MagzNetwork

Hadiah Pertama

Posted by Alexanderwathern | 5:56 PM | , | 0 comments »

Percaya atau tidak, saya tidak pernah mengambil apa-apa bayaran sepanjang melibatkan diri dalam rawatan alternatif ini (secara cuba-cuba sejak 6 tahun lalu dan secara agak aktif sejak 2-3 tahun lalu)?

Memang benar. Saya tidak berbuat demikian memandangkan saya hanyalah perawat sambilan, tidak kerap merawat, jarang bergerak jauh, tidak banyak ilmu dan memang berasa sangat puas hati jika dapat berkhidmat tanpa mengambil apa-apa bayaran. Tapi baru-baru ini saya mendapat bayaran pertama berupa HADIAH wang sebanyak RM 10.

Asalnya saya diminta ‘memagar’ rumah seorang sahabat. Saya pun beli dan cari bahan-bahannya, doakan dan beri kepada sahabat itu untuk dipagarnya sendiri. Selang dua tiga hari, dia bertanyakan bayaran. Saya cakap kos bahan semuanya RM 3.40. Jika mahu membayar, cukup dengan harga kos itu sahaja. Sahabat saya tertawa mendengar bayaran sekecil itu. Pada saya, tidak dibayar pun tidak mengapa kerana kosnya kecil. Sebelum ini pun saya tidak mengambil apa-apa bayaran apabila memagar rumah ataupun merawat, kecuali rawatan bekam kerana ia ada kos alatan dan merenyahkan. Itu pun sekadar RM 3 untuk satu ‘cup’. Biasanya orang ambil RM 5 dan ke atas untuk satu ‘cup’.

Esoknya sahabat saya menghulurkan sekeping sampul putih. Sebelum menyambutnya saya bertanya terlebih dahulu : “RM 3.40 ye?” Dia tersenyum sambil mengangguk, “Ye, RM 3.40.” Barulah Saya menyambutnya.

Sampai di rumah saya buka sampulnya. Ternyata ada RM 10. Terima kasih kepada sahabat saya itu atas hadiahnya. Secara automatik dia memegang rekod sebagai orang pertama memberi hadiah kepada saya selaku seorang perawat.

Pernah juga dibawa membuat rawatan lebih kurang 40 km dari rumah. Saya tidak ambil apa-apa bayaran, tapi kebetulan selepas itu terserempak dengan tuan rumah di kedai ketika saya sedang makan mi goreng. Terus dia bayarkan.

[Ada seorang sahabat perawat, diambil pukul 2-3 pagi pergi merawat di tempat yang jauh. Selepas dihantar pulang, dia dihadiahkan RM 5. Memang tak patut. Sudahlah kerja ‘overtime’ (sepatutnya dibayar ‘triple’ tu) , berdepan dengan gangguan, dapat RM 5 sahaja. Patut-patutlah wahai manusia]

Sepanjang mengajar kitab, berceramah, kendalikan usrah dan seumpamanya pun begitu. Tiada sebarang bayaran dikenakan. Biasanya saya yang keluarkan wang untuk nota dan risalah. Tapi saya pernah dapat RM 100... selepas hampir 20 kali mengajar kitab di sebuah tempat. Di sebuah tempat pula, sudah lebih 50 kali mengajar, tidak pernah mengambil apa-apa bayaran. Selain itu, saya pernah dapat sehelai t-shirt sebagai hadiah selepas berceramah di satu tempat, lebih kurang 60 kilometer dari rumah.

Ada sebuah tempat menawarkan RM 200 setiap kali mengajar, tapi jauh lebih kurang 250 kilometer dari rumah. Tak payahlah. Bukan kerana bayarannya kecil, bagi saya sudah besar rahmat RM 200 itu, tapi saya berasa sangat rugi habis masa perjalanan pergi 3 ½ jam dan pulang 3 ½ jam. Lebih baik masa itu saya gunakan untuk ‘top-up’ ilmu sendiri, banyak yang boleh saya lakukan.

Adakah saya banyak wang? Gaji tinggi? Tidak. Dalam kalangan rakan-rakan sejawat di tempat kerja, sayalah yang paling rendah gajinya (kerana kelulusan tidak tinggi) dan mungkin juga yang paling buruk kereta utamanya (Iswara Aeroback 1.3 berharga RM 12,300. Kini harganya mungkin tinggal 5-6 ribu sahaja. Kereta utama teman-teman lain... paling murah pun rasa-rasanya RM 30,000 dan ada yang lebih seratus ribu ).

