MagzNetwork

Suara Ngeri Di Sekitar Rumah

Posted by Alexanderwathern | 11:40 PM | | 0 comments »

(Kejadian ini berlaku sekitar 2007-2008)


Sudah beberapa minggu suara itu kedengaran di sekitar rumah kami. Bermula waktu senja sehinggalah hampir terbit fajar. Bunyinya macam anak ayam tetapi pelik dan menyeramkan. Pada mulanya kami buat tak endah, tapi lama-kelamaan timbul perasaan syak dan sedikit takut.


Apabila malam menjelma, bunyi itu pun datang. Saya dan isteri memberanikan diri mengintai-ngintai dari dalam rumah tetapi tak pernah ternampak apa bendanya. Pernah saya keluar rumah beberapa kali dan mencarinya berpandukan bunyi itu tetapi tuan punya bunyi tetap tak kelihatan.


Kadang-kadang ia berbunyi dekat benar dengan kaki lima rumah, namun jika dicari tak jumpa. Makin diikut, makin jauh ia pergi. Seolah-olah menarik kita entah ke mana. Jika bunyinya sampai ke tempat gelap, saya pun berpatah baliklah. : )


Saya bualkan kejadian ini dengan jiran. Katanya dia pun sudah lama terasa pelik dengan suara itu. Apabila dicari tidak ditemui sedangkan suaranya ada.


Pernah suatu malam bunyi itu berada betul-betul di tepi dinding rumahnya. Dia pun keluar membawa lampu suluh. Dilihatnaya tidak ada apa-apa di tepi dinding tapi bunyi itu berada beberapa meter di hadapannya, iaitu di dalam rimbunan pokok bunga. Dia meredah masuk ke situ tetapi bunyi itu bergerak pula beberapa meter di hadapannya, iaitu di atas jalan raya. Bunyi itu sentiasa beberapa meter di hadapan kita.


Dicarinya di atas jalan raya, bunyi itu berpindah beberapa meter ke hadapan, iaitu di atas rumput seberang jalan. Disuluhnya, bunyi itu berpindah ke atas pokok kelapa sawit muda. Tak puas hati, dia pergi ke pokok kelapa sawit, bunyi itu menderam besar lalu diam. Risau juga dia. Disuluhnya seluruh pokok sawit itu tetapi tidak kelihatan apa-apa. Kawan pun berpatah balik.


Pada malam yang lain, ketika saya hendak keluar dengan kereta, bunyi itu ada di kawasan pokok sawit di depan rumah. Saya bertekad untuk mencarinya. Beberapa ayat dan doa pun dibaca. Saya halakan kereta ke arah pokok-pokok sawit dan naikkan lampu tinggi. Terang benderang kawasan tersebut. Bunyi itu semakin galak seolah-olah mempermain-mainkan kita. Saya pun keluar dari kereta , biarkan pintu kereta terbuka lalu berjalan laju ke arah bunyi itu.


Tiba sahaja di pokok sawit, bunyi itu diam. Mata saya ligat memantau setiap bahagian pokok sawit itu. Puas saya tinjau, tak nampak apa-apa benda.


Tiba-tiba bunyi itu berbunyi betul-betul dekat kereta saya. “Ah, sudah! Dia masuk dalam kereta ke pulak?” fikir saya. Apa yang saya hendak buat? Saya tidak dapat melihat sekitar kereta kerana lampu tinggi sedang menyuluh ke tempat saya berdiri. Cerdik pulak benda ni! Buatnya ia menunggu saya di pintu kereta, dengan tubuh besar ragamnya… habis le saya malam tu- kena bergusti dengan apa yang sedang menunggu itu.


Saya bulatkan tekad lalu bergerak laju ke arah kereta. Penumbuk sulung sudah saya genggam kemas-kemas.

