MagzNetwork



PERSOALAN :
Saya ingin bertanyakan perawatan yang sedang saya lakukan. saya agak keliru, kalau-kalau saya melakukan perkara yang bertentangan agama. Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Ustaz.

Isteri saya mengalami gangguan, saya kira gangguan jin. Saya berjumpa seorang perawat. Saya agak ragu-ragu cara perawatannya tetapi saya tidak boleh melarang sebab saya pun tidak tau adakah ia salah atau tidak.

Antara cara rawatannya;

i. Mandi Bunga 7 bunga yang ada bau bersama limau purut.
ii Pesakit di rawat di samping selawat & Quran di pukul belakang dengan kain hitam. Menggunakan asap rokok semasa merawat. Perawat mengaku berasa kehadiran 'benda' pada pesakit/dalam rumah. Pesakit dikehendaki membuka tudung dan perawat meminta izin saya untuk perawatan.
Semasa merawat perawat 'bersendawa'
iii. Mandi limau 5 malam berturut-turut dan pada masa yang sama. kemudian limau itu akan disimpan hingga malam ke lima dan di buang ke sungai.
iv. Amalan pagar rumah adakah ia dibenarkan. bahan-bahan sepeti asam keping, lada garam lada hitam dan beberapa bahan lagi.

Saya agak ragu-ragu kalau-kalau perawat menggunakan jin dalam rawatannya. Perawat juga selalu menjelaskan ia adalah ikhtiar. Minta penjelasan pihak tuan.


PENJELASAN :

MANDI BUNGA
Mandi bunga 7 macam bau itu ialah salah satu terafi aroma/bau-bauan. Ada juga mandi bunga yang bermotifkan terafi warna. Dengan izin Allah, kajian-kajian zaman ini menunjukkan bau dan warna memang membantu dalam rawatan. Limau juga salah satu terafi bau-bauan. Tidak mengapa menggunakan bunga dan limau asalkan jangan salah niat, contohnya niat untuk minta bantuan makhluk halus tertentu, tentulah tak boleh.

Sebagai contoh, ada orang sakit yang terasa segar dan lapang apabila tercium bau wangi. Dari situ manusia mengkaji kemanfaatan terafi bau. Ada orang sakit yang apabila duduk dalam bilik yang mempunyai warna-warna yang garang, meningkat semangatnya lalu lebih mudah untuk ia disembuhkan. Ada pula orang sakit yang rasa sedap dan cepat sembuh apabila duduk dalam bilik yang berwarna lembut. Dari situ manusia mengkaji kemanfaatan terafi warna.

Diri manusia juga berkait rapat dengan warna dan bau. Tubuh masing-masing ada warna tersendiri. Aura masing-masing juga ada warna tersendiri. Lain individu, lain warna-warna yang diminatinya atau tidak disukainya. Tubuh manusia juga ada bau masing-masing. Jadi, terafi waran dan bau memang wujud, dan manusia menggunakan pelbagai bahan untuk menjalankan rawatan menggunakan warna dan bau ini termasuklah bunga dan limau.

BACAAN DAN PUKULAN
Bacaan selawat dan ayat-ayat Al-Quran kita sedia maklum, memang bagus. Tentang pukulan sama ada dengan tangan, rotan, kain, serban, sejadah dan sebagainya memang boleh asalkan tidak sampai memudaratkan pesakit. Tujuan pukulan itu sebenarnya ialah untuk menyakitkan dan menakutkan jin yang berada di dalam tubuh pesakit, sekiranya ada. Ada juga pukulan yang bertujuan untuk mengaktifkan tubuh pesakit, agar rawatan mudah dilakukan.

PENGGUNAAN ASAP ROKOK
Penggunaan asap rokok itu tujuannya untuk mendatangkan jin, kerana jin suka dengan asap. Sebab itu dulu biasanya orang pakai kemenyan, kerana asapnya disukai jin. Cuma secara peribadi saya tidak setuju dengan kaedah ini, dan ini kali pertama dengar perawat guna rokok. Mungkin niatnya untuk menjemput jin yang mengganggu isteri anda agar datang, supaya dia boleh uruskan jin itu. Jika benar begitu, niatnya baik, tapi caranya tidak sesuai. Bagi sebahagian perawat pula, asap digunakan untuk menghadirkan jin-jin yang boleh membantunya dalam rawatan seperti pendamping, sahabat, saka atau sebagainya.

