MagzNetwork

Cara Minum Madu

Posted by Alexanderwathern | 11:16 PM | , , | 2 comments »

Berikut ialah beberapa kaedah meminum madu untuk tujuan kesihatan sebagaimana yang diamalkan oleh sebahagian orang tua-tua. Sebaik-baiknya gunakan sudu plastik, bukannya sudu besi. Bacalah apa-apa kalimah yang sesuai seperti basmalah, selawat dan lain-lain sebelum meminumnya.


Jika Badan Panas


1. Masukkan madu ke dalam gelas.

2. Masukkan air kemudiannya.

3. Kacau mengikut arah jam.


Air yang dimasukkan kemudian dipercayai dapat “menyejukkan” madu. Kacauan mengikut arah pusingan jam juga dipercayai dapat “menyejukkan” madu. Di alam ini, secara umumnya fitrah sesuatu perkara ialah mengikut arah lawan jam iaitu mengikut arah pusingan tawah di Baitullah. Oleh kerana fitrah madu bersifat panas, maka ia “disejukkan” dengan mengacau mengikut arah lawan jam.

Madu yang “sejuk” ini sesuai untuk badan kita yang panas. Jika panas bertemu panas, dikhuatiri memberi kesan tidak selesa ataupun tidak serasi.


Jika Badan Sejuk


1. Masukkan air ke dalam gelas.

2. Kemudian masukkan madu.

3. Kacau mengikut arah lawan jam (arah tawaf).


Madu yang dimasukkan kemudian dipercayai dapat mengekalkan “panasnya” kerana ia tidak “disejukkan” (disiram) oleh air. Pusingan mengikut arah tawaf juga mengekalkan fitrah madu iaitu bersifat “panas”. Ramuan begini dipercayai dapat memanaskan badan yang sejuk.


Kalau sejuk bertemu sejuk, dikhuatiri kurang memberi manafaat.


Untuk Minuman Biasa (Badan Tidak Panas Tidak Sejuk)


1. Masukkan madu.

2. Masukkan air (madu akan “disejukkan” oleh air)

3. Kacau mengikut arah tawaf (kepanasannya dikembalikan)


Hasilnya, akan diperolehi hidangan minuman madu yang sesuai, tidak “panas” dan tidak “sejuk”.



Sandaran:

Petua orang tua-tua.


Wallahualam.



Abu Zulfiqar Amsyari

31.3.10

Mungkin Mereka Tidak Tahu Maksud Halal

Posted by Alexanderwathern | 3:50 PM | | 0 comments »

Selalu sangat ada pendedahan tentang barang-barang yang tidak halal tetapi berlogo halal. Ada yang kata puncanya rasuah, kelemahan pemantauan, sikap pengeluar bukan Islam yang memang hendak menipu dan sebagainya.

Tapi ada satu lagi kemungkinan. Boleh jadi sebahagian orang-orang bukan Islam tidak tahu apa itu halal. Pada mereka, maksud halal itu mungkin bersih. Oleh itu, daging babi yang diproses dengan bersih pun mereka letak tanda halal.

Lagi satu masalah ialah produk tiruan. Contohnya kopi berherba jenama XYZ keluaran syarikat muslim. Pasar raya milik bukan muslim boleh menjual kopi XYZ itu dengan harga yang murah. Kita pun berulang ke pasar raya tersebutlah kerana harganya semurah ataupun lebih murah daripada di luar.

Rupa-rupanya mereka jual produk tiruan. Pembungkusnya saling tak tumpah macam yang asal. Isi kandungannya pun nampak lebih kurang sama walaupun herbanya mungkin tidak ada. Kita pun membelinya kerana yakin ia keluaran syarikat XYZ yang mendapat status halal.

Oleh itu, jika harga sesuatu produk itu nampak murah semacam, berhati-hatilah.

Penggunaan nama produk pun satu masalah juga. Namanya sedap bunyi ala ala Arab gitu, tapi pengeluarnya bukan muslim.


Abu Zulfiqar - Belilah barangan buatan dan milik orang Islam... sedapat mungkin.

Berawas dengan Restoran Mamak

Posted by Alexanderwathern | 3:36 PM | | 0 comments »


Pegawai Jakim (kiri) menyoal siasat petugas sebuah restoran di Damansara Damai, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 3 Mac - Mengaku Islam tetapi tergagap-gagap apabila diminta mengucap dua kalimah syahadah dan membaca Al-Fatihah.

Akibatnya, bukan sahaja tembelang pekerja sebuah restoran mamak di Damansara Damai itu pecah, bahkan muslihat majikannya memalsukan sijil halal turut terbongkar.

Ketika pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjalankan sesi ujian dalam serbuan di restoran itu hari ini, pekerja yang berasal dari selatan India itu hanya terkebil-kebil ketika dia yang mengaku Islam diminta mengucap dan membaca surah Al-Fatihah.

Serbuan pada pukul 11 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai Jakim dibantu pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya.

Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah berkata, ia dilakukan selepas pihaknya menerima aduan pengguna yang keliru dengan status halal restoran tersebut yang majoriti pekerjanya adalah warga asing.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati terdapat tiga logo halal disyaki palsu ditampal di tiga penjuru restoran yang dimiliki oleh peniaga bukan Islam itu.

Katanya, seorang penyelia restoran yang disoal siasat cuba memperdayakan pegawai penguat kuasa dan mendakwa restoran itu ditauliahkan sijil halal Jakim.

Bagaimanapun, katanya, helah tersebut tidak berjaya kerana dia gagal menunjukkan sijil itu apabila diminta.

"Lelaki terbabit kemudian memberi alasan sijil halal berkenaan disimpan oleh pemilik syarikat yang kini berada di Kedah atas urusan perniagaan," katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi itu di sini hari ini.

Menurut Amri, alasan itu dianggap tidak munasabah kerana kebiasaannya pemilik restoran atau kilang akan mempamer atau menggantungkan sijil halal dalam premis untuk meyakinkan pelanggan.

"Curiga dengan alasan diberikan, maka kami sengaja mengatur sesi ujian ringkas dengan meminta penyelia kedai terbabit menunjukkan pekerja beragama Islam yang ada di restoran itu.

"Dia segera memanggil seorang pekerjanya yang didakwa beragama Islam berasal dari India.

" Namun, mengejutkan apabila dia (pekerja berkenaan) langsung tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah apatah lagi membacakan ayat mudah seperti surah Al-Fatihah apabila diminta," katanya.

Amri berkata, ditanya sama ada dia pernah mendirikan solat, lelaki terbabit mengaku hanya ibu dan kakaknya di kampung sahaja yang bersembahyang.

Katanya, ini jelas menunjukkan lelaki terbabit hanya Islam pada zahirnya tetapi tidak pernah faham atau mengamalkan ajaran Islam sebenar.

"Sehubungan itu, pihak Jakim percaya semua pekerja di restoran terbabit adalah bukan Islam dan tidak layak untuk mendapatkan sijil halal," katanya.

Bimbang pemilik restoran terus memperdaya pelanggan, kata Amri, pihaknya mengarahkan supaya logo halal terbabit ditanggal serta-merta.

Katanya, pemilik restoran itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perihal Dagangan 1972 kerana memalsukan logo sijil halal Jakim yang boleh membawa denda maksimum RM250,000 jika sabit kesalahan.

sumber

Abu Zulfiqar - Banyak kedai nasi kandar mamak yang pekerjanya beragama Hindu. Bahkan ada kedai yang memang milik orang Hindu. Kita tanya nama pekerja dia, tergagap-gagap menjawab.