assalamualaikum tuan,sy nk cter ttg mimpi sy waktu dlu dh lama dh..sy pena bermimpi berdiri di depan pintu syurga tgk bahagian dlm syurga.pemandagan nya mcm bentuk gunung ganang,ade rumput2 seperti di bumi....tp amat tenang hati rasa pada ketika itu..ape maksudnya tuan...dan sy pena bermimpi matahari nk terbit sebelah barat...kelam kabut sy mencari sejadah nk solat taubat..ape maksudny tuan
JAWAPAN:
Wlksm tuan,
Bermimpi berdiri di depan pintu syurga sambil melihat pemandangan di dalam syurga – Orang yang bermimpi akan mendapat sesuatu yang disukainya. Jjika ada sesuatu kesedihan, akan dihapuskan oleh Tuhan.
Bermimpi matahari akan naik dari sebelah barat – Sekiranya orang yang bermimpi itu seorang yang banyak ketaatannya kepada Allah, itu merupakan satu khabar gembira. Mungkin orang itu akan beroleh sesuatu kebaikan.
Sekiranya orang yang bermimpi itu seorang yang banyak kederhakaannya kepada Tuhan, mimpi itu berupa satu peringatan daripada Tuhan agar orang itu bersegera memperbaiki dirinya.
Salam, tuan ustaz. Saya ingin bertanya berkenaan rawatan-rawatan rukyah syariah yang dipelopori oleh perawat yang bersanad ijazah kepada sheikh WAHABI, apakah ada dicemari jin tanpa disedari dalam rawatan mereka?
Dewasa ini, di malaysia ini, ramai perawat yang mengambil ilmu rawatan dari sanad dan kaedah sheikh WAHABI melalui banyaknya seminar-kursus yang diadakan hampir setiap bulan oleh murid-murid Wahid Salim Bali dari Mesir,
Muridnya yang menganjurkan kursus akui bahawa Wahid Salim Bali itu sheikh WAHABI (ceramahnya di youtube) namun mereka CUMA ambil ijazah, sanad dan kaedah rawatan rukyah saja bukan akidah WAHABI, bolehkah begitu?
Alhamdulillah dan terima kasih,
Hadi
August 15, 2010 6:05 PM
PENJELASAN SAYA:
Wlksm Encik Hadi,
Sefaham saya, para perawat yang berfahaman Salafi Wahabi biasanya antara golongan yang paling keras menolak penggunaan jin dalam rawatan mereka, dan dalam apa hal jua pun. Sekiranya ada seorang dua yang menggunakan jin, hal itu berupa kes-kes terpencil.
Kaum Salafi Wahabi sangat mengambil berat tentang bacaan-bacaan dan amalan-amalan yang mereka praktikkan. Sekiranya tidak ada sandaran yang sahih, biasanya mereka tinggalkan. Sandaran yang hasan dan dhaif pun biasanya mereka tak pakai.
Berbeza dengan pemahaman kaum ISLAM JAMAAH (yang berpegang kepada MAJORITI ULAMA, sebagaimana fahaman yang saya dan anda pegang, iaitu fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah), kita percaya akan sandaran yang hasan dan tidak meninggalkan terus sandaran yang dhaif.
Ringkasnya, rawatan-rawatan ruqyah syariyyah yang dipelopori oleh perawat yang bersanad ijazah kepada sheikh WAHABI, insyaallah tidak melibatkan jin.
Berdasarkan pengetahuan saya yang dhaif ini, umumnya amalan-amalan untuk merawat dan kaedah rawatan Syeikh Wahid Salim Bali tidaklah bertentangan dengan ajaran agama Islam. Dia menggunakan ayat-ayat Al-Quran, doa-doa dan kaedah-kaedah yang memang boleh diamalkan oleh kaum Islam Jamaah.
Dalam fahaman Salafi Wahhabi ini, ada perkara yang benar, dan ada yang salah. Yang benar daripadanya kita sokong, yang salah daripadanya pasti kita tolak. Kita tidak terima kesemuanya, dan tidak juga mengakui kesemuanya. Hal ini ada ditegaskan dalam saranan-saranan Dakwah Tajdid Segar.
