MagzNetwork

Lokasi Rawatan Ikhtiar Muslim

Posted by Alexanderwathern | 10:50 PM | | 0 comments »

Ada yang berhajat untuk cuba berikhtiar dengan kaedah rawatan Ikhtiar Muslim, tetapi tidak tahu caranya. Orang dari jauh pun ada, dari dekat pun ada. Masalahnya, saya tidak berpeluang melapangkan waktu untuk menerima pengunjung.

Namun begitu, ada satu ruang waktu yang saya fikir mungkin sesuai. Saya akan cuba melapangkan waktu pada malam berkenaan. Jadi kepada sesiapa yang mahu mencuba (manalah tahu dengan izin Allah beroleh kesembuhan dan penyelesaian), bolehlah berkunjung ke Surau Sungai Nyior, Trong, Perak Darul Ridzuan pada setiap hari Ahad malam Isnin selepas solat fardhu Isyak selesai. Kebetulan selepas Maghrib saya mengajar kitab Kifaayatul Muhtaaj di situ. Saya tidak menjanjikan kesembuhan dan penyelesaian kepada masalah, tetapi boleh tolong mendoakan dan berikhtiar.

Umumnya tidak ada sebarang bayaran dikenakan, cuma mungkin anda kena membeli bahan-bahan tertentu di kedai ataupun mencarinya di mana-mana sekiranya berkaitan dengan masalah anda. Contohnya air mineral, daun kacang kelisa, garam kasar, limau purut, madu ataupun barang-barang lain. Itu pun jika perlu.

Saya tidaklah sehebat perawat-perawat lain yang mampu merawat pelbagai jenis penyakit dan menyelesaikan aneka masalah. Ilmu yang saya ada terbatas, maka ikhtiar dan perkhidmatan saya terhad kepada hal-hal di bawah sahaja.

1. MENGGUNAKAN BACAAN (QURAN & DOA) & BAHAN SEKELILING KITA:
(*dalam kurungan ialah bahan-bahan yang perlu dibawa)

- Gangguan jin dan sihir (air 2 botol, limau purut 9 biji)
- Pagar diri, kediaman dan tempat (air 1 botol, garam kasar 1 kilo, lada hitam 4 genggam)
- Penawar racun, gigitan, patukan dan sengatan (air 1 botol)
- Penerang hati (air mineral 1 botol)
- Lemah badan (air 1 botol)
- Santau ringan
- Terkena 'ain (air 2 botol, limau purut 9 biji)
- Sakit kepala (air 1 botol)
- Mati pucuk / terlalu lemah (masalah-masalah lain berkaitan tenaga batin, saya tidak ada ilmu)
- Resdung (air 1 botol)
- Mematikan susuk (untuk mengeluarkannya, saya tidak ada ilmu)

* Tiada bayaran dikenakan

2. TAFSIR MIMPI
* Tidak semua mimpi mampu saya ta'birkan. Tidak semua mimpi mampu diberikan tafsirannya ketika itu juga. Jawapannya mungkin akan diberitahu melalui SMS ataupun telefon kemudian.

* Tiada bayaran dikenakan

3. BERTUNGKU
- Lemah-lemah badan
- Sakit urat & otot
- Ditangkap sejuk

* Untuk lelaki sahaja.
* Kalau rajin, saya buat. Kalau tidak, 'cancel'... kerana memakan masa lama dan renyah hendak menyediakan alatan.

4. RAWATAN BEKAM:
- Darah tinggi
- Sakit kepala
- Lemah badan
- Ditangkap sejuk
- Sakit-sakit badan
- Sihir & gangguan jin

* Kaum wanita akan dibekam oleh isteri saya (tapi kena buat temujanji terlebih dahulu kerana dia tidak selalu ada).
* Terpaksa TIDAK PERCUMA - Kerana menggunakan alatan tertentu (jarum perubatan, sarung tangan getah, kertas tisu, penutup mulut, beg plastik, minyak angin... semua memerlukan modal), memakan masa dan bermain dengan darah kotoran. Namun bayaran perkhidmatannya masih antara yang termurah. Hanya RM 3 untuk 1 'cup' bekam darah, RM 1 untuk 1 'cup' bekam angin.

5. PEMBETULAN TULANG BELAKANG & SARAF

* Tiada bayaran dikenakan.
* Agak makan masa.

6. PERUBATAN HERBA
- Darah tinggi
- Kencing manis
- Ghout
- Resdung
- Lemah ingatan
- Kanser

* Akan menyarankan herba-herba yang sesuai dengan masalah anda. Kemudian carilah/ belilah di kedai ataupun di mana-mana yang ada.
* Beberapa jenis herba ada pada saya, tapi terpaksalah berbayar juga mengikut harga herba.
* Biasanya saya menggunakan herba-herba keluaran syarikat milik orang Islam seperti HPA, Rojam, herba-herba dari Langkawi dan lain-lain mengikut kesesuaian penyakit dan stok yang ada.
* Herba-herba ini akan diruqyah (dibacakan ayat Quran/ hadis/ doa) mengikut masalah yang dihadapi.

