PERSOALAN :
Salam.. saya ingin bertanya cara perubatan Islam secara terperinci. Selain menggunakan doa dan ayat Al-Quran, bolehkan seseorang pengamal itu menyentuh seseorang pesakit untuk mengesan jin di dalam badan.
JAWAPAN :
Wlksm.
Pada pandangan saya, semua perubatan yang baik ialah perubatan Islam. Perubatan yang banyak menggunakan doa dan ayat-ayat Al-Quran yang biasa kita dengar itu saya namakan sebagai perubatan tradisional Islam.
Seterusnya, tentang perkataan ‘boleh’ yang punya dua maksud.
Pertama, bolehkah (dibenarkankah) menyentuh seseorang pesakit untuk mengesan jin di dalam badan? Jawapannya boleh, dengan syarat-syarat tertentu dan pada bahagian tertentu. Tidak dibenarkan asal hendak kesan jin sahaja, terus sentuh. Melampau tu!
Kedua, bolehkah (dapatkah/mampukah) perawat menyentuh seseorang pesakit untuk mengesan jin dalam badan? Jawapannya ya, boleh.
Penjelasan lanjut adalah seperti di bawah...
Ketika merawat, seboleh-bolehnya kita jangan menyentuh pesakit terutamanya wanita. Sekiranya pesakit tidak beraksi membahayakan orang lain, kita duduklah berhampirannya lalu meruqyah. Sekiranya jin berdegil, barulah kita letakkan tapak tangan kanan di atas kepala pesakit. Sekiranya pesakit tidak bertudung, kita lapik tangan dengan kain tebal.
Tempat lain yang boleh kita sentuh sekiranya perlu ialah kaki, iaitu paras buku lali ke bawah. Di situ ada titik-titik refleksi untuk hampir seluruh tubuh. Sekiranya jin tidak dapat dikesan, kita akan serang dengan cara meruqyah dan memicit saraf yang berkaitan untuk mengesan kedudukan jin. Melalui titik refleksi ini kita boleh menyerang kedudukan jin di kepala, mata , telinga, perut, dada dan lain-lain tanpa perlu menyentuh bahagian-bahagian berkenaan secara langsung.
Bagaimana dengan titik-titik refleksi di tangan dan telinga? Tak perlu disentuh. Titik refleksi di kaki lebih kuat daripada tangan dan telinga. Sekiranya di kaki pun tidak berkesan, tentunya di tangan dan telinga pun lebih tidak berkesan. Logiknya begitu. Jadi, jangan ambil kesempatan. Lelaki bersentuhan tangan dengan wanita, kan lain rasanya? Telinga wanita disentuh lelaki, kan lain juga rasanya?
Sekiranya jin berjaya dikesan tetapi berdegil untuk keluar, menyerang dengan menekan titik refleksi juga boleh dipraktikkan. Sekiranya jin duduk di perut ataupun buah pinggang, takkan kita hendak pegang bahagian itu? Melampau tu!
Tapi kaedah refeleksi tapak kaki ini kadang-kadang menimbulkan fitnah juga. Ada orang beranggapan si pesakit menjerit bukan kerana ada jin, tetapi kerana kakinya dipicit oleh perawat. Hal ini satu masalah juga kerana memang ada perawat penipu yang tekan dengan sangat kuat pada bahagian tertentu, dan minta pesakit mengaku sebagai jin yang sedang berbicara. Pesakit itu sudahlah sakit, ditekan kuat di kakinya pula. Oleh kerana hendak lepas daripada terus dipicit oleh perawat, pesakit pun mengakulah, “Ya, aku jin.” Padahal tidka ada jin pun dalam tubuhnya.
Saya memang tidak bersetuju dengan sebahagian perawat yang mudah-mudah menyentuh, meraba, memegang, menepuk, memicit dan lain-lain di dada, perut, belakang, paha dan sebagainya. Alasan mereka, untuk ‘attack’ jin atau untuk mengeluarkan jin. Mengapa mesti menyentuh bahagian-bahagian itu sedangkan kita boleh ‘attack’ tanpa perlu menyentuhnya?
