MagzNetwork

Ditiduri Jin

Posted by Alexanderwathern | 11:35 AM | , , | 0 comments »

Bersoal-jawab dan sesi kaunseling sememangnya berkait rapat dengan tugas-tugas seorang muallij. Sejak melibatkan diri dalam dunia rawatan (walaupun sekadar sampingan), memang hal itu tidak dapat dielakkan. Tidaklah usaha seseorang perawat itu sekadar tunggu pesakit datang duduk di hadapan dan merawatnya. Soal jawab dan kaunseling itu pun sebenarnya sebahagian daripada rawatan.

Seorang wanita menghubungi saya melalui internet, ingin minta pandangan tentang masalah yang dihadapinya. Atas keluangan waktu yang ada, kami berbual terus secara ‘chat’. Biasanya masalah yang panjang lebar, akan saya minta tuannya tulis siap-siap dan kemudiannya hantar melalui e-mail ataupun ‘private message’. Lagi pun nampak macam masalah yang dihadapinya begitu menekan (berdasarkan ayat-ayat yang ditulisnya).

Ketika dia mula menulis, katanya badannya sudah mula menggeletar, tangannya berasa sejuk dan berasa hendak muntah. Padahal sebelum itu keadaannya baik-baik saja. Dia minta pandangan saya tentang keadaan itu.

Saya katakan hal itu mungkin kesan psikologi. Maklumlah, dia dalam keadaan hendak meluahkan sesuatu yang berat, pastinya ada sedikit tekanan ke atas minda, yang memungkinkan tubuhnya terpengaruh lalu mengalami gejala-gejala yang disebutkan. Satu lagi kemungkinan ialah kerana gangguan jin ataupun sihir. Dari pihak saya, saya tidak membaca atau melakukan apa-apa secara jarak jauh. Begitu saya maklumkan.

Bagi dirinya pula, walaupun dia merasakan sesuatu yang tidak kena, dia bertekad untuk menceritakan masalahnya.

Menurutnya dia seorang janda beranak satu. Dia berkahwin pada usia muda dan bercerai beberapa tahun lalu. Selepas itu dia bekerja di Kuala Lumpur. Suatu ketika dahulu, dia ada ramai kawan lelaki. Kawan yang bagaimana tidaklah dia maklumkan, dan saya juga tak bertanya.

Masalahnya memang berat. Dia selalu didatangi suatu makhluk ketika tidur. Tidak sekadar datang, makhluk itu ‘bersama’ dengannya. Wanita ini pula berasa puas setiap kali ‘bersama’ dengan makhluk itu. Hal itu sudah berlarutan lebih satu tahun. Keadaan itu lebih teruk jika dia pulang ke kampung.

Selain itu, setiap kali wanita ini hendak mendirikan rumahtangga kali kedua, ada saja halangannya. Apabila dapat sesuatu pekerjaan, tak kekal lama. Apa yang dilakukan, sering tak menjadi. Dia mohon pandangan. (Ketika ini saya mula membaca ayat-ayat tertentu untuk merasa ‘gerak’).

Saya jawab begini:

“Dari pengalaman saya yang tidak seberapa ini, ada beberapa kemungkinan. 1. Anda sedang didampingi oleh jin asyik. Maksudnya ada makhluk halus yang jatuh hati pada anda. 2. Ada jin keturunan (saka) yang mendampingi anda. 3. Ada orang pernah menyihir anda dan sihirnya masih berjalan. Secara peribadi, buat masa ini dengan maklumat yang anda berikan, saya CENDERUNG KEPADA JENIS PERTAMA.”

Terus dia mengakui yang pandangannya juga begitu. Tambahnya lagi, dalam kejadian terbaru, dia ada pergi ke rumah bakal suaminya yang baharu. Tiba-tiba dia dan ibu mertuanya jadi histeria. Rakannya ada memberi pandangan, bahawa ‘benda tu’ mahu hidup dengan dirinya sampailah ke mati. ‘Benda tu” tak akan benarkan dia dimiliki oleh orang lain.

Nampaknya pandangan saya dan rakannya itu ada persamaan. Barulah dia membuka cerita bahawa dia memang ada pergi berubat. Namun setiap kali pergi mendapatkan rawatan, dia akan ‘mengamok’. Waktu tidak berubat, keadaannya biasa sahaja cuma badannya sentiasa sejuk seperti mayat. Dirinya sudah cukup menderita dan mahu menghentikan semua ini.

Balasan saya:

“Maklumat tambahan ini menguatkan lagi agakan saya, kes anda adalah jenis yang pertama tadi. Anda kemungkinan besar sedang didampingi oleh jin asyik. Ia memang tak akan lepaskan anda untuk bersama orang lain.”

“Dari pengalaman saya, kes seperti yang sedang anda alami ini termasuk kes yang berat. Ia sukar diselesaikan sendiri. Kalau kes yang ringan, saya boleh bekalkan amalan dan bacaan yang sesuai untuk anda lakukan, insyAllah akan berhasil.”

“ Tapi kes jin asyik sebegini, anda kena pergi dapatkan rawatan dengan mana-mana perawat perubatan Islam. Biasanya kalau dibekalkan amalan dan bacaan pun, jin tadi akan ganggu sampaikan anda gagal laksanakan bacaan dan amalan tu.”

“ Lagi satu... Salah satu sebab jin tu tertarik ialah kerana penampilan anda juga (mohon maaf saya menegur). Dari gambar-gambar di akaun anda, saya sarankan anda longgarkan sikit pakaiannya (ubah sikit cara berpakaian). Hal ini sedikit sebanyak akan melonggarkan perasaan suka si jin terhadap anda, insyaAllah.”

“Namun saya boleh bekalkan amalan untuk anda cuba, sementara anda berusaha pergi dapatkan rawatan, jika anda mahu cuba sendiri, kalau-kalaulah ada hasilnya.”

Wanita ini tak yakin dia dapat melaksanakan amalan ataupun bacaan yang hendak diberi kerana ketika dia mengerjakan solat pun, dia dapat rasakan ‘benda tu’ ada di sebelahnya. Kadang-kadang dia lupa bacaan dan jumlah rakaat. Oleh itu dia bercadang untuk pergi dapatkan rawatan. Dia minta saranan berhampiran tempat tinggalnya.

Saya berikan 3 pusat rawatan berhampiran. Dia bertanya pula, apakah dia akan dipukul ketika rawatan itu nanti? Dia sudah serik dipukul dalam rawatan sebelumnya. Perawat manalah agaknya yang membuat pukulan sebegitu teruk. Memanglah boleh dibuat sedikit pukulan, tapi kalau dengan cara pukulan sudah tidak berjaya, janganlah berterusan dipukul. Banyak cara lain, malah yang tidak perlu menyentuh pesakit.

Saya pun tak tahu pusat-pusat rawatan itu menggunakan kaedah pukulan ataupun tidak. Tapi yang pasti, salah satu daripadanya memang tidak memukul secara fizikal begitu iaitu di AKRINE Kuang. Saya pernah mengikuti kursus kelolaaan pengasasnya iaitu Ustaz Abdul Majid. Setahu saya, rawatan untuk gangguan jin dan sihir di AKRINE memang tak menyentuh pesakit langsung. Paling kuat pun tangan perawat diletakkan di atas kepala pesakit. Jadi, saya berani ‘confirm’ yang itu sahajalah.

Si wanita mengucapkan terima kasih dan akan berusaha pergi mendapatkan rawatan. Semoga Tuhan memudahkan segala urusannya.

Abu Zulfiqar

21 Disember 2010

15 Muharram 1432

0 comments

Post a Comment