Suatu waktu dahulu, saya selalu berbual dengan seorang makcik, kerana kebetulan saya menjadi guru agama kepadanya.
Menurut makcik ini, arwah bapanya pernah ada tangkal. Tangkal itu pernah terbukti kemujarabannya. Pada suatu malam, seorang lelaki India menjerit-jerit di tengah jalan kerana dipatuk ular. Bapa makcik ini menyapukan tangkal itu ke kaki lelaki India tadi, dan ketika itu juga kesakitannya hilang. Tapi tangkal itu kini tidak diketahui ke mana perginya.
Makcik ini pernah mendapat minyak penarik. Minyak ini disimpannya baik-baik. Kepada anak-anaknya pun tidak diberinya kerana takut disalahguna. Memang dia kurang mempercayai anak-anaknya. Katanya jika minyak ini disapu di kening, orang pasti akan tertawan dengan kita. Kerana yakin akan saya, dia menawarkan minyak itu kepada saya tapi saya menolak dengan baik.
Pernah juga seorang lelaki yang pandai mengubat memberi kepada makcik ini satu barang berbentuk ikan. Ikan itu diikat dengan sehelai benang atau tali. Ia boleh digunakan untuk mengetahui sesuatu hal. Contohnya jika seseorang isteri hendak mengetahui keadaan suami mereka di luar rumah, ikan itu dibiarkan tergantung pada tali yang kita pegang. Kita tanyakan apa sahaja. Jika jawapannya ya, ikan akan berpusing ke kanan. Jika jawapannya tidak, ia akan berpusing ke kiri. Menurut makcik ini, melalui ujian-ujian yang dilakukannya, jawapan-jawapan yang diberikan oleh ikan itu memang betul.
Begitulah antara sembang-sembang saya dengan seorang hamba Allah suatu ketika dahulu. Orangnya sudah meninggal dunia. Catatan ini dibuat sekadar perkongsian tentang kisah orang dulu-dulu, bukan bermaksud menyetujuinya.
0 comments
Post a Comment