunakan dengan mudah ke atas tisu-tisu yang parah” ujarnya.

Ditanya adakah rawatan ini menggelikan pesakit, Dr. Nazni menjelaskan, setakat ini pesakit memang setuju dan tiada reaksi sebaliknya dengan penggunaan terapi ulat.

“ Lebih-lebih lagi mereka inginkan terapi ini daripada kaki mereka dipotong. Kita harus menyedari bahawa kos bagi insan yang kehilangan sebahagian anggota badan mereka tidak mungkin dapat dinilai. Ini adalah kos sosial misalnya, insan-insan yang tidak mempunyai kaki akan menjadi beban kepada keluarga dan negara. Ini secara tidak langsung mempengaruhi ekonomi negara,” jelasnya.

Merawat luka kronik

Dalam pada itu, Pengurus Edaran Arif Medik Sdn. Bhd., Mohd. Ashraf Kamarul Zaman, yang juga pengurus projek Maggot Debridement Therapy berkata, syarikat Medical Biotheraphy Sdn. Bhd., anak syarikat Edaran Arif Medik, telah pun mendapat hak eksklusif daripada IMR untuk memasarkan ulat-ulat tersebut bermula Disember 2008 di negara ini.

Kini ia dipasarkan di hospital, klinik dan pusat yang berdaftar.

Mohd Ashraf memberitahu, ulat lalat ini mampu membantu merawat luka kronik yang dialami oleh manusia.

Contohnya pesakit diabetes apabila mempunyai luka yang kecil mudah merebak, membesar dan payah untuk sembuh.

Kesukaran pesakit diabetik sembuh daripada luka pula adalah disebabkan terdapatnya tisu mati yang menyebabkan peredaran darah menjadi terbantut dan jangkitan senang berlaku,” katanya.

Ulat-ulat berkenaan berfungsi dengan memakan tisu yang sudah mati dan apabila menjumpai tisu yang hidup ulat-ulat itu akan berhenti daripada memakan bahagian tersebut.

Namun, proses untuk menyembuhkan luka pesakit bergantung kepada tahap teruk luka yang dialami pesakit.

“Kalau luka di peringkat awal, ada tisu mati, kita letak ulat (larva) ini selama 48 jam, iaitu hanya sekali penggunaan. Maksudnya jika kita letak ulat itu hari ini, lusa baru kita akan buka (balutan).

Penggunaan ulat ini dalam penyucian luka memang bagus kerana ulat lalat ini mempunyai enzim yang mampu untuk mempercepatkan penumbuhan tisu,” jelasnya.

Mohd Ashraf menjelaskan, selain penggunaan ulat lalat ini bukan sahaja tertumpu pada pesakit kencing manis. Ia juga penawar untuk luka-luka lain seperti luka akibat kemalangan, kebakaran dan seumpama.

Kaedah rawatan ulat ini tidak boleh digunakan bagi mereka yang baru mengalami luka dalam kemalangan, cuma bagi pesakit yang mempunyai tisu yang mati sahaja.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulat lalat ini bolehlah menghubungi Edaran Arif Medik di talian 03-61891042 ataupun melayari laman web Http://sterilarvae.com.

sumber

Minyak Angin Membikin Gagah

Posted by Alexanderwathern | 10:57 AM | , | 1 comments »

SITUASI


Penjual mendakwa minyak angin yang dijualnya mampu menguatkan urat-urat dan otot-otot. Sesiapa yang sering mengalami sakit-sakit pinggang, lenguh-lenguh badan dan bekerja kuat sangat sesuai menggunakan minyak angin ajaib yang dijualnya. Seperti biasa, ada demonstrasi.


Penjual memanggil seorang anak kecil berusia sekitar tujuh tahun. Budak itu diminta duduk bertinggung. Kemudian si penjual yang berat badannya lebih kurang 90 kilogram duduk di atas bahu dan tengkuk si budak. Apa lagi, terhoyong-hayanglah si budak kerana menanggung beban yang begitu berat, tak sepadan dengan tubuhnya yang kecil. Para penonton tertawa melihat situasi itu.


Seterusnya si penjual meminta budak tadi berdiri. Baju di budak diselak di bahagian belakang lalu penjual menyapu minyak angin ajaib. Minyak angin turut dilumurkan ke bahagian betis si budak. Oleh kerana si budak memakai seluar pendek, bahagian pahanya juga diminyaki dan diurut-urut seketika. Selesai sesi berminyak, para penonton diminta tunggu selama dua minit dengan alasan supaya minyak angin tadi meresap ke dalam pinggang dan kaki si budak. Sambil itu penjual terus bercerita tentang kehebatan minyak ajaib yang dijualnya.


Tempoh dua minit tamat. Budak kecil tadi diminta bertinggung semula. Penjual naik ke atas lehernya. “Bangun!” kata penjual. Menakjubkan! Budak berusia tujuh tahun itu berjaya mengangkat si penjual yang beratnya lebih kurang 90 kilogram dengan selambanya. Hampir seminit budak itu berdiri tegak, barulah penjual mengarahkan budak itu menurunkannya.


Apa lagi, berebutlah penonton membeli minyak berharga RM 10 itu. Berpuluh-puluh botol berjaya dijual.


PENDEDAHAN


Saya suka mencari kaedah yang digunakan para penjual dan ahli silap mata. Ia satu cabaran yang menyeronokkan. Tapi dalam demo di atas yang saya tonton beberapa tahun yang lalu, saya gagal menemui rahsianya. Bagaimana dengan sapuan minyak angin boleh menguatkan tubuh seorang anak kecil hingga mampu mengangkat lelaki 90 kilogram di atas tengkuknya dengan mudah-mudah. Balik ke rumah pun masih terfikir-fikir lagi.