7. KESAN MASALAH KESIHATAN/ DIAGNOS MELALUI TANDA-TANDA DI TAPAK TANGAN
* Masalah pada tubuh kita sebahagian besarnya sudah menunjukkan tanda-tanda pada tapak tangan.
* Bukan tilik nasib, kerana tidak melibatkan ramalan, tenungan dan sebagainya.
* Tiada bayaran dikenakan.

8. URUTAN REFLEKSOLOGI (KAKI)

* Untuk masalah-masalah terpilih sahaja.

Perkara-perkara yang tidak saya senaraikan di atas, eloklah berjumpa dengan perawat lain. Bukan tak mahu diusahakan, tetapi berdasarkan pengalaman, kurang berjaya/ tidak berjaya.

Wallahu'alam.



* Bahagian ini akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa.

* Kampung Sungai Nyior terletak:
- 15 km dari pekan Trong
- 60 km dari Lumut & Manjung
- 33 km dari bandar Taiping
- 40 km dari Kamunting
- 50 km dari Kuala Kangsar
- 90 km dari Ipoh
- 30 km dari Beruas

Mimpi Terbang ke Langit

Posted by Alexanderwathern | 2:51 PM | | 0 comments »

SOALAN:


Ustaz, mimpi terbang ke angkasa apa ta’birnya?



JAWAPAN:


Maksud mimpi itu bergantung pada keadaan mimpi anda. Mimpi terbang ke angkasa boleh membawa maksud anda akan mengerjakan haji.


Sekiranya terbang ke angkasa dan tidak dapat turun, maksudnya Tuhan mahukan anda menambah ilmu-ilmu agama, menguatkan keimanan dan menambah seberapa banyak amal-amal soleh. Jika ada terambil hak orang, segera pulangkan. Jika ada berbuat salah dengan Tuhan dan orang, mohon ampun maaf. Mimpi sebegini merupakan teguran dari Tuhan kepada anda untuk meningkatkan darjat anda di sisi-Nya.


Mimpi terbang ke angkasa dan tidak dapat turun, namun akhirnya berjaya turun. Maksudnya mungkin anda akan jatuh sakit tetapi kemudiannya sembuh.


Wallahua’lam.



Abu Zulfiqar

9 September 2010

PERSOALAN:

Assalamualaikum..mdh2an ustaz sihat sejahtera dan sntiasa dlm perlindungan Allah..

tujuan sy email ingin menceritakan permasalahan rumahtangga yg berlaku kpd diri sy..mdh2an dgn harapan dptlah hendaknya ustaz membantu sy..

masalah dan ujian yg terjd pd diri sy ialah begini...

sy dan isteri berkahwin atas dasar cinta..kami tggl berjauhan..isteri di xxxxxxxxx dan sy di xxxxx..
slps bbrapa bln berkahwin, isteri tidak sabar hndk brtukar ketempt kerja di johor utk tggal brsama sy..selepas segala urusan mengenai pertukaran selesai, isteri sy dpt juga berpindah ke sini..Alhamdulillah segalanya berjalan lancar..kami hidup bhgia bersama..

sampai satu masa, sy diuji dlm rumahtangga sy..

blum stahun pun perkahwinan kami, isteri saya dh mula berubah perangai..dia nmpak berubah bila mula berpindah disini..pada mulanya saya anggap asam garam rumahtangga..sy bersabar je..tapi lama-kelamaan dia makin teruk..tiba2 dia minta cerai dari saya..itu yg buatkn sy panik dan tak tau nk buat apa..bila keinginan dia utk bercerai tak dpt sy ikutkan, dia minta keluar utk tinggal dgn kawan sekerja dia. saya izinkan kerana katanya dia hndak mencari ketenangan dan bila dah ok, dia akan pulang..

tetapi sayangnya tak nmpak pun yg dia berubah..dia semakin desak utk bercerai..jadi pada satu hari, sy diajak oleh kakak saya utk bertemu dgn seorang perawat. katanya org ini boleh tgk2 kan kalau2 hubg kami bleh diselamatkan..apabila sy smpai di rumah perawat tersebut, dia meminta sy tuliskan nama saya dan isteri berbintikan nama emak..kemudian selepas sy lihat dia kira2..dia pn beritahu pada sy yg isteri sy ni seorang yg tidak berguna..dan lebih baik sy menceraikan sahaja..dan berbagai2 lagi perkataan yg tidak enak didengar dia ckpkan ttg isteri saya..kalau ikutkan hati hendak saja sy maki, tapi sy sedar sy datang utk berubat..sy stuju dgn cadangannya supaya menceraikan isteri saya..


maka keesokan harinya sy pergi ke pjbt agama utk melakukan proses perceraian..di pjbt tersebut, sy cuba hubungi perawat tadi utk mengetahui bagaimana sy hendak melakukan proses perceraian tersebut. sebab katanya dia ada kenalan yg ramai di pjbt agama. tetapi bila sy call, layanan endah tak endah jer yg diberikan oleh perawat tersebut. Dia seolah2 malas nk melayan sy..sy rasa mcm tertipu. tetapi sy teruskan juga proses tersebut..cuma prosidur pjbt agama agak lmbt..perlu menunggu surat dan menghadiri kaunseling..

