MagzNetwork

Kesan Racun yang Lewat

Posted by Alexanderwathern | 11:44 AM | , , | 0 comments »

Suatu hari kami sekeluarga menziarahi seorang bakal ibu di Hospital Taiping. Kandungannya bermasalah, menurut doktor. Hasil ‘scan’ para doktor menunjukkan jantung bayinya membengkak dan punya dua denyutan. Para doktor di sini pun pening kerana belum pernah menemui kes seperti ini.

Dalam bersembang-sembang itu, saya diminta cuba tolong ‘tengokkan’ si ibu. Pada mulanya saya menolak kerana saya tidak ada ilmu ‘menengok’ dan tidak ada pengetahuan tentang sakit fizikal seperti itu. Perkara yang saya tidak tahu, saya jawab teruslah tidak tahu.

Selepas didesak beberapa kali, saya pun bersetujulah untuk meruqyah si ibu. Manalah tahu kalau-kalau ada ‘sangkut’ apa-apa walaupun dalam hati saya mengatakan kes ini memang sakit fizikal.

Di tengah-tengah orang ramai sebegitu, tak selesa hendak meruqyah. Saya letakkan tapak tangan di atas kepala si ibu lalu membacakan ayat-ayat ‘meracun’ sesiapa yang berada di dalam tubuh si ibu, sekiranya ada. Dengan ikhtiar yang sesingkat itu, saya tidak dapat mengesan apa-apa dan si ibu juga tidak berasa apa-apa. Saya tanya, ada tak bermimpi apa-apa dalam tempoh terdekat ini, supaya dapat saya ta’birkan. Tiada. Jadi dengan satu ‘round’ ruqyah ringkas itu (biasanya kalau merawat, 3 ‘round’), saya beranggapan tiada sebarang gangguan. Kami pun minta diri lalu pulang.

Beberapa jam kemudian isteri saya dapat panggilan telefon dari si ibu. Katanya sebaik-baik sahaja kami melangkah pulang, matanya terasa panas/hangat dan panas/hangatnya lain macam.

Rupa-rupanya ‘racun’ itu berkesan dengan izin Allah, cuma oleh kerana ia racun yang ringkas dan sekali lalu sahaja, kesannya lambat. Orang dah balik baru racunnya mengganggu ‘si dia’ yang berada di dalam.

Malam itu juga keluarga di ibu pergi mendapatkan bantuan seorang perawat berdekatan rumah mereka.

Abu Zulfiqar

10 APRIL 2012

Sekumpulan remaja menyertai sebuah kem di pinggir hutan. Salah satu aktiviti yang mereka ikuti ialah jejak rimba (jungle tracking). Ketika aktiviti itu berlangsung, tiga orang remaja perempuan terkena gangguan. Mereka dipulihkan oleh sahabat saya ustazah N dan Ustaz A, yang pernah bergandingan dengan saya ketika menangani beberapa kes gangguan sebelum ini. Oleh kerana saya tidak terlibat dengan kem itu, saya hanya mendengar cerita-cerita yang dibawa pulang sahajalah.

Dua orang remaja yang menyertai kem itu bertanya kepada saya : “Seronok tak kem hari tu?”

Saya terpinga-pinga : “Kem apa?”

“Laa… kem yang kat xxxxxx tu?”

“Eh, mana saya nak tahu! Saya tak pergi!”

“Eh, pergi laa…! Kami nampak!” balas mereka.

“Laa… sungguh ni! Memang saya tak pergi langsung!”

Mereka berdua saling berpandangan. Mereka bertanya kepada dua orang lagi rakan mereka ketika itu juga. Kedua-duanya pun bersungguh-sungguh mengaku nampak saya di kem itu, bahkan pada waktu pagi dan malam. Antaranya saya dilihat berada hampir dengan Ustaz Y dan Ustaz S yang memang hadir pada kem itu. Sudah empat orang! Saya menafikan tetapi mereka berempat menyangka saya sedang berlawak, kerana saya sering juga berjenaka dengan budak-budak tu.

Menurut mereka, saya memakai serban putih, baju labuh putih dan seluar putih. Sekali imbas nampak memang macam penampilan saya, tetapi yang mereka lihat itu pasti 100% bukan saya, kerana saya langsung tidak berada di sana walaupun sesaat. Akhirnya budak-budak itu mengalah dan dapat menerima bahawa bukan saya yang mereka lihat. Jadi… siapa lelaki berserban dan berpakaian serba putih itu?

