MagzNetwork

Sekumpulan remaja menyertai sebuah kem di pinggir hutan. Salah satu aktiviti yang mereka ikuti ialah jejak rimba (jungle tracking). Ketika aktiviti itu berlangsung, tiga orang remaja perempuan terkena gangguan. Mereka dipulihkan oleh sahabat saya ustazah N dan Ustaz A, yang pernah bergandingan dengan saya ketika menangani beberapa kes gangguan sebelum ini. Oleh kerana saya tidak terlibat dengan kem itu, saya hanya mendengar cerita-cerita yang dibawa pulang sahajalah.

Dua orang remaja yang menyertai kem itu bertanya kepada saya : “Seronok tak kem hari tu?”

Saya terpinga-pinga : “Kem apa?”

“Laa… kem yang kat xxxxxx tu?”

“Eh, mana saya nak tahu! Saya tak pergi!”

“Eh, pergi laa…! Kami nampak!” balas mereka.

“Laa… sungguh ni! Memang saya tak pergi langsung!”

Mereka berdua saling berpandangan. Mereka bertanya kepada dua orang lagi rakan mereka ketika itu juga. Kedua-duanya pun bersungguh-sungguh mengaku nampak saya di kem itu, bahkan pada waktu pagi dan malam. Antaranya saya dilihat berada hampir dengan Ustaz Y dan Ustaz S yang memang hadir pada kem itu. Sudah empat orang! Saya menafikan tetapi mereka berempat menyangka saya sedang berlawak, kerana saya sering juga berjenaka dengan budak-budak tu.

Menurut mereka, saya memakai serban putih, baju labuh putih dan seluar putih. Sekali imbas nampak memang macam penampilan saya, tetapi yang mereka lihat itu pasti 100% bukan saya, kerana saya langsung tidak berada di sana walaupun sesaat. Akhirnya budak-budak itu mengalah dan dapat menerima bahawa bukan saya yang mereka lihat. Jadi… siapa lelaki berserban dan berpakaian serba putih itu?

Kemudian saya pergi pula bertanya kepada Ustaz Y dan Ustaz S yang kebetulan sedang berbual berdua. Memang pelik! Menurut mereka, memang tidak ada sesiapa yang berpakaian seperti itu hadir ke kem dua hari satu malam itu. Jeng je jengggg…!!!

‘Pendamping’ kot?

Sebenarnya saya tidak pernah berpendamping atau apa-apa yang sewaktu dengannya. Bahkan mereka yang berpendamping pun saya suruh mereka usahakan untuk membatalkannya. Bekal rawatan saya hanyalah ayat-ayat Al-Quran, bersumberkan hadith dan bahan-bahan daripada alam. Itu sahaja. Tiada pendamping, sahabat, belaan, jin atau sebagainya.

Jadi… siapa yang dilihat oleh budak-budak itu? WaAllahua’lam.

Saya berjenaka dengan orang rumah : “Benda ni laa… kalau nak pinjam rupa abang pun… bayar le royalti. Dah la tak ambik tauliah dulu, pandai-pandai je nak guna rupa orang. Buatnya ‘time’ orang perempuan mandi, tiba-tiba dia muncul kat bilik mandi tu, tak ke haru abang dibuatnya.” Orang rumah saya tertawa mendengarnya.

Harap-harap biarlah ia (yang seakan-akan saya itu) makhluk yang baik lagi soleh dan tidak mendatangkan kesa tidak baik kepada saya.

Abu Zulfiqar

7 APRIL 2012

0 comments

Post a Comment