MagzNetwork

Assalamu'alaikum Wr. Wb.

Sebagaimana kita ketahui jintan hitam itu disebut dalam bahasa Arab adalah habbatasaudah . yang ingin ana tanyakan adalah jintan yang untuk bumbu itu (bentuknya seperti gabah , kecil, warna kecoklatan) apakah sama khasiatnya dengan jintan hitam?

Untuk jintan hitam sendiri bagaimana cara Rasulullah memprosesnya , apakah diseduh, direbus , dimakan langsung atau digiling baru diminum , mohon petunjuknya. Syukran

Wassalam.


JAWAPAN

Jintan ada beberapa jenis, antara jintan hitam (habbatussauda) dengan jintan putih yang biasa digunakan untuk bumbu masak memang berbeza. Nama latin dari habbtussauda adalah Nigella Sativa, berasal dari kelas Magnoliopsida, ordo Ranunculales, family Ranunculaceae, Genus Nigella. Sedangkan jintan putih atau dalam bahasa latinnya Cuminum Cyminum berasal dari kelas Magnoliopsida, Ordo Apiales, Famili Apiaceae, Genus Cuminum.

Kedua jenis jintan ini mempunyai kandungan yang berbeza, sehingga khasiatnya tentu berbeza pula. Jintan putih atau jintan atau cumin biasa digunakan untuk bumbu masak dengan aroma yang kuat dan rasa pedas.

Habbatussauda banyak dikenal dengan berbagai nama, antaranya black seed, black caraway, natura seed, jintan hitam, black cumin, nigella sativa, kaluduru, dll. Digunakan sebagai herba pengubatan sejak 2000-3000 tahun sebelum Masehi dan tercatat dalam banyak literatur kuno mengenai ahli pengubatan terdahulu seperti Ibnu Sina (980 - 1037 M), dan Al-Biruni (973-1048 M), Al-Antiki, Ibnu Qayyim dan Al-Baghdadi. Ibnu Sina adalah peneliti genius dari Timur Tengah di bidang pengubatan yang namanya tercatat di semua buku sejarah pengobatan timur maupun barat, hidup antara 980 - 1037 M, telah meneliti berbagai manfaat Habbatussauda untuk kesihatan dan pengubatan. Ahli pengubatan Yunani kuno, Dioscoredes, pada abad pertama Masehi juga telah mencatat manfaat habbatussauda untuk mengubati sakit kepala dan saluran pernafasan.

Habbatussauda untuk pengobatan biasa digunakan dalam bentuk minyak, ekstrak dan serbuk. Adapun Rasululloh SAW mengkonsumsi habbatussauda yang dicampur dalam makanan dan dalam bentuk minyak. Allohu’alam bisshowab.

Wassalam.

sumber






Benarkah ada 'buatan orang'?
Badan lenguh-lenguh, apakah itu buatan orang?
Bagaimana perawat/ bomoh tahu seseorang itu terkena buatan orang?
Pentingkah untuk kita tahu yang kita terkena buatan orang atau tidak?
Bagaimana untuk mengelakkan daripada terkena buatan orang?



Isteri asyik melawan cakap suami. Bagaimana menundukkannya?...

Pernah Nampak Hantu?

Posted by Alexanderwathern | 2:16 PM | , | 0 comments »

Pernah tengok hantu dengan mata sendiri?

Ketika saya masih di sekolah rendah, pada suatu malam saya bersama-sama dua orang sahabat berjalan kaki ke pasar malam. Jaraknya lebih kurang setengah kilometer dari rumah saya. Kami mengambil jalan dalam yang gelap gelita kerana dekat sedikit. Panjang lorong itu lebih kurang 200 meter.

Hampir 2 per 3 lorong, kedua-dua orang teman saya berhenti secara tiba-tiba. Kata salah seorang, “Oih Abu, apa tu?” sambil tangannya menunjuk jauh ke hadapan. Saya masih juga meneruskan langkahan kerana belum nampak apa-apa. Maklumlah, mata saya sudah mulai rabun jauh walaupun tidak teruk ketika itu, jadi tak pakailah cermin mata.

Kemudian barulah saya nampak! Ada sesuatu berwarna putih seperti orang bertelekung sedang ‘berlari-lari’ ke kiri kanan jalan! Tangannya didepangkan seolah-olah menghalang laluan kami. Apa lagi, “Blahhh!” Kami bertiga memecut bak kereta Formula 1.

Sampai sekarang saya masih tertanya-tanya, apa bendanya yang kami nampak itu...

Kejadian kedua ketika saya sudah bersekolah menengah. Ketika kami sekeluarga sedang menonton televisyen dalam keadaan lampu ruang tamu dipadamkan, saya terperasan ada satu lembaga putih tinggi besar dari lantai hingga ke bumbung. Tingginya dalam dua belas kaki dan bentuknya macam batu nisan. Apabila saya merenung lama-lama ke arahnya, lembaga itu beransur-ansur menghilang.

Yang ini pun saya tak tahu apa dia.

Sebelum itu, ketika menonton juga, saya ternampak kelibat seseorang berjalan laju dari ruang tamu menuju ke dapur. Hitam saja bayangannya. Saya pun bangun dan menuju ke dapur juga kerana menyangkakan lembaga itu ialah ibu saya. Tiba-tiba anggota keluarga yang lain menegur, “Nak ke mana tu?” termasuklah ibu saya! “Eh, ingatkan mak tadi yang pergi ke dapur!” kata saya. “Mana ada orang ke dapur.”

Siapa yang saya nampak tadi?

