MagzNetwork

Melihat Abu Zulfiqar Dari Sudut Yang Mana?

Posted by Alexanderwathern | 10:51 AM | | 0 comments »

Rami orang mengenali saya dari sudut pandangan yang berbeza-beza, bergantung pada blog saya yang mana yang sering dikunjungi mereka.

Ada yang mengenali saya sebagai seorang mua'llij, iaitu pengamal perubatan Islam dan perawat, serta tempat orang meluahkan masalah dan meminta nasihat. Hal ini kerana mereka sering mengunjungi blog Ikhtiar Muslim di http://ikhtiarmuslim.blogspot.com/ .

Ada yang mengenali saya sebagai seorang aktivis gerakan Islam, peduli isu Palestin dan peminat isu-isu semasa umat Islam di seluruh dunia. Hal ini kerana mereka sering mengunjungi blog Satu Umat di http://satuumat.blogspot.com/ .

Ada juga yang mengenali saya sebagai seorang ahli perbandingan agama, peminat teori konspirasi, pengkaji kitab-kitab suci agama dunia, peminat dan peneliti sejarah. Blog yang mereka kunjungi tentunya Bermesra Dengan Kebenaran Mutlak di http://myalexanderwathern.blogspot.com/ .

Ada pula yang memandang saya sebagai seorang ustaz aliran tradisional, berfaham kesufian, pengajar kitab, penggiat seni dan lain-lain. Tentunya kerana mereka sering melayari blog Debunga Teratai Syurgawi di http://alexanderwathern.blogspot.com/ dan Ihya' 'Ulumiddin di http://syarahihya.blogspot.com/ .

Inilah 5 blog utama saya di samping beberapa blog lain.

Oleh itu, apabila mereka membuat penilai terhadap sesuatu isu, mereka menilai saya berdasarkan HANYA SALAH SATU daripada yang di atas. Penilaian dan hukuman yang diletakkan itu tentunya sukar menjadi adil dan jauh daripada tepat kerana mereka melihat hanya salah satu sudut daripada sudut-sudut pemikiran saya. Namun begitu, mereka tidaklah boleh dipersalahkan kerana biasanya seseorang itu punya hanya satu blog. Jadi saya pun disangkakan mempunyai hanya satu blog lalu saya dinilai dan dihukum berdasarkan blog yang satu itu.

Dari itu, bagi sesiapa yang terbaca tulisan ini, untuk menilai saya atau meletakkan sesuatu hukum kepada saya, sewajarnyalah melihat saya dari kesemua sudut yang di atas tadi. Layarilah kelima-lima blog saya itu, barulah dapat mengenali pemikiran saya dengan lebih baik kerana saya ialah gabungan kelima-limanya, insyaAllah.

Tulisan ini terhasil kerana sering berlaku 'salah cop'. Ada yang mengecop saya sebagai seorang yang menghabiskan masa duduk berwirid dan menelaaah kitab sahaja. Ada pula yang menyangkakan saya seorang yang asyik berusrah, berqiamulail dan berprogram di sana sini sahaja. Ada yang beranggapan saya tidak lain seorang guru agama yang menyusun masjid dan surau setiap malam sahaja. Ada pula yang menyangka saya seorang ahli jemaah Tabligh yang 'keluar' ke sana sini sahaja.Lebih hebat lagi, ada yang menuduh saya ahli ajaran sesat.... aduhhh! Tak kurang yang menyangkakan saya seorang aktivis parti politik yang asyik dengan gerak kerja dan program ceramah sahaja. Juga yang percaya saya seorang ahli kumpulan nasyid yang saban hari berlatih persembahan, bermain alat muzik dan menggubah lagu sahaja. Yang mengatakan saya hanyalah seorang perawat Islamik yang kerjanya merawat orang setiap hari pun tak kurang. Macam-macam lagi ada...