Dalam kes pegangan Syeikh Wahid Salim Bali (jika benar dia seorang Salafi Wahhabi), mengamalkan ayat-ayat, doa-doa dan kaedah-kaedah rawatannya tidaklah menjejaskan pegangan kita sebagai seorang Islam Jamaah. Begitulah pandangan saya. Yang perlu kita tolak ialah fahamannya yang salah dari sudut akidah (yang benar- tetapi tidak kita tolak) dan penentangannya kepada beberapa pegangan Islam Jamaah (seperti isu Maulidurrasul, Sifat 20, tariqat, terawih 20 rakaat, bacaan Yaasin malam Jumaat, kaedah rawatan, zikir beramai-ramai lepas solat fardhu dan sebagainya). Saya tidak / belum nampak yang bacaan-bacaan dan kaedah-kaedah yang diamalkan oleh Syeikh Wahid ada bertentangan dengan fahaman Islam Jamaah. Sekiranya ada, insyaallah saya akan buat nota tambahan di kemudian hari pada jawapan saya ini, sebagai menunjukkan ketidaksetujuan saya.
Kita sedia maklum, Darussyifa’ (Dr, Haron Din), Darussalam (Ustaz Ismail Kamus), Akrine (Ustaz Abdul Majid) dan lain-lain pusat rawatan/ perawat yang berfahaman Islam Jamaah sering memetik tulisan Syeikh Abdul Wahid Salim Bali dalam tulisan-tulisan mereka sebagai rujukan.
Berdasarkan maklumat yang anda beri, jelas menunjukkan murid-murid Syeikh Wahid yang mengajurkan kursus itu tidak terpengaruh pun dengan fahaman Salafi Wahhabi si Syeikh Wahid.
Yang kita ambil daripada Syeikh Wahid hanyalah:
Ayat-ayat Al-Quran yang dia guna untuk membenteng diri dan merawat.
Bacaan-bacaan/ doa-doa yang diamalkannya untuk membenteng dan merawat.
Cara dia merawat.
Saya melihat ketiga-tiga perkara ini tidak ada kaitan dengan fahaman Salafi Wahhabi si syeikh dan tidka bertentangan dengan fahaman Islam Jamaah.
Kesimpulannya, boleh saja ambil APA YANG BENAR daripada sesiapapun. Cuma kita nasihatkan kepada umat Islam yang mahu berguru kepada mereka yang berfahaman Salafi Wahabi, belajarlah perbezaan fahaman Salafi Wahhabi dengan fahaman Islam Jamaah terlebih dahulu supaya tidak ‘tergelincir’. Kita ambil ilmu yang tidak bertentangan dengan fahaman Islam Jamaah sahaja daripada kaum Salafi Wahhabi itu.
Begitulah pandangan saya.
Wallahua’lam.
Abu Zulfiqar
28 Ogos 2010
1. Para perawat yang berfahaman Islam Jamaah kan ramai? Ambil saja ilmu daripada mereka. Dengan cara ini, kita tidak was-was lagi.
2. Tidak perlu perawat mencanangkan sanad mereka kepada Syeikh Wahid Salim Bali. Kalau mahu sebarkan ilmu, sebarkan saja.
Gadis kecil ini pernah saya rawat beberapa minggu lalu, tetapi tidak menunjukkan apa-apa tanda ‘gangguan’ walaupun dia selalu sakit kepala sehingga pengsan. Saya diberitahu bahwa rawatan moden pun gagal mengesan sebarang masalah pada dirinya. Kemudiannya diberitahu juga beberapa orang perawat sebelum ini pun tidak mengesan sebarang penglibatan makhluk halus.
Oleh itu saya berpandangan kesakitannya mungkin kerana penyakit jasmani yang masih belum boleh dikesan oleh doktor. Di akhir sesi rawatan, tercetus juga dari mulut saya mengatakan BOLEH JADI juga ia akibat sihir, tetapi sihir yang tidak melibatkan jin. Wallahua’lam.
Baru-baru ini saya diminta menengok-nengokkan hamba Allah ini sekali lagi. Ketika itu dia berada di klinik. Pegawai kesihatan yang bertugas tidak menemui punca kesakitannya. Sakitnya berubah-ubah tempat. Tapi ada seorang jururawat berpendapat budak ini ada gangguan. Saudaranya yang juga sahabat saya menelefon saya.