Beberapa hari kemudian saya berkesempatan berbual dengan seorang orang lama. Saya pun menceritakan pengalaman di pasar malam itu kepadanya. Belum pun cerita saya habis, mulutnya sudah bergerak-gerak tidak sabar hendak memberikan jawapan. Nampak jelas dia memang tahu jawapannya. Selesai saja ayat terakhir saya, dia terus menjawab ringkas tapi padat, “Hantu raya!”


Patutlah saya gagal mencari jawapannya, kawan guna ‘sahabat’. Jangan kata nak angkat, kalau disuruh budak itu bawa pusing pasar malam pun insyaallah boleh. Tapi biasanya jin itu tidak akan bertahan lama, dia menolong dalam masa yang singkat saja. Ringkasnya, kawan kita itu menggunakan jin.



Abu Zulfiqar

19 November 2009

Video- Kaum Kubu

Posted by Alexanderwathern | 10:52 AM | | 0 comments »



Suku Kubu ini terkenal dengan ilmu dunia mereka yang ampuh (dengan izin Allah). Mereka tinggal di pedalaman Jambi dan hingga kini masih banyak yang hidup secara tradisional. Sesiapa yang rajin membaca buku 'Siri Bercakap Dengan Jin' karya Tamar Jalis, tentu pernah terbaca tentang suku ini.

Dalam buku tersebut, datuk kepada pengarang mengakui kehebatan ilmu dunia kaum Kubu yang digunakan oleh tukang-tukang sihir tetapi datuknya pernah mempelajari cara-cara menawarkannya, juga daripada kaum Kubu sendiri.

Info Buasir 2

Posted by Alexanderwathern | 10:45 AM | , | 0 comments »

Buasir atau hemoroid adalah pembengkakan pada vena yang terletak di bahagian rektum dan dubur. Apabila vena ini membonjol keluar ia mengganggu dan menyebabkan membran di sekitarnya membengkak, terasa sakit, perit, gatal dan berdarah. Buasir terjadi disebabkan oleh terlalu tinggi tekanan dalam darah di bahagian rektum, menyebabkan dinding vena darah teregang atau 'memberi' dan membonjol. Kadangkala ia boleh pecah, terutamanya sewaktu meneran.

JENIS-JENIS BUASIR

Buasir dalaman

Lazimnya, buasir ini tidak terasa sakit dan gatal kerana ia terletak jauh ke dalam rektum. Buasir dalaman tidak merbahaya tetapi meneran dan gangguan dari laluan najis semasa membuang air besar boleh mencederakan permukaan buasir yang getas dan menyebabkannya berdarah. Anda akan terlihat titisan darah yang berwarna merah cerah pada kertas tisu atau di mangkuk tandas. Jika keadaan ini berlaku anda perlu mendapat bantuan perubatan, kerana darah tersebut mungkin datang dari sumber lain seperti ketumbuhan atau kanser kolorektum.

Buasir luaran

Buasir jenis inilah yang selalu kita dengar mengakibatkan gejala-gejala seperti sakit, pedih dan gatal di dubur. Jika buasir ini tersepit (bekalan darah akan terputus), bekuan darah akan terjadi di dalamnya menyebabkan ia terasa amat sakit. Gejala-gejala beginilah yang menyebabkan buasir jenis ini memerlukan perhatian dan rawatan perubatan. Apabila sahaja salur darah vena rektum teregang atau memberi dan terjadinya buasir adalah sukar untuk ia dibuang atau ditanggalkan sepenuhnya. Buasir ini akan berulang kembali walaupun dengan tekanan atau bebanan yang lebih ringan berbanding dengan yang dahulunya.

PENYEBAB UTAMA

  • Sentiasa duduk
  • Meneran (ketika najis keras atau sembelit)
  • Cirit-birit
  • Duduk mencangkung di dalam tandas terlalu lama
  • Batuk yang teruk
  • Bersalin
  • Mengangkat berat
PENCEGAHAN

Mengelak dari melakukan perkara-perkara di atas boleh mencegah anda dari buasir. Amalkan petua-petua berikut:

  • Jika pekerjaan anda memerlukan anda sentiasa duduk, sekali-sekala anda perlu bangun dan berjalan-jalan sekurang-kurangnya 5 minit setiap jam. Bergerak-geraklah di kerusi anda supaya dapat mengelakkan tekanan langsung dari rektum.
  • Hembuskan nafas keluar apabila anda ketegangan atau ketika mengangkat sesuatu. Jangan menahan nafas anda.
  • Dapatkan rawatan awal untuk mengawal batuk, cirit-birit dan sembelit anda kerana buasir selalunya terjadi selepas masalah ini berpanjangan.
  • Jadikan sebagai satu peraturan: Jangan membaca atau berehat-rehat di dalam tandas. Jika pergerakan usus anda mengambil masa lebih dari 3-5 minit, ada sesuatu yang tidak kena. Jika anda ingin menghindari diri dari buasir, amalkan tabiat membuang air besar yang baik. Pastikan najis anda sentiasa lembut.

Jika langkah-langkah ini gagal anda perlu bertindak segera. Sembelit merupakan satu keadaan di mana pada waktu pagi keadaannya adalah sederhana tetapi apabila menjelang malam ia boleh menjadi amat mengazabkan.