Nak tahu apa isi kolam, lihatlah isi 5 batang anak sungai yang mengalir ke dalamnya. Umumnya, itulah isi kolam tersebut. Jangan menilai dan menghukum isi kolam itu berdasarkan hanya satu daripada lima anak sungai tadi.

Apabila berlaku salah menilai dan salah menghukum, hendak menjelaskan kembali satu-persatu kepada orang tersebut memang akan memakan masa lama. Dengan adanya artikel ini, jika berlaku lagi nanti, mudahlah saya. Saya akan terus beri link ke artikel ini untuk dibaca oleh orang berkenaan.

Mimpi Berenang dan Pokok Madu

Posted by Alexanderwathern | 7:55 PM | | 0 comments »

SOALAN :

Assalamualaikum!

Ustaz, saya ada membaca tafsiran mimpi dari Ustaz pada wall teman FB.
Saya juga ada brmimpi yang saya tidak tahu ertinya.. mugkin ustaz dapat beri keterangan mengenainya.

Mimpi saya beberapa bulan yang lalu..

Saya berenang menurut arus lebih laju dari perahu dengan sesungguh hati.. sehingga jauh. Kemudian saya berhenti dan memanjat bukit untuk beristerehat di sana.. saya dapat lihat keindahan alam penuh cahaya yang menakjubkn..

Apa erti semua ini...

Dan saya pernah juga bermimpi.. ada beberapa orang mengumpulkan dan mahu memberikan buah-buahan dari pokoknya dan membenarkan saya mengambilnya.. dan sedang saya meninjau pokok yang lebat buahnya saya menemui madu yang sangat banyak, tiada siapa pun peduli akan madu itu biarpun saya telah maklumkan, maka saya mengambilnya dengan sendiri tanpa sesiapa peduli saya.. saya dapat merasa madu itu..

Apa ertinya semua ini..
Moga ustaz dapat bantu saya..

Terima kasih ustaz.
Wasalam.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam,

Mimpi ini kemungkinan sekali bermaksud anda pergi jauh dan berusaha keras lalu mendapat kejayaan demi kejayaan. Hasilnya memang lumayan/ berbaloi. Namun dalam berusaha itu anda ditimpa kesedihan pada waktu-waktu tertentu.

Mimpi kedua ini skop tasfirnya luas. Saya tak tahu hendak tuju yang mana. Jadi, saya tidak dapat membuat perkaitan.

Cuma yang dapat saya beri:

Pokok itu membawa maksud baik. Anda beroleh kebaikan, tapi saya tak dapat pastikan bentuk kebaikan yang diperolehi itu.

Biasanya madu membawa maksud Al-Quran (tapi tidak semestinya).

BALASAN :

Terima kasih Ustaz telah berikan keterangan tentang mimpi saya...

Alhamdulillah.. benar apa yang saya lalui amat perit dan sedih.. namun berkat nasihat teman-teman FB, saya boleh sabar dan... saya sudah daapt lihat sedikit demi sedikit.. syukur..saya yakin perjalanan saya di atas landasan yang benar...

Kisah Orang Dulu-dulu

Posted by Alexanderwathern | 6:15 PM | , | 0 comments »

Suatu waktu dahulu, saya selalu berbual dengan seorang makcik, kerana kebetulan saya menjadi guru agama kepadanya.

Menurut makcik ini, arwah bapanya pernah ada tangkal. Tangkal itu pernah terbukti kemujarabannya. Pada suatu malam, seorang lelaki India menjerit-jerit di tengah jalan kerana dipatuk ular. Bapa makcik ini menyapukan tangkal itu ke kaki lelaki India tadi, dan ketika itu juga kesakitannya hilang. Tapi tangkal itu kini tidak diketahui ke mana perginya.

Makcik ini pernah mendapat minyak penarik. Minyak ini disimpannya baik-baik. Kepada anak-anaknya pun tidak diberinya kerana takut disalahguna. Memang dia kurang mempercayai anak-anaknya. Katanya jika minyak ini disapu di kening, orang pasti akan tertawan dengan kita. Kerana yakin akan saya, dia menawarkan minyak itu kepada saya tapi saya menolak dengan baik.