Ketika budak ini sampai, jam menunjukkan hampir dua belas tengah hari. Petua orang tua-tua, elakkan merawat pada waktu sebegitu kerana pihak yang mengganggu ‘sedang kuat’. Saya cuba lengah-lengahkan sedikit. Diringkaskan cerita, saya tak mampu mengelak juga. Tepat jam 12.00, saya terpaksa mula mengatur gerak untuk merawat. Satu pengalaman baru. Apa nak jadi pun jadilah. Lawan tetap lawannnn : )
Turut berada di lokasi ialah seorang sahabat saya. Dia bukanlah seorang perawat tetapi seorang pesilat yang ada juga kebolehan melawan jin, dengan caranya yang tersendiri . Dia boleh menyeru Tok Tepok ke tubuhnya. Tok Tepok ini memang terkenal dalam kalangan sebahagian pesilat, dan digeruni para jin. Kebolehan memanggil Tok Tepok diperolehi kerana keturunannya, bukan melalui persilatan.
Jadi kaedah rawatan kami tidaklah sehaluan, namun dia mempelawa saya untuk melakukan rawatan. Dia berasa keberatan untuk ‘memanggil’ Tok Tepok kerana ada ramai orang di situ. Nanti orang terkejut melihat dia ‘mengaum’. Katanya, sekiranya saya gagal menguruskan kes itu sebentar nanti, terpaksalah dia memanggil Tok Tepok juga. Jam tangannya sudah dibuka dan nampaknya bersedia untuk beraksi.
Saya mengambil tempat di sebelah kiri gadis yang terbaring itu. Saya perhatikan keadaannya dan persekitaran sebentar, kemudian memulakan sesi rawatan dengan dua kalimah syahadah. “Asyhaduallaa...” Terus badannya mengejang kesakitan. Dua orang kawan wanita memegang tangannya.
Ruqyah diteruskan. Ternyata ada jin di dalam badannya. Bukan berdasarkan pengalaman saya sahaja, budak itu sendiri mengakui ada makhluk berupa ular dalam badannya. Jelaslah situasi ini bukan sekadar keracunan logam berat yang membuatkan pesakit berhalusinasi, tetapi benar-benar ada gangguan makhluk halus.
Sebelum “attack”, saya beri amaran 3 kali kepada puak-puak tu supaya beredar. Kalau degil, saya serang. Saya cuba berdialog tapi pengganggu kali ini bukan jenis dialog-dialog, jenis kasi sakit saja kerjanya. Di awal penceburan diri ke dalam kolam dunia rawatan ini, saya ada pengalaman gagal mengusir pengganggu yang menyakitkan kaki seorang budak lelaki.
Nampaknya amaran tak dihiraukan, malah sesekali pengganggu ‘membelit’ di bahagian leher sehinggakan budak itu meronta dan sambil memegang lehernya. Saya berubah ke bahagian kepala, mengambil dua kain sebagai lapik lalu meletakkan tangan di atas kepalanya.
Apabila ayat-ayat dan doa-doa ‘attack’ dibacakan dan jurus membakar dilancarkan, pengganggu jadi berang (agaknya kepanasan) dan sering menyakitkan si budak. Pengganggu paling ‘hot’ ketika Bismillah 5 dibacakan.
Saya belum bercadang mahu mengeluarkan pengganggu begitu sahaja. Biar dia rasa sakit/ panas, semoga jadi pengajaran kepadanya agar tidak datang lagi di kemudian hari. Selepas itu nanti saya bercadang untuk cuba ‘memancung’ ataupun ‘menyembelih’ si pengganggu. Harap-harap dia jenis yang boleh dipancung atau disembelih. Bukan apa, ada jenis jin yang tak mati dengan kaedah –kaedah itu. Sekiranya tak mati, akan diikhtiarkan untuk menariknya keluar dan dihantar ke mana-mana.
Seorang lelaki meminta laluan untuk merawat. Maka ikhtiar saya pun terhenti setakat itu sajalah, tak sempat melakukan ikhtiar membunuh ataupun membuang. Rupa-rupanya bapa si gadis. Mulut bapanya terkumat-kamit membacakan sesuatu lalu berusaha menarik si pengganggu dari leher anaknya. Usahanya berjaya tetapi anaknya jatuh pengsan. Kemudian dia terkumat-kamit lagi membaca sesuatu sambil menghembus ke arah anaknya. Selepas beberapa kali, anaknya pun terjaga lalu terus memeluk bapanya sambil menangis. Entahlah apa yang dibaca oleh bapanya.
Selepas itu kami pun berbual agak panjang. Gadis ini mendakwa mendengar namanya dipanggil-panggil dan dipuja-puja. Jika dia melelapkan mata sahaja, akan sampailah makhluk-makhluk berupa ular, buaya ataupun harimau. Bagi para perawat, makhluk-makhluk itu memang sedia dikenali. Tidak lain ialah puak-puak jin. Si gadis mengalami keadaan sebegitu baru dalam dua minggu.
