MagzNetwork

2 Ikhtiar Penyelesaian Masalah

Posted by Alexanderwathern | 2:53 PM | | 0 comments »

Suatu hari ketika masih kecil dalam usia sekitar 7 tahun, saya duduk di pintu belakang rumah bersebelahan dengan bilik mandi. Tok (perempuan) sedang membasuh kain di bilik mandi. Saya ambil pisau dapur lalu menetak-netak ringan ke pasir. Entah bagaimana sebiji batu terpelanting masuk ke dalam mata. Memang sakit dan agak besar juga batunya. Saya mengadu kepada tok tetapi tok kurang ambil peduli kerana sibuk membasuh (guna tangan dan berus).

Saya berasa sangat takut dan tidak tahu hendak buat apa. Oleh kerana saya baru belajar mendirikan sembahyang, saya pun ambil wudhuk, naik ke atas katil besi dan bersembahyang di atas tilam. Sepanjang sembahyang itu saya memohon kepada Tuhan agar mata saya selamat. Saya tidak ingat sembahyang apa yang dibuat.

Dengan izin Tuhan, seingat saya habis sahaja sembahyang, mata pulih seperti biasa. Itu satu cerita.

Pengalaman kedua ialah beberapa tahun lalu ketika berusia 34-35 tahun. Saya masukkan contact lens ke sebelah mata, selesai. Masukkan ke mata kedua, tiba-tiba ia terlipat dan terus masuk ke bahagian atas mata. Pelbagai cara diusahakan, tak juga mahu keluar. Setelah beberapa lama, saya berasa putus asa lalu duduk termenung. Yang nampak kini hanyalah pergi dapatkan rawatan doctor. Di hati mulalah terbayang yang ngeri-ngeri. Apakah mata saya akan dibedah? Isteri hanya mampu menumpang simpati.

Tiba-tiba datang ilham untuk beristighfar memohon keampunan. Mungkin apabila dosa-dosa terhapus, Allah akan beri jalan penyelesaian. Saya pun mengucapkan “Astaghfirullaahal ‘aziim…”. Tak sempat habis, dengan sendirinya contact lens itu bergerak turun dan terus keluar. Sangat menakjubkan saya, saya berasa seolah-olah ada sesuatu yang menolaknya turun. Tak perlu sentuh apa-apa, secara automatik sahaja. Saya berasa sangat bersyukur dengan bantuan Allah SWT itu.


Abu Zulfiqar
29 Oktober 2010

0 comments

Post a Comment