Mendengar kisah seorang pengamal perubatan tradisional.
Pada saya, orangnya handal juga. Rawatannya banyak menggunakan ayat-ayat
Al-Quran dan zikir. Ujian berlaku ke atas anaknya yang tinggal ratusan kilometer
jauh. Selepas 5 hari sakit dan sudah 2 hari masuk wad, barulah anaknya telefon
meminta bantuannya. Menurut anaknya, sudah 5 hari tidak tidur. Doktor itu kata
masalah jantung, doktor ini kata buah pinggang, doktor inun kata paru-paru……. Biasalah.
Pengamal perubatan tradisional ini tiba di hospital pada
pukul 3 pagi. Anaknya turun dari wad. Rawatan dilakukan di kaki lima. Sekejap
sahaja rawatannya, si anak terus sihat. Tidak ada sakit apa-apa lagi. Esoknya
terus keluar dari hospital.
Kemudian anaknya itu ke luar negara, ribuan batu jauhnya
ke Timur Tengah. Jatuh sakit lagi. Panas, menyucuk dan serba-serbi lagi dalam
badan. Dia minta bapanya ikhtiarkan. Oleh kerana jauh, bapanya dan sanak
saudara hanya mampu berdoa. Gerak yang diminta oleh si bapa tidak
sampai-sampai. Terpaksalah meminta agak anaknya banyak bersabar.
Suatu ketika sampai bantuan daripada Allah melalui teknik
seakan-akan teknik TKR. Terbuka hijab dan si bapa dapat melihat pancang kayu yang
tergantung padanya hati beruk. Hati beruk itu dicucuk dengan benda-benda tajam
dan dinyalakan api pula di bawahnya. Patutlah si anak sakit teruk. Begitulah
permainan sihir.
Secara makrifat, si bapa memukul dari jauh. Jatuh binaan
yang dibuat itu tapi belum rosak. Pukulan kali kedua berjaya menghancurkannya. Kemudian
terlihat seorang bomoh orang asli cuba hendak lari. Si bapa menikam dari
belakang, tersungkur. Kemudian nampak pula seorang wanita. Itulah pengupahnya.
Setakat itu sahaja cerita orang lama ini. Ketika kejadian
di atas berlaku, anaknya sudah memakai baju untuk menjalani pembedahan. Tiba-tiba
sahaja dia berasa sihat. Pembedahan dibatalkan lalu dia keluar dari hospital.
Kalau tidak, asyik kena ‘sembelih’lah (bedah) dengan doktor dari semasa ke
semasa kerana para doktor pun tidak jelas akan masalah yang dialami oleh si
anak.
Sebenarnya saya meminta khidmat pengamal perubatan ini
untuk mengesan satu barang sihir kepunyaan seorang tukang sihir melalui teknik
TKR. Malangnya tak dapat kerana tukang sihir dan jin sihirnya pandai mendinding
barang mereka.
Berbalik kepada kisah para doktor tadi. Kita akui ilmu
kedoktoran sangat bagus. Jahillah kita jika kita menafikannya. Namun di sini
saya juga ingin mengkongsikan satu pengalaman sendiri untuk direnungkan
bersama-sama.
Suatu ketika anak saya sakit dalam badan, menangis
menjerit-jerit dan berhempas-hempas serta muntah-muntah sampai lembik. Bawa ke
klinik seorang doktor veteran. Dia gagal menyatakan masalah yang sedang
dihidapi oleh si anak. Akhirnya dia beranggapan anak saya keracunan. Makanlah
ubat.
Bawa ke klinik kedua, juga seorang doktor veteran,
wanita. Pertama kali saya melihat seorang doktor duduk tersandar dan termenung
panjang. Dia tidak punya penjelasan. Katanya mungkin sebab badan panas.
Akhirnya doktor ini memberi petua tradisional pula. Antaranya suruh minum air
didih nasi. Dia mencadangkan agar dibawa ke wad sekiranya keadaan bertambah
teruk.
Berjumpa pula seorang doktor pakar kanak-kanak. Yang ini
boleh tahan. Dia mengesan punca sakit dari dalam perut, terus dia ‘paksa’ buang
air. Dia juga tidak punya penjelasan yang tepat, tapi sekurang-kurangnya dia
menemui lokasi punca masalah.
Berjumpa pula seorang doktor muda. Katanya virus dalam
perut. Berjumpa pula seorang lagi doktor muda. Katanya appendiks. Lagi karut!
Bawa anak masuk di hospital yang cawangannya di beberapa negara
Asia, kata pakar bedahnya mungkin appendiks. Sejahil-jahil kita pun, dengan
serba sedikit ilmu perubatan Islam, kita tahu ia bukan appendiks. Saya buat
keputusan akan bawa keluar anak sekiranya mereka mahu membedahnya.
Datang pula seorang doktor pakar kanak-kanak. Dia juga tiada
penjelasan kerana keputusan ‘scan’ dan ujian darah memang cantik, normal.
Akhirnya dia menurut sahaja kata-kata saya iaitu suntik ubat tahan sakit,
masukkan air, dan turunkan panas badannya. Sehari semalam sahaja di wad, sudah
boleh keluar dan kembali sihat.
Semua peristiwa ini berlaku hanya dalam masa beberapa
hari. Sangatlah sibuknya kami ketika itu, tidak terurus hidup. “Gangguan’? Ya,
memang ada. Bersusah-payah kami dan para perawat lain berusaha berhari-hari.
Gangguan kita rawat dengan kaedahnya, tapi sakit fizikal tetap dirawat dengan
kaedah fizikal juga. Dua-dua berjalan serentak.
WaAllahua’alam.
Abu Zulfiqar
28 JUN 2012
0 comments
Post a Comment