RAWATAN

Terlebih dahulu anda perlu mengenalpasti penyebabnya, kemudian jauhkan diri anda darinya. Tiada gunanya anda merawat buasir tersebut kemudiannya anda meneruskan semula amalan yang boleh mencetuskan semula keadaan ini. Apabila anda telah bertekad untuk menghapuskan faktor-faktor pencetus buasir, maka barulah anda boleh merawatnya. Terdapat dua matlamat untuk merawat buasir. Pertamanya menghentikan gejala atau simptom (sakit, pedih dan gatal). Keduanya ialah mengecutkan buasir tersebut.

Mandian Sitz (rendamkan bahagian rektum ke dalam air suam) untuk selama 15-20 minit, 3 hingga 4 kali sehari. Rawatan ini sangat mudah dan berkesan untuk mencapai kedua-dua matlamat di atas. Anda boleh membeli ubat krim buasir dan supositori untuk menghilangkan gangguan dan kesakitan tetapi ia tidak boleh mengecutkan buasir. Untuk mengecutkan buasir kepada saiz asalnya, pengubatan semasa adalah berguna. Cucikan seluruh bahagian rektum dengan air suam setiap kali anda membuang air besar dan gunakan julap serat pukal (bulk fibre laxative) untuk melembutkan najis. Ini boleh mengelak anda dari meneran semasa membuang air besar.

Kebanyakan orang mengambil ubat tambahan serat pukal ini setiap hari untuk mengelak dari buasir. Tetapi perlu diingat bahawa serat pukal ini mengambil masa beberapa hari untuk memberi kesan. Jika anda sedang menghidapi buasir dan membuang najis yang keras anda mungkin memerlukan ubat atau julap yang dapat melembutkan segera najis anda untuk mengelakkan anda dari meneran yang boleh memburukkan lagi buasir anda.

Bagi buasir yang tidak dapat disembuhkan dengan rawatan konsevatif, rawatan yang standard boleh dijalankan iaitu mengikat dengan lingkaran getah (rubber band ligation). Satu atau dua lingkaran getah diikat di sekeliling pangkal buasir. Ini akan menyekat peredaran darah ke buasir tersebut. Dalam masa 7 hingga 10 hari buasir tersebut akan tertanggal keluar. Ikatan lingkaran getah ini hanya digunakan untuk buasir dalaman sahaja. Ia dilakukan tanpa menggunakan ubat bius dan tidak menimbulkan kesakitan. Tetapi anda mungkin mengalami sedikit ketidakselesaan untuk beberapa hari.

Koagulasi Inframerah - sinaran inframerah dipancarkan selama satu atau dua saat untuk menghentikan bekalan darah ke buasir. Anda mungkin terasa bahang panas ketika prosedur ini dilakukan dan terdapat sedikit pendarahan berlaku dalam beberapa hari selepas itu. Prosedur ini sama juga seperti ikatan lingkaran getah, dilakukan hanya untuk buasir dalaman. Tetapi ia lebih cepat dan kurang menyebabkan jangkitan.

Elektrokoagulasi bipolar - Prosedur ini dikenali juga dengan nama Bicap, adalah sama seperti prosedur Koagulasi Inframerah dan ia mempunyai kebaikan dan keburukan yang sama.

Terapi laser - pancaran laser akan mengewapkan tisu buasir. Tetapi prosedur ini didapati lebih mahal dan tidak menunjukkan sebarang kelebihannya dari prosuder-prosedur lain. Ia perlu dijalankan dengan berhati-hati dari segi kedalaman dan lokasinya bagi mengelakkan pendarahan dan kesakitan kepada pesakit.

Pembedahan biasanya dilakukan sebagai langkah terakhir apabila kedua-dua jenis buasir tersebut menjadi semakin teruk dan rawatan-rawatan lain tidak berjaya menyembuhkannya. Kaedah ini didapati berkesan tetapi pesakit terpaksa tinggal di dalam hospital sehari dua dan mengambil masa yang agak lama untuk sembuh berbanding dengan pendekatan-pendekatan lain.

Rawatan yang agresif seperti yang dinyatakan di atas sepatutnya boleh menyembuhkan buasir dalam beberapa hari sahaja. Tetapi ia mungkin mengambil masa 2 - 4 minggu untuk pulih sepenuhnya. Jika tidak, anda perlu berjumpa doktor semula dan berbincang dengannya. Masalah-masalah perubatan penyakit keradangan usus atau jangkitan usus boleh menyerupai gejala-gejala buasir. Oleh itu, jika keadaan anda masih berterusan walaupun telah mendapat rawatan asasnya, anda perlu berjumpa doktor.

PENGURUSAN SENDIRI

  • Banyak meminum air sekurang-kurangnya 1.5 - 2 liter sehari
  • Makan makanan seimbang: banyakkan memakan makanan yang tinggi serat, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Gunakan tandas pada masa yang ditetapkan seperti selepas bangun tidur setelah meminum segelas besar air.
  • Elakkan dari memakan makanan yang boleh menyebabkan gangguan (makanan pedas atau berempah, alkohol) atau yang boleh merangsangkan usus (kopi atau teh).
  • Apabila terdapat gejala-gejala tertentu (seperti darah dalam najis,sakit atau gangguan pada dubur), berjumpalah doktor.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Buasir

Kaedah Ikhtiar Muslim

Posted by Alexanderwathern | 10:37 AM | , | 0 comments »

Bukan perawat sahaja yang berikhtiar tetapi pesakit, keluarga ataupun orang-orang yang hampir dengannya pun akan didorong untuk sama-sama berikhtiar. Ikhtiar Muslim tidak menggalakkan kebergantungan penuh kepada perawat, yang secara mudahnya kita sebut di sini sebagai ‘perawat superpower’. Mengapa begitu? Untuk memudahkan pemahaman kita, kita ambil CONTOH.


