MagzNetwork

Merawat Gadis Sakit di Kepalanya

Posted by Alexanderwathern | 9:09 PM | , | 0 comments »

Meruqyah seorang gadis remaja berusia 15 tahun. Kepalanya sakit tidak tertahan. Tiba di tempatnya, kelihatan dia sedang terbaring kesakitan, menangis dan tangannya memegang bahagian kepala. Kelihatan sebekas air berisi ramasan bunga dan daun, yang airnya dilumur ke kepala – petua orang tua-tua, sebagai penyejuk kepala, menurunkan suhu dan mengurangkan kesakitan. Tahniah kepada Puan A yang melakukan ikhtiar itu.


Ruqyah dimulakan dalam keadaan saya di sisi kanannya. Bacaan pembenteng... Al-Fatihah... Ayat Kursiy... Sebaik-baik tamat Ayat Kursiy, tubuhnya mengendur. Dia pengsan. Biasanya kalau jadi begini bermaksud ‘penumpang’ dalam badan sudah keluar. Saya berhentikan ruqyah dan memohon gerak daripada Allah SWT. Rasa saya gadis ini sakit bukan disebabkan ‘gangguan’.


Usaha memulihkannya dengan minyak wangi kurang berhasil. Selepas seorang guru wanita melumurkan banyak air, barulah mata hitamnya mulai aktif – menunjukkan dia kembali sedar. Saya minta izin untuk terus meruqyah. Saya uji si gadis dengan soalan, ternyata itu memang dirinya, bukan makhluk lain yang bercakap melalui dirinya.


Habis ayat-ayat Quran, ruqyah masuk ke bahagian ayat-ayat selain daripada Quran. Namun tidak ada sebarang petunjuk mengatakan gadis ini diganggu jin ataupun terkena sihir. Saya khuatir jika benar ada gangguan, mungkin pengganggunya jenis yang pandai bersembunyi. Budak itu juga memberi isyarat yang dia tidak nampak sebarang keanehan.


Saya beritahu kepada mereka yang ada di situ yang saya akan mengambil langkah terakhir. Jika bahagian ini pun tidak memberikan apa-apa reaksi, saya cenderung mengatakan gadis ini tidak mengalami gangguan makhluk halus, tetapi sakit jasmani (sakit biasa). Wallahualam.


Kain berlipat diletakkan di atas kepalanya. Kepalanya saya cengkam melalui atas kain. Dengan memohon izin Allah SWT (melalui bacaan Lauanzalna... dan Surah Al-Fiil), saya ikhtiarkan agar Jurus Api Menderu disalur masuk ke dalam tubuhnya melalui bahagian kepala agar dapat membakar/ memanaskan mana-mana ‘penumpang’ sekiranya ada. Masih tidak ada sebarang reaksi.


Saya tanyakan kepadanya, sama ada dia nampak apa-apa/ siapa-siapa dalam kepalanya. Dia menggeleng dalam keadaan sedar. Nampaknya tugas saya sudah tamat. Pada saya, dia sakit jasmani walaupun telah diberitahu yang pakar perubatan moden pun gagal mengesan punca penyakitnya. Satu lagi kemungkinan, boleh jadi juga dia terkena sihir yang tidak melibatkan jin.


Habis sesi berikhtiar, saya bersembang sebentar dengan waris terdekatnya. Rupa-rupanya budak ini sudah dibawa berubat secara tradisonal/ Islamik beberapa kali. Salah seorang yang pernah merawatnya ialah Ustaz Y. Ustaz Y memang seorang perawat dan dia lebih senior daripada saya. Katanya Ustaz Y juga sependapat dengan saya... budak ini tidak terkena ‘gangguan’. Lega benar hati saya kerana keputusan yang saya keluarkan tadi ada sokongannya.


Akhirnya saya cadangkan agar gadis ini dibawa berubat secara herba dan lebih baik jika dapat dibekam pada bahagian bawah tengkuknya. Walaupun isteri saya boleh juga membekam sedikit-sedikit, tapi saya cadangkan seorang lagi pembekam senior iaitu Puan S.


Semoga budak ini lekas sembuh. Memang kasihan melihat dia menanggung kesakitan. Sembuhkanlah hamba-Mu itu ya Allah.




Abu Zulfiqar

4 Ogos 2010



ps: Ada jenis perawat yang jahat, sakit yang bukan berpunca daripada jin dan sihir pun tetap dikaitkannya dengan jin dan sihir.

0 comments

Post a Comment