MagzNetwork

PERSOALAN:

Salam saudara..

Saya ingin berkongsi pengalaman dan minta pendapat saudara.. Semenjak kebelakangan ini, saya mengamalkan surah2 Al-Quran serta menghafal ayat pendinding diri,keluarga dan masyarakat serta ayat2 untuk penyembuhan penyakit seperti doa sakit perut/gastrik,dsb melalui buku.

Jika nak diikutkan sebenarnya seelok2nya kena belajar melalui guru (perawat) tetapi saya tidak mengikutinya kerana harga yuran terlalu mahal.

Tujuan saya hanya sekadar hafal(suka-suka) untuk diri, keluarga atau masyarakat sahaja tetapi mesti ada pelbagai gangguan yg saya hadapi. Saya tahu jika sekiranya saya hafal dan amalkannya, mesti ada saja berlaku..

Bagaimana caranya untuk saya elakkan dan menghindarinya?? Kadang2 saya takut menghadapinya walaupun saya hanya berbekalkan ayat pendinding diri saja.

Saya tidaklah dikatakan 'pro' seperti saudara yang berani dan hebat dlm perubatan islam ini. Kiranya masih junior lagi..

Benda2 tu xpernah ganggu tetapi mata saya boleh nampak pelbagai jenis tidak kiralah di mana2 saja berada. Ganggu pun bila waktu saya tidur (di tindih), kadang2 mimpi melawan "jeneral penganggu" sehingga saya kalah dsb..

Harap saudara dapat membantu saya.



JAWAPAN:

Waalaikumsalam wbt.

Memanglah... dalam ilmu perawat ini sangat penting untuk berguru ataupun sekurang-kurangnya ada pembimbing. Namun hal itu bukanlah satu kemestian. Kita tetap boleh berjaya jika kena dengan caranya. Allah boleh beri ilmu kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Usaha saudara pastinya mendapat tempat di sisi Tuhan.

Dalam kes saudara ini, saya rasa ada sekurang-kurangnya dua faktor:

1. Apabila kita mahu isi dada kita dengan ilmu rawatan, memang jin dan syaitan tidak suka. Hal ini kerana ilmu rawatan secara fitrahnya ialah musuh kepada para jin. Seboleh-bolehnya mereka mahu gagalkan usaha seseorang yang berniat untuk jadi seorang perawat. Mereka berusaha membuat gangguan agar bakal perawat berputus asa dan membatalkan hasrat untuk jadi perawat. Tapi sekiranya bakal perawat tabah menghadapinya, selepas tempoh tertentu nanti segala gangguan itu akan semakin reda dan akhirnya hilang terus, insyaallah. Namun, jika berasa betul-betul tidak berkemampuan, jangan dipaksa-paksa. Dikhuatiri akan membawa kesan buruk di kemudian hari kepada diri. Ini satu kemungkinan.

2. Kemungkinan kedua – mungkin sudah sedia ada jin yang rapat dengan diri bakal perawat, sama ada jin sihir, jin saka ataupun jin jatuh cinta. Tentunya ia tidak suka manusia yang dirapatinya itu belajar dan mengamalkan sesuatu yang akan mengganggu ketenteramannya. Jin jenis ini perlu diusir terlebih dahulu.

Dalam masalah ternampak makhluk-makhluk halus, ada dua kategori:

1. Ia berupa satu anugerah/ kelebihan. Hal ini BIASANYA berlaku kepada para perawat yang betul-betul ‘senior’. JARANG berlaku kepada orang biasa seperti kita.

2. Ia berupa satu kekurangan/ negatif. Hal ini BIASANYA berlaku kepada orang biasa dan sebahagian perawat. Ia berlaku kerana diri terutamanya minda seseorang itu lemah, ataupun ada campurtangan jin (yang diperolehinya dari keturunan, ilmu rawatan, ilmu persilatan dan lain-lain). Pengaruh jin-jin ini membuatkan matanya mampu melihat makhluk-makhluk halus.