dalam masa sy menunggu (dalam beberapa minggu berlalu) tiba2 abg sy dtk kerumah dan ingin mengajak sy berjumpa dgn seorang perawat. katanya perawat ini byk membantu menyelesaikn permasalahan org. sy katakan pada abg saya yg sy tak ingin jmpe mana2 perawat lg..sy x percaya lgsung. tetapi setelah dipujuk akhirnya sy akur juga kerana mengenangkan rumahtangga sy yg masih mentah lagi.

berjumpa dgn perawat ke2 ni, sy diberitahu bahawa istri sy terkena guna2 org..ada org yg gilakan isteri saya..katanya, setelah dimunajat, ada org yg menabur sesuatu di tempat kerja isteri sy, dan isteri sy slalu melangkah taburan tersebut membuatkn isteri sy lupa akan tanggungjawabnya..dan dia mencadangkan beberapa ikhtiar. bila sy melakukan ikhtiar yg dicadangkan dan memberi air yg ditawar oleh perawat tersebut, sy nmpk perubahan keatas isteri saya..dia pulang kerumah dan kami mesra bersama..sayangnya hal ini berlaku sementara shj. isteri sy tetap meminta cerai dari saya. malah lebih dasyat lagi pergaduhan antara kami.


kali ke 3 perjumpaan dgn perawat ini, sy disuruh mencampurkan garam yg telah dijampi pada air mandian isteri saya..katanya apabila si isteri sudah mandi dgn air garam ini, InsyaAllah dia boleh berubah..dan katanya lagi, jgn diikutkan kemahuan isteri sy utk becerai..takut kalau2 itu bukan lah kehendak isteri yg sebenarnya..mgkin itulah gangguan yg terkena pd isteri sy..takut kalau sy menceraikannya dan apabila dia tersedar rupanya dia tidak mahu pn perceraian..jd masing2 akan menyesal.

perjumpaan ini berakhir hingga lewat malam. (hmpir 1 pg). apabila sy pulang ke rumah, sy lihat isteri sy masih segar lg menonton tv. dia yg slalunya tidur awal seolah2 tau yg sy membawa sesuatu utk mengubatinya..Kami bergaduh besar pagi tu..sy lihat isteri sy seolah2 dirasuk. sy tak pernah pn lihat isteri sy begitu sblm ni..berbagai perkataan maki hamun keluar dari mulutnya yg xpernah pn sy dgr sblm ni..dia meminta cerai dari saya..malah dia ugut utk keluar rumah pada waktu tu juga (jam 3pg). tetapi sy berkeras menghalang isteri keluar waktu itu..kerana kalau dia keluar waktu tu, sudah tentu sy xdpt mencampurkan garam pada air mandiannya..

dipendekkan cerita,dpt juga sy mencampurkan garam pada air mandiannya. Alhamdulillah dia nmpak berubah dan kata2nya nmpak lembut dan bersopan..Tapi sygnya hal ini jd sekejap saja, tiba2 isteri sy tetap dgn pendirian utk keluar dari rumah..isteri sy tetap dgn pendiriannya utk bercerai w'pn sy tidak mahu.. sy tau dimana dan dgn siapa isteri sy tinggal. kerana sy pn kenal akan kawannya itu..dan sy sndri pernah kerumah tersebut..cuma isteri sy tidak mau dia diganggu dan tidak mau sy dtg menjenguknya.

kami kdg2 berhubung melalui telefon..apa yg sy perhatikan, isteri sy ni kadang2 ok, dia tanya saya makan apa, sihat ke tidak, menyuruh sy jg diri baik2..dan minta maaf..tapi kadang2 dia benci pada sy..itu yg sy konfius..

selepas hampir 9bln sy ditinggal isteri, dan isteri sy juga kerap mendesak agar dilepaskan..akhirnya sy telah bersetuju untuk meleraikan ikatan perkahwinan kami ini..walaupun perit, sy beritahu juga kpd isteri sy yg sy setuju utk melepasknnya..

semua urusan perceraian kami berlaku dgn pantas yg mana isteri sy telah mengupah peguam utk segala urusan tersebut..akhir sekali pada hujung bln 5 sy telah melafazkan talaq satu di mhkmah syariah..

utk pengetahuan ustaz, sepnjg sy diduga dgn masalah ini..hati dan perasaan sy selalu menginginkn isteri sy pulang dn inginkn khidupan yg bahagia..sy slalu memikirkan isteri..xpenah walau sesaat pn sy lupakan dia..hari2 rindukan dia. apa saja yg sy buat, sy mst terfikirkn dia..

tetapi ustaz semasa sy berdiri dihadpn hakim utk melafazkn talaq, sy rasa mcm ada sesuatu yg berlaku..

selepas sy melafazkan talaq, segala permasalahan yg sy alami spnjg tempoh 9bln itu, seolah2 telah berpindah kpd isteri sy pd waktu itu juga...di kepala sy terasa kosong..hilang segala bebanan..dia tiada langsung sy igt2 lagi..