Kemudian saya pergi pula bertanya kepada Ustaz Y dan Ustaz S yang kebetulan sedang berbual berdua. Memang pelik! Menurut mereka, memang tidak ada sesiapa yang berpakaian seperti itu hadir ke kem dua hari satu malam itu. Jeng je jengggg…!!!

‘Pendamping’ kot?

Sebenarnya saya tidak pernah berpendamping atau apa-apa yang sewaktu dengannya. Bahkan mereka yang berpendamping pun saya suruh mereka usahakan untuk membatalkannya. Bekal rawatan saya hanyalah ayat-ayat Al-Quran, bersumberkan hadith dan bahan-bahan daripada alam. Itu sahaja. Tiada pendamping, sahabat, belaan, jin atau sebagainya.

Jadi… siapa yang dilihat oleh budak-budak itu? WaAllahua’lam.

Saya berjenaka dengan orang rumah : “Benda ni laa… kalau nak pinjam rupa abang pun… bayar le royalti. Dah la tak ambik tauliah dulu, pandai-pandai je nak guna rupa orang. Buatnya ‘time’ orang perempuan mandi, tiba-tiba dia muncul kat bilik mandi tu, tak ke haru abang dibuatnya.” Orang rumah saya tertawa mendengarnya.

Harap-harap biarlah ia (yang seakan-akan saya itu) makhluk yang baik lagi soleh dan tidak mendatangkan kesa tidak baik kepada saya.

Abu Zulfiqar

7 APRIL 2012

Perawat Sentuh Bahagian Sulit

Posted by Alexanderwathern | 9:01 PM | , | 0 comments »

PERSOALAN :

Subhanallah...ustaz, saya ingin bertanya...Saya sedang menjalani rawatan perubatan secara Islam dengan seorang ustaz.. Setelah ustaz bacakan ruqyah,,memang ada benda pada saya, kerana saya mula menggeletar dengan kuat..tapi saya tidak senang dan tertanya-tanya tentang cara rawatan ustaz tersebut...Ustaz menyentuh bahagian kemaluan saya, di bahagian tepi dan juga dada saya, kerana mendakwa benda tersebut ada di situ, kerana ketika beliau menekan di bahagian kiri kemaluan saya dan juga bahagian kiri dada saya,, badan saya makin kuat menggeletar...Adakah ustaz tersebut hanya ingin mengambil kesempatan pada saya? Saya sangat tidak selesa dan marah bila ustaz tersebut menyentuh bahagian kemaluan dan buah dada saya tanpa alas.. bantu la saya ustaz..

PENJELASAN :

Boleh jadi ustaz itu mengambil kesempatan, tapi boleh jadi juga dia TIDAK TAHU ADAB-ADAB ketika merawat walaupun dia tahu merawat. Memang ada perawat yang menyangkakan sekiranya jin-jin dalam tubuh pesakit lari dan berselindung pada bahagian-bahagian sulit, kononnya dibenarkan untuk mereka menyerang dengan cara menyentuh dan memegang bahagian tersebut. Sebenarnya tak boleh.

Memanglah jin syaitan suka jika mereka dapat menjerumuskan manusia kepada dosa sekalipun kecil. Apabila mereka berjaya mengumpan perawat untuk menjamah bahagian-bahagian sulit, hal itu sudah berupa kemenangan buat mereka. Sebab itulah mereka gemar menyorok di bahagian-bahagian tersebut.

Sepatutnya perawat tidak boleh menjamah tempat-tempat itu. Bukankah boleh ‘disentuh’ secara tidak langsung melalui titik-titik refeleksi di kaki? Jika dia lebih berkemampuan, boleh sahaja dia ‘attack’ jin-jin itu dengan jurus dari jarak jauh. Mengapa mesti disentuh secara terus? Jika perawat itu tidak ada pengetahuan tentang refleksi dan rawatan dari jauh, sepatutnya dia mengalah, mengakui kemampuannya merawat hanya setakat itu, dan mencadangkan agar pesakit berikhtiar mencari perawat lain yang lebih mahir.

Saranan saya, anda dapatkan rawatan dari perawat yang lain. Pergi dengan mahram ataupun dengan kawan-kawan, jangan berseorangan. Semoga segala urusan anda dimudahkan oleh Allah SWT.

