MagzNetwork

Showing posts with label Buasir. Show all posts
Showing posts with label Buasir. Show all posts

Ikhtiar Rawatan Berak Berdarah

Posted by Alexanderwathern | 2:51 PM | | 0 comments »

Seorang hamba Allah tiba-tiba buang air besar berdarah, menitik-nitik darah cair yang turun (banyak dan tidak berhenti jika terus bertinggung). Menurutnya, memang dia ada sedikit tonjolan buasir sejak kecil tetapi benda itu tidak pernah mendatangkan masalah kepadanya. Entah bagaimana setelah berpuluh tahun tiba-tiba pada hari itu turun darah.

Pening lalat juga saya memikirkan kaedah rawatannya kerana tidak punya pengetahuan dalam menangani masalah sebegini. Yang kita khuatir, kalau-kalau ada pendarahan dalam perut, silap-silap boleh bawa maut tu.

Akhirnya saya ambil keputusan bacakan Al-Fatihah, Selawat dan “A’uzhubi’izzatillah…” (7 X). Itu dari sudut ikhtiar doa. Dari segi ikhtiar bersifat alami pula dimakankan dua biji pil mengkudu. Cara ghaib kita usaha, cara zahir pun kita usaha juga.

Dengan izin Allah, sekali itulah dia buang air berdarah. Kini sudah dua minggu dan setakat ini tiada masalah. Sebenarnya (dari segi syariatnya) saya tidak tahu kesembuhan itu datang dari mana (dari sudut hakikatnya memanglah hanya Allah yang ada kuasa untuk menyembuhkan), sama ada dari bacaan doa, ataupun dari khasiat mengkudu ataupun memang darah sebegitu hanya keluar sekali sahaja. Wallahua’lam.



Abu Zulfiqar

29 Oktober 2010

Info Buasir 2

Posted by Alexanderwathern | 10:45 AM | , | 0 comments »

Buasir atau hemoroid adalah pembengkakan pada vena yang terletak di bahagian rektum dan dubur. Apabila vena ini membonjol keluar ia mengganggu dan menyebabkan membran di sekitarnya membengkak, terasa sakit, perit, gatal dan berdarah. Buasir terjadi disebabkan oleh terlalu tinggi tekanan dalam darah di bahagian rektum, menyebabkan dinding vena darah teregang atau 'memberi' dan membonjol. Kadangkala ia boleh pecah, terutamanya sewaktu meneran.

JENIS-JENIS BUASIR

Buasir dalaman

Lazimnya, buasir ini tidak terasa sakit dan gatal kerana ia terletak jauh ke dalam rektum. Buasir dalaman tidak merbahaya tetapi meneran dan gangguan dari laluan najis semasa membuang air besar boleh mencederakan permukaan buasir yang getas dan menyebabkannya berdarah. Anda akan terlihat titisan darah yang berwarna merah cerah pada kertas tisu atau di mangkuk tandas. Jika keadaan ini berlaku anda perlu mendapat bantuan perubatan, kerana darah tersebut mungkin datang dari sumber lain seperti ketumbuhan atau kanser kolorektum.

Buasir luaran

Buasir jenis inilah yang selalu kita dengar mengakibatkan gejala-gejala seperti sakit, pedih dan gatal di dubur. Jika buasir ini tersepit (bekalan darah akan terputus), bekuan darah akan terjadi di dalamnya menyebabkan ia terasa amat sakit. Gejala-gejala beginilah yang menyebabkan buasir jenis ini memerlukan perhatian dan rawatan perubatan. Apabila sahaja salur darah vena rektum teregang atau memberi dan terjadinya buasir adalah sukar untuk ia dibuang atau ditanggalkan sepenuhnya. Buasir ini akan berulang kembali walaupun dengan tekanan atau bebanan yang lebih ringan berbanding dengan yang dahulunya.

