MagzNetwork

Insya-Allah majlis khatam kitab Kitab Ilmu daripada kitab Ihya’ ‘Ulumuddin akan diadakan pada hari Isnin malam Selasa 7 Oktober 2013, iaitu pada kuliah kitab Ihya’ ‘Ulumuddin bagi kali ke-82.

Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini terdiri daripada 40 tajuk besar yang setiap satunya disebut “kitab”. Kitab Ilmu ialah yang pertama daripada 40 kitab tersebut. Masih ada 39 kitab lagi untuk kita sama-sama terokai.

Syarahan Kitab Ilmu ini diadakan hampir setiap minggu bermula pada bulan Mac 2011 dan dijangka berakhir pada awal Oktober 2013 ini. Maksudnya kesemua 82 kali kuliah Kitab Ilmu mengambil masa lebih kurang dua setengah tahun untuk ditamatkan. Dijangkakan keseluruhan kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini akan selesai disyarahkan dalam tempoh 20 ke 23 tahun.

Tempoh pengajian yang panjang ini adalah kerana kitab Ihya’ ‘Ulumuddin di Surau An-Nur, Trong, Perak disyarahkan dengan terperinci. Syarahan ringkasnya diadakan di Masjid PGA (Komando 69), Ipoh yang dijalankan sebulan sekali.

Alhamdulillah, syukur! Dengan izin-Nya, setakat ini kesemua 80 kuliah kitab Ihya’ sejak kelas pertama berjaya dirakam dan dimuatnaik ke Youtube. Sudah ada 537 fail dan masih berbaki sekitar 8-10 fail lagi untuk tamat. Setiap satu fail berdurasi antara 7 ke 12 minit.

Fail 1-99 adalah dalam bentuk audio.
Fail 100 dan seterusnya dalam bentuk video.
Tuliskan “syarah ihya” di Youtube untuk bertemu.

Majlis di Masjid PGA Ipoh juga ada dimuatnaik. Tuliskan “ihya masjid pga”. Cuma kelas di Masjid PGA hanya dirakam bermula kelas yang ke-5.

Kitab Ilmu dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini sangat penting. Sebab itulah Imam Al-Ghazali meletakkannya di awal-awal kitab, bahkan mendahului Kitab Tauhid! Kitab Tauhid pun diletakkan pada urutan ke-2! Maksudnya tentu ada sesuatu (sebenarnya banyak) perkara penting yang Imam mahu kita hadamkan terlebih dahulu sebelum diri kita sesuai untuk mendalami kitab-kitab seterusnya.

Selepas ini kita akan masuk Kitab Tauhid, satu bab yang sangat ditunggu-tunggu daripada kitab Ihya’ ini. Oleh itu, kita sangat-sangat berpesan… agar sesiapa yang mahu mengikuti kupasan Kitab Tauhid nanti, hendaklah menyelesaikan pengajian Kitab Ilmu terlebih dahulu. Bukan saja-saja Imam menulis Kitab Ilmu panjang lebar dan diletakkannya di awal kitab Ihya’ ‘Ulumuddin. Untuk memahami dan menghayati bab-bab seterusnya dalam Ihya’ mungkin kita boleh, tetapi untuk sampai ke tahap menghayati, kuncinya ada dalam Bab Ilmu. Di situ antara rahsianya.

Kitab Ilmu ialah manual kepada pembinaan bahtera Ihya’ ‘Ulumuddin. Jika kita mengabaikan manualnya lalu terus sahaja mahu menggunakan alat-alatnya lalu membina bahtera yang seperti bahtera Ihya’ ‘Ulumuddin, bahtera itu mungkin boleh siap dan seiras rupa, tetapi akan jauh berbeza dari sudut-sudut yang lain.