tetapi diwaktu itu juga, isteri sy menangis..dia semacam sedar dari tidur..sy tekadkan pd dri sy yg sy tidak mahu berhubung lagi dgn dia..tetapi pada hari itu juga hmpir beratus 'miss call' dari dia dan berpuluh2 msg dia hantar kpd sy..

selepas beberapa hari, sy mula rsa simpati..dan akhirnya sy jawab juga panggilannya..dia menyesal, minta maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki, dia asyik teringat saya saja..katanya dia tak boleh lupakan sy dan ingin bersama semula (ruju')..

skg ini ustaz, sy rasa bersalah..sy juga sygkn dia..tp sy tak tahu sama ada hendak ruju' kembali atau tidak..

bolehkah ustaz beri pendapat mengenai masalah sy ini..jauh di sudut hati sy ni..sy masih syg lagi bekas isteri sy sbnrnya..berkali2 juga sy solat istikharah dan berkali2 juga sy berdoa agar diberi kekuatan utk melupakannya...

tapi sy selalu juga teringatkan dia dan rumahtangga kami..kami masih berhubung dan pernah juga keluar makan bersama..sy lihat perasaan syg kami makin erat..cuma kami takut utk ruju' kerana takut masalah sma berulang lagi..

sbnrnya ustaz, hati kecil sy ni berkata yg isteri sy terkena guna2 org..isteri sy pernah bercerita kpd sy mengenai bosnya yg selalu memikatnya..slps tahu isteri sy dh bercerai, bos dia makin ligat memikat bekas isteri sy ni..

sy tak tahu la ustaz..sy benar2 buntu..sy harap dpt lah hendaknya ustaz beri pendapat mengenai masalah sy ini..terima kasih tak terhingga sy ucpkan kpd ustaz..

Assalamualaikum..

* Nama saya dan isteri...-

xxxxxxxxxx bin xxxx

nxxxxxxxxxxx Bt xxxxx

xxx_xxxxxx@yahoo.com




TENTANG PERAWAT PERTAMA


Perawat jenis itu tidak boleh kita pakai. Kemungkinan besar dia menggunakan ilmu tilikan yang sememangnya salah di sisi Islam Ada kemungkinan juga dia menggunakan khidmat jin. Kemuncak kesukaan bagi para syaitan ialah apabila berjaya MERUNTUHKAN SESEBUAH RUMAHTANGGA. Buktinya:


"Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air, kemudian ia mengirim pasukannya. Serendah-rendah mereka adalah yang paling besar dalam melakukan godaan/gangguan. Seorang dari mereka berkata “Saya telah melakukan perkara ini dan itu”, maka berkata Iblis “Kamu tidak melakukan apa-apa”, Kemudian seorang lagi datang dan berkata “Saya tidak meninggalkannya (manusia) sehingga SAYA PISAHKAN ANTARA SUAMI DENGAN ISTERINYA”, Iblis berkata “Ya, kamulah (yang betul-betul hebat dalam menjalankan tugasmu)”

(Hadis riwayat Imam Muslim)


TENTANG ISTERI TERKENA SIHIR


Berdasarkan maklumat-maklumat dalam cerita anda, memang ada kemungkinan isteri anda terkena sihir. Namun begitu, sama ada terkena sihir ataupun tidak, YANG PENTINGNYA kita kena BINA PERTAHANAN DIRI sendiri. Apabila pertahanan diri sudah kukuh, gangguan jin dan sihir tidak akan berkesan. Jika terkena pun, ia akan jadi tawar. Jika terlangkah sekalipun, tidak memudaratkan. Insyaallah.


Jadi, kita ketepikan soal sihir, dan kita bina ketahanan roh. Antara amalan yang mudah tapi berkesan ialah:

1. Membaca 3 Qul (Surah al-Ikhlaas, surah al-Falaq & surah an-Naas) setiap pagi dan petang. Setiap satu surah dibaca 3 kali.

2. Sebelum tidur baca Al-Fatihah dan Ayat Kursiy.

3. Kemudian baca 3 Qul, hembus ke tapak tangan dan sapukan ke seluruh tubuh. Ulangi perbuatan nombor 3 ini sebanyak 3 kali. Barulah baringkan diri.

4. Isteri tutuplah aurat dengan sempurna (jika belum).

5. Bereskan solat fardhu (jika biasanya kurang beres).

6. Keluar sahaja dari rumah, menuju ke mana sekalipun, bacalah doa keluar rumah : “Bismillaahitawakkaltu wa laahaulawalaa quwwata illaa billahil ‘aliyyil ‘aziim.”


Jika firasat anda kuat mengatakan ini angkara sihir, minta isteri anda cari benda-benda yang mungkin peralatan untuk sihir seperti patung, kain, kertas, botol kecil, duit lama ataupun apa-apa yang nampak ganjil di ruang kerjanya, mejanya, kenderaannya dan lain-lain yang dirasakan mungkin. Jika terjumpa, bawa kepada mana-mana perawat untuk ditawarkan sihirnya.


