MagzNetwork

Pengalaman Hampir Kerasukan

Posted by Alexanderwathern | 1:30 PM | , , | 0 comments »

Peristiwa ini berlaku belasan tahun lalu. Ketika itu saya boleh dikatakan hampir-hampir ‘zero’ tentang hal ehwal jin dan rawatan. 3-4 tahun selepas itu barulah saya terfikir semula akan kejadian ini dan kaitannya dengan gangguan jin.

Kami tinggal serumah lebih 20 orang. Dalam ramai-ramai itu, ada seorang teman yang mengakui dirinya ‘berkawan’ dengan seorang ‘puteri’. Puteri ini mula berdamping dengannya ketika dia mandi di tepi laut pada waktu senja. Sejak itu si puteri menemaninya ke mana sahaja.

Pada bulan Ramadhan, kami sering ke pasar ramadhan. Kata teman kami ini, si puteri selalu membisik-bisik kepadanya supaya membeli kuih itu kuih ini. Teman kami ini juga pernah ditahan oleh puluhan orang (kawan-kawan kami juga) kerana tidak puas hati dengannya dalam hal tertentu. Hampir-hampir terjadi pergaduhan tapi nasib baiklah tak jadi. Namun dakwanya dia langsung tidak berasa gentar kerana dia ada ‘kawan’. Begitulah selesanya dia berkawan dengan si puteri.

Pada suatu malam, salah seorang kawan kami membaca surah Yaasin. Teman yang bergandingan dengan jin ini memarahi kawan kami yang membaca Yaasin. Kalau nak baca boleh, tapi baca dengan suara yang perlahan. Katanya, sang puteri tak suka.

Walaupun ketika itu saya masih ‘zero’, tapi saya sudah mengagak bahawa puteri itu tak lain ialah jin wanita. Saya berasa tidak senang hati dengan kejadian itu lalu mula memprotes sang puteri melalui teman kami yang didampinginya itu. Kalau puteri itu jenis beriman, tak mungkin dia membenci bacaan surah Yaasin.

Saya cadangkan teman kami itu membuang saja puteri yang mendampinginya, tapi nampaknya dia sudah selesa berdamping dengan sang puteri. Menurutnya lagi, sudah beberapa kali dia pergi berubat di Darussyifa’ tetapi tidak berjaya membuangnya. Akhirnya, dia biarkan saja dan tak mahu berikhtiar lagi.

Rupa-rupanya protes saya itu membuatkan tuan puteri bengang. Pada waktu tengah malam, kebanyakan kami sudah merebahkan badan di tempat pembaringan termasuklah saya. Tiba-tiba saya berasa marah yang amat sangat, tapi tak tahu apa puncanya. Saya tidak tahu marah kepada siapa dan kerana apa. Saya rasa seperti hendak melepaskan kemarahan saya itu kepada seseorang ataupun sesuatu. Saya mahu menjerit, mahu menendang barang-barang dan mahu memukul seseorang.

Kemarahan luar biasa ini membuatkan saya bingkas bangun, berdiri dan mula hendak menjerit serta memukul orang. Dengan izin Tuhan, dalam keadaan minda berkecamuk sebegitu, saya lawan perasaan saya. Saya lepaskan jeritan di dalam hati lalu melarikan diri ke luar rumah, ke beranda tingkat atas. Kebetulan salah satu pintu bilik kami menuju ke beranda dan dibiarkan terbuka.

Dalam keadaan badan menggeletar, saya duduk bersila di tengah-tengah beranda. Kalau marah, kita tawarkan dengan duduk, tak cukup lagi, kita berbaring. Begitulah petua yang sempat saya ingat ketika itu. Ternyata petua ini memang berkesan. Perasaan untuk memaki dan memukul mulai reda walaupun hati masih marah berapi-api. Nafas yang mendengus-dengus bagai kerbau hendak berlaga berjaya saya atur semula. Akhirnya saya kembali tenang, tapi perasaan marahkan sesuatu masih belum hilang sepenuhnya.

Ketika itu secara tiba-tiba teman kami yang berdamping dengan si puteri itu datang kepada saya dan bertanya: “Kenapa ni?” Pelikkan? Tadi dia sudah pun berbaring. Bagaimana dia boleh tahu yang saya sedang ada masalah? Sudahlah tegah malam lampu pun semua sudah ditutup. Saya pun memberitahunya yang saya tiba-tiba berasa sangat marah tetapi tak tahu kerana apa. Dia pun berlalu dan menyambung pembaringannya.

3-4 TAHUN KEMUDIAN

Barulah saya tahu, sebenarnya puteri (entah-entah jin kebanyakan, tapi menyamar sebagai puteri) itu cuba merasuk saya. Jika saya tidak berjaya mengawal diri pada malam itu, saya akan jadi histeria. Begitulah antara perasaan orang yang kita lihat kena histeria. Oleh itu, sesiapa yang secara tiba-tiba berasa marah tak ‘memasal’ berusahalah mengawal diri. Duduk ataupun berbaring. Kalau dapat ambil air sembahyang lagi baik. Bacalah apa-apa zikir yang terlintas di fikiran.

Patutlah teman kami itu boleh tahu masalah yang sedang saya hadapi walaupun ketika itu sudah tengah malam dan lampu tertutup. Rupa-rupanya ‘kekasih’ dia yang buat hal. Sudah belasan tahun juga tidak terjumpa teman kami itu. Tapi kalau sekarang tuan puteri itu buat hal, saya ‘zas’ dia cukup-cukup, insyaallah : )


Abu Zulfiqar

2 Disember 2009

0 comments

Post a Comment