CONTOH SITUASI:
Tiga orang penjual berteriak sakan mempromosikan barangan mereka di pasar malam. Apa yang dijual? Sekeping syiling yang aneh ukiran pada kedua-dua belah mukanya. Syiling-syiling asing itu dijual dengan harga RM20 sekeping. Apa kelebihannya? Dakwaan dibuat mengatakan syiling-syiling itu akan membuatkan seseorang kebal (tidak lut senjata tajam) jika diletakkan dibawa ke mana-mana di dalam poket ataupun beg duit.
Tak kan laku barangan jika tiada pembuktian. Dengan itu demonstrasi pun dipertontonkan. Penjual memanggil sesiapa yang sudi menjadi bahan demo. Seorang penonton pun ditarik keluar lalu diminta duduk di atas sebuah kerusi. Kemudian penjual menyuruh orang tadi memegang sekeping syiling hikmat.
Penjual mengeluarkan sebilah pisau belit yang berkilat. Dihiris-hirisnya sehelai kertas, habis terpotong menunjukkan betapa tajamnya pisau belit itu. Kemudian penjual menarik ke atas beberapa helai rambut orang tadi lalu menyiat-nyiat rambut itu dengan pisau belit yang sama. Menakjubkan, rambut langsung tidak terputus!
Para penonton semakin berminat. Apatah lagi selepas demo disambung. Duit syiling diambil kembali. Pisau belit ditores ke rambut orang tadi. Putus! Sekali lalu saja! Hal ini membuktikan syiling itu memang membawa kekebalan.
“Tuan-tuan, syiling-syiling ni kalau saya jual seratus sekeping pun orang sanggup beli. Tapi hari ni saya kira hadiah je lah, lima belas ringgit saja. Lagi pun tinggal yang ni je, dulu saya ambil dari guru saya Syeikh xxxxxxxxx dari Arab Saudi 500 keping. Nasib tuan-tuan le siapa yang dapat hari ni.”
“Tak pe, tuan-tuan jangan beli lagi! Saya tunjuk satu lagi demonstrasi, kita sama-sama tengok betul tak syiling ni boleh buatkan kita kebal. Tuan-tuan dah puas hati nanti baru beli, ok?”
Rakan penjual membawa sebiji tembikai kecil. Tembikai diletakkan di atas meja. Di tangan penjual pula ada sebilah pedang yang berkilat mengerlit. Dengan satu tetakan yang tidak berapa kuat, tembikai kecil terbelah dua. Pedang itu kalau tebas di leher, mahu putus dibuatnya.
Didatangkan pula sebiji tembikai lain yang lebih kurang besarnya, diletakkan di atas meja. Di bawah tembikai diselitkan sekeping syiling ajaib yang lain pula. Pedang pun dihayunkan dari atas ke bawah ke arah tembikai. Tembikai tidak terbelah, walaupun ditakik tiga kali! Hanya terpecah sedikit kulitnya! Para penonton tersenyum sesama sendiri sambil mempamerkan rasa ketakjuban.
“Saya dah cakap, kalau saya jual seratus sekeping pun orang beli. Ini stok ‘last’ punya tuan-tuan. Lepas ni tahun depan pula saya pergi jumpa guru saya di Mekah.”
“Ada sesiapa nak beli? Ada? Satu, dua, tiga.... . Wui, ramai! Tunggu sekejap ye tuan-tuan. Sabar dulu! Saya nak tunjuk satu lagi bukti. Bukan apa, supaya tuan-tuan faham yang tuan-tuan dapat ni bukan benda kecil-kecil punya nilai. Tuan-tuan tengok ni!”
Si penjual menyentengkan lengan baju kanannya. Tangan kanannya itu didepangkan ke hadapan sementara tangan kirinya memegang sekeping syiling hikmat yang lain pula.Salah seorang pembantunya mengambil pedang tajam tadi lalu menetakkannya ke tangan penjual beberapa kali dengan agak kuat. Tangannya tidak terbelah atau terluka, hanya berjalur merah akibat tetakan pedang. Memang kebal betul!
Kalau tadinya tujuh orang hendak membeli, kini sudah lebih dua puluh orang. Sambil itu si penjual terus bersyarah:
“Cuma satu saya nak nasihat tuan-tuan, benda ni tak oleh dibuat main-main dibuat cuba-cuba. Jangan balik nanti tuan-tuan ‘test’ pula kebal ke tidak. Kalau kita nak ‘test-test’, tak jadi. Tapi waktu kecemasan, insyaallah. Ambillah satu letak dalam beg duit ke, poket baju ke, dalam gulung kain pelekat ke... insyaallah tuan-tuan.”
“Lagi kegunaan dia tuan-tuan, boleh mengindarkan sihir dan gangguan setan Iblis. Masa nak tidur, letak je bawah bantal. Kalau letak di pintu, gerenti setan tak berani masuk. Kemudian kalau sakit, rendam syiling dalam air kosong, baca selawat dan minum. Insyaallah afiat. Blab la bla... proh preh proh preh...!
Dalam hati penjual- Untung jugak aku dekat lima ratus ringgit. : )
PENDEDAHAN
Jika Allah mengizinkan mana-mana makhluknya untuk kebal pada masa tertentu tertentu, memanglah tidak mustahil. Namun dalam contoh di atas, yang berlaku ialah:
Pisau belit itu sudah ditumpulkan salah satu bilahnya. Ketika rambut tidak terputus, penjual menggunakan bilah yang tumpul. Ketika rambut terputus, dia menggunakan bilah yang tajam. Dia sudah berlatih untuk menukar-nukar/ mengalih-alihkan bilah pisau cukur.
Pedang itu tidak tajam keseluruhan matanya, hanya bahagian tengah ke hulu saja yang tajam (bahagian pangkal). Dari tengah ke hujung pula tumpul (ataupun sebaliknya). Ketika tembikai terbelah, dia menetak dengan bahagian pangkal yang tajam. Ketika tembikai kebal, dia menetak dengan bahagian hujung yang tumpul. Ketika menetak tangannya, dia menggunakan bahagian hujung yang tak tajam.
Macam mana? Hujung minggu ini bolehlah anda buat duit di pasar malam. Carilah apa-apa barang seperti besi-besi buruk, ataupun batu jalan, ataupun tulislah apa-apa ayat pada kertas sebagai tangkal dan lain-lain. Kemudian lakukan demo-demo di atas dan juallah produk anda, insyaallah anda mewah pada malam itu. Tapi... tak mustahil juga anda akan disekeh dan dihenyak beramai-ramai oleh para pengunjung pasar malam seandainya mereka pun terbaca artikel ini. : )
Abu Zulfiqar @ Alexanderwathern
13 November 2009
*Dari semasa ke semasa Ikhtiar Muslim akan terus membuat pendedahan demi pendedahan, untuk kesejahteraan umat. Teruskan bersama Ikhtiar Muslim di bahagian 'AWAS' : )
Salam.
Menarik ni!
Boleh kantoikan org!