PENYEBAB UTAMA

  • Sentiasa duduk
  • Meneran (ketika najis keras atau sembelit)
  • Cirit-birit
  • Duduk mencangkung di dalam tandas terlalu lama
  • Batuk yang teruk
  • Bersalin
  • Mengangkat berat
PENCEGAHAN

Mengelak dari melakukan perkara-perkara di atas boleh mencegah anda dari buasir. Amalkan petua-petua berikut:

  • Jika pekerjaan anda memerlukan anda sentiasa duduk, sekali-sekala anda perlu bangun dan berjalan-jalan sekurang-kurangnya 5 minit setiap jam. Bergerak-geraklah di kerusi anda supaya dapat mengelakkan tekanan langsung dari rektum.
  • Hembuskan nafas keluar apabila anda ketegangan atau ketika mengangkat sesuatu. Jangan menahan nafas anda.
  • Dapatkan rawatan awal untuk mengawal batuk, cirit-birit dan sembelit anda kerana buasir selalunya terjadi selepas masalah ini berpanjangan.
  • Jadikan sebagai satu peraturan: Jangan membaca atau berehat-rehat di dalam tandas. Jika pergerakan usus anda mengambil masa lebih dari 3-5 minit, ada sesuatu yang tidak kena. Jika anda ingin menghindari diri dari buasir, amalkan tabiat membuang air besar yang baik. Pastikan najis anda sentiasa lembut.

Jika langkah-langkah ini gagal anda perlu bertindak segera. Sembelit merupakan satu keadaan di mana pada waktu pagi keadaannya adalah sederhana tetapi apabila menjelang malam ia boleh menjadi amat mengazabkan.

RAWATAN

Terlebih dahulu anda perlu mengenalpasti penyebabnya, kemudian jauhkan diri anda darinya. Tiada gunanya anda merawat buasir tersebut kemudiannya anda meneruskan semula amalan yang boleh mencetuskan semula keadaan ini. Apabila anda telah bertekad untuk menghapuskan faktor-faktor pencetus buasir, maka barulah anda boleh merawatnya. Terdapat dua matlamat untuk merawat buasir. Pertamanya menghentikan gejala atau simptom (sakit, pedih dan gatal). Keduanya ialah mengecutkan buasir tersebut.

Mandian Sitz (rendamkan bahagian rektum ke dalam air suam) untuk selama 15-20 minit, 3 hingga 4 kali sehari. Rawatan ini sangat mudah dan berkesan untuk mencapai kedua-dua matlamat di atas. Anda boleh membeli ubat krim buasir dan supositori untuk menghilangkan gangguan dan kesakitan tetapi ia tidak boleh mengecutkan buasir. Untuk mengecutkan buasir kepada saiz asalnya, pengubatan semasa adalah berguna. Cucikan seluruh bahagian rektum dengan air suam setiap kali anda membuang air besar dan gunakan julap serat pukal (bulk fibre laxative) untuk melembutkan najis. Ini boleh mengelak anda dari meneran semasa membuang air besar.

Kebanyakan orang mengambil ubat tambahan serat pukal ini setiap hari untuk mengelak dari buasir. Tetapi perlu diingat bahawa serat pukal ini mengambil masa beberapa hari untuk memberi kesan. Jika anda sedang menghidapi buasir dan membuang najis yang keras anda mungkin memerlukan ubat atau julap yang dapat melembutkan segera najis anda untuk mengelakkan anda dari meneran yang boleh memburukkan lagi buasir anda.

Bagi buasir yang tidak dapat disembuhkan dengan rawatan konsevatif, rawatan yang standard boleh dijalankan iaitu mengikat dengan lingkaran getah (rubber band ligation). Satu atau dua lingkaran getah diikat di sekeliling pangkal buasir. Ini akan menyekat peredaran darah ke buasir tersebut. Dalam masa 7 hingga 10 hari buasir tersebut akan tertanggal keluar. Ikatan lingkaran getah ini hanya digunakan untuk buasir dalaman sahaja. Ia dilakukan tanpa menggunakan ubat bius dan tidak menimbulkan kesakitan. Tetapi anda mungkin mengalami sedikit ketidakselesaan untuk beberapa hari.