Jin syaitan memang bijak. Apabila diserang, dia akan lari menyorok atau bertahan di bahagian-bahagian sulit. Perkara ini umumnya para perawat tahu. Tapi entah mengapa mereka masih meletakkan tangan pada bahagian-bahagian itu. Kadang-kadang ditunjukkan dalam televisyen pula.
Dalam usaha untuk tidak mahu menyentuh penyakit, Ustaz Abdul Majid AKRINE menggunakan batang besi pendek. Besi kan pengalir? Diletakkannya hujung besi itu pada tempat-tempat yang tidak sensitif, lalu dia mengesan atau menyerang melalui batang besi itu. Dah orang kata dia pakai barang hikmat pula. Padahal baguslah kaedahnya itu, untuk meminimumkan sentuhan.
Bila masanya kita boleh menyentuh pesakit? Antaranya ketika pesakit meronta sehingga membahayakan dirinya atau orang lain. Jenis ini terpaksa kita tangkap. Satu lagi sekiranya pesakit menyerang perawat, perawat bolehlah menepis, menangkap atau mengunci pergerakan pesakit.
Sekiranya dengan menekan titik refleksi di kaki pun tidak berjaya, jangan hal itu dijadikan alasan untuk menyentuh bahagian tubuh pesakit. Kita boleh berikhtiar dengan cara menyerang menggunakan jurus dari jarak jauh.
Satu hal yang pasti, isu sentuhan ini banyak ditimbulkan dalam rawatan alternatif. Dalam rawatan moden, doktor pegang dan tengok aurat wanita sangat kurang pula dipertikaikan. Biasanya pesakit wanita dengan mudah membenarkan doktor melihat atau menyentuh aurat mereka. Adakah kerana doktor-doktor diiktiraf oleh sains moden maka kita tidak perlu mempertikaikannya?
Contohnya , kita pergi jumpa doktor lelaki bukan Islam, doktor terus pegang tangan kita untuk periksa denyut nadi, biasa. Kita tidak pula membantah dan tidak pula memandang serong. Tapi cuba ketika sampai di depan perawat Islam, perawat pegang tangan pesakit wanita untuk memeriksa nadinya. Kemungkinan besar orang akan pandang serong. Betul kan?
Wanita Islam sakit pada bahagian telinga. Sampai di depan doktor lelaki, doktor suruh selak tudung untuk suluh lubang telinga. Kan biasa? Siapa pun tidak pertikai. Tapi cuba wanita Islam sakit telinga, perawat Islam minta selak tudung untuk tengok dalam telinga, mahu heboh sekampung.
Saya melihat dalam isu melihat dan menyentuh ini, seolah-olah ada double-standard. Kalau atas nama sains moden, lelaki kafir dan musyrik pun direlakan melihat dan menyentuh wanita Islam. Tapi kalau atas nama perubatan tradisional Islam, ulama pun akan dihentam habis-habisan jika ada melihat atau menyentuh wanita Islam.
WaAllahua’lam.
Abu Zulfiqar
23 November 2011
subhanallah...ustaz, saya ingin bertanya...saya sedang menjalani rawatan perubatan secara islam dengan seorang ustaz.. setelah ustaz bacakan ruqyah,,memang ada benda pada saya, kerana saya mula menggeletar dengan kuat..tapi saya tidak senang dan tertanya-tanya ttg cararawatan ustaz tersebut...ustaz menyentuh bahagian kemaluan saya, di bahagian tepi dan juga dada saya, kerana mendakwa benda tersebut ada di situ,,kerana ketika beliau menekan di bhagian kiri kemaluan saya dan juga bahagian kiri dada saya,, badan saya makin kuat menggeletar...adakah ustaz tersebut hanya ingin mengambil kesempatan pada saya? saya sangat tidak selesa dan marah bila ustaz tersebut menyentuh bahagian kemaluan dan buah dada saya tanpa alas.. bantu la saya ustaz..