Boleh juga ditawarkan sendiri sekiranya ada keyakinan. Bacakan 3 qul, setiap satunya 3 kali lalu dihembus kepada barang itu. Lepas itu buangkan saja. Kaedah lain – bacakan 3 Qul (setiap satunya 3 kali) ke air, rendamkan barang itu di dalam air tersebut. Kemudian bolehlah dibuang.


SARANAN SAYA


Ada baiknya anda dan isteri cuba untuk kali kedua hidup bersama. Tapi kali ini cuba bawa berbincang dengan isteri, beransur-ansur PUJUK DIA PERGI DAPATKAN RAWATAN. Contohnya: “Rasa saya... ADA KEMUNGKINAN rumahtangga kita ini bermasalah akibat sihir. Saya cadangkan kita sama-sama pergi dapatkan rawatan Islamik (psikologi - walaupun sebenarnya yang hendak dirawat ialah isteri, tapi saja-saja anda sebut “kita”). Manalah tahu kalau-kalau betul, boleh kita ikhtiarkan penyelesaiannya. Kalau tak betul pun, tak mengapa. Tuhan kan suka hamba-hamba-Nya yang berikhtiar.”


Semoga segala ikhtiar yang dilakukan diberi kemudahan oleh Allah SWT. Doa kita, mohon Allah bahagiakan rumahtangga anda, dan rumahtangga umat Islam seluruhnya.


Wassalam.


Abu Zulfiqar

6 September 2010

Tafsiran untuk 6 Mimpi

Posted by Alexanderwathern | 1:30 PM | | 0 comments »

SOALAN:

Assalamualaikum..
di sini saya nak bertanya kan keadaan mimpi yang terjadi sejak 2 bulan yang lalu

1) membaca surah yassin beramai-ramai.kemudian saya mengatakan di dalam hati yang bacaan itu salah..
2) mempertikaikan ayat kursi kerana seseorang memberitahu saya ayat kursi cuma 2 ayat sahaja..kemudian saya membantah yang itu salah..bukannya 2 ayat sahaja.kerana saya membilang sambil membaca ayat kursi tersebut.
3) menjadi imam membaca surah al-ala.selepas memberi salam ada seseorang dengan marah memanggil saya.seolah-olah bacaan saya mengganggu seseorang yang sedang tidur..lalu saya bersemuka dengan seorang perempuan lalu mencuim tangan saya dan masuk islam..kemudian saya membawanya membeli buku2 agama terjemahan bahasa cina dan jepun.
4)melihat kaabah.
5) melihat ayat surah yusuf ayat ke 4.(dikatakan ayat pengasih)..
6)ketika hendak mandi melihat selawat ke atas nabi pada kertas putih..seolah2 membawa selawat tersebutdi dalam bekas mandi..

saya minta ustaz perjelaskan mimpi tersebut..sebab ada mimpi tersebut terjadi 2 kali pada malam jumaat...mimpi-mimpi tersebut
berselang2 selama 2 bulan...

salam
munir


JAWAPAN:

@ Waalaikumsalam Munir.


Berikut ialah beberapa tafsirannya.


MEMBACA SURAH YAASIN BERAMAI-RAMAI TAPI BERASA ADA KESALAHAN BACAAN – Maksudnya anda dan sekumpulan orang tertentu mencintai Nabi Muhammad, tetapi anda berasa ada sesuatu yang tidak kena dengan CARA kumpulan itu mencintai Nabi. Mungkin ada bahagian yang tidak selaras dengan tuntutan agama Islam (menurut pemahaman anda). Anda rasakan mereka mencintai Nabi tapi tidak kena dengan caranya. Wallahua’lam.


MIMPI PERTIKAIAN JUMLAH AYAT KURSIY – Ayat Kursiy bertempat dalam Surah Al-Baqarah. Bermimpi membaca Surah Al-Baqarah bermaksud umur yang panjang. Mimpi bertikai tentang jumlah ayat Kursiy tidak dapat saya ta’birkan.


MIMPI JADI IMAM YANG MEMBACA SURAH AL-A’LA – Maksudnya akan beroleh kemuliaan dan dimudahkan pula urusan-urusan. Baki mimpi itu tidak berjaya saya tafsirkan.


MELIHAT KAABAH – Maksudnya anda melihat ataupun berjumpa dengan seseorang yang berjawatan tinggi.


MELIHAT AYAT 4 SURAH YUSUF – Jika bermimpi MEMBACA Surah Yusuf, maksudnya anda akan dianiaya, tetapi kemudiannya memegang jawatan besar di perantauan, bukan di tempat asal. Membaca ayat ke-4 bermaksud anda akan mendapat kebaikan melebihi ahli keluarga anda. Bezanya, anda bermimpi MELIHAT ayat ke-4 Surah Yusuf, bukan membaca keseluruhan surah. Jadi saya tidak dapat ta’birkan mimpi ini dengan tepat.


MIMPI MELIHAT KERTAS BERTULIS SELAWAT DI BILIK MANDI – Tak dapat dita’birkan.


Sekadar itu sahaja yang diizinkan Tuhan untuk saya mentafsirkannya.


