Seorang hamba Allah tiba-tiba buang air besar berdarah, menitik-nitik darah cair yang turun (banyak dan tidak berhenti jika terus bertinggung). Menurutnya, memang dia ada sedikit tonjolan buasir sejak kecil tetapi benda itu tidak pernah mendatangkan masalah kepadanya. Entah bagaimana setelah berpuluh tahun tiba-tiba pada hari itu turun darah.
Pening lalat juga saya memikirkan kaedah rawatannya kerana tidak punya pengetahuan dalam menangani masalah sebegini. Yang kita khuatir, kalau-kalau ada pendarahan dalam perut, silap-silap boleh bawa maut tu.
Akhirnya saya ambil keputusan bacakan Al-Fatihah, Selawat dan “A’uzhubi’izzatillah…” (7 X). Itu dari sudut ikhtiar doa. Dari segi ikhtiar bersifat alami pula dimakankan dua biji pil mengkudu. Cara ghaib kita usaha, cara zahir pun kita usaha juga.
Dengan izin Allah, sekali itulah dia buang air berdarah. Kini sudah dua minggu dan setakat ini tiada masalah. Sebenarnya (dari segi syariatnya) saya tidak tahu kesembuhan itu datang dari mana (dari sudut hakikatnya memanglah hanya Allah yang ada kuasa untuk menyembuhkan), sama ada dari bacaan doa, ataupun dari khasiat mengkudu ataupun memang darah sebegitu hanya keluar sekali sahaja. Wallahua’lam.
Abu Zulfiqar
29 Oktober 2010
0 comments
Post a Comment