Kejadian lain, kali ini memang sah saya nampak satu jin yang dikenali dalam kalangan orang Melayu sebagai toyol. Saya tidur dalam salah satu bilik di rumah mertua bersama-sama isteri dan anak kecil. Pada waktu malam tiba-tiba saya terjaga dan terus duduk berlunjur. Ketika itu juga seorang bayi kecil bogel melompat kaki saya dari arah kiri ke kanan menuju ke tingkap. Yang peliknya selepas itu saya terus menyambung tidur.

Esoknya baru saya termenung sendiri. Memang saya nampak budak kecil itu dengan mata sendiri dan dalam keadaan sedar. Penampilan tubuhnya hitam putih macam filem dulu-dulu.

Datanglah seorang kenalan. Semalamnya dia dan adik ipar saya melakukan tugas-tugas bancian di beberapa buah kampung. Terkeluar cerita mereka buat bancian di rumah seseorang yang disyaki membela toyol. Saya pun terus menceritakan pengalaman saya pada malam semalam.

Kenalan itu terus mengesahkan lembaga itu memang toyol. Rupa-rupanya toyol itu ikut balik, ataupun melawat orang-orang yang melawatnya. Nasib baik dia tak curi apa-apa. Kenalan itu memberitahu yang pada malam itu juga dia terjaga dan ternampak satu toyol sedang menggigit kakinya. Kemudian toyol itu menghilang.

Inilah satu-satunya pengalaman saya melihat hantu dengan mata kepala secara terus.

Abu Zulfiqar

7 Disember 2009


Toyol?

Bayi Tidak Mahu Menyusu

Posted by Alexanderwathern | 1:37 PM | | 0 comments »

Ketika Syeikh Wahid Abdus Salam Bali berkunjung ke rumah salah seorang kaum kerabatnya, ada seorang bayi yang enggan menyusu sejak beberapa hari. Dia mendapatkan bayi itu lalu meruqyahnya dengan mu'awwizat dan beberapa doa. Kemudian elok saja bayi itu kembali menyusu.

Berdasarkan cerita ini, sekiranya bayi kita tiba-tiba enggan menyusu, bacakanlah apa-apa ayat Quran dan doa. Mungkin bayi kita terkena gangguan.


* Sumber cerita- "Sihir dan Guna-guna" karya Wahid Abdus Salam Bali, Pustaka Ilmi.

Pengalaman Hampir Kerasukan

Posted by Alexanderwathern | 1:30 PM | , , | 0 comments »

Peristiwa ini berlaku belasan tahun lalu. Ketika itu saya boleh dikatakan hampir-hampir ‘zero’ tentang hal ehwal jin dan rawatan. 3-4 tahun selepas itu barulah saya terfikir semula akan kejadian ini dan kaitannya dengan gangguan jin.

Kami tinggal serumah lebih 20 orang. Dalam ramai-ramai itu, ada seorang teman yang mengakui dirinya ‘berkawan’ dengan seorang ‘puteri’. Puteri ini mula berdamping dengannya ketika dia mandi di tepi laut pada waktu senja. Sejak itu si puteri menemaninya ke mana sahaja.

Pada bulan Ramadhan, kami sering ke pasar ramadhan. Kata teman kami ini, si puteri selalu membisik-bisik kepadanya supaya membeli kuih itu kuih ini. Teman kami ini juga pernah ditahan oleh puluhan orang (kawan-kawan kami juga) kerana tidak puas hati dengannya dalam hal tertentu. Hampir-hampir terjadi pergaduhan tapi nasib baiklah tak jadi. Namun dakwanya dia langsung tidak berasa gentar kerana dia ada ‘kawan’. Begitulah selesanya dia berkawan dengan si puteri.

Pada suatu malam, salah seorang kawan kami membaca surah Yaasin. Teman yang bergandingan dengan jin ini memarahi kawan kami yang membaca Yaasin. Kalau nak baca boleh, tapi baca dengan suara yang perlahan. Katanya, sang puteri tak suka.

Walaupun ketika itu saya masih ‘zero’, tapi saya sudah mengagak bahawa puteri itu tak lain ialah jin wanita. Saya berasa tidak senang hati dengan kejadian itu lalu mula memprotes sang puteri melalui teman kami yang didampinginya itu. Kalau puteri itu jenis beriman, tak mungkin dia membenci bacaan surah Yaasin.

Saya cadangkan teman kami itu membuang saja puteri yang mendampinginya, tapi nampaknya dia sudah selesa berdamping dengan sang puteri. Menurutnya lagi, sudah beberapa kali dia pergi berubat di Darussyifa’ tetapi tidak berjaya membuangnya. Akhirnya, dia biarkan saja dan tak mahu berikhtiar lagi.

Rupa-rupanya protes saya itu membuatkan tuan puteri bengang. Pada waktu tengah malam, kebanyakan kami sudah merebahkan badan di tempat pembaringan termasuklah saya. Tiba-tiba saya berasa marah yang amat sangat, tapi tak tahu apa puncanya. Saya tidak tahu marah kepada siapa dan kerana apa. Saya rasa seperti hendak melepaskan kemarahan saya itu kepada seseorang ataupun sesuatu. Saya mahu menjerit, mahu menendang barang-barang dan mahu memukul seseorang.

Kemarahan luar biasa ini membuatkan saya bingkas bangun, berdiri dan mula hendak menjerit serta memukul orang. Dengan izin Tuhan, dalam keadaan minda berkecamuk sebegitu, saya lawan perasaan saya. Saya lepaskan jeritan di dalam hati lalu melarikan diri ke luar rumah, ke beranda tingkat atas. Kebetulan salah satu pintu bilik kami menuju ke beranda dan dibiarkan terbuka.