Abu Zulfiqar

6 September 2010

PERSOALAN:

Salam saudara..

Saya ingin berkongsi pengalaman dan minta pendapat saudara.. Semenjak kebelakangan ini, saya mengamalkan surah2 Al-Quran serta menghafal ayat pendinding diri,keluarga dan masyarakat serta ayat2 untuk penyembuhan penyakit seperti doa sakit perut/gastrik,dsb melalui buku.

Jika nak diikutkan sebenarnya seelok2nya kena belajar melalui guru (perawat) tetapi saya tidak mengikutinya kerana harga yuran terlalu mahal.

Tujuan saya hanya sekadar hafal(suka-suka) untuk diri, keluarga atau masyarakat sahaja tetapi mesti ada pelbagai gangguan yg saya hadapi. Saya tahu jika sekiranya saya hafal dan amalkannya, mesti ada saja berlaku..

Bagaimana caranya untuk saya elakkan dan menghindarinya?? Kadang2 saya takut menghadapinya walaupun saya hanya berbekalkan ayat pendinding diri saja.

Saya tidaklah dikatakan 'pro' seperti saudara yang berani dan hebat dlm perubatan islam ini. Kiranya masih junior lagi..

Benda2 tu xpernah ganggu tetapi mata saya boleh nampak pelbagai jenis tidak kiralah di mana2 saja berada. Ganggu pun bila waktu saya tidur (di tindih), kadang2 mimpi melawan "jeneral penganggu" sehingga saya kalah dsb..

Harap saudara dapat membantu saya.



JAWAPAN:

Waalaikumsalam wbt.

Memanglah... dalam ilmu perawat ini sangat penting untuk berguru ataupun sekurang-kurangnya ada pembimbing. Namun hal itu bukanlah satu kemestian. Kita tetap boleh berjaya jika kena dengan caranya. Allah boleh beri ilmu kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Usaha saudara pastinya mendapat tempat di sisi Tuhan.

Dalam kes saudara ini, saya rasa ada sekurang-kurangnya dua faktor:

1. Apabila kita mahu isi dada kita dengan ilmu rawatan, memang jin dan syaitan tidak suka. Hal ini kerana ilmu rawatan secara fitrahnya ialah musuh kepada para jin. Seboleh-bolehnya mereka mahu gagalkan usaha seseorang yang berniat untuk jadi seorang perawat. Mereka berusaha membuat gangguan agar bakal perawat berputus asa dan membatalkan hasrat untuk jadi perawat. Tapi sekiranya bakal perawat tabah menghadapinya, selepas tempoh tertentu nanti segala gangguan itu akan semakin reda dan akhirnya hilang terus, insyaallah. Namun, jika berasa betul-betul tidak berkemampuan, jangan dipaksa-paksa. Dikhuatiri akan membawa kesan buruk di kemudian hari kepada diri. Ini satu kemungkinan.

2. Kemungkinan kedua – mungkin sudah sedia ada jin yang rapat dengan diri bakal perawat, sama ada jin sihir, jin saka ataupun jin jatuh cinta. Tentunya ia tidak suka manusia yang dirapatinya itu belajar dan mengamalkan sesuatu yang akan mengganggu ketenteramannya. Jin jenis ini perlu diusir terlebih dahulu.

Dalam masalah ternampak makhluk-makhluk halus, ada dua kategori:

1. Ia berupa satu anugerah/ kelebihan. Hal ini BIASANYA berlaku kepada para perawat yang betul-betul ‘senior’. JARANG berlaku kepada orang biasa seperti kita.

2. Ia berupa satu kekurangan/ negatif. Hal ini BIASANYA berlaku kepada orang biasa dan sebahagian perawat. Ia berlaku kerana diri terutamanya minda seseorang itu lemah, ataupun ada campurtangan jin (yang diperolehinya dari keturunan, ilmu rawatan, ilmu persilatan dan lain-lain). Pengaruh jin-jin ini membuatkan matanya mampu melihat makhluk-makhluk halus.

Menurut Ustaz Abdul Majid (Akrine), dia memandang kebolehan melihat makhluk-makhluk itu lebih berupa kekurangan/ masalah. Lebih baik jika tidak nampak. Wallahua’lam.

Sebenarnya jin-jin ini bertubuh halus. Jasadnya lemah. Sebab itu biasanya mereka tunjukkan diri secara lintasan, dari jarak jauh dan sekejap sahaja. Hakikatnya, mereka pun gentar dan berhati-hati dengan manusia. Sebab itu jugalah para perawat biasanya tidak ternampak benda-benda itu.Yang nampak ialah pesakit. Saya sendiri tidak pernah melihat makhluk-makhluk halus sepanjang pengalaman merawat. Kalau mereka nak tunjukkan diri juga, mereka akan datang dalam mimpi ataupun ketika saya dalam keadaan hampir-hampir terlena. Pernah juga datang ‘live’, tapi hanya berani menunjukkan tangan sebelah lagi separuh. Itu pun tunjuk pada anak

Saranan saya saudara - Jika berpeluang, sila dapatkan sekurang-kurangnya sekali sesi rawatan daripada mana-mana perawat. Bukan bermaksud saudara sakit, tetapi minta mereka tolong kesan – ada tak makhluk halus pada diri ataupun yang merapat-rapat dengan saudara. Sekiranya ada, mereka akan ikhtarkan untuk membuangnya.