Fatimah ada masalah kesihatan. Dia dibawa berubat kepada seorang perawat oleh keluarganya. Selepas dimaklumkan ehwal kesihatannya kepada perawat, perawat pun membaca “Bismillah” ataupun apa-apa jampi lalu menghembus ke arah Fatimah. Ketika itu juga Fatimah sembuh seperti sediakala. Keluarganya cukup senang hati, bayar ‘mahar’ perubatan kepada perawat lalu pulang. Cukup ringkas dan cepat. Kaedah beginilah yang selalunya menjadi buruan para pesakit. Dalam hal ini, kemampuan perawat serta kaedah rawatannya memang kita akui. Tidak ada apa-apa yang salah kecualilah kalau dia menggunakan ilmu yang salah.


Lihat pula contoh perawat yang disarankan oleh Ikhtiar Muslim. Ketika merawat Fatimah, perawat itu akan berusaha mengambil sedikit untuk menunjukkan akhlak , tutur kata dan penampilan yang baik, yang selaras dengan tuntutan Islam. Perawat akan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan doa-doa. Fatimah sembuh ataupun tidak ketika itu, sebelum dia pulang, perawat tetap akan membekalkan beberapa amalan kepada Fatimah dan keluarganya agar semua pihak turut mengambil bahagian dalam berikhtiar memlihkan Fatimah.


Penampilan yang bersopan, kemas dan bersih mengundang kasih sayang Allah dan makhluk. Seawal pertemuan lagi, pesakit dan keluarganya sudah berasa sejuk hati. Hal ini juga sebenarnya salah satu terapi minda terutamanya untuk pesakit. Bayangkan kita yang sedang sakit kepala dan sesak nafas, masuk ke bilik rawatan lalu berjumpa doktor yang rambutnya bersikat kemas, wajahnya damai, pakaiannya kemas, nampak bersih dan berhemah. Sejuk sikit hati kita rasanya. Bayangkan pula jika kita berjumpa tabib yang memakai kain pelekat, dan singlet kusam, dan kopiah penuh tahi lalat serta rokok di bibir dan tangkal di lengan dan dada. Lagi sempit rasanya dada kita.


Memang ada perawat yang sengaja tidak berbaju. Ada yang sengaja memakai seluar yang menampakkan lutut. Ada pula yang berambut panjang tidak terurus, dengan seluar jeans lusuh lagi koyak dan baju bergambar tengkorak dan wanita. Mungkin anda pun pernah bertemu perawat begini.


Kemudian, tanpa mengira masalah pesakit itu berat ataupun ringan, Ikhtiar Muslim menyarankan agar perawat membacakan ayat-ayat al-Quran dan doa walaupun sedikit. Dibaca pula dengan bersuara agar jelas didengar oleh pesakit dan orang di sekeliling. Antara tujuannya, paling kurang ialah untuk mendapatkan barokah. Di mana Al Quran dibacakan, di situ akan turunnya sakinah.


Juga sebagai salah satu dakwah kita. Biasa sangat perawat dikunjungi oleh mereka yang tidak menutup aurat, yang berfaham sekular, yang tidak menunaikan solat, yang sudah lama tidak menyentuh al-Quran, yang anti dengan para agamawan dan sebagainya. Inilah salah satu peluang kita untuk berdakwah kepada mereka. Tunjukkan akhlak seorang Muslim sejati dan perdengarkan alunan indah dari al-Quran dan doa. Boleh jadi dengan melihat cara kita merawat dan mendengar bacaan ayat-ayat suci, hati mereka tergerak untuk melakukan perubahan walaupun sedikit.


Berbeza dengan perawat ‘superpower’. Dia memang handal dan menyelesaikan tugasnya dengan pantas. Tapi pengunjung tidak mendapat apa-apa daripadanya melainkan kesembuhan semata-mata. Bahkan mungkin akan menghasilkan rasa taksub dan takjub berlebihan orang kepada dirinya.


Sama ada sakit Fatimah berjaya disembuhkan ketika itu ataupun tidak, sangat molek perawat membekalkan amalan-amalan harian dan amalan penyembuh kepadanya dan keluarganya. Contohnya:


“Balik nanti, Fatimah baca selawat tahiyyat akhir tiga kali setiap kali lepas solat. Kemudian jangan lupa baca al-Quran dengan cara menatap mushaf setiap hari walaupun sekadar satu minit. Ini ada satu kertas. Pada kertas tu saya dah tulis satu bacaan iaitu Bismillahillazhi... Melalui bacaan ni Tuhan akan menggagalkan segala bentuk sihir dan kejahatan makhluk halus insyaallah. Fatimah baca tiga kali setiap pagi dan petang. Insyaallah sakit Fatimah akan cepat sembuh dan tak berulang lagi. Makcik dengan pakcik pula buatlah solat hajat minta Fatimah ni sihat. Dan tolong carikan daun bunga raya, baca selawat, ramas dalam air dan mandikan Fatimah.”


Insyaallah secara tidak langsung Fatimah akan ada keazaman untuk solat 5 waktu sehari semalam sekalipun sebelum itu dia bukan jenis sembahyang. Dia juga akan terbuka hati untuk membaca al-Quran selalu sekalipun sebelum ini dia hanya membaca al-Quran seminggu sekali iaitu surah Yaasin pada malam Jumaat. Dia juga tentunya akan menambahkan zikir hariannya. Jika dia terlupa, kaum keluarganya yang hadir pada sesi rawatan itu akan berusaha mengingatkannya. Mereka akan bersama-sama berasa bertanggungjawab untuk berikhtiar. Mereka sekeluarga pasti termotivasi ke arah kebaikan walaupun sedikit hasil cara rawatan yang kita lakukan. Hasilnya- ilmu, iman dan amal mereka akan bertambah walaupun sedikit berbanding sebelumnya.