Dalam keadaan badan menggeletar, saya duduk bersila di tengah-tengah beranda. Kalau marah, kita tawarkan dengan duduk, tak cukup lagi, kita berbaring. Begitulah petua yang sempat saya ingat ketika itu. Ternyata petua ini memang berkesan. Perasaan untuk memaki dan memukul mulai reda walaupun hati masih marah berapi-api. Nafas yang mendengus-dengus bagai kerbau hendak berlaga berjaya saya atur semula. Akhirnya saya kembali tenang, tapi perasaan marahkan sesuatu masih belum hilang sepenuhnya.

Ketika itu secara tiba-tiba teman kami yang berdamping dengan si puteri itu datang kepada saya dan bertanya: “Kenapa ni?” Pelikkan? Tadi dia sudah pun berbaring. Bagaimana dia boleh tahu yang saya sedang ada masalah? Sudahlah tegah malam lampu pun semua sudah ditutup. Saya pun memberitahunya yang saya tiba-tiba berasa sangat marah tetapi tak tahu kerana apa. Dia pun berlalu dan menyambung pembaringannya.

3-4 TAHUN KEMUDIAN

Barulah saya tahu, sebenarnya puteri (entah-entah jin kebanyakan, tapi menyamar sebagai puteri) itu cuba merasuk saya. Jika saya tidak berjaya mengawal diri pada malam itu, saya akan jadi histeria. Begitulah antara perasaan orang yang kita lihat kena histeria. Oleh itu, sesiapa yang secara tiba-tiba berasa marah tak ‘memasal’ berusahalah mengawal diri. Duduk ataupun berbaring. Kalau dapat ambil air sembahyang lagi baik. Bacalah apa-apa zikir yang terlintas di fikiran.

Patutlah teman kami itu boleh tahu masalah yang sedang saya hadapi walaupun ketika itu sudah tengah malam dan lampu tertutup. Rupa-rupanya ‘kekasih’ dia yang buat hal. Sudah belasan tahun juga tidak terjumpa teman kami itu. Tapi kalau sekarang tuan puteri itu buat hal, saya ‘zas’ dia cukup-cukup, insyaallah : )


Abu Zulfiqar

2 Disember 2009

Terkena Buatan Orang atau Tidak?

Posted by Alexanderwathern | 5:58 PM | , , | 0 comments »

PERTANYAAN:

Assalamualaikum..

Saya ada seorang kawan perempuan. Keluarga dia amat percayakan bomoh. Ada satu ketika, kawan saya mengadu lenguh2 badan dan apabila dibawa pergi jumpa bomoh, bomoh tu cakap yang kawan saya ni terkena buatan orang.. katanya melalui makanan. 2-3 orang bomoh jugalah kata begitu.

Masalahnya, kawan saya ini tidaklah menunjukkan tanda2 kena buatan orang selain lenguh2 yang tak ketara tu.. dia sendiri pun konfius dan pening dengan dakwaan bomoh2 tu. Persoalan saya, macam mana kita nak pastikan betul atau tidak sakit yang menimpa itu disebabkan buatan orang? Sekarang amat sukar mencari bomoh yang ikhlas dalam mendiagnosis pesakit... Tapi untuk kita menafikan kewujudan buatan orang pun tak boleh juga kan... jadi orang-orang biasa macam kami ni terperangkap tentang kesahihan dakwaan sesetengah bomoh... Nak percaya nampak macam tak betul... tak nak percaya takut kita yang tak cukup ilmu... harap Tuan boleh membantu....

Terima Kasih


PANDANGAN:

Waalaikumsalam, bertemu lagi.

Ada beberapa hal yang perlu saya jelaskan. Saya jawab dalam bentuk ‘point’ sajalah ye, mudah sikit hendak memaham.

1. Saya tidak ada kebolehan/ ilmu untuk mengetahui sama ada seseorang itu terkena buatan/ khianat orang ataupun tidak.

2. ‘Terkena buatan orang’ memang boleh berlaku. Maksudnya ada (memang wujud) ilmu-ilmu tertentu untuk mengenakan orang lain.

3. Terkena buatan orang melalui makanan biasanya berkaitan dengan santau.

4. Lenguh-lenguh badan juga ada kalanya akibat buatan orang. Tapi lenguh-lenguh badan yang biasa berlaku ialah akibat masalah kesihatan dalaman ataupun gangguan jin/ syaitan.

5. Banyak perawat yang temberang. Mereka akan mengatakan kita terkena buatan orang untuk melahirkan rasa ketakutan kita, dan kebergantungan kita kepadanya. Dengan itu lebih mudah untuk dia buat duit, ambil kesempatan dan sebagainya. Jadi berhati-hatilah.

6. Bagaimana cara seseorang perawat tahu pesakitnya terkena buatan orang?

i) Melalui petunjuk/ ilham dari Tuhan. Sandarannya agak kukuh, tapi jarang berlaku. Ada juga yang tidak mendapat petunjuk tetapi mengaku dapat. Ada pula yang mendapat petunjuk dari syaitan tetapi difikirkannya petunjuk dari Tuhan.

ii) Melalui pengalamannya merawat kes yang simptomnya lebih kurang sama sebelum ini. Jadi perawat mengagak-agak. Sandarannya tidak kukuh.

iii) Melalui jin-jin yang boleh dihubungi oleh perawat. Jin-jin ini akan mendapatkan maklumat daripada jin-jin lain lalu menyampaikannya kepada perawat. Sandarannya lemah kerana mungkin terjadi kekurangan maklumat ataupun penipuan oleh jin-jin.

iv) Perawat tak tahu pun. Sengaja dia menipu kita.