Koagulasi Inframerah - sinaran inframerah dipancarkan selama satu atau dua saat untuk menghentikan bekalan darah ke buasir. Anda mungkin terasa bahang panas ketika prosedur ini dilakukan dan terdapat sedikit pendarahan berlaku dalam beberapa hari selepas itu. Prosedur ini sama juga seperti ikatan lingkaran getah, dilakukan hanya untuk buasir dalaman. Tetapi ia lebih cepat dan kurang menyebabkan jangkitan.

Elektrokoagulasi bipolar - Prosedur ini dikenali juga dengan nama Bicap, adalah sama seperti prosedur Koagulasi Inframerah dan ia mempunyai kebaikan dan keburukan yang sama.

Terapi laser - pancaran laser akan mengewapkan tisu buasir. Tetapi prosedur ini didapati lebih mahal dan tidak menunjukkan sebarang kelebihannya dari prosuder-prosedur lain. Ia perlu dijalankan dengan berhati-hati dari segi kedalaman dan lokasinya bagi mengelakkan pendarahan dan kesakitan kepada pesakit.

Pembedahan biasanya dilakukan sebagai langkah terakhir apabila kedua-dua jenis buasir tersebut menjadi semakin teruk dan rawatan-rawatan lain tidak berjaya menyembuhkannya. Kaedah ini didapati berkesan tetapi pesakit terpaksa tinggal di dalam hospital sehari dua dan mengambil masa yang agak lama untuk sembuh berbanding dengan pendekatan-pendekatan lain.

Rawatan yang agresif seperti yang dinyatakan di atas sepatutnya boleh menyembuhkan buasir dalam beberapa hari sahaja. Tetapi ia mungkin mengambil masa 2 - 4 minggu untuk pulih sepenuhnya. Jika tidak, anda perlu berjumpa doktor semula dan berbincang dengannya. Masalah-masalah perubatan penyakit keradangan usus atau jangkitan usus boleh menyerupai gejala-gejala buasir. Oleh itu, jika keadaan anda masih berterusan walaupun telah mendapat rawatan asasnya, anda perlu berjumpa doktor.

PENGURUSAN SENDIRI

  • Banyak meminum air sekurang-kurangnya 1.5 - 2 liter sehari
  • Makan makanan seimbang: banyakkan memakan makanan yang tinggi serat, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Gunakan tandas pada masa yang ditetapkan seperti selepas bangun tidur setelah meminum segelas besar air.
  • Elakkan dari memakan makanan yang boleh menyebabkan gangguan (makanan pedas atau berempah, alkohol) atau yang boleh merangsangkan usus (kopi atau teh).
  • Apabila terdapat gejala-gejala tertentu (seperti darah dalam najis,sakit atau gangguan pada dubur), berjumpalah doktor.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Buasir

Info Buasir

Posted by Alexanderwathern | 10:24 AM | , | 0 comments »

Buasir merupakan penyakit yang terjadi pada bahagian dubur. Ia dapat dikesan dengan adanya pembengkakan pada saluran dubur. Selalunya, pesakit buasir akan mengalami kesakitan akibat daripada tekanan otot dubur ke atas bengkak tersebut sehingga menyebabkan proses pembuangan air besar menjadi amat perit. Bengkak yang terjadi adalah disebabkan oleh pengembangan saluran darah pada bahagian dubur atau ketumbuhan sel-sel yang melapisi saluran dubur. Selain bengkak pada saluran dubur, pendarahan semasa membuang air besar juga terjadi disebabkan oleh luka yang terjadi apabila najis keras bergesel dengan buasir.

Terdapat dua jenis buasir iaitu buasir dalaman yang merujuk kepada bengkak buasir yang tertumpu pada bahagian dalam saluran dubur. Jenis kedua ialah buasir luaran di mana bengkak terjulur keluar dari bahagian dubur. Kedua-dua jenis buasir ini boleh berlaku secara berasingan atau serentak.

