Gadis kecil ini pernah saya rawat beberapa minggu lalu, tetapi tidak menunjukkan apa-apa tanda ‘gangguan’ walaupun dia selalu sakit kepala sehingga pengsan. Saya diberitahu bahwa rawatan moden pun gagal mengesan sebarang masalah pada dirinya. Kemudiannya diberitahu juga beberapa orang perawat sebelum ini pun tidak mengesan sebarang penglibatan makhluk halus.
Oleh itu saya berpandangan kesakitannya mungkin kerana penyakit jasmani yang masih belum boleh dikesan oleh doktor. Di akhir sesi rawatan, tercetus juga dari mulut saya mengatakan BOLEH JADI juga ia akibat sihir, tetapi sihir yang tidak melibatkan jin. Wallahua’lam.
Baru-baru ini saya diminta menengok-nengokkan hamba Allah ini sekali lagi. Ketika itu dia berada di klinik. Pegawai kesihatan yang bertugas tidak menemui punca kesakitannya. Sakitnya berubah-ubah tempat. Tapi ada seorang jururawat berpendapat budak ini ada gangguan. Saudaranya yang juga sahabat saya menelefon saya.
Ketika budak ini sampai, jam menunjukkan hampir dua belas tengah hari. Petua orang tua-tua, elakkan merawat pada waktu sebegitu kerana pihak yang mengganggu ‘sedang kuat’. Saya cuba lengah-lengahkan sedikit. Diringkaskan cerita, saya tak mampu mengelak juga. Tepat jam 12.00, saya terpaksa mula mengatur gerak untuk merawat. Satu pengalaman baru. Apa nak jadi pun jadilah. Lawan tetap lawannnn : )
Turut berada di lokasi ialah seorang sahabat saya. Dia bukanlah seorang perawat tetapi seorang pesilat yang ada juga kebolehan melawan jin, dengan caranya yang tersendiri . Dia boleh menyeru Tok Tepok ke tubuhnya. Tok Tepok ini memang terkenal dalam kalangan sebahagian pesilat, dan digeruni para jin. Kebolehan memanggil Tok Tepok diperolehi kerana keturunannya, bukan melalui persilatan.
Jadi kaedah rawatan kami tidaklah sehaluan, namun dia mempelawa saya untuk melakukan rawatan. Dia berasa keberatan untuk ‘memanggil’ Tok Tepok kerana ada ramai orang di situ. Nanti orang terkejut melihat dia ‘mengaum’. Katanya, sekiranya saya gagal menguruskan kes itu sebentar nanti, terpaksalah dia memanggil Tok Tepok juga. Jam tangannya sudah dibuka dan nampaknya bersedia untuk beraksi.
Saya mengambil tempat di sebelah kiri gadis yang terbaring itu. Saya perhatikan keadaannya dan persekitaran sebentar, kemudian memulakan sesi rawatan dengan dua kalimah syahadah. “Asyhaduallaa...” Terus badannya mengejang kesakitan. Dua orang kawan wanita memegang tangannya.
Ruqyah diteruskan. Ternyata ada jin di dalam badannya. Bukan berdasarkan pengalaman saya sahaja, budak itu sendiri mengakui ada makhluk berupa ular dalam badannya. Jelaslah situasi ini bukan sekadar keracunan logam berat yang membuatkan pesakit berhalusinasi, tetapi benar-benar ada gangguan makhluk halus.
Sebelum “attack”, saya beri amaran 3 kali kepada puak-puak tu supaya beredar. Kalau degil, saya serang. Saya cuba berdialog tapi pengganggu kali ini bukan jenis dialog-dialog, jenis kasi sakit saja kerjanya. Di awal penceburan diri ke dalam kolam dunia rawatan ini, saya ada pengalaman gagal mengusir pengganggu yang menyakitkan kaki seorang budak lelaki.
Nampaknya amaran tak dihiraukan, malah sesekali pengganggu ‘membelit’ di bahagian leher sehinggakan budak itu meronta dan sambil memegang lehernya. Saya berubah ke bahagian kepala, mengambil dua kain sebagai lapik lalu meletakkan tangan di atas kepalanya.
