MagzNetwork

Tanda-tanda Rumahtangga Terkena Sihir

Posted by Alexanderwathern | 8:03 PM | , | 3 comments »

ANTARA tanda-tanda hubungan suami isteri jadi kacau akibat gangguan jin ataupun sihir:

1. Suami atau isteri atau kedua-duanya sekali tidak berasa hendak melakukan hubungan seks. Jika berlaku hubungan pun, sangat kurang nikmatnya.

2. Suami (atau ada juga isteri) berasa sangat rimas berada di rumah tetapi berasa tenang apabila berada di luar rumah.

3. Isteri (atau ada juga suami) yang berasa sangat tidak selesa apabila pasangannya pulang ke rumah.

4. Suami atau isteri terlihat pasangannya kelihatan hodoh.

5. Mudah bertengkar walaupun dalam hal-hal yang kecil.

6. Suami berasa mudah untuk memberi cerai, ataupun isteri mudah untuk meminta cerai apabila berlaku perbalahan.

7. Suami atau isteri sering diganggu mimpi-mimpi buruk.

8. Suami atau isteri beberapa kali melihat lintasan atau bayangan sesuatu di dalam dan di sekitar rumah. 9. Suami atau isteri sering mengalami kesakitan yang tidak jelas puncanya seperti sakit kepala, sakit di perut, sakit kaki tangan dan sebagainya.

Sekiranya ada banyak daripada tanda-tanda di atas, ADA KEMUNGKINAN suami isteri itu terkena gangguan jin ataupun sihir.


ANTARA ikhtiar yang boleh dibuat untuk menyelesaikan masalah ini, suami isteri ataupun kedua-duanya ataupun pihak lain hendaklah mendapatkan rawatan dan saranan perawat. Selain itu, boleh juga diusahakan sendiri agar gangguan dan sihir itu menjadi lemah (dan mungkin juga terbatal terus atas izin Allah) dengan cara:

1. Pastikan tidak ada gambar-gambar dan lukisan makluk bernyawa yang dipamerkan (di dinding, almari, meja dan lain-lain). Begitu juga dengan patung-patung kecuali patung mainan anak-anak. Gambar dan patung yang dipamer merupakan tarikan yang kuat kepada jin-jin, dan menjauhkan para malaikat daripada berkunjung ke rumah kita.

2. Tambah ibadah seharian. Biasakan buat amalan-amalan sunat. Bacalah Al-Quran setiap hari dengan menatapnya, walaupun sekadar satu ayat.

3. Banyakkan memohon ampun atas dosa-dosa silam dan terkini, dan berusaha buat perubahan dengan meninggalkan terus perlakuan-perlakuan berdosa itu. Apabila dosa-dosa kita terampun dan terhapus, doa dan harapan kita mudah untuk dikabulkan Tuhan.

4. Elakkan daripada berkumandangnya lagu-lagu dan bahan tontonan yang tidak mendekatkan kita dengan agama. Perkara-perkara ini mengundang kehadiran jin-jin.

5. Wujudkan majlis taklim harian di rumah. Suami atau isteri kumpulkan ahli keluarga lalu dibacakan bahan agama selama lebih kurang 5 ke 10 minit sehari. Contohnya beli apa-apa buku yang mudah (seperti buku hadis), seorang bacakan (sepotong hadis contohnya) secara lantang manakala yang lain-lain mendengarnya. Walaupun majlis ini kecil dan singkat, tetapi ia sangat kuat menarik kunjungan para malaikat, dan mengecewakan syaitan-syaitan. Sebarang perbincangan yang berlaku dalam majlis ini biasanya berlangsung dalam suasana yang tenang dan terkawal, berbeza dengan perbincangan yang berlaku di luar majlis. Tak percaya? Cubalah buat. Mengapa jadi begitu? Antaranya kerana kita sedang berada di bawah naungan sayap para malaikat dan kerana turunnya sakinah. “Mood’ untuk bertengkar dan meninggikan suara jarang berlaku dalam majlis taklim. Wallahualam.

6. Ahli keluarga yang lelaki (suami dan anak-anak) yang tidak ada sebarang urusan penting, hendaklah berusaha agar dapat solat fardhu berjemaah di masjid ataupun di surau kerana ia adalah tuntutan.

7. Mengadakan kenduri doa selamat jika berkemampuan.

Akhirnya, banyakkan berdoa kerana doa itu senjata orang-orang beriman.


