MagzNetwork

Perawat 'Sembur' Dada Pesakit Wanita?

Posted by Alexanderwathern | 11:31 PM | , | 0 comments »


PERSOALAN :
As'kum ustaz, saya ingin bertanya, saya sedang menjalankan rawatan islam dengan seorang ustaz. Dia selalu membacakan ayat-ayat suci Al-Quran sambil menyentuh kemaluan dan buah dada saya. Kerana anggap dia sebagai atuk saya tidak kisah, lagipun bahagian itu memang selalu sakit. Tapi kali ini dia bertanya pada saya sama ada bolehkah dia sembur pada buah dada saya dan saya menjawab ya boleh kerana 'menyembur' tetapi dia sebenarnye menghisap puting dada saya. Adakah wujud dalam perubatan Islam menghisap puting dada?? Saya berasa was-was.

JAWAPAN :
Wlksm. Tidak wujud dalam perubatan Islam seorang perawat lebih-lebih lagi lelaki berbuat demikian, sekalipun sudah layak dipanggil ‘atuk’. Nyatalah orang yang dipanggil ‘ustaz’ itu sengaja mengambil kesempatan ke atas diri anda. Bahkan membacakan ayat-ayat Al-Quran sambil memegang bahagian-bahagian sulit wanita juga tidak boleh. Nyatalah juga bahawa orang itu tidak mengamalkan rawatan Islam pun. Bacaan ayat-ayat Quran itu sekadar ‘topeng’ sahaja.

Jin-jin jahat memang bijak, jika kita serang, dia akan lari berkubu ke tempat-tempat sulit. Semua itu tipu dayanya untuk mengenakan manusia.

Sebelum keadaan bertambah melarat, berhenti berubat dengan ‘ustaz’ itu. Kan dulu pernah ada kes seorang bomoh menghisap kemaluan pesakitnya yang wanita dengan alasan untuk mengeluarkan sihir dan penyakit? Yang lebih teruk daripada itu pun ada. Sekiranya anda punya kekuatan, sokongan dan bukti yang kuat, elok dilaporkan kepada pihak berkuasa. Jika tidak ada, cepat-cepat berhenti berubat dengannya dan berikhtiarlah ke tempat lain.

Kemudian, apabila pergi berubat, bawalah mahram atau saudara-mara atau sahabat. Jangan pergi berseorangan. Ketika dirawat, pastikan mereka ada bersama-sama anda sekurang-kurangnya satu orang. Jangan sesekali membiarkan hanya perawat dan diri anda berdua sahaja dalam bilik atau mana-mana tempat tertutup/terasing. Yang sangat penting, tutuplah aurat dengan sempurna ketika pergi mendapatkan rawatan.

Semoga Allah mudahkan segala urusan anda, dan disembuhkan-Nya.

Abu Zulfiqar
27 OGOS 2012

*Soalan di atas sebenarnya salah satu komen pada artikel saya yang bertajuk “Isu Sentuhan dalam Rawatan” di http://ikhtiarmuslim.blogspot.com/2011/11/isu-sentuhan-dalam-rawatan.html .

Syaitan Dirantai Pada Bulan Ramadhan?

Posted by Alexanderwathern | 11:56 PM | | 0 comments »


1.0 PENDAHULUAN

Umat manusia baik yang muslim, soleh, jahat, maksiat, bukan Islam dan kafir masih menjalani kehidupan seperti biasa sepanjang bulan Ramadhan ini. Begitu juga dengan bangsa jin. Semua jin termasuklah jin muslim yang melakukan maksiat dan yang bukan muslim tetap hidup seperti biasa sebagaimana  pada bulan-bulan selain Ramadhan.

Tidak percaya? Cuba tanya kepada orang-orang yang bersahabat, berdamping, membela dan seumpamanya tentang jin-jin mereka pada bulan Ramadhan ini. Jin-jin mereka tetap seperti biasa, tidak ke mana-mana.  Sebab itulah gangguan jin tetap berlaku pada bulan Ramadhan ini.

Timbul persoalan……. Bukankah ada hadith mengatakan “syaitan-syaitan dirantai” pada bulan Ramadhan? Terdapat pelbagai pandangan tentang hal ini, namun perkara penting yang kita mesti faham, yang dirantai ialah ‘syaitan-syaitan’, bukannya jin-jin.

