1.0 PENDAHULUAN
Umat manusia baik yang muslim, soleh, jahat, maksiat, bukan
Islam dan kafir masih menjalani kehidupan seperti biasa sepanjang bulan
Ramadhan ini. Begitu juga dengan bangsa jin. Semua jin termasuklah jin muslim
yang melakukan maksiat dan yang bukan muslim tetap hidup seperti biasa
sebagaimana pada bulan-bulan selain
Ramadhan.
Tidak percaya? Cuba tanya kepada orang-orang yang bersahabat,
berdamping, membela dan seumpamanya tentang jin-jin mereka pada bulan Ramadhan
ini. Jin-jin mereka tetap seperti biasa, tidak ke mana-mana. Sebab itulah gangguan jin tetap berlaku pada
bulan Ramadhan ini.
Timbul persoalan……. Bukankah ada hadith mengatakan “syaitan-syaitan
dirantai” pada bulan Ramadhan? Terdapat pelbagai pandangan tentang hal ini,
namun perkara penting yang kita mesti faham, yang dirantai ialah ‘syaitan-syaitan’,
bukannya jin-jin.
Sabda Rasulullah saw :
“Apabila datangnya Ramadhan, dibuka
pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka, dan dirantai
syaitan-syaitan.” (Bukhari, Muslim)
2.0 MAKSUD ‘SYAITAN-SYAITAN
DIRANTAI’
Berikut adalah antara pandangan yang popular :
2.1 PERTAMA
Jin pertama dicipta ialah Jaan, sebagaimana manusia
pertama dicipta ialah Adam. Dari keturunan Jaan ini kemudiannya lahir satu jin
bernama Azazil. Azazil ini kemudiannya menderhaka kepada Allah lalu dikenali
sebagai Iblis (1). Maksudnya jin ada banyak tetapi Iblis hanya ada satu.
Kemudian Iblis berjimak (berkahwin?) dengan jin-jin
wanita. Anak-anak yang dilahirkan oleh jin-jin wanita inilah yang melahirkan
bangsa syaitan. Jin-jin boleh memilih untuk beragama Islam atau tidak, namun
para syaitan selamanya tidak dapat menjadi seorang muslim. Mereka akan terus
melakukan kerosakan dan hasutan sepanjang hayat mereka. Jadi yang dirantai
sepanjang bulan Ramadhan ini hanyalah para syaitan, sedangkan para jin masih
bebas beraktiviti seperti biasa.
2.2 KEDUA
‘Syaitan’ merujuk kepada sifat. Manusia atau jin yang
mempunyai sifat-sifat buruk tertentu dikenali sebagai syaitan. “Minal jinnati
wan naas” dalam Surah An-Naas menyatakan bahawa para penghasut yang timbul
tenggelam (yang ditafsirkan oleh para ulama sebagai ‘syaitan’) itu terdiri
daripada bangsa jin dan bangsa manusia. Maka istilah ‘syaitan’ itu bukanlah
merujuk kepada jin, tetapi kepada manusia dan jin yang mempunyai sifat-sifat
tertentu.
“Katakan : Aku berlindung dengan Rabb manusia,
Malik manusia, Ilah manusia (2). (Berlindung) daripada kejahatan pembisik
dan penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke
dalam dada manusia. (Yang terdiri) daripada (bangsa jin) dan (bangsa) manusia.
(Surah An-Naas)
Berbalik kepada hadith tadi, yang dirantai atau
dibelenggu itu bukanlah jin, tetapi sifat-sifat kesyaitanan yang ada pada diri
manusia dan jin.
Mengapa digunakan istilah ‘dirantai/dibelenggu’? Hal itu
untuk menyatakan ‘ketidakbebasan’. Sifat-sifat kesyaitanan pada diri manusia dan
jin sepanjang bulan Ramadhan ini tidak bebas sepertimana dalam bulan-bulan
selain Ramadhan.