7.Tak berapa penting untuk tahu sama ada kita dibuat orang ataupun tidak. Yang paling penting ialah merawat masalah yang dihadapi dan membina benteng diri. Jadi kita utamakan yang paling penting itulah. Jika kita berikhtiar mendapatkan rawatan/ merawat sendiri insyaallah masalah itu akan hilang. Dan jika kita berikhtiar mengukuhkan benteng diri, insyaallah kita akan selamat sama ada dibuat orang ataupun tidak. Ringkasnya, berusaha untuk mengetahui sama ada kita dibuat orang ataupun tidak, tidak membantu kita.

8. Tugas utama perawat ialah untuk memulihkan sakit kita dan membantu kita membina benteng diri, bukannya memberitahu sama ada kita terkena buatan orang ataupun tidak. Secara peribadi, saya kurang nampak faedah untuk tahu perkara tersebut.

Kesimpulannya, saya sarankan anda nasihatkan teman anda agar berikhtiar memulihkan sakit lenguhnya dan membina benteng diri yang kukuh. Tak perlu ambil tahu sama ada kita dibuat orang ataupun tidak. Dalam banyak kes, ramalan si bomoh melahirkan permusuhan antara pesakit dengan orang lain. Maklumlah, selepas diberitahu yang kita terkena buatan orang, kita pun mulalah syak orang itu orang ini.

Dan saya ada satu amalan ringkas tapi begitu berkesan. Setiap hari selitkan doa ini dalam doa-doa harian kita. Guna bahasa Melayu saja sudah cukup.

“Ya Allah, Engkau patah balikkanlah segala rancangan jahat makhluk-makhluk yang berniat jahat kepada aku/ kami, kepada diri mereka sendiri dengan segera.”

Dengan doa ini sebagai ikhtiar kita, insyaallah kemungkinan untuk kita terkena buatan orang adalah kecil.

Wallahualam.


Abu Zulfiqar

5 Disember 2009

Amalan Perisai Ghaib

Posted by Alexanderwathern | 10:48 PM | | 0 comments »




SUNGGUHPUN pemergian vokalis nasyid bersuara 'emas', Muhammad Asri Ibrahim sudah tiga bulan berlalu, namun terasa seperti baru semalam berlaku.

Saat berita kembalinya ikon kumpulan nasyid ini ke rahmatullah, dunia dakwah tanah air terpaku seketika. Pada 13 Ogos lalu, Allahyarham rebah sewaktu menjalani rakaman di Radio Televisyen Malaysia (RTM), sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 11.15 pagi.

Perginya pahlawan nasyid yang diibaratkan sebutir permata ini di saat umat Islam sedang menanti-nantikan bulan penuh keberkatan dan keistimewaan iaitu Ramadan al-Mubarak.

Muhammad Asri atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Asri pergi mengadap Ilahi pada usia 40 tahun. Allahyarham hakikatnya bukan sekadar penghibur yang turut mewarnai dunia seni tanah air malah merupakan pendakwah yang menyampaikan mesej Islam menerusi genre nasyid kontemporari.

Malah kejayaan dan pengiktirafan yang diperoleh Allahyarham bersama kumpulan Rabbani dalam tempoh lebih 12 tahun, berjaya menghasilkan sebanyak 19 buah album seperti Arah Dari Mana Ke Mana (1997), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000), Yalla Beena (2004) dan yang terbaru, Nostalgia Nada Murni.

Ini tidak termasuk album solo Allahyarham mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran serta rakaman berbentuk cakera padat (CD) dan kaset rintihan zikir dan munajat.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, pendakwah kesayangan ramai ini memiliki posisi yang mencakupi pelbagai sudut... Seorang hamba Allah, seorang anak, seorang suami, seorang bapa, seorang pendakwah, seorang penggiat seni, seorang pahlawan nasyid dan seorang ahli perniagaan.

Terkini, Hijjaz Records Sdn. Bhd. (HRSB) menghasilkan album berjudul, Amalan Perisai Ghaib merupakan buah tangan istimewa daripada Allahyarham Ustaz Asri yang sempat dirakamkan arwah sebelum kembali ke rahmatullah.

Sekurang-kurangnya, album yang telah berada di pasaran pada akhir Oktober lalu ini dapat mengubati rindu di hati peminat-peminat seni nasyid tanah air kepada insan tersohor ini.

Sememangnya album berbentuk zikir dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran adalah tidak asing dan sinonim dengan Allahyarham. Malah album-album sebegini mempunyai pengikutnya yang tersendiri, apa lagi yang mengalunkan itu adalah suara lunak daripada Allahyarham sendiri.

Album Amalan Perisai Ghaib ini menghimpunkan 24 amalan para ulama dan wali yang muktabar. Antara amalan-amalan tersebut ialah; Amalan Saidina Abu Hurairah: Untuk Kekuatan Jiwa, Amalan Saidina Saad Ibnu Abi Waqqas: Menghilangkan Kegerunan, Amalan Sheikh Abd. Qadir Al-Jailani: Memusnahkan Permainan Syaitan, Amalan Habib Nuh: Untuk Ketenangan Hati, Amalan Tokku Paloh: Meleraikan Segala Kesulitan, Amalan Tok Kenali: Hindari Ketakutan dan Amalan Mat Kilau: Wajah Tidak Dimamah Usia.

Kesemua amalan ini adalah benar-benar diperlukan oleh masyarakat kini bagi menguatkan kekuatan rohani dan memelihara diri daripada segala kesulitan hidup, dengan izin Allah SWT. Malah ia telah terbukti keberkesanannya.

Album ini boleh didapati di pasaran dengan harga RM19.90. Bagi peminat-peminat nasyid, khususnya peminat Allahyarham Ustaz Asri, segeralah miliki album ini sebagai tanda kenang-kenangan. Al-Fatihah.

sumber


*Ikhtiar Muslim menasihatkan agar diminta terlebih dahulu pandangan para ulama atau mereka yang ahli sebelum mengamalkan apa-apa amalan daripada album ini. Nama-nama tokoh yang dinisbahkan dengan amalan-amalan itu bukan sandaran untuk mensahihkan/ mengharuskan amalan-amalan itu. Wallahualam.