Menurut Ustaz Abdul Majid (Akrine), dia memandang kebolehan melihat makhluk-makhluk itu lebih berupa kekurangan/ masalah. Lebih baik jika tidak nampak. Wallahua’lam.

Sebenarnya jin-jin ini bertubuh halus. Jasadnya lemah. Sebab itu biasanya mereka tunjukkan diri secara lintasan, dari jarak jauh dan sekejap sahaja. Hakikatnya, mereka pun gentar dan berhati-hati dengan manusia. Sebab itu jugalah para perawat biasanya tidak ternampak benda-benda itu.Yang nampak ialah pesakit. Saya sendiri tidak pernah melihat makhluk-makhluk halus sepanjang pengalaman merawat. Kalau mereka nak tunjukkan diri juga, mereka akan datang dalam mimpi ataupun ketika saya dalam keadaan hampir-hampir terlena. Pernah juga datang ‘live’, tapi hanya berani menunjukkan tangan sebelah lagi separuh. Itu pun tunjuk pada anak

Saranan saya saudara - Jika berpeluang, sila dapatkan sekurang-kurangnya sekali sesi rawatan daripada mana-mana perawat. Bukan bermaksud saudara sakit, tetapi minta mereka tolong kesan – ada tak makhluk halus pada diri ataupun yang merapat-rapat dengan saudara. Sekiranya ada, mereka akan ikhtarkan untuk membuangnya.

Saudar boleh juga cuba merawat diri sendiri. Selain meneruskan bacaan-bacaan harian, saudara usahakan untuk mandi air doa berlimau. Caranya mudah sahaja.

Sediakan sebaldi air dan tiga biji limau purut. Baca:
1. 2 kalimah syahadah
2. Selawat 3 X
3. Istighfar 3 X
4. A’uzhubillah...
5. Al-Fatihah
6. Ayat Kursiy
7. 3 Qul (setiap satunya 3 x)

Hembus pada bahan-bahan.
Perah 3 biji limau purut di dalam air.
Bacaan-bacaan jangan dibuat dalam bilik air/ tandas. Baca di luar, kemudian barulah mandi dengan air sebaldi itu.
Jadikan air itu sebagai bilasan terakhir.
Ratakan dengan tangan dan biarkan tidak berlap.
Lakukan amalan ini sekurang-kurangnya 3 petang (selepas Asar ataupun selepas Maghrib).

Antara amalan pendinding paling ampuh yang dicontohkan oleh Rasulullah ialah menggunakan 3 Qul, tapi ramai yang kurang ambil berat. Amalan Nabi Muhammad:
1. Baca 3 Qul. Setiap satunya 3 X. Baca satu set pagi (sebaik-baiknya selepas Subuh) dan satu set petang (sebaik-baiknya selepas Asar).
2. Sebelum tidur, tadah tangan seperti berdoa. Baca 3Qul. Hembus ke tapak tangan. Sapu ke serata badan. Ulangi 3 kali.

Menurut ilmu rawatan Ikhtiar Muslim, amalan 3 Qul ini hendaklah diistiqamahkan sepanjang hayat kerana Rasulullah sendiri istiqamah dengannya. Ia adalah satu sunnah. Insyaallah ia sebagai penyebab kepada benteng pertahanan yang ampuh dari Tuhan.

Satu lagi, membina benteng/ ketahanan diri peringkat permulaan terjun ke dunia rawatan hendaklah dilakukan secara berperingkat-peringkat. Biar kekuatan roh kita naik beransur-ansur. Bak kata Tok Belagak dari Darul Saka : “Kayuh pelan-pelan.” Kita tak boleh amalkan sesuatu ayat terlalu banyak dalam satu-satu masa. Tak istiqaman pun tak boleh juga. Himpunan ayat-ayat yang kita amalkan itu juga hendaklah diseimbangkan – ada yang panas, ada yang penyejuk, ada pembakar, ada penawar...