Anda mahu sembuh? Kami yang merawat berikhtiar dan berdoa, anda pesakit (jika berkemampuan) dan keluarga anda pun kena berikhtiar an berdoa bersama-sama kami. Beginilah cara Ikhtiar Muslim.



Abu Zulfiqar @ Alexanderwathern

13 November 2009

Info Buasir

Posted by Alexanderwathern | 10:24 AM | , | 0 comments »

Buasir merupakan penyakit yang terjadi pada bahagian dubur. Ia dapat dikesan dengan adanya pembengkakan pada saluran dubur. Selalunya, pesakit buasir akan mengalami kesakitan akibat daripada tekanan otot dubur ke atas bengkak tersebut sehingga menyebabkan proses pembuangan air besar menjadi amat perit. Bengkak yang terjadi adalah disebabkan oleh pengembangan saluran darah pada bahagian dubur atau ketumbuhan sel-sel yang melapisi saluran dubur. Selain bengkak pada saluran dubur, pendarahan semasa membuang air besar juga terjadi disebabkan oleh luka yang terjadi apabila najis keras bergesel dengan buasir.

Terdapat dua jenis buasir iaitu buasir dalaman yang merujuk kepada bengkak buasir yang tertumpu pada bahagian dalam saluran dubur. Jenis kedua ialah buasir luaran di mana bengkak terjulur keluar dari bahagian dubur. Kedua-dua jenis buasir ini boleh berlaku secara berasingan atau serentak.

Dianggarkan sebanyak 50 peratus daripada penduduk di negara-negara Barat akan mendapat buasir selepas mencapai umur 50 tahun. Buasir juga sering terjadi di kalangan ibu-ibu mengandung disebabkan oleh janin yang membesar di dalam rahim ibu menekan saluran darah pada kawasan dubur sehingga menyebabkan berlakunya buasir.

Ciri-ciri penyakit buasir

Selain daripada bengkak yang amat ketara ketika mengalami buasir, tanda-tanda lain termasuklah
rasa gatal pada lubang dubur,
rasa kepanasan pada kawasan dubur selepas membuang air besar,
rasa sakit yang berdenyut-denyut,
sukar untuk membuang air besar dan rasa tidak selesa pada bahagian dubur apabila berdiri lama atau bertinggung.
Kesakitan pada bahagian dubur menyebabkan pesakit akan mengalami perubahan di dalam corak membuang air besar.

Rawatan pengubatan sendiri

Jika ada tanda-tanda penyakit buasir seperti yang dinyatakan, pesakit perlu memahami keadaan penyakit jika ingin mendapatkan ubat bagi merawat buasir. Namun demikian, sekiranya terdapat tanda-tanda tambahan seperti pendarahan, najis atau cairan terkeluar dengan sendirinya tanpa disedari, penyakit buasir yang terjadi berulangkali atau buasir yang tidak sembuh melalui pengubatan sendiri selepas seminggu, maka pesakit perlulah mendapatkan rawatan lanjut daripada doktor pakar. Ini kerana kemungkinan terdapat penyakit-penyakit yang lebih serius yang diakibatkan oleh buasir tersebut termasuklah:

1. Nanah di kawasan dubur yang disebabkan oleh jangkitan bakteria.

2. Luka pada saluran dubur yang disebabkan oleh nanah yang bocor.

3. Kanser pada bahagian dubur yang dicirikan juga dengan sembelit, pendarahan dan kesakitan pada kawasan dubur.

4. Ketumbuhan pada kawasan dubur.

Ubat untuk meredakan buasir

Untuk melegakan kesakitan ketika diserang buasir, pesakit disyorkan agar kerap membuang air besar dan memastikan najis tidak keras serta menjaga kebersihan diri terutama sekali di kawasan dubur dan menggunakan ubat buasir.

Untuk mengatasi sembelit dan memastikan najis berkeadaan lembut, pesakit disyorkan meminum banyak air dan mengambil lebih sayur-sayuran dan buah-buahan. Jika langkah ini tidak juga berkesan pesakit boleh mendapatkan ubat yang melembutkan najis seperti Metamucil ataupun julap yang menggalakkan pembuangan air besar yang lebih kerap seperti Milk of Magnesia.

Untuk menjaga kebersihan pada kawasan dubur, pesakit digalakkan untuk mencuci kawasan tersebut dengan lebih kerap dengan menggunakan sabun dan air selepas membuang air besar. Selain itu pesakit juga boleh merendamkan diri dalam air suam dua atau tiga kali sehari untuk selama 15 minit. Garam mandian juga boleh digunakan kerana ia berupaya untuk mengecutkan kawasan dubur yang bengkak.

Pilihan ubat buasir

Antara ubat yang boleh digunakan:

1. Agen Anestetik setempat

2. Pengecut saluran darah setempat

3. Pengurangan kerengsaan atau kegatalan

4. Astringen yang mengurangkan insipadu sel-sel

5. Pengurangan kesakitan dan kegatalan

Disebabkan ubat-ubatan ini digunakan secara setempat pada kawasan dubur, maka penyampaian ubat kepada buasir secara langsung adalah amat penting untuk mendapatkan kesan ubat tersebut. Dalam hal ini, ubat akan disapukan ke atas bengkak buasir luaran manakala untuk buasir dalaman, ubat disediakan dalam bentuk supositori atau paip bagi memudahkan penyampaian ubat ke kawasan dalaman dubur.