Sabda Rasulullah saw :
“Apabila datangnya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka, dan dirantai syaitan-syaitan.” (Bukhari, Muslim)

2.0 MAKSUD ‘SYAITAN-SYAITAN DIRANTAI’

Berikut adalah antara pandangan yang popular :

2.1 PERTAMA
Jin pertama dicipta ialah Jaan, sebagaimana manusia pertama dicipta ialah Adam. Dari keturunan Jaan ini kemudiannya lahir satu jin bernama Azazil. Azazil ini kemudiannya menderhaka kepada Allah lalu dikenali sebagai Iblis (1). Maksudnya jin ada banyak tetapi Iblis hanya ada satu.

Kemudian Iblis berjimak (berkahwin?) dengan jin-jin wanita. Anak-anak yang dilahirkan oleh jin-jin wanita inilah yang melahirkan bangsa syaitan. Jin-jin boleh memilih untuk beragama Islam atau tidak, namun para syaitan selamanya tidak dapat menjadi seorang muslim. Mereka akan terus melakukan kerosakan dan hasutan sepanjang hayat mereka. Jadi yang dirantai sepanjang bulan Ramadhan ini hanyalah para syaitan, sedangkan para jin masih bebas beraktiviti seperti biasa.

2.2 KEDUA
‘Syaitan’ merujuk kepada sifat. Manusia atau jin yang mempunyai sifat-sifat buruk tertentu dikenali sebagai syaitan. “Minal jinnati wan naas” dalam Surah An-Naas menyatakan bahawa para penghasut yang timbul tenggelam (yang ditafsirkan oleh para ulama sebagai ‘syaitan’) itu terdiri daripada bangsa jin dan bangsa manusia. Maka istilah ‘syaitan’ itu bukanlah merujuk kepada jin, tetapi kepada manusia dan jin yang mempunyai sifat-sifat tertentu.

“Katakan : Aku berlindung dengan Rabb manusia, Malik manusia, Ilah manusia (2). (Berlindung) daripada kejahatan pembisik dan penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam dada manusia. (Yang terdiri) daripada (bangsa jin) dan (bangsa) manusia. (Surah An-Naas)

Berbalik kepada hadith tadi, yang dirantai atau dibelenggu itu bukanlah jin, tetapi sifat-sifat kesyaitanan yang ada pada diri manusia dan jin.

Mengapa digunakan istilah ‘dirantai/dibelenggu’? Hal itu untuk menyatakan ‘ketidakbebasan’. Sifat-sifat kesyaitanan pada diri manusia dan jin sepanjang bulan Ramadhan ini tidak bebas sepertimana dalam bulan-bulan selain Ramadhan.

Contohnya sifat syaitan pada diri kita sendiri. Antara sifat kesyaitanan yang kita layan pada bulan-bulan selain Ramadhan ialah seperti makan banyak, memandang kepada yang tidak halal, mengumpat, marah-marah, berfikiran jahat dan sebagainya. Tetapi apabila tiba bulan Ramadhan dan kita umat Islam berpuasa, sedikit-sebanyak kita berusaha mengekang sifat-sifat ini  pada siang hari agar puasa kita menjadi puasa yang berkualiti, dan pada malam hari pula kesempatan kita untuk keluar rumah tidak banyak. Hasilnya, sifat-sifat kesyaitanan ini seolah-olah terbelenggu, terantai dan tidak bebas seperti dalam bulan-bulan yang lain. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘syaitan-syaitan dirantai’.

2.3 KETIGA
Syaitan-syaitan itu tidak lain ialah semua jin. Sepanjang bulan Ramadhan, semua jin akan hilang buat sementara kerana mereka dirantai pada sesuatu yang entah di mana. Maksudnya tidak ada langsung jin yang bergerak bebas. Oleh kerana kesemua jin sudah dirantai, maka yang menjadi syaitan pada bulan Ramadhan ini ialah nafsu manusia.

Namun pandangan sebegini sudah semakin banyak ditolak umat Islam  kerana pandangan ini gagal menjawab mengapa para pengamal ilmu sihir masih beroperasi seperti biasa dan manusia tetap diganggu atau dirasuk pada bulan Ramadhan ini.