Saya terkejut juga apabila mendengar khabar ada perawat tertentu yang mengajar ilmu bekam dalam masa satu dua jam dengan bayaran ratusan ringgit. Mahal betul! Sahabat saya mengendalikan kursus bekam 5-6 jam dengan bayaran RM 50 sahaja, sekali dengan alat keseluruhannya RM 80. Jika alatannya jenis berkualiti tinggi, keseluruhannya hanya RM 170.

Kesimpulannya setakat ini saya berpuas hati dengan khidmat yang mampu saya berikan tanpa mengambil apa-apa bayaran. Namun jika suatu hari nanti saya terpaksa bergerak ke sana sini selalu dan banyak masa merawat, tidak mustahil saya juga akan mengambil sedikit bayaran.

WaAllahua’lam.

21 Januari 2011

Terkena Badi/ Bahadi Mayat

Posted by Alexanderwathern | 5:52 PM | , , | 3 comments »

Seorang sahabat lama menceritakan halnya dua tiga bulan lepas. Dia telah menziarahi satu jenazah saudara-maranya. Masalah timbul apabila dia pulang ke rumah. Dia asyik terbau kapur barus. Dia cuba menghilangkannya tetapi gagal. Dia minta pandangan saya.

Saya mengesyaki dia terkena ‘badi/ bahadi mayat’. Itulah istilah yang digunakan oleh orang Melayu walaupun si mayat bukanlah pihak yang membuatkan sesiapa terkena badi/ bahadi itu. Antara faktor terkenanya badi/bahadi mayat itu ialah jin ataupun keadaan diri orang itu sendiri.

Saya syorkan sahabat saya itu mandi limau dan ‘pagar rumah’. Oleh kerana kami tinggal berjauhan, saya hanya maklumkan cara-caranya dan dia lakukan sendiri. Hasilnya, bau itu seakan-akan melawan, makin keras. Saya berpandangan sahabat saya ini sebaiknya pergi dapatkan rawatan dari mana-mana perawat berhampiran.

Dua kali sahabat saya pergi ke Darussyifa’ tetapi belum dapat kesembuhan daripada Tuhan. Dia mencuba pula dengan Ustaz Sharhan (Zamdurrani) dengan kaedah mandi air daun pandan. Nampaknya berhasil. Sahabat saya itu pulih dengan izin Allah.

21 Januari 2011

Dugaan Ketika Memagar

Posted by Alexanderwathern | 9:01 PM | , | 0 comments »

Cerita ini bukan pengalaman saya, tetapi pengalaman dua orang yang ada hubungan persaudaraan dengan saya.

Pengalaman pertama, seorang makcik memagar rumahnya dengan garam yang didoakan. Sampai di satu sudut, garam yang dilemparkan itu berpatah balik, dilemparkan semula ke arahnya. Namun si makcik tetap teguh hati dan berjaya menyelesaikan kerjanya.

Pengalaman kedua, seorang jejaka memagar rumahnya dengan kaedah membaling batu dari satu sudut ke satu sudut. Ketika membaling di sisi kiri rumahnya, batu yang dibaling dengan kuat (asasarannya sekitar 30 meter) jatuh 4-5 meter sahaja di depannya. Apa hal? Dia juga berjaya menghabiskan tugasannya.

Begitulah... : )

Anak Tak Mahu Berpisah dengan Ibu di Sekolah

Posted by Alexanderwathern | 7:41 PM | , | 1 comments »

SOALAN:

Salam.. Saya nak tanya kalau-kalau ada ayat atau doa yang berkaitan dengan anak saya.. Tahun ni anak saya masuk darjah 1..dua hari ni saya tunggu seharian di sekolah kerana dia menangis nak kan saya berada dekat dia...dia ni memang manja sikit...saya dah minta penawar dari Ustaz Sharhan Shafie..tetapi dia stil juga nak kan saya berada bersamanya..harap dapat membntu.. Terima kasih.. Wassalam.

JAWAPAN:

Wlskm Mxxxxxxxxx,

Dari segi DOA, boleh cuba baca :

1. Surah Al-Fatihah

2. Surah Taahaa ayat 1-5

3. Surah Taahaa ayat 14

4. Surah Ibrahim ayat 37

Niatkan minta Tuhan tolong LEMBUTKAN HATI anak dan minta Tuhan buatkan PERASAANNYA TENTERAM ketika ditinggalkan.

Antara sandaran amalan ini:

1. Al-Fatihah ialah raja doa. Diharapkan doa-doa kita dimakbulkan Tuhan.

2. Surah Taahaa ayat 1-5 ialah pelembut hati keras Saidina Umar yang bertindak kasar kepada adik dan adik iparnya, membuatkan dia memeluk agama Islam. Diharapkan hati si anak tadi jadi lembut.

