MagzNetwork

Apa Itu Ketuat?

Posted by Alexanderwathern | 10:37 PM | , | 0 comments »


KETUAT leper.



Dr. Noraziah Abd. Kadir Jailani


SERING kali disalah anggap sebagai tahi lalat ataupun jeragat pada kulit, masalah ketuat (warts) sebenarnya berlaku secara meluas di seluruh dunia. Memandangkan kebanyakan kes hanya melibatkan masalah ringan dengan saiz ketuat yang kecil serta jumlah yang sedikit, ia sering kali diabaikan begitu sahaja.

Sememangnya masalah ketuat yang berpunca dari jangkitan Human Papilloma Virus (HPV) kebiasaannya tidak menjejaskan kesihatan dan hidup seharian. Ini mengelakkan banyak perhatian terhadap masalah ini, dengan kebanyakan kes akan pulih sendiri selepas tempoh masa tertentu.

Namun, penemuan dua kes ketumbuhan ketuat yang ekstrem pada 2007 mengejutkan dunia, terutamanya berita 'lelaki pokok' di Indonesia yang menjadi contoh serangan teruk virus HPV ke atas kulit manusia.

Membezakan

Mungkin ramai kini yang tahu mengenai ketuat alat kelamin yang dikaitkan dengan kanser serviks (pangkal rahim) di samping kontroversi pemberian vaksinnya untuk gadis dan wanita di negara ini. Namun, ramai yang tidak mengetahui mengenai bermacam jenis ketuat lain memandangkan ia tidak membahayakan kesihatan atau mengancam nyawa.

"Ketuat berpunca dari jangkitan virus HPV sahaja. Terdapat lebih 100 jenis virus HPV dan setiap jenis ketuat berpunca dari jenis virus berbeza.

"Berbanding ketuat alat kelamin, ketuat biasa, plantar mahupun ketuat leper tidak memerlukan vaksin dan tidak membawa komplikasi besar," jelas Dr. Noraziah Abdul Kadir Jailani, Pakar Perunding Perubatan dan Dermatologi, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC).

Namun, berita mengenai Dede Koswara, 34, yang badannya dipenuhi ketuat seakan kulit pokok menunjukkan masih ada yang bernasib malang apabila badan mereka gagal menentang jangkitan HPV.

"Kes Dede berpunca daripada masalah imuniti badan yang lemah dan gagal mengawal mahupun menghapuskan virus HPV yang menjangkiti kulitnya.

"Individu lain yang mengalami masalah lemah sistem imuniti akibat penyakit atau pengambilan ubat juga terdedah kepada ancaman penyakit biasa, walaupun penyakit seperti ketuat," kata Dr. Noraziah.

Menurutnya, selagi badan masih sihat dan kuat, jangkitan kuman seperti HPV masih mampu ditentang, walaupun mungkin mengambil masa untuk pulih.

Pada 2007, Dede dan Ion Toader dari Romania menjadi antara pesakit disahkan menghidap penyakit Epidermodysplasia verruciformis (EV) yang ditemui Dr. Felix Lewandowsky dan Dr. Wilhelm Lutz dari Jerman di awal 1920-an. Keadaan kulit seakan kulit pokok pesakit EV dikaitkan dengan virus HPV jenis 5 dan 8 yang biasanya hadir sebagai jangkitan ringan pada 80 peratus populasi dunia.

Dede dilaporkan membuang sekitar enam kilogram ketuat di badannya pada Ogos 2008, ada di antaranya menggunakan gergaji kuasa tinggi. Walaupun lebih 95 peratus ketuat di badan Dede telah dibuang, masalah 'kulit pokoknya' itu masih berterusan dan doktor menganggarkan dia memerlukan dua pembedahan setiap tahun untuk seumur hidupnya bagi mengawal ketumbuhan tersebut.

Muda

Walaupun kes ketuat seperti Dede dan Toader sesuatu yang jarang berlaku, umum perlu mengetahui bahawa virus HPV wujud secara meluas dalam komuniti manusia. Mampu menyebabkan jangkitan ringan hingga sederhana, ketuat yang timbul sebenarnya boleh dirawat terutamanya jika ia menjejaskan penampilan fizikal seseorang.

"Kanak-kanak merupakan yang paling mudah diserang masalah ketuat biasa - di kaki dan tangan, akibat sentuhan semasa mereka bermain di luar ataupun bersama kawan-kawan.

"Sebarang bentuk hubungan dengan virus HPV boleh menyebarkannya, terutamanya jika ada luka," jelas Dr. Noraziah.

Menurut beliau, badan akan melawan jangkitan tersebut dan kebiasaannya kanak-kanak akan pulih sendiri dari masalah ketuat.

Namun tegasnya, jika ketuat tidak hilang selepas berbulan lamannya ataupun semakin banyak, rawatan boleh diberikan untuk mengawal dan memulihkannya.

Apa yang penting adalah mengelakkan anak ataupun diri sendiri daripada mengopek, memotong, memecah atau mengutil ketuat yang timbul. Perbuatan ini hanya akan memburukkan keadaan dan menyebarkan virus HPV ke bahagian badan yang lain.

"Virus HPV mudah merebak di kalangan mereka yang sering berkaki ayam mahupun melalui air seperti di dalam kolam renang yang tidak dijaga rapi.

"Selain itu, perkongsian pakaian, tuala, kasut dan alat membersihkan kulit serta kuku juga boleh menyebarkan virus HPV punca ketuat," tegas Dr. Noraziah.

Rawatan

Dr. Noraziah menjelaskan bentuk rawatan yang diberikan bergantung kepada kedudukan dan juga jenis ketuat.

"Ada yang leper, ada juga yang bertangkai. Jika ketuat kecil tunggal, lama-kelamaan akan hilang sendiri.

"Untuk ketuat yang tidak hilang, terdapat beberapa cara rawatan termasuk krim tertentu, pembedahan dan juga laser."

Beliau menerangkan kaedah pembekuan ketuat dan pembedahan menggunakan jarum elektrik menjadi antara kaedah rawatan paling biasa digunakan. Asid salasilik pula menjadi antara pilihan mudah bagi pesakit yang tidak mahu berjumpa doktor.

"Ramai penghidap ketuat bermula dengan rawatan sendiri. Bila sudah merebak teruk barulah mereka akan datang mendapatkan rawatan dari doktor," ujar Dr. Noraziah.

Katanya, ketuat di muka menjadi contoh jenis yang mudah merebak, terutamanya jika terluka ketika bercukur.

Selain pembekuan dan jarum elektrik, terdapat kaedah lain untuk merawat ketuat. Ini termasuk Cantharidin, pembedahan laser, immunoterapi, Bleomycin dan retinoid yang dipilih mengikut keperluan dan kesesuaian keadaan.

"Rawatan mungkin perlu diulang beberapa kali sebelum pesakit pulih sepenuhnya.

"Kos rawatan juga cuma sekitar beberapa ratus ringgit, tetapi mungkin mencecah ribuan ringgit untuk kaedah rawatan laser," jelasnya.

Dr. Noraziah bagaimanapun menekankan perkara yang paling penting adalah untuk tidak memburukkan keadaan dan menyebarkan jangkitan virus HPV itu.

"Jangan dikacau ketuat yang timbul. Walau apa jenis sekalipun, jangan dikutil atau ia akan merebak ke seluruh badan!"

sumber

0 comments

Post a Comment