Di kampung, ada seorang pakcik yang selalu menjaja kehandalan dirinya. Dia mengakui menguasai beberapa jin, handal berlawan, kebal daripada sakit jika dipukul, punyai pelbagai barang hikmat, selalu cari pasal dengan orang lain, punyai pelbagai petua dan doa, mendakwa ditakuti syaitan dan jin... dan pelbagai lagi dakwaannya. Tidak dinafikan, sebahagian daripada dakwaannya itu ada kebenarannya. Dia memang digeruni kawan dan lawan. Ringkas cakap - pendekarlah orangnya.
Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari ada seorang budak perempuan mengamok tak tentu pasal. Dipanggillah pakcik hebat ni tadi. Kebetulan saya berada tidak juga dari tempat kejadian. Oleh kerana sudah ada orang yang handal, tidaklah saya terfikir untuk menghulurkan bantuan. Saya fikir, tentulah dengan mudah sahaja si pendekar menguruskannya. Lagi pun dalam hal-hal sebegini, saya sekadar 'bidan terjun', tak ada 'rotan', 'akar' pun boleh guna juga. Dah ada 'rotan', 'akar' dok diam je lah.
Tiba-tiba ada orang datang mencari saya, minta tolong tengokkan budak perempuan tadi. Dah orang panggil, saya pun pergi ke lokasi. Nampak sahaja budak perempuan itu yang sedang terduduk di atas tanah, saya pasti dia sedang kerasukan. Badannya menegang, matanya menyorot ganas dan berair, merenung ke satu-satu tempat dengan tajam dan meliar.
Si pendekar tadi sedang duduk di atas kerusi lebih kurang 5 meter dari si budak. Yang peliknya dia duduk sahaja tanpa mengikhtiarkan apa-apa. (Rupa-rupanya kawan tak tahu yang si budak ini sedang kerasukan)
Tanpa bercakap banyak, saya pergi ke sebelah budak itu lalu membaca ruqyah ringkas. Si budak mula menderam. Sampai pada "Lau anzahalna..." dia mula terketar-ketar. Sampai pada surah An-Naas, dia meronta kasar... lalu layu terkulai dan terbaring. Kemudian budak itu pun pulih seperti biasa .Hal ini menandakan jin yang merasuknya sudah pergi.
Boleh pulak si pendekar bertanya : "Ada jin pulak ye!" Dia sendiri mengakui hal itu.
Jawab saya sambil tersenyum : "Ada. Dah keluar dah." Saya terus berlalu.
Kata si pendekar : "Macam mana aku boleh tak rasa apa-apa tadi? Selalunya kalau ada jin, awal-awal aku dah terasa dah."
Jatuh sekejap egonya hari itu.
Sebenarnya pakcik ini memang ada serba-sedikit kebolehan dalam bab berlawan, tapi dari segi mengusir jin, dia kurang ilmu, cakap saja meninggi diri. Kebetulan pula pada hari itu, doa saya begitu cepat dimakbulkan Tuhan. Sekejap saja selesai. Orang-orang yang memerhati pun nampak berwajah kehairanan, bagaimana 'akar' boleh lebih menjadi berbanding 'rotan' pada hari itu. Nasib sayalah. Kadang-kadang sampai masa Tuhan tak makbulkan, ruqyah tiga 'round' pun kawan kat dalam badan pesakit tu masih bersembang mesra : )
Kehandalan vs Kemakbulan
Posted by Alexanderwathern | 10:21 PM | Jin, Kerasukan, Pengalaman | 0 comments »
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments
Post a Comment