Assalamuaalaikum ustaz,
Saya nak bertanya tentang mimpi malam tadi (malam Jumaat dalam keadaan berwuduk). Sebelum ini pernah bermimpi terbang. Dah banyak kali mimpi tu, akhirnya dapat penyakit. Betul apa yang ustaz tafsirkan.
Malam tadi saya bermimpi ke masjid nak menunaikan solat, di dalam masjid penuh dengan anak-anak tahfiz/yatim berjubah putih (kelihatan suci) dan ustaz yang memimpin kumpulan ini.
Semasa mengambil wuduk,saya terdengar dari luar ustaz mengarahkan supaya bacaan al-Quran di sambung lagi hingga sampi waktu sembahyang. Sementara itu saya mengambil wudhuk, tapi banyak sangat halangan hingga masuk waktu, antaranya - air kurang dan terus berhenti, wudhuk tapi masih kotor dengan pasir. Sedang saya berusaha sehingga baju basah, datang 2 orang mengambil wuduk tanpa ada masalah.
Saya nampak dari luar imam seolah-olah sedang menunggu saya menghabiskan wuduk untuk memulakan sembahyang tapi saya masih belum dapat sempurnakan wuduk walau berkali-kali berusaha. Akhirnya bila sampai saya membasuh kaki, terus saya terjaga dari tidur.
Apa tafsirannya ustaz? Mohon penjelasan dan terima kasih banyak sudi membalas.
JAWAPAN:
Waalaikumsalam xxx xxxx.
Pertamanya... mohon ribuan maaf kerana memang lewat memberikan jawapan. Sebenarnya inilah kali pertama orang meminta dita’birkan mimpi dan dalam mimpi itu ada saya. Jadi saya sedikit ‘goncang’ dalam proses mentafsir mimpi tersebut, yang memungkinkan ta’birannya tidak setepat mana.
Atas dasar itu, saya bentangkan mimpi tuan itu kepada teman-teman lalu menunggu maklumbalas mereka. Setelah lebih kurang tiga minggu, masih belum sesiapa yang berani memberi komen, apatah lagi untuk memberikan ta’birnya.
Maka di sini saya akan cuba memberikan perincian kepada setiap satu ehwal dalam mimpi itu, dan kemudiannya ta’bir keseluruhannya kita pulangkan kepada pandangan masing-masing.
1. Tidur dalam keadaan berwudhuk pada malam Jumaat lalu bermimpi, biasanya menunjukkan mimpi itu teguh dan boleh dipegang.
2. Masjid dalam mimpi itu menunjukkan keamanan, aman daripada bahaya
3. Anak-anak tahfiz/ anak-anak yatim yang berjubah putih dan kelihatan suci dalam mimpi itu membawa maksud tuan akan memperolehi kebaikan, keuntungan, dihilangkan kesusahan, mendapat berita gembira dan seumpamanya.
4. Jubah-jubah putih itu ertinya agama.
5. Melihat saya dalam mimpi itu bermaksud tuan akan beroleh kebaikan dan keberkatan (bukan kerana saya hebat/ baik dll, tetapi bermimpi melihat seorang lelaki yang tuan kenali sebagaimana suasana mimpi tuan ini, memang begitulah tafsirnya tidak kira siapa yang tuan lihat).
6. Mengambil wudhuk tetapi tidak siap-siap kerana ada pelbagai halangan maksudnya ada urusan tuan yang tidak selesai.
Begitulah lebih kurang maksud beberapa ehwal mimpi tuan itu.Terpulanglah kepada tuan untuk mentafsirkannya : )
.......
Berikut pula ialah tafsiran saya yang ‘goncang’ itu (hanya sebagai perkongsian, bukan untuk dipegangi). Sebagaimana yang saya maklumkan pada awal tadi, ta’biran saya jadi ‘tidak stabil’ kerana saya turut berada dalam mimpi itu! Hal ini kerana... jika ta’birannya baik, orang akan melihat seolah-olah saya mengangkat diri sendiri. Jika ta’birannya buruk pula, orang akan memandang tidak baik pula. Inilah masalahnya.
Rigkasnya begini.
Ada satu pekerjaan atau sesuatu perjuangan dalam agama Islam ini ( saya tak tahu apa jenis pekerjaan/ perjuangan itu) yang tuan sangat berminat untuk melibatkan diri berjuang bersama. Yang pasti, perjuangan ini mengutamakan kedamaian dan berada di landasan yang benar. Dalam pekerjaan/ perjuangan itu, saya ialah salah seorang yang berperanan tetapi bukanlah sebagai pemimpin utama. Peranan saya lebih kecil tetapi tanggungjawabnya BERAT (ini yang tak berapa sedap nih).
Tuan memang sangat berminat untuk menyertainya tetapi ada urusan tuan yang tidak siap-siap menyebabkan tuan terlewat (tidaklah diketahui apakah urusan yang sukar untuk disipakan itu). Padahal orang lain senang-senang sahaja turut serta. Wallahua’lam.
Kesimpulannya, mimpi ini secara keseluruhannya membawa maksud yang baik.
Abu Zulfiqar
8 November 2010.
0 comments
Post a Comment