MagzNetwork

Pernah Nampak Hantu?

Posted by Alexanderwathern | 2:16 PM | , | 0 comments »

Pernah tengok hantu dengan mata sendiri?

Ketika saya masih di sekolah rendah, pada suatu malam saya bersama-sama dua orang sahabat berjalan kaki ke pasar malam. Jaraknya lebih kurang setengah kilometer dari rumah saya. Kami mengambil jalan dalam yang gelap gelita kerana dekat sedikit. Panjang lorong itu lebih kurang 200 meter.

Hampir 2 per 3 lorong, kedua-dua orang teman saya berhenti secara tiba-tiba. Kata salah seorang, “Oih Abu, apa tu?” sambil tangannya menunjuk jauh ke hadapan. Saya masih juga meneruskan langkahan kerana belum nampak apa-apa. Maklumlah, mata saya sudah mulai rabun jauh walaupun tidak teruk ketika itu, jadi tak pakailah cermin mata.

Kemudian barulah saya nampak! Ada sesuatu berwarna putih seperti orang bertelekung sedang ‘berlari-lari’ ke kiri kanan jalan! Tangannya didepangkan seolah-olah menghalang laluan kami. Apa lagi, “Blahhh!” Kami bertiga memecut bak kereta Formula 1.

Sampai sekarang saya masih tertanya-tanya, apa bendanya yang kami nampak itu...

Kejadian kedua ketika saya sudah bersekolah menengah. Ketika kami sekeluarga sedang menonton televisyen dalam keadaan lampu ruang tamu dipadamkan, saya terperasan ada satu lembaga putih tinggi besar dari lantai hingga ke bumbung. Tingginya dalam dua belas kaki dan bentuknya macam batu nisan. Apabila saya merenung lama-lama ke arahnya, lembaga itu beransur-ansur menghilang.

Yang ini pun saya tak tahu apa dia.

Sebelum itu, ketika menonton juga, saya ternampak kelibat seseorang berjalan laju dari ruang tamu menuju ke dapur. Hitam saja bayangannya. Saya pun bangun dan menuju ke dapur juga kerana menyangkakan lembaga itu ialah ibu saya. Tiba-tiba anggota keluarga yang lain menegur, “Nak ke mana tu?” termasuklah ibu saya! “Eh, ingatkan mak tadi yang pergi ke dapur!” kata saya. “Mana ada orang ke dapur.”

Siapa yang saya nampak tadi?

Kejadian lain, kali ini memang sah saya nampak satu jin yang dikenali dalam kalangan orang Melayu sebagai toyol. Saya tidur dalam salah satu bilik di rumah mertua bersama-sama isteri dan anak kecil. Pada waktu malam tiba-tiba saya terjaga dan terus duduk berlunjur. Ketika itu juga seorang bayi kecil bogel melompat kaki saya dari arah kiri ke kanan menuju ke tingkap. Yang peliknya selepas itu saya terus menyambung tidur.

Esoknya baru saya termenung sendiri. Memang saya nampak budak kecil itu dengan mata sendiri dan dalam keadaan sedar. Penampilan tubuhnya hitam putih macam filem dulu-dulu.

Datanglah seorang kenalan. Semalamnya dia dan adik ipar saya melakukan tugas-tugas bancian di beberapa buah kampung. Terkeluar cerita mereka buat bancian di rumah seseorang yang disyaki membela toyol. Saya pun terus menceritakan pengalaman saya pada malam semalam.

Kenalan itu terus mengesahkan lembaga itu memang toyol. Rupa-rupanya toyol itu ikut balik, ataupun melawat orang-orang yang melawatnya. Nasib baik dia tak curi apa-apa. Kenalan itu memberitahu yang pada malam itu juga dia terjaga dan ternampak satu toyol sedang menggigit kakinya. Kemudian toyol itu menghilang.

Inilah satu-satunya pengalaman saya melihat hantu dengan mata kepala secara terus.

Abu Zulfiqar

7 Disember 2009


Toyol?

0 comments

Post a Comment