Dianggarkan sebanyak 50 peratus daripada penduduk di negara-negara Barat akan mendapat buasir selepas mencapai umur 50 tahun. Buasir juga sering terjadi di kalangan ibu-ibu mengandung disebabkan oleh janin yang membesar di dalam rahim ibu menekan saluran darah pada kawasan dubur sehingga menyebabkan berlakunya buasir.

Ciri-ciri penyakit buasir

Selain daripada bengkak yang amat ketara ketika mengalami buasir, tanda-tanda lain termasuklah
rasa gatal pada lubang dubur,
rasa kepanasan pada kawasan dubur selepas membuang air besar,
rasa sakit yang berdenyut-denyut,
sukar untuk membuang air besar dan rasa tidak selesa pada bahagian dubur apabila berdiri lama atau bertinggung.
Kesakitan pada bahagian dubur menyebabkan pesakit akan mengalami perubahan di dalam corak membuang air besar.

Rawatan pengubatan sendiri

Jika ada tanda-tanda penyakit buasir seperti yang dinyatakan, pesakit perlu memahami keadaan penyakit jika ingin mendapatkan ubat bagi merawat buasir. Namun demikian, sekiranya terdapat tanda-tanda tambahan seperti pendarahan, najis atau cairan terkeluar dengan sendirinya tanpa disedari, penyakit buasir yang terjadi berulangkali atau buasir yang tidak sembuh melalui pengubatan sendiri selepas seminggu, maka pesakit perlulah mendapatkan rawatan lanjut daripada doktor pakar. Ini kerana kemungkinan terdapat penyakit-penyakit yang lebih serius yang diakibatkan oleh buasir tersebut termasuklah:

1. Nanah di kawasan dubur yang disebabkan oleh jangkitan bakteria.

2. Luka pada saluran dubur yang disebabkan oleh nanah yang bocor.

3. Kanser pada bahagian dubur yang dicirikan juga dengan sembelit, pendarahan dan kesakitan pada kawasan dubur.

4. Ketumbuhan pada kawasan dubur.

Ubat untuk meredakan buasir

Untuk melegakan kesakitan ketika diserang buasir, pesakit disyorkan agar kerap membuang air besar dan memastikan najis tidak keras serta menjaga kebersihan diri terutama sekali di kawasan dubur dan menggunakan ubat buasir.

Untuk mengatasi sembelit dan memastikan najis berkeadaan lembut, pesakit disyorkan meminum banyak air dan mengambil lebih sayur-sayuran dan buah-buahan. Jika langkah ini tidak juga berkesan pesakit boleh mendapatkan ubat yang melembutkan najis seperti Metamucil ataupun julap yang menggalakkan pembuangan air besar yang lebih kerap seperti Milk of Magnesia.

Untuk menjaga kebersihan pada kawasan dubur, pesakit digalakkan untuk mencuci kawasan tersebut dengan lebih kerap dengan menggunakan sabun dan air selepas membuang air besar. Selain itu pesakit juga boleh merendamkan diri dalam air suam dua atau tiga kali sehari untuk selama 15 minit. Garam mandian juga boleh digunakan kerana ia berupaya untuk mengecutkan kawasan dubur yang bengkak.

Pilihan ubat buasir

Antara ubat yang boleh digunakan:

1. Agen Anestetik setempat

2. Pengecut saluran darah setempat

3. Pengurangan kerengsaan atau kegatalan

4. Astringen yang mengurangkan insipadu sel-sel

5. Pengurangan kesakitan dan kegatalan

Disebabkan ubat-ubatan ini digunakan secara setempat pada kawasan dubur, maka penyampaian ubat kepada buasir secara langsung adalah amat penting untuk mendapatkan kesan ubat tersebut. Dalam hal ini, ubat akan disapukan ke atas bengkak buasir luaran manakala untuk buasir dalaman, ubat disediakan dalam bentuk supositori atau paip bagi memudahkan penyampaian ubat ke kawasan dalaman dubur.