Agen Anestetik setempat

Agen anestetik atau bius setempat bertindak mengurangkan rasa sakit, gatal, pedih dan kerengsaan pada bengkak buasir melalui halangan kepada penyampaian isyarat sakit yang disampaikan oleh sistem saraf. Kebiasaannya penggunaan agen ini akan menyebabkan timbulnya rasa kebas pada bahagian yang sakit. Agen ini hanya digunakan pada buasir luaran kerana deria saraf hanya tertumpu pada bahagian luar dubur sedangkan saraf yang sama tidak terdapat pada bahagian dalaman dubur. Contoh ubat yang mempunyai tindakan menghilangkan rasa sakit adalah benzokain yang diletakkan pada buasir.

Pengecutan saluran darah setempat

Pengecutan saluran darah akan menyebabkan saluran darah yang terdapat pada kawasan dubur mengecut dan seterusnya menyebabkan bengkak buasir turut mengecut. Pemahaman mengenai tindakan ubat ini mudah difahami dengan mengambil contoh pengurangan air sungai yang dikawal oleh sebuah empangan. Sekiranya air sungai yang disekat mengalir, maka paras air sungai akan menurun sama seperti bengkak buasir yang reda akibat pengurangan bendalir yang masuk ke kawasan tersebut. Contoh ubat yang dikategorikan sebagai pengecut saluran darah adalah noradrenalin pada kepekatan 0.005 hingga 0.001 peratus yang disapukan pada bengkak buasir. Di samping itu, ubat ini juga meredakan rasa gatal pada bengkak buasir melalui kesan bius yang lemah.

Pengurangan kerengsaan atau kegatalan

Pengurangan kegatalan dengan cara menahan kehilangan air serta lembapan kulit menyebabkan timbulnya rasa gatal akibat kulit yang kering. Apabila darjah lembapan meningkat, bengkak menjadi lembut yang seterusnya mengurangkan kesakitan disebabkan tekanan yang terbentuk di atas bengkak buasir. Contoh bahan yang dapat menahan kehilangan air ini adalah seperti gliserin atau salap petrolatum yang membentuk lapisan berminyak di atas permukaan bengkak buasir.

Astrigen

Astringen bertindak melalui halangan ke atas kehilangan air atau lembapan daripada permukaan bengkak buasir. Juga, astringen mempunyai kesan tambahan ke atas sel-sel bengkak dengan memendakkan protein yang terdapat pada sel-sel tersebut. Contoh ubat yang mempunyai kesan astringen adalah krim zink oksida atau losyen kalamin yang apabila disapu pada permukaan kulit akan meninggalkan rasa sejuk pada permukaan kulit. Dengan kesan tersebut, rasa panas atau pedih pada bengkak buasir dapat diredakan.

Pengurang kesakitan dan kegatalan

Ubat jenis ini akan bertindak pada sel-sel bengkak ataupun juga dikenali sebagai sel radang dengan mengurangkan proses tindakbalas yang menyebabkan timbulnya sel-sel bengkak. Apabila tindak balas keradangan dikurangkan, maka proses pengecutan sel boleh terjadi dan buasir dapat diredakan. Contoh ubat yang mempunyai aktiviti seperti ini adalah krim hidrokortison pada kepekatan 0.5 peratus yang disapu ke atas buasir.

Sekiranya seseorang mengalami penyakit buasir, penjagaan kebersihan kawasan dubur amatlah penting untuk mencegah buasir. Langkah pencucian telah diterangkan dan paling penting adalah mengamalkan tabiat pembuangan air besar yang baik pada setiap hari. Pesakit selalunya akan dinasihatkan oleh para pengamal kesihatan untuk mengambil air yang banyak dan mengekalkan pemakanan yang seimbang dengan kandungan fiber yang tinggi untuk mencegah terjadinya buasir. Jika buasir terjadi berulangkali atau tidak reda selepas seminggu walaupun dengan menggunakan ubat buasir, maka segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut!

sumber

Video Cemara Babi untuk Kebal

Posted by Alexanderwathern | 10:00 AM | , , | 0 comments »



Sebelum meletakkan keputusan untuk percaya ataupun tidak, sila baca DI SINI.

Khasiat Sirih

Posted by Alexanderwathern | 10:19 PM | , | 0 comments »

Khasiat & Keistimewaan Sirih

Sejarah dan khasiat SIRIH di zaman silam, sirih merupakan salah satu pendekatan perubatan tradisional yang penting, bukan sahaja di Tanah Melayu malahan di rantau Asia, India dan Afrika Timur. Di India, sirih digunakan untuk mengubati penyakit mulut, tekak dan lapisan perut.

Di Afrika Timur, daunnya digunakan untuk ulser bernanah dan jusnya untuk selsema serta penyakit radang kerongkong. Masyarakat Filipina menggunakan sirih untuk mengubati masalah gastrik dan penyakit paru-paru yang dihadapi oleh kanak-kanak.

Di Kemboja, daun sirih yang ditumbuk dijadikan losyen mandian untuk mengubati penyakit seperti demam, demam campak, kelenjar membesar dan lymphagitis.

Sementara di Indonesia, daunnya yang segar dicampurkan ke dalam bahan-bahan perubatan lain sebagai ransangan antiseptik, gatal-gatal, astringen dan aphrodisiac.

Di dalam bidang perubatan herba di Malaysia, penggunaan sirih dan khasiatnya diakui oleh pelbagai bangsa:

Masyarakat Cina mengenali sirih sebagai herba untuk memanaskan badan.
Masyarakat India pula lebih mengaitkannya dengan penjagaan mulut dan rambut.

Namun begitu, masyarakat Melayu yang lebih prihatin dengan sejarah sirih dan kepelbagaian kegunaannya, sama ada bagi tujuan perubatan, kecantikan dan kebudayaan.