Saudar boleh juga cuba merawat diri sendiri. Selain meneruskan bacaan-bacaan harian, saudara usahakan untuk mandi air doa berlimau. Caranya mudah sahaja.

Sediakan sebaldi air dan tiga biji limau purut. Baca:
1. 2 kalimah syahadah
2. Selawat 3 X
3. Istighfar 3 X
4. A’uzhubillah...
5. Al-Fatihah
6. Ayat Kursiy
7. 3 Qul (setiap satunya 3 x)

Hembus pada bahan-bahan.
Perah 3 biji limau purut di dalam air.
Bacaan-bacaan jangan dibuat dalam bilik air/ tandas. Baca di luar, kemudian barulah mandi dengan air sebaldi itu.
Jadikan air itu sebagai bilasan terakhir.
Ratakan dengan tangan dan biarkan tidak berlap.
Lakukan amalan ini sekurang-kurangnya 3 petang (selepas Asar ataupun selepas Maghrib).

Antara amalan pendinding paling ampuh yang dicontohkan oleh Rasulullah ialah menggunakan 3 Qul, tapi ramai yang kurang ambil berat. Amalan Nabi Muhammad:
1. Baca 3 Qul. Setiap satunya 3 X. Baca satu set pagi (sebaik-baiknya selepas Subuh) dan satu set petang (sebaik-baiknya selepas Asar).
2. Sebelum tidur, tadah tangan seperti berdoa. Baca 3Qul. Hembus ke tapak tangan. Sapu ke serata badan. Ulangi 3 kali.

Menurut ilmu rawatan Ikhtiar Muslim, amalan 3 Qul ini hendaklah diistiqamahkan sepanjang hayat kerana Rasulullah sendiri istiqamah dengannya. Ia adalah satu sunnah. Insyaallah ia sebagai penyebab kepada benteng pertahanan yang ampuh dari Tuhan.

Satu lagi, membina benteng/ ketahanan diri peringkat permulaan terjun ke dunia rawatan hendaklah dilakukan secara berperingkat-peringkat. Biar kekuatan roh kita naik beransur-ansur. Bak kata Tok Belagak dari Darul Saka : “Kayuh pelan-pelan.” Kita tak boleh amalkan sesuatu ayat terlalu banyak dalam satu-satu masa. Tak istiqaman pun tak boleh juga. Himpunan ayat-ayat yang kita amalkan itu juga hendaklah diseimbangkan – ada yang panas, ada yang penyejuk, ada pembakar, ada penawar...

Amalan asas dari DRAUSSYIFA’ memang bagus. Saudara boleh cuba ‘bermula dari langkah pertama’ kembali. Kaedahnya – Setiap kali selepas solat fardhu, baca Al-Fatihah 1 X. Jadi pada hari pertama ada 5 X keseluruhannya. Pada hari kedua, baca 2 X. Maksudnya ada 10 X Al-Fatihah pada hari kedua. Begitulah seterusnya sampai hari ke-7, kena baca Al-Fatihah 7 X selepas setiap solat fardhu. Di samping itu, kita dikehendaki menghafal 10 Bacaan Asas Darussyifa’.

Cara IKHTIAR MUSLIM pula – setiap hari baca 1 set pagi (sebaik-baiknya selepas Subuh) dan 1 set petang (sebaik-baiknya selepas Asar):
1. Dua kalimah syahadah
2. Selawat 3 X
3. Istighfar 3 X
4. Bismillahillazhi... 3 X
5. Laa haulawala...

Amalan 3 Qul sebelum tidur (seperti yang diterangkan di atas tadi, dimulakan dengan Al-Fatihah & Ayat Kursiy).
Solat berjemaah di masjid/ surau kecuali jika ada urusan penting (untuk lelaki).
Membaca Al-Quran secara melihat mushaf setiap hari walaupun sekadar 1 ayat.

Inilah amalan MINGGU PERTAMA (selama 7 hari berturut-turut) anjuran Ikhtiar Muslim. Sekiranya tertinggal sehari, bolehlah diteruskan. Sekiranya tertinggal dua hari atau lebih, eloklah diulang semula sampai cukup 7 hari.

Selesai amalan selama 7 hari, benteng asas diperkukuhkan dengan amalan untuk MINGGU KEDUA. 5 bacaan asas ditambah dengan:
6. (A’uzhubillah... dan) Al-Fatihah
7. Ayat Kursiy
8. Al-Ikhlaas 3 X
9. Al-Falaq 3 X
10. An-Naas 3 X

10 bacaan asas ini untuk setiap pagi dan petang.
Amalan 3 Qul sebelum tidur, tilawah dan solat berjemaah diteruskan.
Istiqamah doa masuk tandas, doa keluar rumah dan doa masuk rumah.

