MagzNetwork

Di Sebalik Amalan Puja Nenek Moyang

Posted by Alexanderwathern | 12:21 PM | , | 0 comments »

Apa tujuan sesetengah masyarakat bukan Muslim menjalankan pemujaan atau penyembahan nenek moyang/leluhur? Sudah tentu ada sebab-sebab yang menarik untuk kita ketahui, sebagai pengkayaan maklumat. Antara sebab-sebabnya :

1. Cuba membantu leluhur mereka hidup lebih selesa di alam sana. Mereka percaya nenek moyang mereka boleh dan perlu dibantu oleh anak cucunya yang masih hidup. Oleh itu ada amalan-amalan atau upacara-upacara tertentu yang dapat memberi manfaat kepada datuk nenek mereka yang sudah meninggal dunia.

2. Sebagai tanggungjawab dan bukti kasih sayang bagi orang yang masih hidup di dunia, dengan membantu leluhur mereka yang hidup di alam sana. Anak cucu yang buat tidak endah sahaja akan amalan ini dipandang sebagai tidak menghormati dan tidak mengenang jasa datuk nenek.

3. Agar terselemat daripada daripada diganggu oleh ruh-ruh leluhur mereka. Hal ini sering menjadi tujuan utama. Sebenarnya pemujaan yang dilakukan ialah untuk menyenangkan hati saka (jin) yang telah lama bersama-sama keturunan mereka. Mereka sangkakan  ruh-ruh itu ialah nenek moyang mereka, padahal itulah jin-jin yang mengambil rupa nenek moyang mereka.

Kononnya jika tidak dilakukan pemujaan, nenek moyang mereka akan marah dan mendatangkan pelbagai kesusahan kepada mereka seperti merasuk, memiskinkan, menyakitkan dan sebagainya. Upacara-upacara itu dipercayai dapat mententeramkan ruh-ruh nenek moyang  yang sebenarnya ialah jin-jin yang menjadi saka untuk sesuatu keturunan itu. Saka-saka inilah yang mengamok sekiranya tidak dipuja. Sebab itu jarang kita dengar kaum (agama) yang memenuhi tuntutan saka itu kerasukan, sebaliknya kaum yang cuba membuang sakalah yang sering kerasukan dan sakit misteri.

4. Untuk memberitahu leluhur mereka yang sudah mati itu bahawa anak cucu mereka di dunia baik-baik sahaja. Hal ini dipercayai dapat mententeramkan nenek moyang.

5. Mengharapkan para leluhur itu berasa senang hati lalu memberkati anak cucu yang masih hidup di dunia. Dengan itu hidup anak cucu akan jadi bertuah dan lebih bahagia.

Menyentuh maklumat nombor 3, orang-orang Islam sendiri pun ada juga yang terpedaya. Contohnya mereka bermimpi bertemu arwah datuk, bapa saudara, ibu, moyang dan lain-lain yang mereka sangkakan benar-benar leluhur mereka. Padahal dalam banyak kes, itulah jin-jin yang sudah sekian lama bersama dengan keturunan mereka. Jin-jin itu sudah menjadi saka dan ada kebolehan mengambil /meniru rupa nenek moyang kita.

 Kemudian makhluk-makhluk itu meninggalkan pesan kepada kita seperti supaya mengadakan kenduri pada sekian-sekian masa, menjaga sesuatu barang peninggalan mereka, melakukan amalan-amalan tertentu termasuklah yang berisi amalan-amalan keagamaan, masak makanan tertentu, sampaikan kepada orang lain hal-hal tertentu dan sebagainya. Padahal jika mereka melaksanakan hal-hal itu, sebenarnya mereka sedang memenuhi tuntutan jin-jin saka itu tanpa mereka sedari. Sebaliknya, jika mereka enggan melakukan permintaan-permintaan “nenek moyang” itu tadi, “nenek moyang” (jin-jin le tu)akan mengganggu anak cucu seperti menyakitkan salah seorang, mengganggu akal, merasuk dan sebagainya.

Jadi tidak hairanlah jika kita sering terdengar orang mengatakan : “Eh, kenapa asyik kaum (agama) kita je yang kena rasuk, kena gangguan saka, tapi kaum-kaum lain tak kena pun?” Jawapannya, kerana mereka berusaha memenuhi tuntutan saka-saka itu sedangkan kita berusaha untuk membuangnya. Orang yang hendak membuang atau tak mahu memenuhi tuntutan saka itulah yang akan diganggu oleh saka. Umumnya itu semua bukan tok nenek kita walaupun rupa mereka sama dengan tok nenek kita, tapi itulah jin-jin yang mengiringi keturunan kita.

Oleh itu, janganlah mudah percaya bahawa yang datang menemui kita dalam mimpi itu ialah ibu bapa tok nenek kita. Tanyakan kepada orang-orang soleh terlebih dahulu.

Abu Zulfiqar
8 Februari 2013

0 comments

Post a Comment