3.0 PENUTUP

Kesimpulannya, hanya Allah yang tahu maksud tepat akan pernyataan “syaitan-syaitan dirantai”. Namun begitu, sekurang-kurangnya kita sebagai umat Islam mestilah meyakini bahawa memang benar “para syaitan dirantai”. Dan tidak menjadi kesalahan pula jika umat Islam berusaha untuk mengkaji maksud “para syaitan dirantai” itu, sebagaimana yang sudah dilakukan oleh para ulama terdahulu. Yang lebih penting, kita mestilah berusaha gigih untuk menyingkirkan sifat-sifat kesyaitanan dari diri kita.

Abu Zulfiqar
1 OGOS 2012

(1)    Para mua’llij sendiri berkhilaf tentang asal-usul Iblis. Satu contoh yang boleh diambil ialah pandangan Ustaz Ismail Kamus (Rawatan Darussalam). Dalam sebuah rakaman, dia berpandangan Azazil/Iblis itu sendiri ialah Jaan. Saya pula lebih meyakini yang Jaan itu ialah jin pertama, manakala Azazil/Iblis itu ialah salah seorang anak cucunya., sebagaimana Adam ialah manusia pertama, manakala Dajjal ialah salah seorang anak cucu Adam. WaAllahua’lam.
(2)    Saya kini lebih suka mengekalkan bunyi asal nama-nama bagi Allah jika menulis terjemahan ayat-ayat Al-Quran (disamping menyertakan terjemahan yang biasa kita baca), kerana ia memberi maksud yang lebih jelas dan khusus. Jika tidak dibuat begitu, kekhususan nama-nama Tuhan itu dan peranannya akan bercampur-baur, dan adakalanya hilang begitu sahaja apabila dalam banyak tempat, semuanya diterjemah atau difahami sebagai ‘Tuhan’ sahaja. Kita lihat kekeliruan penganut agama Kristian apabila kesemua istilah nama-nama Tuhan dan yang bukan Tuhan diterjemahnya sebagai “God” sahaja. Yehowah, Adonai, Eloah, El, Elohim dan sebagainya ditulis “God”. Padahal untuk setiap istilah itu ada maksud yang lebih khusus, menyebabkan ada umat Kristian yang menyembah selain Tuhan sebagai Tuhan. Bagi umat Islam, hal ini mungkin tidak sampai seserius itu, tapi lebih kepada pudarnya kekhususan nama-nama itu. WaAllahua’lam.

Makhluk Halus Mengganggu Ketika Ramadhan?

Posted by Alexanderwathern | 11:52 PM | | 0 comments »


PERSOALAN :
Assalamualaikum Ustaz,
Soalan saya, apakah sebab masih ada gangguan atau pernampakan makhluk-makhluk halus di bulan Ramadhan yang suci ini?

PENJELASAN :
Wlksm. Hal itu kerana makhluk jin juga sama seperti manusia. Kita berpuasa, mereka yang muslim pun berpuasa. Kita ada yang buat maksiat walaupun muslim, mereka pun sama di bulan Ramadhan ini. Ada manusia muslim yang merompak, membunuh, mencuri Dan sebagainya pada bulan Ramadhan ini, jin yang muslim pun ada yang begitu. Manusia yang bukan Islam bebas macam biasa ke sana ke mari, jin-jin yang bukan Islam pun begitu juga. Bezanya, kita tak nampak mereka, mereka nampak kita.

Maksudnya di sini, gangguan dan penjelmaan memang akan sentiasa ada kerana jin-jin baik yang muslim atau bukan, yang soleh atau tidak, masih hidup seperti biasa walaupun di bulan Ramadhan ini. Pengamal ilmu sihir yang memiliki jin-jin belaan atau dampingan, jin-jin itu tetap bersama-sama mereka seperti biasa sepanjang Ramadhan ini. Cubalah tanya mereka yang ada sahabat, dampingan, belaan atau seumpamanya, jin mereka tetap ada seperti biasa, tidak hilang ke mana-mana.

WA.

Abu Zulfiqar
1 OGOS 2012