MEMBUKA TUDUNG KEPALA
Membuka tudung tu rasanya tak perlu dalam kes gangguan seperti ini. Paling kuat pun perawat boleh letak tangan atas kepala pesakit yang bertudung.  Dan sepatutnya tak perlu sentuh pesakit pun, kerana perawat boleh melakukan jurus dari jauh. Lainlah kalau ada luka di kepala, atau bisul, atau cedera, atau perlu dibedah dan seumpamanya yang berupa kecemasan. Dalam kes seperti itu barulah perawat dibenarkan meminta pesakit atau warisnya membuka tudung. Kalau bukan kecemasan, minta pesakit pergi mendapatkan rawatan dengan perawat wanita.

PERAWAT SENDAWA
Perawat sendawa kerana beberapa sebab. Antaranya, dalam badannya ada banyak angin. Apabila dia membaca ayat-ayat tertentu atau melakukan gerak-gerak tertentu, ayat dan gerak itu secara tak langsung “attack” angin dalam badannya.  Sebab itu ada orang yang apabila baca Quran, dia akan sendawa beberapa kali di peringkat awal. Lagi satu, jika dalam badan perawat ada jin-jin (biasanya yang kecil-kecil) dan banyak syaitan (yang memang selalu masuk keluar tubuh manusia), dia juga akan sendawa.

MANDI LIMAU
Mandi limau itu salah satu kaedah rawatan, lebih-lebih lagi ia bersifat asid dan berbau wangi. Ada sebahagian jin yang sangat tidak selesa dengan asid dan bau wangi. Boleh saja mandi air daun bidara, air biasa dan seumpamanya.

MEMAGAR RUMAH
Bahan-bahan yang digunakan untuk memagar rumah itu boleh digunakan, asalkan niatnya betul. Cuma saya tak biasa guna asam keping. Bahan-bahan itu digunakan kerana ada sebahagian bangsa jin yang tidak selesa/ tidak suka dengannya. Jadi apabila kita taburkan di sekeliling rumah, jin-jin itu biasanya tidak menghampirkan diri. Tapi bukan semua jin tak suka benda-benda itu. Namun sekurang-kurangnya ia mengurangkan jumlah jin yang mungkin masuk ke kediaman kita.

Contohnya apabila kita tabur belerang di sekeliling rumah, banyak jenis haiwan berbisa akan mengelak daripada masuk ke rumah kita, tapi ada juga jenis yang tetap boleh masuk. Ada haiwan tak suka pokok limau purut, ada yang pantang dengan serai wangi, ada yang takut warna-warna tertentu, ada yang takut duri dan sebagainya. Selain itu benda-benda itu juga ada khasiat-khasiat tersendiri yang sampai sekarang pun manusia tidak tahu kesemua khasiatnya. Begitu jugalah dengan lada hitam dan garam.

Orang dulu-dulu belajar dari pengalaman. Apabila mereka tabur garam yang dibacakan ayat-ayat Quran, ternyata mereka berjaya menjauhkan bangsa-bangsa jin tertentu. Apabila dibuat berulang kali, di banyak tempat dan oleh ramai orang dan berjaya, lama-kelamaan ia diterima secara umum walaupun mungkin sebahagian orang tak tahu pun apa kaitan antara lada dan garam dengan jin-jin.

Samalah macam orang tabur belerang keliling rumah untuk elakkan haiwan-haiwan berbisa. Kalau kita tanya, kebanyakannya tak tahu pun apa kaitan antara belerang dengan haiwan berbisa dan bagaimana fungsi belerang ke atas haiwan-haiwan itu, tapi mereka bertindak berdasarkan pengalaman berjaya berulang kali yang dibuat oleh masyarakat. Tak bolehlah kita cegah mereka tabur belerang dengan alasan kononnya tak ada dalil Quran atau sunnah ataupun tak buat eksperimen makmal.

