Bukan perawat sahaja yang berikhtiar tetapi pesakit, keluarga ataupun orang-orang yang hampir dengannya pun akan didorong untuk sama-sama berikhtiar. Ikhtiar Muslim tidak menggalakkan kebergantungan penuh kepada perawat, yang secara mudahnya kita sebut di sini sebagai ‘perawat superpower’. Mengapa begitu? Untuk memudahkan pemahaman kita, kita ambil CONTOH.
Fatimah ada masalah kesihatan. Dia dibawa berubat kepada seorang perawat oleh keluarganya. Selepas dimaklumkan ehwal kesihatannya kepada perawat, perawat pun membaca “Bismillah” ataupun apa-apa jampi lalu menghembus ke arah Fatimah. Ketika itu juga Fatimah sembuh seperti sediakala. Keluarganya cukup senang hati, bayar ‘mahar’ perubatan kepada perawat lalu pulang. Cukup ringkas dan cepat. Kaedah beginilah yang selalunya menjadi buruan para pesakit. Dalam hal ini, kemampuan perawat serta kaedah rawatannya memang kita akui. Tidak ada apa-apa yang salah kecualilah kalau dia menggunakan ilmu yang salah.
Lihat pula contoh perawat yang disarankan oleh Ikhtiar Muslim. Ketika merawat Fatimah, perawat itu akan berusaha mengambil sedikit untuk menunjukkan akhlak , tutur kata dan penampilan yang baik, yang selaras dengan tuntutan Islam. Perawat akan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan doa-doa. Fatimah sembuh ataupun tidak ketika itu, sebelum dia pulang, perawat tetap akan membekalkan beberapa amalan kepada Fatimah dan keluarganya agar semua pihak turut mengambil bahagian dalam berikhtiar memlihkan Fatimah.
Penampilan yang bersopan, kemas dan bersih mengundang kasih sayang Allah dan makhluk. Seawal pertemuan lagi, pesakit dan keluarganya sudah berasa sejuk hati. Hal ini juga sebenarnya salah satu terapi minda terutamanya untuk pesakit. Bayangkan kita yang sedang sakit kepala dan sesak nafas, masuk ke bilik rawatan lalu berjumpa doktor yang rambutnya bersikat kemas, wajahnya damai, pakaiannya kemas, nampak bersih dan berhemah. Sejuk sikit hati kita rasanya. Bayangkan pula jika kita berjumpa tabib yang memakai kain pelekat, dan singlet kusam, dan kopiah penuh tahi lalat serta rokok di bibir dan tangkal di lengan dan dada. Lagi sempit rasanya dada kita.
Memang ada perawat yang sengaja tidak berbaju. Ada yang sengaja memakai seluar yang menampakkan lutut. Ada pula yang berambut panjang tidak terurus, dengan seluar jeans lusuh lagi koyak dan baju bergambar tengkorak dan wanita. Mungkin anda pun pernah bertemu perawat begini.
Kemudian, tanpa mengira masalah pesakit itu berat ataupun ringan, Ikhtiar Muslim menyarankan agar perawat membacakan ayat-ayat al-Quran dan doa walaupun sedikit. Dibaca pula dengan bersuara agar jelas didengar oleh pesakit dan orang di sekeliling. Antara tujuannya, paling kurang ialah untuk mendapatkan barokah. Di mana Al Quran dibacakan, di situ akan turunnya sakinah.
Juga sebagai salah satu dakwah kita. Biasa sangat perawat dikunjungi oleh mereka yang tidak menutup aurat, yang berfaham sekular, yang tidak menunaikan solat, yang sudah lama tidak menyentuh al-Quran, yang anti dengan para agamawan dan sebagainya. Inilah salah satu peluang kita untuk berdakwah kepada mereka. Tunjukkan akhlak seorang Muslim sejati dan perdengarkan alunan indah dari al-Quran dan doa. Boleh jadi dengan melihat cara kita merawat dan mendengar bacaan ayat-ayat suci, hati mereka tergerak untuk melakukan perubahan walaupun sedikit.
Berbeza dengan perawat ‘superpower’. Dia memang handal dan menyelesaikan tugasnya dengan pantas. Tapi pengunjung tidak mendapat apa-apa daripadanya melainkan kesembuhan semata-mata. Bahkan mungkin akan menghasilkan rasa taksub dan takjub berlebihan orang kepada dirinya.
Sama ada sakit Fatimah berjaya disembuhkan ketika itu ataupun tidak, sangat molek perawat membekalkan amalan-amalan harian dan amalan penyembuh kepadanya dan keluarganya. Contohnya:
“Balik nanti, Fatimah baca selawat tahiyyat akhir tiga kali setiap kali lepas solat. Kemudian jangan lupa baca al-Quran dengan cara menatap mushaf setiap hari walaupun sekadar satu minit. Ini ada satu kertas. Pada kertas tu saya dah tulis satu bacaan iaitu Bismillahillazhi... Melalui bacaan ni Tuhan akan menggagalkan segala bentuk sihir dan kejahatan makhluk halus insyaallah. Fatimah baca tiga kali setiap pagi dan petang. Insyaallah sakit Fatimah akan cepat sembuh dan tak berulang lagi. Makcik dengan pakcik pula buatlah solat hajat minta Fatimah ni sihat. Dan tolong carikan daun bunga raya, baca selawat, ramas dalam air dan mandikan Fatimah.”
Insyaallah secara tidak langsung Fatimah akan ada keazaman untuk solat 5 waktu sehari semalam sekalipun sebelum itu dia bukan jenis sembahyang. Dia juga akan terbuka hati untuk membaca al-Quran selalu sekalipun sebelum ini dia hanya membaca al-Quran seminggu sekali iaitu surah Yaasin pada malam Jumaat. Dia juga tentunya akan menambahkan zikir hariannya. Jika dia terlupa, kaum keluarganya yang hadir pada sesi rawatan itu akan berusaha mengingatkannya. Mereka akan bersama-sama berasa bertanggungjawab untuk berikhtiar. Mereka sekeluarga pasti termotivasi ke arah kebaikan walaupun sedikit hasil cara rawatan yang kita lakukan. Hasilnya- ilmu, iman dan amal mereka akan bertambah walaupun sedikit berbanding sebelumnya.
Anda mahu sembuh? Kami yang merawat berikhtiar dan berdoa, anda pesakit (jika berkemampuan) dan keluarga anda pun kena berikhtiar an berdoa bersama-sama kami. Beginilah cara Ikhtiar Muslim.
Abu Zulfiqar @ Alexanderwathern
13 November 2009
0 comments
Post a Comment