Khasiat-khasiat sirih yang telah digukankan di dalam perubatan di zaman silam ini telah terbukti kesahihannya melalui kajian-kajian saintifik yang telah dilakukan oleh institusi di antaranya Universiti Putra malaysia (UPM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Di antara hasil kajian mendapati daun sirih atau ‘Piper Betle’ mengandungi PATI MINYAK yang bahan-bahan utamanya ialah CUGINOL dan KAVIKOL. Bahan-bahan aktif di dalamnya pula seperti FLAVORNOID dan POLYPHENOL boleh menegangkan kulit dan mengelakkan kedut-kedut di muka yang boleh membawa kesan awet muda.

Khasiat ASTRIGEN daun sirih pula berkeupayaan mengecutkan tisu-tisu organik dan
khasiat ANTISEPTIK untuk membunuh kuman.

Ini bermakna, jika diminum airnya atau digunakan sebagai pencuci harian bagi wanita khasnya, selain menegangkan otot-otot tisu dalaman vagina,
ia juga boleh membunuh bakteria, kuman atau kulat serta mengatasi masalah keputihan.

Sirih juga turut digunakan bagi mengatasi masalah penyakit Malaria, sakit sendi, gout dan dipercayai boleh merawat kanser dan penyakit jantung. Kini dengan perkembangan teknologi-bio ia diproses dan dimasukkan dalam bekas untuk dipasarkan sebagai produk kesihatan/kosmetik.

sumber

Bomoh Main Silap Mata

Posted by Alexanderwathern | 10:14 PM | , | 0 comments »

KLANG: Sanggup berbuat apa saja waima menggunakan amalan Islam untuk mengaut keuntungan, seorang lelaki mengenakan wang pengeras sehingga RM3,000 kononnya sebagai upah melakukan solat hajat 44 hari berturut-turut atau kenduri anak yatim bagi menyembuhkan penyakit tertentu.

Namun, ia hanya taktik licik lelaki mengaku dirinya Presiden Kelab Bomoh Malaysia, untuk memperdayakan pesakit yang menemuinya dan seterusnya mengaut keuntungan secara mudah.

Syarat aneh ditetapkan bomoh terbabit bagaimanapun menimbulkan sangsi ramai pesakit apabila dia kerap kali mendakwa punca penyakit hampir semua mangsa angkara buatan orang sebelum menggunakan silap mata untuk mengeluarkan patung sihir daripada badan pesakit.

Bagaimanapun, ramai mangsa hanya menyedari diperdaya apabila penyakit yang dihidapi langsung tidak menunjukkan tanda sembuh sebelum bomoh berkenaan meminta mangsa menjelaskan bayaran tambahan mencecah puluhan ribu ringgit.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Fuad, 30, berkata penipuan bomoh palsu terbabit terbongkar selepas dia menghantar bapanya yang menghidap sejenis penyakit untuk mencuba kaedah rawatan tradisional yang dilakukan lelaki berusia 60-an berkenaan, baru-baru ini.

Menurutnya, bapanya yang berusia 72 tahun sebelum ini kerap mengadu sakit dalam badan selain turut mengalami masalah paru-paru dan asma.

“Walaupun pernah beberapa kali dibawa berubat di klinik, penyakit ayah saya kerap menyerang kembali menyebabkan saya tergerak hati melakukan ikhtiar melalui kaedah rawatan tradisional.

“Saya yang membawa bapa mendapatkan rawatan dengan bomoh terbabit bagaimanapun disyaratkan membawa beberapa barang, antaranya labu dan betik dengan alasan bagi tujuan ‘mengeluarkan’ penyakit daripada tubuh,” katanya.

Mohd Fuad berkata, dia yang datang menemui bomoh terbabit kira-kira jam 11 malam terkejut apabila mendapati ramai pengikut lelaki itu yang berpakaian serba hitam turut berada di tempat rawatan berkenaan.

“Sebelum berubat, bomoh berkenaan meminta kami membayar RM3,000 dengan alasan untuk bayaran upah 44 orang melakukan solat hajat selama 44 malam berturut-turut dan kenduri,” katanya.

Menurutnya, dia yang membawa pulang ayahnya ke rumah bagaimanapun mula menyedari ditipu apabila penyakit itu terus menyerang sebelum dia segera membawa ayahnya ke Hospital Banting.

“Selepas menjalani pembedahan, barulah penyakit dihidapi menampakkan tanda untuk sembuh. Saya mula mengesyaki ditipu apabila ramai penduduk yang menemui bomoh itu turut mendakwa dikenakan bayaran tidak munasabah selain ditunjukkan patung sihir melalui kaedah perubatan sama,” katanya.

Sementara itu seorang lagi penduduk Jugra, dekat Klang, yang mengetahui penipuan itu, Aziz Jalil, 28, berkata, ada saudaranya yang turut tertipu apabila membayar RM10,000 selepas diminta bomoh berkenaan.

“Bomoh terbabit berpura-pura datang ke rumah sebelum mengorek tanah di halaman rumah pesakit. Dia berpura-pura mengeluarkan patung kecil yang didakwa bukti pihak tertentu cuba menyihir keluarga mangsa.

“Apa yang menyedihkan apabila kebanyakan mangsa penduduk kampung yang sanggup bergolok gadai mencari wang semata-mata ingin penyakit mereka disembuhkan sebelum ditipu,” katanya ketika ditemui di Gombak, baru-baru ini.

Menurutnya, bomoh berkenaan juga kerap menggunakan kaedah sama iaitu mengeluarkan patung baik dari dalam besen, buah atau tanah, sehingga menimbulkan rasa sangsinya yang percaya ia adalah penipuan terancang.