Jin-jin terdiri daripada banyak bangsa dan agama, macamlah spesis-spesis haiwan. Ada haiwan takut akan api, ada pula yang suka. Untuk elakkan beruang, harimau, serigala dan seumpamanya, kita nyalakan api sekitar rumah. Tiba-tiba kita dapat tahu ada sejenis haiwan sedang mengamok menyerang manusia. Kita tak tahu haiwan apa. Maka sebagai usaha dan ikhtiar, kita pun pakat pasang obor keliling rumah. Tindakan kita itu berdasarkan pengalaman rata-rata masyarakat bahawa binatang buas takut akan api. Tak perlu tunggu kaji dalil Quran dan hadis untuk ambil tindakan sebegini, cukup dengan menggunakan akal.

SYARAT-SYARAT OLEH PERAWAT
Tentang mandi limau 5 malam dengan syarat-syarat tertentu itu sebenarnya mengikut pertimbangan perawat. Berdasarkan tahap keseriusan gangguan yang dihadapi, maka perawat mengagak yang gangguan itu akan hilang sepenuhnya jika dibuat selama 5 malam. Kalau tak serius, mungkin setakat 3 malam, dan kalau sangat serius, mungkin sampai 7 malam.

Samalah macam doktor merawat ahli sukan yang cedera. Doktor itu akan nasihatkan agar ahli sukan itu berehat mengikut tempoh masa yang dijangkakannya kecedaraan itu akan sembuh. Sebab itu ada ahli sukan yang direhatkan dua minggu, ada yang dua bulan, ada yang setengah tahun dan sebagainya. Masanya berbeza mengikut jenis kecederaan. Kesimpulannya, ia mengikut pertimbangan perawat.

PERAWAT MENGGUNAKAN JIN
Antara tanda-tanda perawat menggunakan jin :
1.       Dia menurun (menggelepar atau terketar-ketar lalu suaranya jadi lain). Yang ini kita sedia maklum.
2.       Dia menggunakan kemenyan, colok atau apa-apa yang mengeluarkan asap dan bau, tujuannya untuk mudah menghadirkan jin. Tapi tidak semestinya yang menggunakan kemenyan itu menggunakan jin. Begitu juga kalau dia membuat apa-apa hidangan atau peralatan. Biasanya hidangan dna pearalatan itu adalah kesukaan jin-jin yang mahu dihadirkannya.
3.       Dia duduk diam ataupun kelihatan membaca sesuatu lalu tiba-tiba bersuara dengan suara yang lain. Kalau jenis Islam, biasanya jin itu akan mengucapkan salam terlebih dahulu.
4.       Dia bercakap dengan sesuatu yang kita tidak nampak, seolah-olah ada teman bicara. Kadang-kadang dia tanya soalan, dia sendiri yang jawab. Sebenarnya yang menjawab itu ialah jin tadi, sekalipun suaranya sama dengan suara perawat.
5.       Ketika sedang merawat, dia sendiri beritahu bahawa sekejap tadi ada orang/sahabat/sesuatu dan seumpamanya yang beritahu begini-begini kepadanya sedangkan kita tak nampak siapa.
6.       Dia nampak apa yang kita tidak nampak seperti nampak jin duduk di pintu, di alang, di tepi pesakit dan sebagainya. Tapi bukan semua perawat yang nampak itu menggunakan jin.
7.       Tiba-tiba dia bercakap dengan nada yang lain dan mengakui dirinya sebagai tokoh-tokoh tertentu seperti Hang Tuah, Tok Janggut, wali, Puteri Mayang Mengurai, ulama, pendekar dan sebagainya.
Namun begitu, bukan semua orang yang melibatkan jin dalam rawatannya itu melakukan perkara yang salah. Bahagian ini panjang huraiannya dan perlukan perincian. Tapi sebagai jalan selamat, kita elakkanlah perawat yang melibatkan jin dalam rawatannya. Banyak fitnah sekiranya menggunakan jin ini.

PENUTUP
Alhamdulillah, syukur. Saya kira saya sudah berusaha menjelaskan sekadar yang saya tahu dan terdaya dalam ruang yang ada ini walaupun tidaklah secara terperinci. Semoga penjelasan ini bermanfaat buat anda. Wallahua’lam.

Abu Zulfiqar
29 Mei 2013

1 comments

  1. JackRipperz // October 9, 2013 at 3:48 PM  

    Alhamdullilah, info yang sangat berguna.

Post a Comment