Malam sebelumnya, selepas berbuka puasa, 10 kali dia pengsan. Begitulah, apabila dipulihkan oleh bapanya, tak berapa lama kemudian pengganggu datang lagi. Untuk mengusir tidaklah susah sangat, tapi untuk membuatkan si pengganggu tidak datang lagi, itu yang berat. Saudaranya yang menelefon saya mengakui ada ternampak kelibat makhluk berkepala botak melintas pada malam itu.
Menurut bapanya, si gadis ada mendapat gambaran tentang orang yang boleh merawatnya. Dia tidak kenal orang itu, tetapi jika bertemu, dia boleh mengenalinya. Katanya orang itu ialah seorang pak haji, memakai jubah dan serban putih, berbadan tinggi, tidak berjanggut, duduk di atas sejadah dan memegang tasbih. Puas kami memikirkan orang-orang yang kami ketahui tetapi tidak ada yang secocok. Entahlah. Mungkin manusia, mungkin juga jin. Jika para pembaca tahu orang yang memenuhi gambaran sebegitu, sila maklumkan kepada saya.
Tergambar juga di kepala saya ketika itu seorang pakcik yang selalu berzikir walau ke mana, haji, sesekali mengenakan jubah dan serban putih, tinggi kurus orangnya, mukanya bersih dan tidak berjanggut. Dia rajin menunggang basikal tuanya. Tetapi pakcik tu sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Tak mungkin dia. Lagi pun dia bukanlah seorang perawat. Wallahua’lam.
Tak sempat jugalah hendak melihat sahabat saya beraksi sebagai Tok Tepok. Berdasarkan pengalaman kami dan maklumat-maklumat yang kami perolehi dalam perbincangan, kami sepakat mengatakan BOLEH JADI kes ini berkaitan dengan sihir. Wallahua’lam.
Abu Zulfiqar Amsyari
25 Ogos 2010
p/s : Tidur malam itu, saya menunggu juga kalau-kalau ada puak-puak yang cuba datang membalas, tapi tak ada. Syukurlah. Kadang-kadang selepas merawat, ada tetamu tak diundang datang mengusik. Nak tidur pun susah.
Malam ke tujuh Ramadhan 2010. Saya bermimpi menghadiri satu majlis di suatu tempat, yang dalam mimpi itu dimaklumi sebagai tempat Tuan Guru Dr. Haron Din. Malangnya saya tidak tahu majlis apa dan tempat apa. Majlis itu berlaku dalam sebuah dewan yang sebahagian dindingnya ialah cermin, macam restoran berhawa dingin. Saya senang hati berada di situ (seolah-olah sedang mengikuti satu kursus perubatan Islam di bawah Dr. Haron Din).
Pada malam harinya (dalam mimpi itu), saya dan orang-orang lain tidur di dalam dewan tersebut. Kami tidur di tengah dewan dalam satu barisan memanjang. Yang tidur di sebelah kanan saya ialah Dr. Haron Din sendiri. Sebelum melelapkan mata, saya berbaring di sebelah Dr. Haron Din. Lampu dewan sudah ditutup, hanya disuluh lampu dari luar dewan.
Dalam lena tak lena, saya terdengar Dr. Haron Din bercakap sesuatu. Rupa-rupanya dia sedang bersembang dengan dirinya sendiri. Dia bertanya, dia juga yang menjawab. Ketika itu dia dalam keadaan separuh sedar.
Mungkin para pembaca biasa terjumpa perawat tradisional yang mengalami kehadiran makhluk halus dalam dirinya. Perawat itu bertanya kepada seseorang yang kita tidak nampak, kemudian si perawat itu juga yang menjawab soalan-soalannya sendiri, tanpa ada sebarang perubahan bunyi suara. Ketika itu si perawat itu dalam keadaan separuh sedar.
Saya berikan contoh dialog untuk memudahkan pembaca memahami situasinya:
Perawat : Ada orang datang hendak berubat ni. Boleh tolong tak?
Perawat : Dia sakit apa?
Perawat : Apabila makan asyik muntah saja. Apa benda pun tak boleh masuk. Apa cara boleh bantu?
(Diam beberapa ketika)
Perawat : Cari daun sekian-sekian, masak air, makan pada waktu Subuh bla bla bla...