KAEDAH menggunakan rawatan ulat daripada lalat bermula sejak Perang Dunia Pertama.


SEKARANG saya boleh buat kerja lasak dan berjalan. Mungkin terapi ini membantu saya,” ujar seorang pesakit diabetes, Farawahida Mohamad Yusof, 44.

Bagi sebahagian masyarakat ulat adalah sesuatu yang menggelikan.

Namun, terapi ulat atau Maggot Debridement Therapy (MDT) ini perlu dikongsi sebagai sumber maklumat pesakit-pesakit kencing manis yang mempunyai luka-luka yang sukar sembuh di luar sana.

Terdapat empat asas terapi ulat ini, ia membersihkan luka, membasmi kuman, merangsang penyembuhan luka, merosak dan menghalang pembuatan biofilem.

Seperti kes Farawahida, dia mengalami luka yang teruk sebelum melakukan rawatan ulat.

Lukanya berair dan lembap. Farawahida sukar bergerak dan selepas pembedahan, dia banyak bergerak menggunakan kerusi roda.

Berbekalkan sedikit duit, dia mencuba nasib dengan melakukan rawatan ulat di sebuah klinik swasta di Jalan Tenggiri, Seksyen 17, Shah Alam, Selangor.

Selepas mencuba rawatan untuk pertama kali, lukanya semakin kering.

“Selepas dua hari, anak saya pimpin ke klinik. Banyak ulat keluar. Pada awal rawatan, saya berasa geli juga. Seolah-olah ada benda bergerak. Tetapi melihat hasilnya, saya yakinulat ini boleh menyembuhkan luka selain menggunakan rawatan lain seperti ubat dan sebagainya,” jelas ibu kepada empat orang anak ini.

Menurut Ketua Unit Entomologi Perubatan Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr. Lee Han Lim, penggunaan ‘ulat lalat’ di Malaysia untuk tujuan perubatan adalah yang pertama setakat ini.

“Kajian mengenai kaedah ini telah dijalankan oleh IMR. Spesies ulat lalat yang digunakan itu adalah dari jenis Lucilia cuprina iaitu lalat tempatan, manakala di negara-negara Barat, spesies yang digunakan dikenali sebagai Lucilia sericata. Kedua-dua spesies ini telah dikenal pasti berkesan dalam merawat luka kronik yang sukar sembuh.

IMR telah membuat kajian mengenai ulat lalat ini dan menemui satu spesies berlainan dengan yang terdapat di Eropah, ia dikenali sebagai Lucilia cuprina yang dapat memainkan peranan dalam menyembuhkan luka”, ujar beliau.

Tambah Dr. Han Lim, penyelidikan ini telah menerima peruntukan daripada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi pada tahun 2002. Pada mulanya kami mengenal pasti jenis lalat yang sesuai yang boleh diguna untuk terapi ini.

Bukan semua jenis lalat boleh digunakan. Spesies lalat yang hanya akan memakan tisu yang nekrotik (reput) boleh diguna. Ada sesetengah spesies yang memakan tisu hidup. Apabila tisu hidup diserang fenomena ini dinamakan sebagai myiasis. Spesies seperti ini tidak sekali boleh diguna untuk rawatan ini.

Selepas kita sudah kenal pasti lalat, kemudian kita kena biarkan lalat itu membiak dalam makmal dengan menggunakan bahan yang sesuai untuk dapatkan pembiakan yang optimum. Ini juga merupakan salah satu aspek penyelidikan kerana bermacam-macam bahan telah diguna untuk mendapat hasil yang terbaik,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik IMR, Dr. Nazni Wasi Ahmad, berkata, spesies lalat yang digunakan di Malaysia ialah spesies Lucilia cuprina manakala di barat ialah Lucilia sericata.

“Spesies lalat ini boleh hidup di negara beriklim sederhana sahaja. Teknik mensterilkan larva yang merupakan teknik yang penting adalah berbeza dari luar negara. Objektifnya adalah sama iaitu membasmikan kuman-kuman yang ada pada ulat lalat. yang membezakan kuman-kuman di ulat dan juga kaedah mengklon lalat,” katanya. Ulat lalat yang digunakan terhadap pesakit mesti melalui proses pensterilan iaitu tidak ada kuman pada ulat lalat ini

Dr. Nazni menambah, terapi ini telah diamal di Malaysia sejak tahun 2003 apabila mendapat peruntukan daripada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi.

Tambah beliau, pada Mei 2003, percubaan klinikal yang pertama dijalankan di Hospital Tentera di Lumut.

“Terapi ini baru bermula di Malaysia kerana kita perlu mengkaji banyak isu-isu pengunaan terapi ini sebelum boleh digunakan kepada pesakit. Kelulusan etika perubatan adalah sangat penting sebelum ia dilaksana kepada pesakit,” katanya.

Dr. Nazni menambah, proses mendapatkan larva yang steril mengambil masa dua hari. Penyakit-penyakit yang boleh menggunakan terapi ulat ialah ulser yang disebabkan kencing manis (diabetes), bedsore ulcer, pressure wound dan ulser disebabkan kanser.

“Disebabkan ulat (daripada lalat) telah disteril, ia selamat diguna. Mekanisme tindak balas ulat terhadap tisu yang dicadang ialah ulat merembes sejenis enzim proteolitik yang mencairkan tisu-tisu nekrotik, faktor ulat menginges (memakan) tisu-tisu reput dan kehadiran ulat pada luka mempengaruhi pembasmian bakteria daripada luka-luka.