Abu Zulfiqar

6 Ogos 2010

Mesej Jam 04.44 Pagi

Posted by Alexanderwathern | 7:57 PM | , | 0 comments »

Mesej telefon bimbit berbunyi. Pukul 4.44 minit pagi. Seorang teman mengadu diganggu beberapa makhluk yang tidak diketahuinya baru sebentar tadi. Ketika masih di kolej belasan tahun lalu, makhluk-makhluk itu memang pernah datang mengganggunya. Tak sangka datang bertamu lagi selepas sekian lama. Kali ini ke rumahnya pula. Agaknya berbelas tahun cari jalan baru jumpa kot. Kali ini rupa bentuk makhluk-makhluk itu lebih jelas kelihatan.


Malam itu, pada mulanya datang dua makhluk – satu sedang memainkan sejenis alat muzik manakala satu lagi yang lebih tinggi bertangan kosong. Teman kita cuba bangun dari tidur tetapi seluruh anggotanya bagaikan dikunci.


Habis si pendek bikin konsert, si tinggi punya giliran. Si tinggi memakai jubah mengerbang. Teman kita terasa tengkuknya ditekan dan kelihatan si tinggi hendak melangkah tubuh teman kita. Teman kita melawan dan berjaya angkat kaki. Mahu disepaknya si tinggi tetapi si tinggi menghilang. Teman kita sempat melihat tubuh tetamu-tetamunya, cuma bahagian wajah yang tak jelas.


Ditanya saya, “Apa benda semua tu?”

Itulah jin!


Saya sarankan amalan Rasulullah sebelum tidur kepadanya. Agaknya berkesan kerana sudah seminggu berlalu dia tidak lagi bercerita tentang hal itu.


Wallahu’alam.



Abu Zulfiqar

9 Ogos 2010

Kursus Bekam Bang Guru

Posted by Alexanderwathern | 11:02 PM | | 0 comments »




Guru ilmu berbekam saya menganjurkan satu kursus bekam. Saya sekadar membantu.

Kerap Ditindih Ketika Tidur

Posted by Alexanderwathern | 10:53 PM | , , | 2 comments »

Anonymous // July 25, 2010 6:33 PM

Salam saudara,

Saya sering kali di tindis dengan makhluk halus ketika tidur.. Macam-macam doa dah baca tapi tak berkesan juga. Bagaimana caranya ustaz??


PANDANGAN SAYA:


Wlksm,

Berdasarkan pengalaman saya yang singkat ini, jika terjadi begitu maksudnya ADA KEMUNGKINAN makhluk halus itu sudah berada/ selalu berada/ mudah masuk dalam tubuh. Saya sarankan saudara pergi dapatkan rawatan daripada mana-mana muallij (perawat)secara terus. Mereka akan cuba mengesan dan mengeluarkannya.

Selain itu, saudara juga boleh mencuba amalan ini sebelum tidur:

1. Berwudhuk (sekiranya selepas itu terbatal, tak mengapa tapi jika dapat dikekalkan sehingga lena adalah lebih baik).

2. Sebelum meletakkan tubuh ke tempat tidur, sapu sekali lalu dengan tangan ataupun kain sambil membaca Bismillah (atau apa-apa zikir. Amalan ini sebagai mengikut sunnah Nabi, dan mengelakkan daripada kita tertindih makhluk2 halus yang mungkin sedang berehat di pembaringan kita.

3. Baca 2 kalimah syahadah, selawat ke atas Nabi, Al Fatihah dan Ayat Kursiy (sekadar saranan)

4. AMALAN YANG JANGAN DITINGGALKAN - Tadah tangan macam berdoa, baca 3 Qul, hembus ke tapak tangan dan sapu ke seluruh badan. Ulangi 3 kali. Dengan izin Allah, amalan 3 Qul ini sudah cukup untuk mengelakkan daripada ditindih.

5. Mulakan berbaring dengan mengereng ke sebelah kanan terlebih dahulu (mengikut sunnah Nabi). Jika selepas itu mahu diubah kedudukan, tidak mengapa.

6. Sebelum lena, fikirkan perkara yang baik-baik. Jiak dapat berterusan berzikir sehingga lena lebih bagus.

Saya doakan agar ikhtiar saudara berjaya. Jika saudara dapat istiqamah amalan-amalan sebelum tidur itu tadi, mungkin saudara tidak perlu pergi mendapatkan rawatan muallij.