Abu Zulfiqar

21 Januari 2012

Dikelilingi dan Ditiduri Jin

Posted by Alexanderwathern | 8:24 PM | , | 0 comments »

PERSOALAN :

Assalamualaikum w.w..
Saya ada pertanyaan sedikit.. bukan sedikit tapi mugkin agak banyak.


1. Saya selalu bermimpi tentang bayi dan kucing, dan bila bermimpi saya kerap terkejut dan terjaga dari tidur. Kadang-kadang saya mimpi kucing berjalan atas katil dekat kaki saya, dan kadang-kadang saya mimpi mendukung dan menyusukan bayi. Kadang-kadang jugak, saya bermimpi ada bayi panjat katil saya time saya tidur. Dan kadang-kadang jugak bermimpi ada 2-3 ekor kucing or 2-3 orang kanak-kanak duduk atas lantai dekat katil saya sambil memerhatikan saya. Saya takut.


2. Selalu jugak saya bermimpi benda-benda yng menakutkan. Contohnya hantu, pontianak dan makhluk hitam yang berbulu.. Dulu semasa remaja saya selalu bermimpi 'bersama' lembaga hitam itu. Setiap kali saya tidur dia pasti datang dan kami akan buat benda yang dilarang. Selepas rumah lama dirobohkan dan berpindah ke rumah baru lembaga tersebut tidak pernah lagi datang berjumpa saya. Sehingga 2 hari lepas saya bermimpikannya lagi. Dan saya sangat-sangat takut.

3. Walaupun setiap malam sebelum tidur saya baca 3 kali ayat Kursi tapi saya akan lupa 2 ayat terakhir surah Kursi sehingga terpaksa membacanya berulang-ulang. Begitu juga dengan bacaan solat. Saya selalu lupa dan kadang-kadang terlupa jumlah rakaat.

4. Saya kelihatan muda namun sebenarnya usia saya sudah 30 tahun dan saya masih belum menikah. Sebenarnya saya ingin segera menikah kerana takut akan melakukan zina. Setiap kali ada orang naik meminang hati saya akan tertutup dan kadang-kadang keluarga saya menolak pinangan itu sedangkan saya benar-benar ingin segera menikah. Pernah juga terjadi tunang saya memutuskan prtunangan kami atas alasan yang saya tak pasti. Saya juga tidak bagus dalam pekerjaan. Sentiasa bertukar kerja dan susah mendapat kerja. Sehingga saya rasa tertekan, menangis. Pernah terfikir untuk membunuh diri dan pergi jauh dari semua orang..

5. Sebelum ini kehidupan saya sangat teruk. Halal haram sesuatu itu saya redah sahaja. Tapi saya sedar dan saya baru hendak bertaubat.. saya juga baru berjinak-jinak memakai tudung dan solat. Tapi semakin saya ingin mendekatkan diri dengan Tuhan semakin saya rasa terganggu dan tertekan. Saya susah hendak tidur. Bila tidur saya akan bermimpi benda-benda yang menakutkan. Akibatnya saya menjadi seorang yang kuat marah sedangkan dalam Facebook saya menyembunyikan diri saya yg sebenar. Mungkin juga ini adalah balasan bagi kejahatan dan kemungkaran yang saya lakukan sebelum ini.

*Soalan saya: Adakah saya diganggu oleh jin? Bagaimana caranya supaya hati saya sentiasa tenang? Bagaimana caranya supaya saya cepat bertemu jodoh? Dan bagaimana caranya untuk saya menjadi seorang yang khusyuk? Tolong la saya...

Terima kasih. I don’t know for what, i just follow my instinct. May Allah bless u.

JAWAPAN :

Wlksm. Semoga Allah merahmati anda.

Saya akan berusaha menjawab dengan ringkas dan mudah difaham.

Pertama, mimpi akan bayi dan kucing yang anda alami tidak perlu kepada pentafsiran sebagaimana mimpi akan bayi dan kucing yang dialami oleh orang lain, kerana mimpi itu menunjukkan anda memang sedang dirapati oleh beberapa jin. Mimpi hantu berupa Pontianak adalah gangguan jin.

Tentang bermimpi makhluk berbulu datang ‘bersama’, bermakna ada jin yang jatuh cinta dengan anda. Ramai pengamal perubatan tradisional Islam hari ini menyebutnya sebagai ‘jin asyik’. Anda dianggap sebagai isterinya.