Selain itu, rembesan cecair daripada ulat menukar pH luka, bakteria yang dimakan oleh ulat biasanya dimusnahkan dalam saluran perut, rembesan cecair daripada ulat mempengaruhi penyembuhan luka sembuh dengan pantas dan tindak balas pergerakan ulat di atas luka menyebabkan stimulasi pembentukan tisu baru,” katanya.

Dr. Nazni memberitahu, ulat ini bebas daripada kuman. Penggunaan terapi ulat telah menunjukkan bahawa ulat lalat boleh membersihkan luka daripada bakteria jenis Gram- positif dan Gram- negatif, bakteria jenis aerobik dan anaerobik.

“Ulat lalat biasanya dengan pantas dapat membersihkan tisu-tisu nekrotik dan membolehkan terbentuknya tisu baru yang sihat. Malahan faktor yang paling utama ialah ulat dapat digunakan dengan mudah ke atas tisu-tisu yang parah” ujarnya.

Ditanya adakah rawatan ini menggelikan pesakit, Dr. Nazni menjelaskan, setakat ini pesakit memang setuju dan tiada reaksi sebaliknya dengan penggunaan terapi ulat.

“ Lebih-lebih lagi mereka inginkan terapi ini daripada kaki mereka dipotong. Kita harus menyedari bahawa kos bagi insan yang kehilangan sebahagian anggota badan mereka tidak mungkin dapat dinilai. Ini adalah kos sosial misalnya, insan-insan yang tidak mempunyai kaki akan menjadi beban kepada keluarga dan negara. Ini secara tidak langsung mempengaruhi ekonomi negara,” jelasnya.

Merawat luka kronik

Dalam pada itu, Pengurus Edaran Arif Medik Sdn. Bhd., Mohd. Ashraf Kamarul Zaman, yang juga pengurus projek Maggot Debridement Therapy berkata, syarikat Medical Biotheraphy Sdn. Bhd., anak syarikat Edaran Arif Medik, telah pun mendapat hak eksklusif daripada IMR untuk memasarkan ulat-ulat tersebut bermula Disember 2008 di negara ini.

Kini ia dipasarkan di hospital, klinik dan pusat yang berdaftar.

Mohd Ashraf memberitahu, ulat lalat ini mampu membantu merawat luka kronik yang dialami oleh manusia.

Contohnya pesakit diabetes apabila mempunyai luka yang kecil mudah merebak, membesar dan payah untuk sembuh.

Kesukaran pesakit diabetik sembuh daripada luka pula adalah disebabkan terdapatnya tisu mati yang menyebabkan peredaran darah menjadi terbantut dan jangkitan senang berlaku,” katanya.

Ulat-ulat berkenaan berfungsi dengan memakan tisu yang sudah mati dan apabila menjumpai tisu yang hidup ulat-ulat itu akan berhenti daripada memakan bahagian tersebut.

Namun, proses untuk menyembuhkan luka pesakit bergantung kepada tahap teruk luka yang dialami pesakit.

“Kalau luka di peringkat awal, ada tisu mati, kita letak ulat (larva) ini selama 48 jam, iaitu hanya sekali penggunaan. Maksudnya jika kita letak ulat itu hari ini, lusa baru kita akan buka (balutan).

Penggunaan ulat ini dalam penyucian luka memang bagus kerana ulat lalat ini mempunyai enzim yang mampu untuk mempercepatkan penumbuhan tisu,” jelasnya.

Mohd Ashraf menjelaskan, selain penggunaan ulat lalat ini bukan sahaja tertumpu pada pesakit kencing manis. Ia juga penawar untuk luka-luka lain seperti luka akibat kemalangan, kebakaran dan seumpama.

Kaedah rawatan ulat ini tidak boleh digunakan bagi mereka yang baru mengalami luka dalam kemalangan, cuma bagi pesakit yang mempunyai tisu yang mati sahaja.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulat lalat ini bolehlah menghubungi Edaran Arif Medik di talian 03-61891042 ataupun melayari laman web Http://sterilarvae.com.

sumber

Minyak Angin Membikin Gagah

Posted by Alexanderwathern | 10:57 AM | , | 1 comments »

SITUASI


Penjual mendakwa minyak angin yang dijualnya mampu menguatkan urat-urat dan otot-otot. Sesiapa yang sering mengalami sakit-sakit pinggang, lenguh-lenguh badan dan bekerja kuat sangat sesuai menggunakan minyak angin ajaib yang dijualnya. Seperti biasa, ada demonstrasi.


Penjual memanggil seorang anak kecil berusia sekitar tujuh tahun. Budak itu diminta duduk bertinggung. Kemudian si penjual yang berat badannya lebih kurang 90 kilogram duduk di atas bahu dan tengkuk si budak. Apa lagi, terhoyong-hayanglah si budak kerana menanggung beban yang begitu berat, tak sepadan dengan tubuhnya yang kecil. Para penonton tertawa melihat situasi itu.


Seterusnya si penjual meminta budak tadi berdiri. Baju di budak diselak di bahagian belakang lalu penjual menyapu minyak angin ajaib. Minyak angin turut dilumurkan ke bahagian betis si budak. Oleh kerana si budak memakai seluar pendek, bahagian pahanya juga diminyaki dan diurut-urut seketika. Selesai sesi berminyak, para penonton diminta tunggu selama dua minit dengan alasan supaya minyak angin tadi meresap ke dalam pinggang dan kaki si budak. Sambil itu penjual terus bercerita tentang kehebatan minyak ajaib yang dijualnya.