Abu Zulfiqar Amsyari
7 Ogos 2010

Merawat Gadis Sakit di Kepalanya

Posted by Alexanderwathern | 9:09 PM | , | 0 comments »

Meruqyah seorang gadis remaja berusia 15 tahun. Kepalanya sakit tidak tertahan. Tiba di tempatnya, kelihatan dia sedang terbaring kesakitan, menangis dan tangannya memegang bahagian kepala. Kelihatan sebekas air berisi ramasan bunga dan daun, yang airnya dilumur ke kepala – petua orang tua-tua, sebagai penyejuk kepala, menurunkan suhu dan mengurangkan kesakitan. Tahniah kepada Puan A yang melakukan ikhtiar itu.


Ruqyah dimulakan dalam keadaan saya di sisi kanannya. Bacaan pembenteng... Al-Fatihah... Ayat Kursiy... Sebaik-baik tamat Ayat Kursiy, tubuhnya mengendur. Dia pengsan. Biasanya kalau jadi begini bermaksud ‘penumpang’ dalam badan sudah keluar. Saya berhentikan ruqyah dan memohon gerak daripada Allah SWT. Rasa saya gadis ini sakit bukan disebabkan ‘gangguan’.


Usaha memulihkannya dengan minyak wangi kurang berhasil. Selepas seorang guru wanita melumurkan banyak air, barulah mata hitamnya mulai aktif – menunjukkan dia kembali sedar. Saya minta izin untuk terus meruqyah. Saya uji si gadis dengan soalan, ternyata itu memang dirinya, bukan makhluk lain yang bercakap melalui dirinya.


Habis ayat-ayat Quran, ruqyah masuk ke bahagian ayat-ayat selain daripada Quran. Namun tidak ada sebarang petunjuk mengatakan gadis ini diganggu jin ataupun terkena sihir. Saya khuatir jika benar ada gangguan, mungkin pengganggunya jenis yang pandai bersembunyi. Budak itu juga memberi isyarat yang dia tidak nampak sebarang keanehan.


Saya beritahu kepada mereka yang ada di situ yang saya akan mengambil langkah terakhir. Jika bahagian ini pun tidak memberikan apa-apa reaksi, saya cenderung mengatakan gadis ini tidak mengalami gangguan makhluk halus, tetapi sakit jasmani (sakit biasa). Wallahualam.


Kain berlipat diletakkan di atas kepalanya. Kepalanya saya cengkam melalui atas kain. Dengan memohon izin Allah SWT (melalui bacaan Lauanzalna... dan Surah Al-Fiil), saya ikhtiarkan agar Jurus Api Menderu disalur masuk ke dalam tubuhnya melalui bahagian kepala agar dapat membakar/ memanaskan mana-mana ‘penumpang’ sekiranya ada. Masih tidak ada sebarang reaksi.


Saya tanyakan kepadanya, sama ada dia nampak apa-apa/ siapa-siapa dalam kepalanya. Dia menggeleng dalam keadaan sedar. Nampaknya tugas saya sudah tamat. Pada saya, dia sakit jasmani walaupun telah diberitahu yang pakar perubatan moden pun gagal mengesan punca penyakitnya. Satu lagi kemungkinan, boleh jadi juga dia terkena sihir yang tidak melibatkan jin.


Habis sesi berikhtiar, saya bersembang sebentar dengan waris terdekatnya. Rupa-rupanya budak ini sudah dibawa berubat secara tradisonal/ Islamik beberapa kali. Salah seorang yang pernah merawatnya ialah Ustaz Y. Ustaz Y memang seorang perawat dan dia lebih senior daripada saya. Katanya Ustaz Y juga sependapat dengan saya... budak ini tidak terkena ‘gangguan’. Lega benar hati saya kerana keputusan yang saya keluarkan tadi ada sokongannya.


Akhirnya saya cadangkan agar gadis ini dibawa berubat secara herba dan lebih baik jika dapat dibekam pada bahagian bawah tengkuknya. Walaupun isteri saya boleh juga membekam sedikit-sedikit, tapi saya cadangkan seorang lagi pembekam senior iaitu Puan S.


Semoga budak ini lekas sembuh. Memang kasihan melihat dia menanggung kesakitan. Sembuhkanlah hamba-Mu itu ya Allah.




Abu Zulfiqar

4 Ogos 2010



ps: Ada jenis perawat yang jahat, sakit yang bukan berpunca daripada jin dan sihir pun tetap dikaitkannya dengan jin dan sihir.