Lupa ayat-ayat Al-Quran dan jumlah rakaat solat berpunca daripada :

1. gangguan jin, dan

2. kelemahan daya ingat sendiri akibat sudah lama diganggu.

Saya yakin kesukaran untuk anda berkahwin ada sedikit-sebanyak kaitan dengan ‘jin asyik’ itu tadi. Biasanya jin yang jatuh cinta akan berusaha menggagalkan sebarang urusan ke arah perkahwinan kerana dia menganggap kita sebagai haknya seorang sahaja.

Alhamdulillah, syukur... anda dipilih oleh Tuhan untuk kembali berjinak-jinak dengan agama. Alangkah ramainya orang di sekeliling kita hari ini yang masih sangat jauh dari agama. Hal ini menunjukkan kasih sayang Tuhan kepada diri anda lebih, sebab itu anda yang Dia pilih. Jadi, anda punya hidup dan masa depan yang cerah, bahagia dan jauh lebih baik daripada sekarang.

Jangan diikut gangguan-gangguan itu yang memang suka kalau anda berputus asa, mengasingkan diri malah membunuh diri. Kuatkan hati dan berazam untuk membina suasana hidup baru, banyakkan bergaul dengan masyarakat terutamanya dengan orang-orang yang solehah dan bina cita-cita baru untuk hidup lama seperti mahu punya pasangan hidup, berkeluarga, punya anak cucu, mahu menyahut seruan Allah menjejakkan kaki dan hati di Mekah dan mahu beribadah sepuas-puasnya pada hari tua. Alangkah bahagianya jika hidup diteruskan sehingga ke akhirnya... hidup dalam ketaatan dan kesyukuran.

Allah Maha Pengampun. MAHA Pengampun maksudnya Dia sangat suka dan sangat mudah mengampunkan dosa-dosa hamba-hamba-Nya. Memang sudah betullah jalan yang anda ambil, iaitu dengan bertaubat. Teruskan bertaubat dan di samping itu bina hidup baru. Lembaran lama yang berconteng-conteng itu buangkan, gantikan dengan kertas putih kosong yang baharu. Kali ini lukis di atasnya dengan yang baik-baik sahaja. Ringan-ringankan fikiran, dan tingkatkan amalan-amalan kebajikan.

Menjawab soalan-soalan anda :

1. Ya, anda diganggu oleh jin.

2. Untuk mendapatkan hati yang tenang, gangguan-gangguan ini mestilah disingkirkan, ataupun sekurang-kurangnya diminimakan.

3. Untuk cepat bertemu jodoh (dalam keadaan yang selesa), jalannya sama dengan jawapan kedua tadi.

4. Untuk menjadi seorang yang khusyuk, jalannya agak panjang. Orang-orang biasa yang tidak terkena gangguan pun sangat ramai yang tidak khusyuk, apatah lagi yang terkena gangguan. Pada hakikatnya, yang boleh merubah kita menjadi seorang yang khusyuk hanyalah Allah. Oleh itu, istiqamah (berterusan) berdoa kepada-Nya meminta agar kita dijadikan-Nya orang yang khusyuk. Di samping itu tentunya kita kena pergi mempelajari ilmu-ilmu agama dan mengamalkannya. Kemudian sedikit demi sedikit kita usaha membuang/ meminimakan segala sifat-sifat mazmumah dalam diri. Setelah sifat-sifat mazmumah pergi/dikekang, akan datanglah khusyuk.

Langkah-langkah yang saya sarankan untuk kes seperti ini :

1. Segera pergi dapatkan rawatan kepada mana-mana pengamal perubatan Islam (mu’allij). Sekiranya anda keberatan untuk bercerita panjang, cakap sahaja yang anda berasa diri ada gangguan. Jika ditanya selanjutnya, katakan sahaja anda selalu bermimpi yang buruk-buruk. Perawat akan bacakan ayat-ayat Al-Quran. Dari situ mereka akan buat pemerhatian dan mengikhtiarkan rawatannya. Sekiranya anda berasa keberatan untuk pergi (malas, bertangguh, berasa tidak perlu pergi dan sebagainya), memang makhluk-makhluk itu mahu begitu. Oleh itu anda mesti kuatkan hati, lawan dan pergi dapatkan rawatan.

