MagzNetwork

Berkongsi Rumah dengan Jin

Posted by Alexanderwathern | 10:20 PM | , | 0 comments »

"Rumah itu bukan hanya dihuni oleh enam orang ahli keluarga saya. Sejak mendiaminya 11 tahun lalu, kami menyedari tentang kehadiran satu 'keluarga' lagi.

"'Mereka' tinggal di sudut dan bahagian tertentu," ujar wanita berusia 42 tahun itu tentang banglo lima bilik yang ditawarkan harga menarik oleh ejen hartanah itu.

Tanpa riak resah atau takut, Asmah bercerita dalam nada mendatar. Menurutnya, dia tidak berbangga pun kalau ada yang mengatakan betapa mereka sekeluarga boleh menyesuaikan diri dengan keanehan dalam rumah itu selama ini.

"Kerapkali selepas tengah malam ketika kami tidur, pelbagai bunyi pelik kedengaran. Bunyi seperti orang mandi di bilik air atau memasak di dapur di tingkat bawah," terangnya. Katanya, setiap dia kali turun memeriksa, pasti dia menemui petunjuk tentang kedudukan barangan yang sedikit berubah.

Bagi ibu kepada empat cahaya mata itu, kejadian berulang seperti itu pernah membuatkannya ingin segera berpindah. Namun, ada saja yang mempengaruhinya agar melupakan hasrat itu.

"Suami saya sibuk dengan bisnes. Dia cuba memahami keadaan tetapi tidak mengambil serius tentangnya. Dia selalu merasionalkan saya dengan penjelasan bersifat logik. Saya tidak menyalahkannya," luah Asmah.

Bagaimanapun, Asmah tidak tahu bagaimana hendak menerangkan tentang aduan anak bongsunya mengenai kelibat budak lelaki dan perempuan sebayanya di dalam rumah.

"Saya sekadar memujuk anak-anak dengan mengatakan ia sekadar khayalan, tapi macam mana dengan alat permainan anak saya yang kerap hilang dan muncul semula ataupun beralih kedudukan dari tempat simpanannya?" katanya.

Lengan tanpa tubuh

Suri rumah sepenuh masa yang secara sambilan meminati seni membuat kraf perkahwinan itu pernah dikejutkan dengan insiden paling menakutkan.

Ketika dia leka menyiapkan perhiasan hantaran pada lewat malam, dia yang bersendirian pada waktu itu tiba-tiba tersentak dengan 'sesuatu' di hadapannya yang turut membantu menggubah hantaran.

Percaya atau tidak, benda yang 'membantu' itu hanyalah sepasang lengan tanpa tubuh!

"Memang pada mulanya saya trauma dan kami tidak senang duduk. Tapi, makin lama saya dapati ia tidak mengancam keselamatan kami.

"Lebih penting lagi, ia langsung tidak menjejaskan perkembangan anak-anak dan juga pembelajaran mereka. Kini saya sekadar berwaspada," kata Asmah.

0 comments

Post a Comment