Tempoh dua minit tamat. Budak kecil tadi diminta bertinggung semula. Penjual naik ke atas lehernya. “Bangun!” kata penjual. Menakjubkan! Budak berusia tujuh tahun itu berjaya mengangkat si penjual yang beratnya lebih kurang 90 kilogram dengan selambanya. Hampir seminit budak itu berdiri tegak, barulah penjual mengarahkan budak itu menurunkannya.


Apa lagi, berebutlah penonton membeli minyak berharga RM 10 itu. Berpuluh-puluh botol berjaya dijual.


PENDEDAHAN


Saya suka mencari kaedah yang digunakan para penjual dan ahli silap mata. Ia satu cabaran yang menyeronokkan. Tapi dalam demo di atas yang saya tonton beberapa tahun yang lalu, saya gagal menemui rahsianya. Bagaimana dengan sapuan minyak angin boleh menguatkan tubuh seorang anak kecil hingga mampu mengangkat lelaki 90 kilogram di atas tengkuknya dengan mudah-mudah. Balik ke rumah pun masih terfikir-fikir lagi.


Beberapa hari kemudian saya berkesempatan berbual dengan seorang orang lama. Saya pun menceritakan pengalaman di pasar malam itu kepadanya. Belum pun cerita saya habis, mulutnya sudah bergerak-gerak tidak sabar hendak memberikan jawapan. Nampak jelas dia memang tahu jawapannya. Selesai saja ayat terakhir saya, dia terus menjawab ringkas tapi padat, “Hantu raya!”


Patutlah saya gagal mencari jawapannya, kawan guna ‘sahabat’. Jangan kata nak angkat, kalau disuruh budak itu bawa pusing pasar malam pun insyaallah boleh. Tapi biasanya jin itu tidak akan bertahan lama, dia menolong dalam masa yang singkat saja. Ringkasnya, kawan kita itu menggunakan jin.



Abu Zulfiqar

19 November 2009

Video- Kaum Kubu

Posted by Alexanderwathern | 10:52 AM | | 0 comments »



Suku Kubu ini terkenal dengan ilmu dunia mereka yang ampuh (dengan izin Allah). Mereka tinggal di pedalaman Jambi dan hingga kini masih banyak yang hidup secara tradisional. Sesiapa yang rajin membaca buku 'Siri Bercakap Dengan Jin' karya Tamar Jalis, tentu pernah terbaca tentang suku ini.

Dalam buku tersebut, datuk kepada pengarang mengakui kehebatan ilmu dunia kaum Kubu yang digunakan oleh tukang-tukang sihir tetapi datuknya pernah mempelajari cara-cara menawarkannya, juga daripada kaum Kubu sendiri.

Info Buasir 2

Posted by Alexanderwathern | 10:45 AM | , | 0 comments »

Buasir atau hemoroid adalah pembengkakan pada vena yang terletak di bahagian rektum dan dubur. Apabila vena ini membonjol keluar ia mengganggu dan menyebabkan membran di sekitarnya membengkak, terasa sakit, perit, gatal dan berdarah. Buasir terjadi disebabkan oleh terlalu tinggi tekanan dalam darah di bahagian rektum, menyebabkan dinding vena darah teregang atau 'memberi' dan membonjol. Kadangkala ia boleh pecah, terutamanya sewaktu meneran.

JENIS-JENIS BUASIR

Buasir dalaman

Lazimnya, buasir ini tidak terasa sakit dan gatal kerana ia terletak jauh ke dalam rektum. Buasir dalaman tidak merbahaya tetapi meneran dan gangguan dari laluan najis semasa membuang air besar boleh mencederakan permukaan buasir yang getas dan menyebabkannya berdarah. Anda akan terlihat titisan darah yang berwarna merah cerah pada kertas tisu atau di mangkuk tandas. Jika keadaan ini berlaku anda perlu mendapat bantuan perubatan, kerana darah tersebut mungkin datang dari sumber lain seperti ketumbuhan atau kanser kolorektum.

Buasir luaran

Buasir jenis inilah yang selalu kita dengar mengakibatkan gejala-gejala seperti sakit, pedih dan gatal di dubur. Jika buasir ini tersepit (bekalan darah akan terputus), bekuan darah akan terjadi di dalamnya menyebabkan ia terasa amat sakit. Gejala-gejala beginilah yang menyebabkan buasir jenis ini memerlukan perhatian dan rawatan perubatan. Apabila sahaja salur darah vena rektum teregang atau memberi dan terjadinya buasir adalah sukar untuk ia dibuang atau ditanggalkan sepenuhnya. Buasir ini akan berulang kembali walaupun dengan tekanan atau bebanan yang lebih ringan berbanding dengan yang dahulunya.

PENYEBAB UTAMA

  • Sentiasa duduk
  • Meneran (ketika najis keras atau sembelit)
  • Cirit-birit
  • Duduk mencangkung di dalam tandas terlalu lama
  • Batuk yang teruk
  • Bersalin
  • Mengangkat berat
PENCEGAHAN

Mengelak dari melakukan perkara-perkara di atas boleh mencegah anda dari buasir. Amalkan petua-petua berikut:

  • Jika pekerjaan anda memerlukan anda sentiasa duduk, sekali-sekala anda perlu bangun dan berjalan-jalan sekurang-kurangnya 5 minit setiap jam. Bergerak-geraklah di kerusi anda supaya dapat mengelakkan tekanan langsung dari rektum.
  • Hembuskan nafas keluar apabila anda ketegangan atau ketika mengangkat sesuatu. Jangan menahan nafas anda.
  • Dapatkan rawatan awal untuk mengawal batuk, cirit-birit dan sembelit anda kerana buasir selalunya terjadi selepas masalah ini berpanjangan.
  • Jadikan sebagai satu peraturan: Jangan membaca atau berehat-rehat di dalam tandas. Jika pergerakan usus anda mengambil masa lebih dari 3-5 minit, ada sesuatu yang tidak kena. Jika anda ingin menghindari diri dari buasir, amalkan tabiat membuang air besar yang baik. Pastikan najis anda sentiasa lembut.