2. Dalam kes sebegini, usaha membuat rawatan sendiri agak sukar kerana gangguan-gangguan itu akan berusaha menggagalkannya. Tapi anda usahakanlah membaca 3 Qul (surah Al-Ikhlas, surah Al-Falaq dan surah An-Nas), setiap satunya 3 kali. Baca pada waktu bangun dari tidur, waktu pagi, waktu tengah hari, waktu petang dan sebelum tidur. 5 waktu kesemuanya. Istiqamah (berterusan) amal, jangan tinggal. Sesekali bacakan pada air kosong dan minum. Pada waktu ‘datang bulan’, baca dalam hati.

3. Untuk dapatkan ketenangan hati, amalkan surah Asy-Syarh (Alamnasyrah........). Baca pada bila-bila masa yang dikehendaki. Biasakan minum koko (jangan terlalu banyak, nanti panas badan), makan kapsul ginkgo biloba (tanya di farmasi), selalu makan badam dan kismis. Selalu tengok langit, bukit-bukau, kawasan lapang (sawah, padang, taman, laut dan sebagainya) dan air mengalir (sungai, ikan-ikan berenang) insyaAllah banyak membantu. Banyakkan mandi, biar 4-5 kali sehari (elakkan mandi malam).

Sama-sama.

Sebenarnya Allah yang gerakkan hati anda untuk menulis dan bertanya. Dia sangat sayangkan anda.

Semoga segala urusan anda ke arah kebaikan dimudahkan-Nya.

Abu Zulfiqar

21 Januari 2012

Mahu Elak Kedai Berpelaris

Posted by Alexanderwathern | 10:44 PM | , | 0 comments »

SOALAN :

Salam. Nak tanya...makanan yang dijual kat kedai yng guna pelaris tu 'kotor' ke?..kena elakkan makan kat situ ke?..macam mana nak tahu dia guna pelaris dan macam mana nak elakkan termakan kat kedai yg ada guna pelaris ye?..Tima kasih..^^

JAWAPAN :

Wlksm XXXXX XXXXX. Yang pertama... bergantung kepada jenis pelarisnya. Jika pelarisnya berupa ayat-ayat Quran dan doa-doa yang selaras dengan Islam, tak jadi masalah. Kalau pelarisnya berupa cara/benda yang bertentangan dengan agama, salahlah. 'Kotor'lah dari sudut agamanya.

Kalau pelarisnya berupa benda-benda yang busuk, najis, menjijikkan... jelaslah kotornya. Tapi biasanya pabila disebut 'pelaris' ni, banyak yang 'kotor' dan kotor.

Sebaik-baiknya, elakkanlah makan minum di kedai-kedai yang sebegitu. Tapi masalahnya, kita pun tak tahu kedai tu berpelaris ke tidak. Kita tak boleh nak hukum sebarangan berdasarkan khabar-khabar angin.

Saya tak ada petua/ilmu untuk mengetahui sesebuah kedai tu berpelaris ke tidak. Tapi kaedah-kaedah sampingan tu adalah.

1. Kita tengok orang-orang soleh/ulama tak pergi makan pun kat kedai tu.Padahal orang biaa cukup ramai setiap hari.

2. Tuan dan pekerja kedai-kedai yg berpelaris ni BIASANYA tak menutup aurat dengan sempurna. Dan tak hirau waktu solat.

Nak elak termakan tu susah jugak, sebab kita tak tahu sesebuah kedai tu benar-benar berpelaris ke tidak. Jadi... walau di mana pun kita makan, bacalah sekurang-kurangnya Bismillah dan Bismillahillazhi layadhurru ma'asmihi syaiunfil ardi wa la fissama i wa huawassami'ul alim (3X lagi bagus).

Kalau nak panjang sikit, baca Bismillah 5. 1, Bismillahirrahmanirrahim. 2. Bismillahissyafi. 3. Bismillahilkafi.4. Bismillahil mu'afi 5. Bismillahillazhi la yadurru ma'asmihi syaiun filardhi wala fissama i wa huawassami'ul 'alim. InsyaAllah tak ada mudarat kepada kita.

Untuk minta Tuhan lorongkan kita ke kedai-kedai yg tidak berpelaris, dalam doa harian baca camni " Ya Allah, Engkau kurniakanlah kepada aku gerak yang baik." InsyaAllah hati kita kurang teringin hendak singgah di kedai-kedai yang berpelaris.

Sekadar itu sahaja yang dapat saya kongsikan. Moga bermanfaat.

Abu Zulfiqar

Januari 2012