Tiba di kereta, tak ada apa-apa. Fuh, selamat! Sebentar kemudian bunyi itu bersuara di pokok sawit semula. Geram punya pasal, saya meluru ke pokok sawit. Ia berbunyi di kereta pula. Kacau betul! Kalau hendak berdepan, berdepanlah betul-betul. Main aci nyorok ni yang buat tambah perisa geram ni!


Malaslah saya hendak layan. Masuk kereta terus keluar ke jalan besar. Sambil-sambil itu jelling-jeling juga kalau-kalau ia menumpang di tempat duduk belakang. : )


Suatu senja, saya tinggal sendirian di rumah. Isteri dan anak-anak ke rumah emak mertua. Suara itu berbunyi di belakang rumah. Saya kira di atas tiang ataupun wayar elektrik. Saya pergi ke sofa di tepi dinding lalu duduk. Kali ini saya mahu lawan dengan bacaan dan amalan pula. Hendak membuka tingkap melihat ke belakang, rasa tak cukup kuat. Biarlah.


Elok sahaja saya melabuhkan punggung di sofa, bunyi itu turun ke pokok mempelam. Lebih hampir. Saya pun memulakan bacaan, bunyi itu bertenggek di atas tiang ataupun tali penyidai, saya pasti. Bacaan saya semakin panjang, bunyi itu turun ke tanah. Hati saya mula berdebar.


Lagi baca, lagi dekat. Kali ini betul-betul di tepi dinding rumah. Gerun betul saya dibuatnya. Saya bingkas berdiri, tidak baca apa-apa lagi, cuma berzikir khafi di dalam hati sambil menunggu kalau-kalau tukang bunyi itu menembuskan dirinya melalui dinding. Keadaan tubuh saya ketika itu cukup tegang, seperti orang yang bersedia untuk bergaduh.


Tunggu punya tunggu, tidak ada apa-apa yang menjelma. Apakah ia dalam bentuk halimunan? Payah le nak lawan, kena bergantung sepenuhnya kepada sentuhan. Engkau sentuh saja, siap…!

Akhirnya, bunyi itu kembali menjauh. Ia melompat ke atas pokok ataupun tiang. Makin lama makin jauh. Lega rasanya : )


Hairan saya. Kalau jin, mengapa ruqyah langsung tak makan dan tak memberi apa-apa kesan (hakikatnya Allah yang memberi kesan, ruqyah hanya ikhtiar sebagai memenuhi anjuran Tuhan). Belum pernah saya berhadapan dengan jin sehebat ini (kalau benar ia jin).


Beberapa malam kemudian saya berkesempatan berbual-bual dengan seorang pengamal perubatan tradisional. Alang-alang berbual, saya pun bertanyakan pendapatnya tentang bunyi di persekitaran rumah kami itu. Dia pun “menengok” dengan caranya. Kadang-kadang tekaannya mengena, kadang-kadang tak. Katanya, ada makhluk halus (jin). Yang berbunyi itu ialah “tunggangannya”.


Saya bukanlah hendak percaya 100% tengokannya itu, sekadar ingin tahu pandangan orang lain. Maklumat itu saya sampaikan kepada jiran saya.


Beberapa hari kemudian jiran saya itu memberitahu, “Aku dah tengok dah apa dia yang berbunyi tu!”

Katanya, pada suatu malam bunyi itu ada di belakang rumahnya. Dia keluar melalui tepi rumah. Sampai di belakang, perlahan-lahan dia melihat atas bawah. Bunyi itu ada di atas pokok. Disuluhnya…..

Nampak jelas tuan punya bunyi itu…. iaitu… seekor anak burung hantu!


Cis, patutlah ruqyah aku tak jalan! Ruqyah hantu syaitan dibaca kepada anak burung hantu, memanglah tak berkesan. : )


Sejak hari itu saya dan jiran-jiran tidak berasa bimbang lagi apabila bunyi itu menjelma pada waktu senja hinggalah ke pagi. Anak burung hantu itu membesar di kejiranan kami. Selepas akil baligh agaknya, ia pun menghilang.



Abu Zulfiqar Amsyari

10 April 2010

0 comments

Post a Comment