Pernah juga seorang lelaki yang pandai mengubat memberi kepada makcik ini satu barang berbentuk ikan. Ikan itu diikat dengan sehelai benang atau tali. Ia boleh digunakan untuk mengetahui sesuatu hal. Contohnya jika seseorang isteri hendak mengetahui keadaan suami mereka di luar rumah, ikan itu dibiarkan tergantung pada tali yang kita pegang. Kita tanyakan apa sahaja. Jika jawapannya ya, ikan akan berpusing ke kanan. Jika jawapannya tidak, ia akan berpusing ke kiri. Menurut makcik ini, melalui ujian-ujian yang dilakukannya, jawapan-jawapan yang diberikan oleh ikan itu memang betul.

Begitulah antara sembang-sembang saya dengan seorang hamba Allah suatu ketika dahulu. Orangnya sudah meninggal dunia. Catatan ini dibuat sekadar perkongsian tentang kisah orang dulu-dulu, bukan bermaksud menyetujuinya.

Satu Kaedah Memagar Rumah dan Kawasan

Posted by Alexanderwathern | 12:57 AM | | 1 comments »

CARA ‘MEMAGAR’ BANGUNAN & KAWASAN

(Kaedah Ikhtiar Muslim)

‘MEMAGAR’ RUMAH (BAHAGIAN DALAM)

1. BIASANYA dilakukan pada waktu malam.

2. Mulakan dengan azan/ iqamah di tengah rumah. Cukup dengan suara perlahan.

3. Seorang duduk di tengah rumah, baca surah Al-Baqarah. Bacaan diteruskan sehinggalah tamat proses ‘memagar’. Tak perlu dihabiskan keseluruhan surah Al-Baqarah, tapi jika dapat diteruskan hingga habis lebih baik.

4. Seorang lagi berperanan sebagai tukang renjis. Berdiri di tepi mana-mana dinding dengan bahu kanan menghala ke dinding. BIASANYA dimulakan dengan dinding kanan rumah (Berdiri di dalam rumah menghadap pintu utama rumah, tengok sebelah kanan. Dinding itulah yang dimaksudkan). Jarak di antara dinding dengan perenjis lebih kurang 2-3 kaki.

5. Perenjis berjalan perlahan-lahan ke arah hadapan (dengan bahu kanan menghala ke dinding) ke setiap dinding. Sampai ke pintu-pintu bilik, masuk ke dalam bilik, lalu kesemua dinding dan keluar. Terus berjalan sehinggalah sampai ke tempat mula.

6. Cara merenjis – Paling mudah gunakan botol ‘spray’. Sambil berjalan, sembur sahaja. Boleh juga air yang sudah diruqyah di isi dalam sebuah bekas dan direnjis dengan tangan (tapi melenguhkan). Celup tangan dalam air, renjis dari kiri ke kanan (ke arah dinding). Sedikit renjisan pun sudah cukup, ambil syarat sahaja. Kalau tidak nanti habis basah dinding, lantai dan perabot.

7. Sambil merenjis, bacakan apa-apa ayat Al-Quran ataupun doa berterusan. BIASANYA orang suka baca Ayat Kursiy. Boleh saja jika hendak baca 3 Qul, surah Al-Fiil, doa-doa dan ayat-ayat yang lain.

8. Setelah sampai ke tempat mula tadi, pandang ke arah bumbung. ‘Spray’/ renjis sekali, sekadar ambil syarat memagar bahagian atas.

9. Bahagian (dinding) dalam tandas dan bilik air tidak direnjis. Cukup dengan merenjis di depan pintu tandas sahaja.

CARA ‘MEMAGAR’ KAWASAN RUMAH.

Lebih kurang sama seperti cara memagar dalam rumah.