Dia bertanya, dia juga yang menjawab. Sebenarnya ketika menjawab itu ialah makhluk halus yang menumpang tubuh dan suaranya sebentar. Para pesakit pun ada juga yang melalui situasi yang sama. Dia sendiri berbual dengan makhluk halus pada tubuhnya. Lebih kurang begitulah situasi Dr. Haron Din dalam mimpi ini.
Dalam keadaan mengantuk itu, saya dengar soalan pertama yang diajukan oleh Dr. Haron Din ialah : “Kamu datang nak buat apa ni?” Jawapan dan dialog seterusnya tidak saya ingati. Ketika itu kami semua masih berbaring menelentang.
Jari tangan kiri Dr. Haron Din mencuit tangan saya, yang saya faham sebagai arahannya supaya saya mengikuti dialog tersebut kerana ada sesuatu maklumat yang begitu penting. Ketika itu Tuan Guru seolah-olah mengalami kejutan kerana menerima kunjungan tetamu yang tidak diduga itu membuatkan dia tidak boleh menggerakkan badannya. Namun dia seperti tidak mahu melalui saat-saat sebegitu tanpa saksi. Atas dasar itulah agaknya dia mengejutkan saya.
Saya cuba mengingat isi dialog tetapi gagal kerana agak mengantuk. Saya bingkas bangun duduk lalu mengeluarkan telefon bimbit. Saya bercadang untuk merakam dialog itu, lagi senang.
Sekali lagi Dr. Haron Din mencuit keras tangan kanan saya hingga terasa seperti dicubit. Hal itu menunjukkan keseriusannya agar saya mengikuti dialog yang berlaku dengan teliti. Ketika itu saya baru memetik punat telefon bimbit...
Terjaga dari mimpi!
Saya masih terbaring terlentang. Seluruh tangan kanan terasa sangat kebas, kaku dan agak sakit terutamanya pada jari kelingking. Dalam suasana samar-samar itu saya memandang sekeliling ruang, tidak ternampak apa-apa yang luar biasa.
Tangan kanan tidak cuba saya gerakkan. Kebas dan sakit dibiarkan, untuk menguji apa bendanya. Keputusan itu diambil kerana timbul persoalan, bagaimana boleh kebas dan sakit sedangkan tangan tidak terhimpit.
Timbul syak di hati, apakah ada ‘gangguan’ pada tangan kanan? Setelah agak lama tidak ada perubahan, saya bacakan ayat al-Quran dan mengaktifkan jurus membakar. Saya lalukan dari bahu menuju ke pergelangan tangan tiga kali, dengan harapan sekiranya ada puak-puak yang mengganggu, ia dapat dihimpunkan di hujung tangan.
Tapi memang benar! Kawasan yang diusap menurun kebas dan sakitnya dengan mendadak. Hanya di hujung tangan sahaja yang masih terasa. Saya tarik dengan tangan kiri dan berniat menghantar pengganggu-pengganggu itu ke tempat lain. Tiga kali saya usaha menghantar, terasa betapa leganya tangan kanan. Barulah saya gerak-gerakkan jari dan telapak tangan untuk menghilangkan sisa-sisa ketidakselesaan.
Saya bangun duduk. Lama saya menungkan mimpi yang baru berlaku dan kesannya itu...
Bingung... terus tidur kerana waktu sahur tidak berapa lama lagi. Wallahua'lam.
Semua artikel di laman ini halal dipindahkan ke mana-mana dengan menyertakan alamat laman ini, dan bukan untuk tujuan komersil : )
Sehingga November 2013, ada lebih 260 persoalan yang dikemukakan di laman ini. Saya mohon berbanyak maaf kerana memang tidak berkesempatan menjawabnya.
Sebenarnya saya sudah sudah berhenti merawat, kerana kesibukan urusan-urusan lain membuatkan diri tak cukup persediaan, dan tak ada "back-up". Tak tahulah bila nak aktif semula, rasanya mungkin tak aktif dah kot, sekadar beramal untuk diri sahajalah. Nak membantu orang lain, dah "tak cukup". Dan nak tumpu pada kitab Ihya' 'Ulumuddin dan Misykatul Anwar pun ya juga. Jadi saya ucapkan selamat tinggal dunia muallij, dan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan kepada saya selama ini. Semoga Allah memberikan keselamatan dan kejayaan kepada kita semua di dunia dan di akhirat.