Amalan asas dari DRAUSSYIFA’ memang bagus. Saudara boleh cuba ‘bermula dari langkah pertama’ kembali. Kaedahnya – Setiap kali selepas solat fardhu, baca Al-Fatihah 1 X. Jadi pada hari pertama ada 5 X keseluruhannya. Pada hari kedua, baca 2 X. Maksudnya ada 10 X Al-Fatihah pada hari kedua. Begitulah seterusnya sampai hari ke-7, kena baca Al-Fatihah 7 X selepas setiap solat fardhu. Di samping itu, kita dikehendaki menghafal 10 Bacaan Asas Darussyifa’.

Cara IKHTIAR MUSLIM pula – setiap hari baca 1 set pagi (sebaik-baiknya selepas Subuh) dan 1 set petang (sebaik-baiknya selepas Asar):
1. Dua kalimah syahadah
2. Selawat 3 X
3. Istighfar 3 X
4. Bismillahillazhi... 3 X
5. Laa haulawala...

Amalan 3 Qul sebelum tidur (seperti yang diterangkan di atas tadi, dimulakan dengan Al-Fatihah & Ayat Kursiy).
Solat berjemaah di masjid/ surau kecuali jika ada urusan penting (untuk lelaki).
Membaca Al-Quran secara melihat mushaf setiap hari walaupun sekadar 1 ayat.

Inilah amalan MINGGU PERTAMA (selama 7 hari berturut-turut) anjuran Ikhtiar Muslim. Sekiranya tertinggal sehari, bolehlah diteruskan. Sekiranya tertinggal dua hari atau lebih, eloklah diulang semula sampai cukup 7 hari.

Selesai amalan selama 7 hari, benteng asas diperkukuhkan dengan amalan untuk MINGGU KEDUA. 5 bacaan asas ditambah dengan:
6. (A’uzhubillah... dan) Al-Fatihah
7. Ayat Kursiy
8. Al-Ikhlaas 3 X
9. Al-Falaq 3 X
10. An-Naas 3 X

10 bacaan asas ini untuk setiap pagi dan petang.
Amalan 3 Qul sebelum tidur, tilawah dan solat berjemaah diteruskan.
Istiqamah doa masuk tandas, doa keluar rumah dan doa masuk rumah.

Amalan berterusan selama dua minggu ini insyaallah cukup sebagai BENTENG ASAS dan PEMBINA KETAHANAN ROH ASAS. Selepas itu bolehlah diamal apa-apa bacaan lain yang disukai. Amalan ini mestilah diteruskan sampai bila-bila. Begitu kaedah Ikhtiar Muslim.

Ada pelbagai lagi AMALAN ASAS untuk terjun ke dunia rawatan yang dianjurkan oleh para perawat lain. Saudara boleh pilih mana yang sesuai. Apabila binaan asasnya kukuh, mudahlah untuk kita membina bangunan tinggi di atasnya, dan kukuh pula.

Yang terakhir – Apabila kita mempelajari sesuatu ilmu, kita akan menerima ujian yang bersangkutan dengan ilmu itu. Belajar ilmu ular, ularlah yang datang. Belajar ilmu tempur, musuhlah yang datang. Belajar ilmu rawat santau, santaulah yang datang. Hal sebegini memang biasa berlaku. Oleh itu, saya anjurkan agar saudara tidak menghafal dan mengamal terlalu banyak ayat pada peringkat awal. Nanti dikhuatiri semua ujiannya datang serentak, tak termampu kita.

Dalam buku lama Dr. Haron Din (berwarna biru hitam), ada dituliskan ayat penunduk ular. Tapi syaratnya, jika mahu diamal, mestilah terus dihafal pada hari itu juga kerana dibimbangi ular akan datang dalam tempoh terdekat. Ini sebagai satu contoh.

Sebenarnya saya pun masih amatur lagi dalam bidang ini, belum sampai tahap pro. Sekadar kongsi ilmu. Semoga dengan penjelasan ini dapat membantu saudara sedikit-sebanyak.

Wallahua’alam.

Abu Zulfiqar
1 September 2010

0 comments

Post a Comment