MagzNetwork

Anak Ketawa Terkekek-kekek

Posted by Alexanderwathern | 12:39 PM | , , | 0 comments »

Seperti biasa, saya sering tidur lewat. Malam itu sekitar pukul dua lebih, barulah saya berkemas untuk masuk tidur. Sudah jadi rutin, sebelum tidur saya bacakan ayat-ayat suci atau doa kepada anak-anak dan isteri (yang biasanya sudah lena lebih dahulu). Untuk setiap orang, lain bacaan yang saya lakukan. Hal ini kerana secara tidak langsung saya dapat mengkaji keberkesanan setiap bacaan.

Untuk anak lelaki yang berusia 4 tahun, saya cadang bacakan Ayat Kursiy. Sewaktu hendak duduk di kakinya, saya terperasan kaki dan tangannya bergerak-gerak sedikit. Gerakannya seperti anak kecil yang terkena gigitan semut ketika tidur.

Sambil memulakan bacaan Ayat Kursiy, saya melihat sekeliling dirinya kalau-kalau ada serangga. Sebaik sahaja Ayat Kursiy dibacakan, dia tertawa kecil. Saya sangkakan hal biasa kerana kadang-kadang memang kanak-kanak bermimpi atau mengigau lalu tertawa.

Sepanjang membaca Ayat Kursiy, tawanya berterusan. Saya mula berasa pelik. Saya mula syak ada gangguan ringan berlaku, lalu saya tambah dengan ayat-ayat yang tidak digemari jin dan syaitan. Lagi dia tertawa! Tiba-tiba matanya terbuka luas dan melihat ke atas sedikit, tapi masih tidak sedar dan terus tertawa.

Tak boleh jadi ni! Saya letak tangan atas kepalanya, lalu saya ruqyah dengan ayat-ayat yang lebih serius, seperti kebiasaan saya meruqyah orang kerasukan. Ketika ini isteri saya pun sudah terjaga kerana terkejut mendengar tawa si anak. Nak tahu apa jadi apabila anak kami diruqyah? Dia tertawa terkekek-kekek, lebih panjang dan lebih kuat. Baru kami sedar yang badannya panas betul. Padahal ketika saya mengangkatnya ke tempat tidur dalam sejam yang lalu, suhu badannya normal.

Dah habis ruqyah ringkas pun keadaannya masih terkekek-kekek juga, saya mula panas hati. Saya bercadang untuk buat satu amalan yang agak kuat, tapi makan masa lama. Takkan nak biarkan dia terkekek-kekek begitu. Mata terbuka luas tapi dikejut tak berjaya, dia masih ‘di alamnya’.

Dalam keadaan serba-salah itu datang ilham untuk menggunakan air. Saya ambil air tapisan, dengan bacaan yang sangat ringkas saya pun sapu ke kepala dan mukanya. Alhamdulilah syukur, tawanya berkurang. Dalam keadaan tertawa-tertawa kecil itu kami berjaya mengajaknya berdialog. Nampaknya dia sudah sedar, namun ‘seronoknya’ masih ada.

Katanya dia nampak istana, dan menunjuk ke satu arah. Katanya lagi, dia tertawa kerana melihat kakaknya sedang buat lawak, padahal kakaknya sudah lama terlena dan tidak sedar sepanjang kejadian itu.

Kesabaran kita kadang-kadang teruji juga. Saya percaya ada campur tangan jin dalam kejadian ini. Maklumlah, lagi kuat diruqyah, lagi kuat dia tertawa. Kita serang secara serius, lagi berangkai ketawanya. Dengan itu saya melepaskan satu dua jurus di dalam rumah. Nasiblah kalau jin-jin yang tak berkaitan kebetulan berada di situ, mana yang sakit atau luka tu saya ‘mohon mahaplah’: )

Kemudian saya ambil sebekas air dan membaca ayat-ayat yang agak panjang. Air ini disapu ke tubuh si anak. Kami beri juga sedikit saki-baki ubat demam untuk kanak-kanak yang ada di rumah. Dengan izin Allah, selepas itu tidak ada lagi perlakuannya yang pelik, cuma demam panas biasa. Lusanya demam anak kami pun hilang.

Keesokannyalah saya ternampak sesuatu yang pelik di luar rumah, iaitu kain yang ditebar di sebalik tembok, sebagaimana dalam ‘posting’ bertajuk “Kain Misteri”. WaAllahua’lam.

“Alaa... anak tu berhalusinasi je sebab badannya panas.”

Ya, saya akui kanak-kanak yang demam memang boleh berhalusinasi. Tapi ada dua perkara yang saya pertimbangkan:

1. Suhu badannya naik tiba-tiba ke tahap yang panas betul daripada suhu normal dalam tempoh satu jam. Pada saya hal ini agak luar biasa.

2. Saya membacakan ayat Quran tanpa menyentuhnya, tiba-tiba dia tertawa dan tertawa. Ketika saya sambung bacaan dengan ayat-ayat lain, ketawanya makin kuat dan berterusan, malah matanya dibuka luas seolah-olah melihat sesuatu. Apabila saya pegang kepalanya dan meruqyah, dia terus ketawa terkekek-kekek dan lebih kuat. Apa kaitan demam dan ketawa mengekek dengan ayat-ayat serangan?

WaAllahua’lam.

Abu Zulfiqar

14 Disember 2010

0 comments

Post a Comment