Amalan berterusan selama dua minggu ini insyaallah cukup sebagai BENTENG ASAS dan PEMBINA KETAHANAN ROH ASAS. Selepas itu bolehlah diamal apa-apa bacaan lain yang disukai. Amalan ini mestilah diteruskan sampai bila-bila. Begitu kaedah Ikhtiar Muslim.

Ada pelbagai lagi AMALAN ASAS untuk terjun ke dunia rawatan yang dianjurkan oleh para perawat lain. Saudara boleh pilih mana yang sesuai. Apabila binaan asasnya kukuh, mudahlah untuk kita membina bangunan tinggi di atasnya, dan kukuh pula.

Yang terakhir – Apabila kita mempelajari sesuatu ilmu, kita akan menerima ujian yang bersangkutan dengan ilmu itu. Belajar ilmu ular, ularlah yang datang. Belajar ilmu tempur, musuhlah yang datang. Belajar ilmu rawat santau, santaulah yang datang. Hal sebegini memang biasa berlaku. Oleh itu, saya anjurkan agar saudara tidak menghafal dan mengamal terlalu banyak ayat pada peringkat awal. Nanti dikhuatiri semua ujiannya datang serentak, tak termampu kita.

Dalam buku lama Dr. Haron Din (berwarna biru hitam), ada dituliskan ayat penunduk ular. Tapi syaratnya, jika mahu diamal, mestilah terus dihafal pada hari itu juga kerana dibimbangi ular akan datang dalam tempoh terdekat. Ini sebagai satu contoh.

Sebenarnya saya pun masih amatur lagi dalam bidang ini, belum sampai tahap pro. Sekadar kongsi ilmu. Semoga dengan penjelasan ini dapat membantu saudara sedikit-sebanyak.

Wallahua’alam.

Abu Zulfiqar
1 September 2010

Benarkah Anda Mahu Jadi Perawat?

Posted by Alexanderwathern | 12:08 AM | , , | 0 comments »

Anda mahu jadi seorang perawat? Betul? Sudahkah anda fikirkan risikonya? Berani tanggung? Syabas!

Mari kita buat sedikit kira-kira sebelum anda meneruskan niat murni anda itu : )

Katakanlah dalam sehari anda merawat satu kes yang membabitkan sihir. Maksudnya anda sudah pun menyakitkan hati satu jin/ banyak jin, dan seorang pengamal ilmu sihir. Mereka tentunya marah kerana anda mencampuri urusan mereka, apatah lagi jika anda berjaya menggagalkan kerja-kerja mereka. Oleh itu, mereka akan mencari ruang untuk ‘mengenakan’ anda sebagai membalas dendam.

Sehari, seorang pengamal sihir jadi musuh anda. Kalau seminggu? 5-6 orang. Sebulan? Setahun? Sudah berapa ramai pengamal sihir yang tidak puas hati dengan anda, dan mereka akan membalas dendam jika berpeluang? Bukan diri anda sahaja, tetapi keluarga dan harta-benda anda menjadi sasaran mereka. Musuh anda ratusan. Campur dengan jin-jin, mungkin puluhan ribu. Padahal anda berseorangan. Mampukah anda (dan isi rumah anda) berhadapan, ataupun sekurang-kurangnya bertahan dengan mereka semua?

Apabila kita mula memikul tugas sebagai seorang perawat, ertinya kita sedang mengumpulkan musuh-musuh dari kalangan jin dan manusia. Semakin hari semakin banyak.

Apa macam?

Masih bercita-cita untuk masuk ke gelanggang?

Fikir-fikir dulu...

Tapi...

Kalau anda tidak jadi seorang perawat pun, anda tetap jadi sasaran para jin dan syaitan juga. Tidak mustahil juga anda ataupun ahli keluarga anda ada/ akan terkena sihir. Bezanya, anda tidak ada ilmu untuk menentang jin dan sihir itu. Teruk juga situasinya ye tak?

Dengan itu, jadi perawat pun berisiko tinggi, tak jadi perawat pun berisiko tinggi. Samalah halnya dengan nasib warga Palestin di Gaza sekarang. Jadi pejuang pun anda akan dimusuhi dan mahu dibunuh tentera Zionis, tak jadi pejuang pun anda dimusuhi dan mahu dibunuh oleh tentera Zionis. Mana satu pilihan anda?

Teringat kata-kata Ustaz Majid (Akrine) dalam Kursus Intensif Rawatan Islam. Katanya banyak perawat yang mengaktifkan diri mereka sebagai perawat, dapat bertahan sekitar dua tahun sahaja. Selepas dugaan demi dugaan mendatang, mereka mula kurang aktif, dan akhirnya terus senyap.

Tulisan ini bukanlah bertujuan melemahkan semangat bakal-bakal perawat, cuma ada baiknya kita menilai kesediaan diri (dan keluarga, jika sudah berumahtangga) sebelum terjun ke dunia rawatan. Sekiranya berasa kurang mampu, belajarlah sekurang-kurangnya sebagai benteng pertahanan untuk diri dan keluarga.

Abu Zulfiqar

1 September 2010