Boleh jadi ustaz itu mengambil kesempatan, tapi boleh jadi juga dia TIDAK TAHU ADAB-ADAB ketika merawat walaupun dia tahu merawat. Memang ada perawat yang menyangkakan sekiranya jin-jin dalam tubuh pesakit lari dan berselindung pada bahagian-bahagian sulit, kononnya dibenarkan untuk mereka menyerang dengan cara menyentuh dan memegang bahagian tersebut. Sebenarnya tak boleh.
Memanglah jin syaitan suka jika mereka dapat menjerumuskan manusia kepada dosa sekalipun kecil. Apabila mereka berjaya mengumpan perawat untuk menjamah bahagian-bahagian sulit, hal itu sudah berupa kemenangan buat mereka. Sebab itulah mereka gemar menyorok di bahagian-bahagian tersebut.
Sepatutnya perawat tidak boleh menjamah tempat-tempat itu. Bukankah boleh ‘disentuh’ secara tidak langsung melalui titik-titik refeleksi di kaki? Jika dia lebih berkemampuan, boleh sahaja dia ‘attack’ jin-jin itu dengan jurus dari jarak jauh. Mengapa mesti disentuh secara terus? Jika perawat itu tidak ada pengetahuan tentang refleksi dan rawatan dari jauh, sepatutnya dia mengalah, mengakui kemampuannya merawat hanya setakat itu, dan mencadangkan agar pesakit berikhtiar mencari perawat lain yang lebih mahir.
Saranan saya, anda dapatkan rawatan dari perawat yang lain. Pergi dengan mahram ataupun dengan kawan-kawan, jangan berseorangan. Semoga segala urusan anda dimudahkan oelh Allah SWT.
Abu Zulfiqar
21 Januari 2012
as'kum ustaz, saya ingin bertanya, saya sedang menjalankan rawatan islam dengan seorang ustaz. dia selalu membacakan ayat2 suci al-quran sambil menyentuh kemaluan dan buah dada saya. Kerana anggap dia sebagai atuk saya tidak kisah, lagipun bahagian itu memang selalu sakit. Tapi kali ini dia bertanya pada saya sama ada bolehkah dia sembur pada buah dada saya dan saya menjawab ya boleh kerana 'menyembur' tetapi dia sebenarnye menghisap puting dada saya. Adakah wujud dalam perubatan islam menghisap puting dada?? saya berasa was-was.
Wlksm. Tidak wujud dalam perubatan Islam seorang perawat lebih-lebih lagi lelaki berbuat demikian, sekalipun sudah layak dipanggil ‘atuk’. Nyatalah orang yang dipanggil ‘ustaz’ itu sengaja mengambil kesempatan ke atas diri anda. Bahkan membacakan ayat-ayat Al-Quran sambil memegang bahagian-bahagian sulit wanita juga tidak boleh. Nyatalah juga bahawa orang itu tidak mengamalkan rawatan Islam pun. Bacaan ayat-ayat Quran itu sekadar ‘topeng’ sahaja.
Jin-jin jahat memang bijak, jika kita serang, dia akan lari berkubu ke tempat-tempat sulit. Semua itu tipu dayanya untuk mengenakan manusia.
Sebelum keadaan bertambah melarat, berhenti berubat dengan ‘ustaz’ itu. Kan dulu pernah ada kes seorang bomoh menghisap kemaluan pesakitnya yang wanita dengan alasan untuk mengeluarkan sihir dan penyakit? Yang lebih teruk daripada itu pun ada. Sekiranya anda punya kekuatan, sokongan dan bukti yang kuat, elok dilaporkan kepada pihak berkuasa. Jika tidak ada, cepat-cepat berhenti berubat dengannya dan berikhtiarlah ke tempat lain.
Kemudian, apabila pergi berubat, bawalah mahram atau saudara-mara atau sahabat. Jangan pergi berseorangan. Ketika dirawat, pastikan mereka ada bersama-sama anda sekurang-kurangnya satu orang. Jangan sesekali membiarkan hanya perawat dan diri anda berdua sahaja dalam bilik atau mana-mana tempat tertutup/terasing. Yang sangat penting, tutuplah aurat dengan sempurna ketika pergi mendapatkan rawatan.
Semoga Allah mudahkan segala urusan anda, dan disembuhkan-Nya.