3. Riwayat lain mengatakan ayat pelembut hati Saidina Umar itu ialah ayat 14.

4. Surah Ibrahim ayat 37 ialah doa Nabi Ibrahim kerana diperintahkan meninggalkan isterinya Hajar dan anaknya Ismail bersendirian di lembah Makkah. Diharapkan si anak akan berasa tenteram walaupun tanpa kehadiran ibu bapanya di sisi.

Caranya (boleh pilih salah satu, beberapa ataupun kesemua cara):

1. Baca, hembus kepada anak ketika dia sedang tidur.

2. Baca, hembus ke air kosong dan beri anak minum.

3. Baca, hembuskan ke arah anak pada masa-masa yang diperlukan.

4. Sambil-sambil duduk berdekatan dengan anak, baca dengan agak kuat biar terdengar ke telinga anak.

5. Baca, niat sahaja tanpa perlu menghembus.

Dari segi PENGALAMAN banyak orang pula, tinggalkan sahaja si anak di situ. Selagi kita berada di situ, dia akan menangis panjang tak mahu berpisah. Tapi apabila ditinggalkan kepada guru, dia menangis juga tapi tidak lama. Dan akhirnya dia akan mengikut sahaja proses pembelajaran kerana melihat murid-murid lain berbuat demikian. (Cuma kita le rasa tak sampai hati nak tinggalkan dia).

Dari segi PSIKOLOGI, ibu duduk di sebelah anak. Setelah beberapa lama, jauhkan sedikit tempat duduk. Kemudian bangun dan duduk kembali. Kemudian bangun berjalan sedikit dan duduk kembali. Kemudian bangun berjalan-jalan ke serata kelas, dan duduk kembali (biar dia boleh melihat kita). Kemudian bangun berjalan ke luar kelas sekejap dan duduk kembali. Kemudian bangun berjalan ke luar kelas lama dan duduk kembali (tapi biarkan dia nampak kita). Kemudian bangun dan ke luar kelas, jangan masuk kembali. Biar dia nampak kita sesekali. Begitulah seterusnya. Tapi cara begini memang makan masa sehari dua.

Dari segi PETUA ORANG TUA-TUA (dan psikologi), ambil pakaian sekolahnya, letakkan sebentar pada mana-mana bahagian tubuh kita supaya melekat sedikit bau badan kita. Baju itulah dipakaikan padanya ketika ke sekolah. Ada kemungkinan hatinya lebih mudah tenteram kerana bau ibunya dirasakan dekat dengan dirinya apabila ditinggalkan nanti. Petua ini berdasarkan kisah Nabi Yaaqub diberikan baju Nabi Yusuf yang dikatakan mati dimakan serigala.

WaAllahua’lam.

Abu Zulfiqar

Januari 2010

Tanda-tanda Ada Jin dalam Badan

Posted by Alexanderwathern | 7:31 PM | , | 9 comments »

SOALAN OLEH S:

Boleh ana buat appointment dengan anta?
Ana selalu follow blog anta, dan ana thiqah dengan anta.

Jadi ana rasa nak bertanya kepada anta tentang simptom-simptom yang menandakan ada jin dalam badan.

ABU ZULFIQAR MENULIS:

Appointment yang bagaimana tu tuan?
Terima kasih kerana ada membaca blog saya.

Antara tanda2nya :

DALAM KEADAAN JAGA
- Selalu ternampak makhluk halus ataupun lintasannya.
- Selalu berasa seperti diperhati oleh sesuatu.
- Selalu terdengar bisikan/ suara/ hela nafas
- Selalu ada pergerakan dalam badan.
- Ada penyakit yang tak ada penjelasan mengikut kajian sains.
- Selalu sakit kepala.
- Selalu sesak nafas
- Selalu cepat marah
- Berasa marah / benci kepada seseorang tetapi tak pasti atas sebab apa, hanya berasa marah sahaja akan dia.
- Ada kesan-kesan cakar/ lebam pada tubuh.
- Selalu berasa ketakutan.

KETIKA TERTIDUR
- Kerap terjaga.
- Selalu susah hendak tidur
- Bercakap/ berjalan dalam tidur
- Selalu mimpi lihat binatang-binatang buas dan berbisa.
- Selalu mimpi kanak-kanak
- Selalu mimpi bersetubuh dengan seseorang.
- Selalu mimpi lemas/ banjir

Sekiranya ada banyak daripada ciri-ciri di atas, besar kemungkinan ada jin yang mengganggu.

WA.