Credit to Metro
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

Khasiat Pegaga

Posted by Alexanderwathern | 1:47 PM | , | 0 comments »

Khasiat Pegaga

Pegaga atau nama saintifiknya centella asiatica/hydocotyle asiatica ialah sejenis ulaman popular orang melayu.Tumbuhan menjalar yang tumbuh pada tanah yang agak lembab ini pada asalnya dimakan sebagai ulam untuk menambahkan selera makan kerana daunnya yang wangi. Nama lainnya ialah tapak kuda (Indonesia), indian pennywort, gotu kola.

Ia dikatakan berasal dari India tetapi begitu mudah didapati tumbuh liar di negara-negara ASEAN. Ia mudah tumbuh di kawasan tanah yang subur, agak lembab dan bersaliran baik. Ia membiak melalui pecahan anak. Mengikut ceritanya, pokok pegaga ini dimakan pada awalnya oleh penduduk India setelah melihat gajah yang terkenal dengan umurnya yang panjang didapati selalu mengunyah tumbuhan ini. Jadi ia dimakan pada asalnya untuk memanjangkan umur. Tapi kini ia diambil sebagai ulam dan jus kerana rasa dan baunya yang menambahkan selera. Selain dimakan mentah sebagai ulam pegaga juga boleh dimasak lemak dan dijadikan kerabu.

Kegunaan

Pegaga pernah dipanggil makanan otak kerana ia dapat mengembalikan kesihatan diri dan dapat menolong mengurangkan simptom yang disebabkan oleh tekanan, meningkatkan tindakbalas menambahkan kekuatan fizikal dan mental. Baru-baru ini WHO telah mengumumkan bahawa pegaga terbukti berkesan untuk meningkatkan kecerdasan dan keupayaan mental kanak-kanak. Selain itu ia juga dapat mengurangkan tekanan darah tinggi, mencegah nyanyuk, melambatkan proses penuaan dan menolong badan dari bahan toksid.

Herba ini mula digunakan dalam perubatan ayurveda. Ia juga pernah digunakan dalam perubatan herba shennong di China lebih kurang 2000 tahun yang lalu. Kebelakangan ini pegaga banyak digunakan di Barat sebagai tonik saraf untuk merehatkan dan menambahkan ingatan. Di Indai bagaimanapun ia juga banyak digunakan untuk mengatasi masalah kulit. Di Timur pula, pegaga juga digunakan untuk mengatasi masalah seperti kemurungan yang mungkin disebabkan oleh masalah fizikal.

Kajian terbaru menunjukkan pegaga menunjukkan kesan positif terhadap sistem pengaliran darah dengan menguatkan salur darah dan kapilari. Ia telah menunjukkan kesan yang memberangsangkan apabila digunakan untuk merawat kejang kaki, bengkak kaki dan masalah kaki terasa berat dan kebas.

Antara khasiat pegaga adalah:

* menyegarkan badan
* merawat pitam
* mengurangkan berat badan
* awet muda
* rawatan lepas bersalin

sumber

Amalan Masuk Rumah Baru

Posted by Alexanderwathern | 1:01 PM | , , | 0 comments »

SOALAN:
Saya ada sebuah rumah banglo yang dibeli 2 tahun lepas tapi tak didiami. Benarkah Jin akan menghuni rumah yang ditinggalkan? Apakah persediaan yang saya harus buat sebelum memasuki rumah tersebut?

Terima Kasih



PANDANGAN:

Salam ukhwah AJ,


Jin dan syaitan biasa berada di mana-mana, termasuklah di rumah yang sedang kita huni sekarang. Waktu kita sembahyang di rumah, kan ada syaitan datang menganggu? Bahkan qarin/ jin pendamping kita pun selalu ada bersama-sama kita. Cuma mereka bukan jenis pengganggu dan perasuk, lebih kepada jenis pembisik.


Kalau jenis pengganggu dan perasuk ini berada dalam rumah kita, ini yang menyebabkan gangguan. Boleh jadi dia menjelma, ataupun dia mengubah barang-barang, ataupun merasuk, ataupun menyakitkan kita.


Jin memang suka tinggal di rumah-rumah kosong, bahkan dalam bilik kosong di rumah kita. Tapi itu tak bermaksud dalam setiap rumah atau bilik itu mesti ada jin. Dan jika ada jin pun, tak semestinya jenis jin pengganggu. Bukan semua rumah kosong atau bilik ada jin pengganggu. Mungin satu dalam seratus buah rumah atau bilik (sekadar contoh). Wallahualam.


Antara ikhtiar yang boleh dilakukan ketika mahu berpindah ke rumah baru anda ialah:

1. Ketika masuk ke rumah itu, ucapkan “Assalamu’alaina wa ‘ala ‘ibadillahissolihin” macam dalam tahiyyat akhir. Maksudnya “Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.” Boleh juga dilakukan pada setiap bilik.

2. Berdiri di ruang tengah rumah, azan ataupun iqamah. Tak perlu kuat seperti di masjid, guna suara sederhana saja.

3. Buatlah kenduri doa selamat sikit. Boleh juga dibuat bacaan Yaasin ataupun kenduri tahlil. Tak mampu panggil ramai orang, buat untuk keluarga pun jadilah. Bacaan-bacaan dalam doa selamat ataupun tahlil memang mesuai untuk mengusir dan menghindarkan jin. Dengan membaca doa beramai-ramai dan buat kenduri, para malaikat akan datang bersesak-sesak. Keadaan ini akan menakutkan para jin daripada berada dalam rumah itu.


Wallahualam.



Abu Zulfiqar

16 November 2009