1. Berdiri menghadap pintu pagar/ laluan utama ke luar. Lihat sebelah kanan rumah. Perenggan/ pagar / sempadan itulah yang dimaksudkan. Mula memagar dari situ. Berjalan di tepi semua pagar/ sempadan sambil merenjis/ menabur bahan. Sambil berjalan, baca ayat-ayat pilihan (biasanya Ayat Kursiy).

2. Mulakan dengan azan/ iqamah di dalam rumah. Kemudian seorang baca surah Al-Baqarah. Seorang lagi merenjis (jika air) ataupun menabur (jika lada hitam, garam atau lain-lain).

3. Cara merenjis/ menabur sama seperti memagar dalam rumah.

4. Akhirnya, pandang bumbung rumah, renjis/lontar sedikit bahan sebagai syarat.

Apakah ‘pagar’/’benteng’ yang dibuat boleh ditembusi?

Ya, antaranya dalam keadaan-keadaan berikut:

1. Pagar sudah lama. Selang beberapa bulan ataupun setahun sekali digalakkan buat pagar yang baharu. Pagar lama mungkin sudah rosak, berlubang ataupun rapuh pada mana-mana bahagian. Pagar ghaib ini samalah seperti pagar zahir yang kita buat daripada batu, kayu, dawai dan lain-lain. Lama-kelamaan ia akan berkarat, dimakan anai-anai, tumbang ditanduk lembu dan lain-lain.

2. Penghuni rumah/ kawasan yang dipagar itu selalu melakukan perkara-perkara yang dilarang agama menyebabkan pagarnya semakin nipis, runtuh ataupun berlubang.

3. Jin/ pengamal sihir yang berusaha meruntuhkan pagar itu ialah seorang yang benar-benar kuat ilmunya (atas izin Allah). Biasanya mereka ada kaedah untuk menembusi pagar yang dibuat. Jin-jin dan pengamal sihir kebanyakan biasanya tak berjaya tembus.

4. Salah seorang/ beberapa orang/ keseluruhan keluarga itu ada jin saka. BIASANYA jin saka dapat menembusi pagar/ benteng kerana dia ialah ‘family member’ (sudah jadi ahli keluarga tersebut). ‘Family member’ boleh keluar masuk sesuka hatinya.

Bagaimana cara untuk mengukuhkan pagar?

1. Penghuni rumah/kawasan lakukan amal-amal soleh, dan buat amalan-amalan pendinding seperti selalu/ setiap hari al-Ma’thurat, atau Manzil, atau apa-apa wirid yang sesuai.

2. Perbaharui pagar selang beberapa bulan/ tahun.

Siapakah yang boleh melakukan proses memagar?

Perawat, tuan rumah atau sesiapa sahaja Muslim yang ada keyakinan.

Tandas dan bilik air tak dipagar. Tidakkah berbahaya?

1. Luar kawasan rumah sudah dipagar. Jadi tak perlu risau.

2. Sebelum masuk bilik air/ tandas, baca doa : “Allaahummainni a’uzhubika minal qubuthi wal qabaaith.”

3. Untuk menguatkan lagi, boleh saja berzikir DI DALAM HATI semasa berada di dalam bilik air/ tandas.

Jarang sangat membuat rawatan membetulkan tulang belakang. Oleh itu, terpaksalah dibuat nota ringkas kerana ingat-ingat lupa susunannya. Berikut ialah nota ringkas tentang langkah-langkah rawatan membetulkan tulang belakang yang saya buat. Sengaja saya kongsikan di sini kerana notanya mencuit hati saya, seolah-oleh hendak membelasah orang sampai hancur saja bunyinya. Kalaulah pesakit terpandang nota saya ini, silap-silap haribulan lari tak bertangga dia : )

1. Tarik.
2. Lipat.
3. Tekan.
4. Putar.
5. Tumbuk tumit.
6. Tekan sisi.
7. Tarik sisi.
8. Koyak.
9. Tekan belakang/ tulang.
10. Lentik
11. Pijak kaki.
12. Kepak
13. Paling.
14. Tarik kepala.

Macam mana? Ada yang mahu 'try'? : )