MagzNetwork

Bomoh Main Silap Mata

Posted by Alexanderwathern | 10:14 PM | , | 0 comments »

KLANG: Sanggup berbuat apa saja waima menggunakan amalan Islam untuk mengaut keuntungan, seorang lelaki mengenakan wang pengeras sehingga RM3,000 kononnya sebagai upah melakukan solat hajat 44 hari berturut-turut atau kenduri anak yatim bagi menyembuhkan penyakit tertentu.

Namun, ia hanya taktik licik lelaki mengaku dirinya Presiden Kelab Bomoh Malaysia, untuk memperdayakan pesakit yang menemuinya dan seterusnya mengaut keuntungan secara mudah.

Syarat aneh ditetapkan bomoh terbabit bagaimanapun menimbulkan sangsi ramai pesakit apabila dia kerap kali mendakwa punca penyakit hampir semua mangsa angkara buatan orang sebelum menggunakan silap mata untuk mengeluarkan patung sihir daripada badan pesakit.

Bagaimanapun, ramai mangsa hanya menyedari diperdaya apabila penyakit yang dihidapi langsung tidak menunjukkan tanda sembuh sebelum bomoh berkenaan meminta mangsa menjelaskan bayaran tambahan mencecah puluhan ribu ringgit.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Fuad, 30, berkata penipuan bomoh palsu terbabit terbongkar selepas dia menghantar bapanya yang menghidap sejenis penyakit untuk mencuba kaedah rawatan tradisional yang dilakukan lelaki berusia 60-an berkenaan, baru-baru ini.

Menurutnya, bapanya yang berusia 72 tahun sebelum ini kerap mengadu sakit dalam badan selain turut mengalami masalah paru-paru dan asma.

“Walaupun pernah beberapa kali dibawa berubat di klinik, penyakit ayah saya kerap menyerang kembali menyebabkan saya tergerak hati melakukan ikhtiar melalui kaedah rawatan tradisional.

“Saya yang membawa bapa mendapatkan rawatan dengan bomoh terbabit bagaimanapun disyaratkan membawa beberapa barang, antaranya labu dan betik dengan alasan bagi tujuan ‘mengeluarkan’ penyakit daripada tubuh,” katanya.

Mohd Fuad berkata, dia yang datang menemui bomoh terbabit kira-kira jam 11 malam terkejut apabila mendapati ramai pengikut lelaki itu yang berpakaian serba hitam turut berada di tempat rawatan berkenaan.

“Sebelum berubat, bomoh berkenaan meminta kami membayar RM3,000 dengan alasan untuk bayaran upah 44 orang melakukan solat hajat selama 44 malam berturut-turut dan kenduri,” katanya.

Menurutnya, dia yang membawa pulang ayahnya ke rumah bagaimanapun mula menyedari ditipu apabila penyakit itu terus menyerang sebelum dia segera membawa ayahnya ke Hospital Banting.

“Selepas menjalani pembedahan, barulah penyakit dihidapi menampakkan tanda untuk sembuh. Saya mula mengesyaki ditipu apabila ramai penduduk yang menemui bomoh itu turut mendakwa dikenakan bayaran tidak munasabah selain ditunjukkan patung sihir melalui kaedah perubatan sama,” katanya.

Sementara itu seorang lagi penduduk Jugra, dekat Klang, yang mengetahui penipuan itu, Aziz Jalil, 28, berkata, ada saudaranya yang turut tertipu apabila membayar RM10,000 selepas diminta bomoh berkenaan.

“Bomoh terbabit berpura-pura datang ke rumah sebelum mengorek tanah di halaman rumah pesakit. Dia berpura-pura mengeluarkan patung kecil yang didakwa bukti pihak tertentu cuba menyihir keluarga mangsa.

“Apa yang menyedihkan apabila kebanyakan mangsa penduduk kampung yang sanggup bergolok gadai mencari wang semata-mata ingin penyakit mereka disembuhkan sebelum ditipu,” katanya ketika ditemui di Gombak, baru-baru ini.

Menurutnya, bomoh berkenaan juga kerap menggunakan kaedah sama iaitu mengeluarkan patung baik dari dalam besen, buah atau tanah, sehingga menimbulkan rasa sangsinya yang percaya ia adalah penipuan terancang.

Credit to Metro
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

0 comments

Post a Comment