Bahtera Ihya’ ‘Ulumuddin meluncur laju, bahtera kita perlahan.
Bahtera Ihya’ tiba awal, kita masih di tengah lautan.
Bahtera Ihya’ tahan lama, bahtera kita baru dipakai pun sudah longgar skru dan paku, berbunyi apabila dipijak atau disandar, asyik kena tukar kena perbaik.
Bahtera Ihya’ tetap cantik, bahtera kita walaupun belum lama tapi sudah kelihatan lusuh dan buruk.
Bahtera Ihya’ bersih dan kemas, bahtera kita kotor dan berselerak.
Bahtera Ihya’ tepat binaannya, bahtera kita kiat sana senget sini.
Bahtera Ihya’ selesa dalamannya, bahtera kita sempit luas tidak menentu.
Kerana apa?
Kerana mengabaikan manualnya… iaitu Kitab Ilmu.

Selesaikan Kitab Ilmu terlebih dahulu, lebih-lebih lagi kepada mereka yang mengikuti pengajian kitab Ihya’ ini melalui internet. Biar diulang-ulang, lagi bagus.

Majlis khatam Bab Ilmu itu nanti akan dibuat ala kadar sahaja, sekadar ada. Insya-Allah akan dibuat kenduri kesyukuran dan para hadirin akan dihadiahkan senaskah lembaran yang memuatkan isi-isi penting pelajaran kitab Ihya’ ‘Ulumuddin dari  kelas pertama sampailah kelas terakhir Kitab Ilmu (masih belum siap, dianggarkan sekitar 40 mukasurat). Kemudian kita akan mengimbas kembali isi-isi penting seluruh Kitab Ilmu. Diakhiri dengan sedikit doa Imam Al-Ghazali yang terdapat di akhir kitab Ihya’ ‘Ulumuddin.

Semoga segala usaha kita untuk dunia dan akhirat dimudahkan Allah.

Abu Zulfiqar
29 September 2013

(*Sebarang perubahan akan dimaklumkan kelak)


Tazkirah Facebook ke-16 (Mac 7, 2012)

Rajin mendengar ceramah popular memang bagus, tapi... rajin mendengar ceramah popular DAN rajin juga mendengar kuliah bersiri (berkitab), adalah lebih bagus.

Ceramah popular dapat mencetuskan rasa suka kepada agama dan ilmu-ilmunya. Ceramah popular juga dapat mengekal malah menambahkan rasa itu bagi mereka yang sudah sedia suka akan agama dan ilmu-ilmunya.

Namun dengan hanya rajin mengikuti ceramah-ceramah popular, tidak dapat menjadikan seseorang itu banyak ilmu agamanya walaupun memang ada pertambahan. Tidak ada orang yang hanya menghabiskan usahanya mengejar ceramah-ceramah popular bertahun-tahun, kemudiannya kita dapat tahu dia berjaya menjadi seorang ilmuwan agama. Tidak ada.

Untuk mendapatkan pemantapan, pelambakan dan pendalaman ilmu-ilmu agama, kita hendaklah rajin pula mengikuti kuliah-kuliah bersiri. Terbukti, ramai juga mereka yang rajin mengejar kuliah-kuliah bersiri, bertahun-tahun selepas itu akhirnya berjaya pula menjadi seorang pengajar (atau sekurang-kurangnya ada ilmu sebagaimana pengajar sekalipun dia tidak mengajar).

Teruskanlah mendengar/mengikuti ceramah-ceramah popular, tapi luangkanlah juga masa untuk mendengar/mengikuti kuliah-kuliah bersiri (sama ada secara langsung ataupun melalui media seperti internet), sekalipun kita tidak bercita-cita untuk menjadi seorang pengajar suatu hari nanti. Tapi... takkanlah kita tak mahu mentarbiyyah isteri dan anak-anak? Cukupkah ilmu dan motivasi dari ceramah-ceramah popular sahaja untuk mengajar agama kepada mereka?

Ceramah popular isinya bersifat umum. Huraian dan bahasannya terdapat dalam pengajian berkitab. Oleh itu, jangan berpuas hati sekadar dengan menjadi seorang peminat ceramah popular. Jadilah juga peminat tegar kuliah bersiri (berkitab). Jumpa lagi : )


Abu Zulfiqar