Contohnya sifat syaitan pada diri kita sendiri. Antara
sifat kesyaitanan yang kita layan pada bulan-bulan selain Ramadhan ialah
seperti makan banyak, memandang kepada yang tidak halal, mengumpat, marah-marah,
berfikiran jahat dan sebagainya. Tetapi apabila tiba bulan Ramadhan dan kita
umat Islam berpuasa, sedikit-sebanyak kita berusaha mengekang sifat-sifat ini pada siang hari agar puasa kita menjadi puasa
yang berkualiti, dan pada malam hari pula kesempatan kita untuk keluar rumah
tidak banyak. Hasilnya, sifat-sifat kesyaitanan ini seolah-olah terbelenggu,
terantai dan tidak bebas seperti dalam bulan-bulan yang lain. Inilah yang
dimaksudkan dengan ‘syaitan-syaitan dirantai’.
2.3 KETIGA
Syaitan-syaitan itu tidak lain ialah semua jin. Sepanjang
bulan Ramadhan, semua jin akan hilang buat sementara kerana mereka dirantai
pada sesuatu yang entah di mana. Maksudnya tidak ada langsung jin yang bergerak
bebas. Oleh kerana kesemua jin sudah dirantai, maka yang menjadi syaitan pada
bulan Ramadhan ini ialah nafsu manusia.
Namun pandangan sebegini sudah semakin banyak ditolak
umat Islam kerana pandangan ini gagal
menjawab mengapa para pengamal ilmu sihir masih beroperasi seperti biasa dan
manusia tetap diganggu atau dirasuk pada bulan Ramadhan ini.
3.0 PENUTUP
Kesimpulannya, hanya Allah yang tahu maksud tepat akan
pernyataan “syaitan-syaitan dirantai”. Namun begitu, sekurang-kurangnya kita
sebagai umat Islam mestilah meyakini bahawa memang benar “para syaitan dirantai”.
Dan tidak menjadi kesalahan pula jika umat Islam berusaha untuk mengkaji maksud
“para syaitan dirantai” itu, sebagaimana yang sudah dilakukan oleh para ulama
terdahulu. Yang lebih penting, kita mestilah berusaha gigih untuk menyingkirkan
sifat-sifat kesyaitanan dari diri kita.
Abu Zulfiqar
1 OGOS 2012
(1) Para
mua’llij sendiri berkhilaf tentang asal-usul Iblis. Satu contoh yang boleh
diambil ialah pandangan Ustaz Ismail Kamus (Rawatan Darussalam). Dalam sebuah
rakaman, dia berpandangan Azazil/Iblis itu sendiri ialah Jaan. Saya pula lebih
meyakini yang Jaan itu ialah jin pertama, manakala Azazil/Iblis itu ialah salah
seorang anak cucunya., sebagaimana Adam ialah manusia pertama, manakala Dajjal
ialah salah seorang anak cucu Adam. WaAllahua’lam.
(2) Saya
kini lebih suka mengekalkan bunyi asal nama-nama bagi Allah jika menulis
terjemahan ayat-ayat Al-Quran (disamping menyertakan terjemahan yang biasa kita
baca), kerana ia memberi maksud yang lebih jelas dan khusus. Jika tidak dibuat
begitu, kekhususan nama-nama Tuhan itu dan peranannya akan bercampur-baur, dan
adakalanya hilang begitu sahaja apabila dalam banyak tempat, semuanya
diterjemah atau difahami sebagai ‘Tuhan’ sahaja. Kita lihat kekeliruan penganut
agama Kristian apabila kesemua istilah nama-nama Tuhan dan yang bukan Tuhan
diterjemahnya sebagai “God” sahaja. Yehowah, Adonai, Eloah, El, Elohim dan
sebagainya ditulis “God”. Padahal untuk setiap istilah itu ada maksud yang
lebih khusus, menyebabkan ada umat Kristian yang menyembah selain Tuhan sebagai
Tuhan. Bagi umat Islam, hal ini mungkin tidak sampai seserius itu, tapi lebih
kepada pudarnya kekhususan nama-nama itu. WaAllahua’lam.
0 comments
Post a Comment