Agen Anestetik setempat

Agen anestetik atau bius setempat bertindak mengurangkan rasa sakit, gatal, pedih dan kerengsaan pada bengkak buasir melalui halangan kepada penyampaian isyarat sakit yang disampaikan oleh sistem saraf. Kebiasaannya penggunaan agen ini akan menyebabkan timbulnya rasa kebas pada bahagian yang sakit. Agen ini hanya digunakan pada buasir luaran kerana deria saraf hanya tertumpu pada bahagian luar dubur sedangkan saraf yang sama tidak terdapat pada bahagian dalaman dubur. Contoh ubat yang mempunyai tindakan menghilangkan rasa sakit adalah benzokain yang diletakkan pada buasir.

Pengecutan saluran darah setempat

Pengecutan saluran darah akan menyebabkan saluran darah yang terdapat pada kawasan dubur mengecut dan seterusnya menyebabkan bengkak buasir turut mengecut. Pemahaman mengenai tindakan ubat ini mudah difahami dengan mengambil contoh pengurangan air sungai yang dikawal oleh sebuah empangan. Sekiranya air sungai yang disekat mengalir, maka paras air sungai akan menurun sama seperti bengkak buasir yang reda akibat pengurangan bendalir yang masuk ke kawasan tersebut. Contoh ubat yang dikategorikan sebagai pengecut saluran darah adalah noradrenalin pada kepekatan 0.005 hingga 0.001 peratus yang disapukan pada bengkak buasir. Di samping itu, ubat ini juga meredakan rasa gatal pada bengkak buasir melalui kesan bius yang lemah.

Pengurangan kerengsaan atau kegatalan

Pengurangan kegatalan dengan cara menahan kehilangan air serta lembapan kulit menyebabkan timbulnya rasa gatal akibat kulit yang kering. Apabila darjah lembapan meningkat, bengkak menjadi lembut yang seterusnya mengurangkan kesakitan disebabkan tekanan yang terbentuk di atas bengkak buasir. Contoh bahan yang dapat menahan kehilangan air ini adalah seperti gliserin atau salap petrolatum yang membentuk lapisan berminyak di atas permukaan bengkak buasir.

Astrigen

Astringen bertindak melalui halangan ke atas kehilangan air atau lembapan daripada permukaan bengkak buasir. Juga, astringen mempunyai kesan tambahan ke atas sel-sel bengkak dengan memendakkan protein yang terdapat pada sel-sel tersebut. Contoh ubat yang mempunyai kesan astringen adalah krim zink oksida atau losyen kalamin yang apabila disapu pada permukaan kulit akan meninggalkan rasa sejuk pada permukaan kulit. Dengan kesan tersebut, rasa panas atau pedih pada bengkak buasir dapat diredakan.

Pengurang kesakitan dan kegatalan

Ubat jenis ini akan bertindak pada sel-sel bengkak ataupun juga dikenali sebagai sel radang dengan mengurangkan proses tindakbalas yang menyebabkan timbulnya sel-sel bengkak. Apabila tindak balas keradangan dikurangkan, maka proses pengecutan sel boleh terjadi dan buasir dapat diredakan. Contoh ubat yang mempunyai aktiviti seperti ini adalah krim hidrokortison pada kepekatan 0.5 peratus yang disapu ke atas buasir.

Sekiranya seseorang mengalami penyakit buasir, penjagaan kebersihan kawasan dubur amatlah penting untuk mencegah buasir. Langkah pencucian telah diterangkan dan paling penting adalah mengamalkan tabiat pembuangan air besar yang baik pada setiap hari. Pesakit selalunya akan dinasihatkan oleh para pengamal kesihatan untuk mengambil air yang banyak dan mengekalkan pemakanan yang seimbang dengan kandungan fiber yang tinggi untuk mencegah terjadinya buasir. Jika buasir terjadi berulangkali atau tidak reda selepas seminggu walaupun dengan menggunakan ubat buasir, maka segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut!

sumber