Jika langkah-langkah ini gagal anda perlu bertindak segera. Sembelit merupakan satu keadaan di mana pada waktu pagi keadaannya adalah sederhana tetapi apabila menjelang malam ia boleh menjadi amat mengazabkan.

RAWATAN

Terlebih dahulu anda perlu mengenalpasti penyebabnya, kemudian jauhkan diri anda darinya. Tiada gunanya anda merawat buasir tersebut kemudiannya anda meneruskan semula amalan yang boleh mencetuskan semula keadaan ini. Apabila anda telah bertekad untuk menghapuskan faktor-faktor pencetus buasir, maka barulah anda boleh merawatnya. Terdapat dua matlamat untuk merawat buasir. Pertamanya menghentikan gejala atau simptom (sakit, pedih dan gatal). Keduanya ialah mengecutkan buasir tersebut.

Mandian Sitz (rendamkan bahagian rektum ke dalam air suam) untuk selama 15-20 minit, 3 hingga 4 kali sehari. Rawatan ini sangat mudah dan berkesan untuk mencapai kedua-dua matlamat di atas. Anda boleh membeli ubat krim buasir dan supositori untuk menghilangkan gangguan dan kesakitan tetapi ia tidak boleh mengecutkan buasir. Untuk mengecutkan buasir kepada saiz asalnya, pengubatan semasa adalah berguna. Cucikan seluruh bahagian rektum dengan air suam setiap kali anda membuang air besar dan gunakan julap serat pukal (bulk fibre laxative) untuk melembutkan najis. Ini boleh mengelak anda dari meneran semasa membuang air besar.

Kebanyakan orang mengambil ubat tambahan serat pukal ini setiap hari untuk mengelak dari buasir. Tetapi perlu diingat bahawa serat pukal ini mengambil masa beberapa hari untuk memberi kesan. Jika anda sedang menghidapi buasir dan membuang najis yang keras anda mungkin memerlukan ubat atau julap yang dapat melembutkan segera najis anda untuk mengelakkan anda dari meneran yang boleh memburukkan lagi buasir anda.

Bagi buasir yang tidak dapat disembuhkan dengan rawatan konsevatif, rawatan yang standard boleh dijalankan iaitu mengikat dengan lingkaran getah (rubber band ligation). Satu atau dua lingkaran getah diikat di sekeliling pangkal buasir. Ini akan menyekat peredaran darah ke buasir tersebut. Dalam masa 7 hingga 10 hari buasir tersebut akan tertanggal keluar. Ikatan lingkaran getah ini hanya digunakan untuk buasir dalaman sahaja. Ia dilakukan tanpa menggunakan ubat bius dan tidak menimbulkan kesakitan. Tetapi anda mungkin mengalami sedikit ketidakselesaan untuk beberapa hari.

Koagulasi Inframerah - sinaran inframerah dipancarkan selama satu atau dua saat untuk menghentikan bekalan darah ke buasir. Anda mungkin terasa bahang panas ketika prosedur ini dilakukan dan terdapat sedikit pendarahan berlaku dalam beberapa hari selepas itu. Prosedur ini sama juga seperti ikatan lingkaran getah, dilakukan hanya untuk buasir dalaman. Tetapi ia lebih cepat dan kurang menyebabkan jangkitan.

Elektrokoagulasi bipolar - Prosedur ini dikenali juga dengan nama Bicap, adalah sama seperti prosedur Koagulasi Inframerah dan ia mempunyai kebaikan dan keburukan yang sama.

Terapi laser - pancaran laser akan mengewapkan tisu buasir. Tetapi prosedur ini didapati lebih mahal dan tidak menunjukkan sebarang kelebihannya dari prosuder-prosedur lain. Ia perlu dijalankan dengan berhati-hati dari segi kedalaman dan lokasinya bagi mengelakkan pendarahan dan kesakitan kepada pesakit.

Pembedahan biasanya dilakukan sebagai langkah terakhir apabila kedua-dua jenis buasir tersebut menjadi semakin teruk dan rawatan-rawatan lain tidak berjaya menyembuhkannya. Kaedah ini didapati berkesan tetapi pesakit terpaksa tinggal di dalam hospital sehari dua dan mengambil masa yang agak lama untuk sembuh berbanding dengan pendekatan-pendekatan lain.

Rawatan yang agresif seperti yang dinyatakan di atas sepatutnya boleh menyembuhkan buasir dalam beberapa hari sahaja. Tetapi ia mungkin mengambil masa 2 - 4 minggu untuk pulih sepenuhnya. Jika tidak, anda perlu berjumpa doktor semula dan berbincang dengannya. Masalah-masalah perubatan penyakit keradangan usus atau jangkitan usus boleh menyerupai gejala-gejala buasir. Oleh itu, jika keadaan anda masih berterusan walaupun telah mendapat rawatan asasnya, anda perlu berjumpa doktor.

PENGURUSAN SENDIRI

  • Banyak meminum air sekurang-kurangnya 1.5 - 2 liter sehari
  • Makan makanan seimbang: banyakkan memakan makanan yang tinggi serat, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Gunakan tandas pada masa yang ditetapkan seperti selepas bangun tidur setelah meminum segelas besar air.
  • Elakkan dari memakan makanan yang boleh menyebabkan gangguan (makanan pedas atau berempah, alkohol) atau yang boleh merangsangkan usus (kopi atau teh).
  • Apabila terdapat gejala-gejala tertentu (seperti darah dalam najis,sakit atau gangguan pada dubur), berjumpalah doktor.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Buasir