MagzNetwork

Lokasi Rawatan Ikhtiar Muslim

Posted by Alexanderwathern | 10:50 PM | | 0 comments »

Ada yang berhajat untuk cuba berikhtiar dengan kaedah rawatan Ikhtiar Muslim, tetapi tidak tahu caranya. Orang dari jauh pun ada, dari dekat pun ada. Masalahnya, saya tidak berpeluang melapangkan waktu untuk menerima pengunjung.

Namun begitu, ada satu ruang waktu yang saya fikir mungkin sesuai. Saya akan cuba melapangkan waktu pada malam berkenaan. Jadi kepada sesiapa yang mahu mencuba (manalah tahu dengan izin Allah beroleh kesembuhan dan penyelesaian), bolehlah berkunjung ke Surau Sungai Nyior, Trong, Perak Darul Ridzuan pada setiap hari Ahad malam Isnin selepas solat fardhu Isyak selesai. Kebetulan selepas Maghrib saya mengajar kitab Kifaayatul Muhtaaj di situ. Saya tidak menjanjikan kesembuhan dan penyelesaian kepada masalah, tetapi boleh tolong mendoakan dan berikhtiar.

Umumnya tidak ada sebarang bayaran dikenakan, cuma mungkin anda kena membeli bahan-bahan tertentu di kedai ataupun mencarinya di mana-mana sekiranya berkaitan dengan masalah anda. Contohnya air mineral, daun kacang kelisa, garam kasar, limau purut, madu ataupun barang-barang lain. Itu pun jika perlu.

Saya tidaklah sehebat perawat-perawat lain yang mampu merawat pelbagai jenis penyakit dan menyelesaikan aneka masalah. Ilmu yang saya ada terbatas, maka ikhtiar dan perkhidmatan saya terhad kepada hal-hal di bawah sahaja.

1. MENGGUNAKAN BACAAN (QURAN & DOA) & BAHAN SEKELILING KITA:
(*dalam kurungan ialah bahan-bahan yang perlu dibawa)

- Gangguan jin dan sihir (air 2 botol, limau purut 9 biji)
- Pagar diri, kediaman dan tempat (air 1 botol, garam kasar 1 kilo, lada hitam 4 genggam)
- Penawar racun, gigitan, patukan dan sengatan (air 1 botol)
- Penerang hati (air mineral 1 botol)
- Lemah badan (air 1 botol)
- Santau ringan
- Terkena 'ain (air 2 botol, limau purut 9 biji)
- Sakit kepala (air 1 botol)
- Mati pucuk / terlalu lemah (masalah-masalah lain berkaitan tenaga batin, saya tidak ada ilmu)
- Resdung (air 1 botol)
- Mematikan susuk (untuk mengeluarkannya, saya tidak ada ilmu)

* Tiada bayaran dikenakan

2. TAFSIR MIMPI
* Tidak semua mimpi mampu saya ta'birkan. Tidak semua mimpi mampu diberikan tafsirannya ketika itu juga. Jawapannya mungkin akan diberitahu melalui SMS ataupun telefon kemudian.

* Tiada bayaran dikenakan

3. BERTUNGKU
- Lemah-lemah badan
- Sakit urat & otot
- Ditangkap sejuk

* Untuk lelaki sahaja.
* Kalau rajin, saya buat. Kalau tidak, 'cancel'... kerana memakan masa lama dan renyah hendak menyediakan alatan.

4. RAWATAN BEKAM:
- Darah tinggi
- Sakit kepala
- Lemah badan
- Ditangkap sejuk
- Sakit-sakit badan
- Sihir & gangguan jin

* Kaum wanita akan dibekam oleh isteri saya (tapi kena buat temujanji terlebih dahulu kerana dia tidak selalu ada).
* Terpaksa TIDAK PERCUMA - Kerana menggunakan alatan tertentu (jarum perubatan, sarung tangan getah, kertas tisu, penutup mulut, beg plastik, minyak angin... semua memerlukan modal), memakan masa dan bermain dengan darah kotoran. Namun bayaran perkhidmatannya masih antara yang termurah. Hanya RM 3 untuk 1 'cup' bekam darah, RM 1 untuk 1 'cup' bekam angin.

5. PEMBETULAN TULANG BELAKANG & SARAF

* Tiada bayaran dikenakan.
* Agak makan masa.

6. PERUBATAN HERBA
- Darah tinggi
- Kencing manis
- Ghout
- Resdung
- Lemah ingatan
- Kanser

* Akan menyarankan herba-herba yang sesuai dengan masalah anda. Kemudian carilah/ belilah di kedai ataupun di mana-mana yang ada.
* Beberapa jenis herba ada pada saya, tapi terpaksalah berbayar juga mengikut harga herba.
* Biasanya saya menggunakan herba-herba keluaran syarikat milik orang Islam seperti HPA, Rojam, herba-herba dari Langkawi dan lain-lain mengikut kesesuaian penyakit dan stok yang ada.
* Herba-herba ini akan diruqyah (dibacakan ayat Quran/ hadis/ doa) mengikut masalah yang dihadapi.

7. KESAN MASALAH KESIHATAN/ DIAGNOS MELALUI TANDA-TANDA DI TAPAK TANGAN
* Masalah pada tubuh kita sebahagian besarnya sudah menunjukkan tanda-tanda pada tapak tangan.
* Bukan tilik nasib, kerana tidak melibatkan ramalan, tenungan dan sebagainya.
* Tiada bayaran dikenakan.

8. URUTAN REFLEKSOLOGI (KAKI)

* Untuk masalah-masalah terpilih sahaja.

Perkara-perkara yang tidak saya senaraikan di atas, eloklah berjumpa dengan perawat lain. Bukan tak mahu diusahakan, tetapi berdasarkan pengalaman, kurang berjaya/ tidak berjaya.

Wallahu'alam.



* Bahagian ini akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa.

* Kampung Sungai Nyior terletak:
- 15 km dari pekan Trong
- 60 km dari Lumut & Manjung
- 33 km dari bandar Taiping
- 40 km dari Kamunting
- 50 km dari Kuala Kangsar
- 90 km dari Ipoh
- 30 km dari Beruas

0 comments

Post a Comment