Apabila ayat-ayat dan doa-doa ‘attack’ dibacakan dan jurus membakar dilancarkan, pengganggu jadi berang (agaknya kepanasan) dan sering menyakitkan si budak. Pengganggu paling ‘hot’ ketika Bismillah 5 dibacakan.
Saya belum bercadang mahu mengeluarkan pengganggu begitu sahaja. Biar dia rasa sakit/ panas, semoga jadi pengajaran kepadanya agar tidak datang lagi di kemudian hari. Selepas itu nanti saya bercadang untuk cuba ‘memancung’ ataupun ‘menyembelih’ si pengganggu. Harap-harap dia jenis yang boleh dipancung atau disembelih. Bukan apa, ada jenis jin yang tak mati dengan kaedah –kaedah itu. Sekiranya tak mati, akan diikhtiarkan untuk menariknya keluar dan dihantar ke mana-mana.
Seorang lelaki meminta laluan untuk merawat. Maka ikhtiar saya pun terhenti setakat itu sajalah, tak sempat melakukan ikhtiar membunuh ataupun membuang. Rupa-rupanya bapa si gadis. Mulut bapanya terkumat-kamit membacakan sesuatu lalu berusaha menarik si pengganggu dari leher anaknya. Usahanya berjaya tetapi anaknya jatuh pengsan. Kemudian dia terkumat-kamit lagi membaca sesuatu sambil menghembus ke arah anaknya. Selepas beberapa kali, anaknya pun terjaga lalu terus memeluk bapanya sambil menangis. Entahlah apa yang dibaca oleh bapanya.
Selepas itu kami pun berbual agak panjang. Gadis ini mendakwa mendengar namanya dipanggil-panggil dan dipuja-puja. Jika dia melelapkan mata sahaja, akan sampailah makhluk-makhluk berupa ular, buaya ataupun harimau. Bagi para perawat, makhluk-makhluk itu memang sedia dikenali. Tidak lain ialah puak-puak jin. Si gadis mengalami keadaan sebegitu baru dalam dua minggu.
Malam sebelumnya, selepas berbuka puasa, 10 kali dia pengsan. Begitulah, apabila dipulihkan oleh bapanya, tak berapa lama kemudian pengganggu datang lagi. Untuk mengusir tidaklah susah sangat, tapi untuk membuatkan si pengganggu tidak datang lagi, itu yang berat. Saudaranya yang menelefon saya mengakui ada ternampak kelibat makhluk berkepala botak melintas pada malam itu.
Menurut bapanya, si gadis ada mendapat gambaran tentang orang yang boleh merawatnya. Dia tidak kenal orang itu, tetapi jika bertemu, dia boleh mengenalinya. Katanya orang itu ialah seorang pak haji, memakai jubah dan serban putih, berbadan tinggi, tidak berjanggut, duduk di atas sejadah dan memegang tasbih. Puas kami memikirkan orang-orang yang kami ketahui tetapi tidak ada yang secocok. Entahlah. Mungkin manusia, mungkin juga jin. Jika para pembaca tahu orang yang memenuhi gambaran sebegitu, sila maklumkan kepada saya.
Tergambar juga di kepala saya ketika itu seorang pakcik yang selalu berzikir walau ke mana, haji, sesekali mengenakan jubah dan serban putih, tinggi kurus orangnya, mukanya bersih dan tidak berjanggut. Dia rajin menunggang basikal tuanya. Tetapi pakcik tu sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Tak mungkin dia. Lagi pun dia bukanlah seorang perawat. Wallahua’lam.
Tak sempat jugalah hendak melihat sahabat saya beraksi sebagai Tok Tepok. Berdasarkan pengalaman kami dan maklumat-maklumat yang kami perolehi dalam perbincangan, kami sepakat mengatakan BOLEH JADI kes ini berkaitan dengan sihir. Wallahua’lam.
Abu Zulfiqar Amsyari
25 Ogos 2010
p/s : Tidur malam itu, saya menunggu juga kalau-kalau ada puak-puak yang cuba datang membalas, tapi tak ada. Syukurlah. Kadang-kadang selepas merawat, ada tetamu tak diundang datang mengusik. Nak tidur pun susah.
0 comments
Post a Comment