MagzNetwork


“Sesiapa yang membaca Bismillahillazhi laa yadhurru ma'asmihi syai unn fil ardhi walaa fissama iwahuwas sami'ul 'alim sebanyak 3 kali pada waktu petang, maka dia tidak akan ditimpa bencana mendadak hingga ke pagi. Dan sesiapa yang membacanya pada waktu pagi sebanyak 3 kali, maka dia tidak akan ditimpa bencana mendadak hingga ke petang.”

(Abu Daud)


Maksud bacaan:


"Dengan nama Allah yang segala sesuatu baik di langit mahupun di bumi tidak akan memberi apa-apa mudharat selama bersama dengan namaNya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Tahu."



KHASIAT

1. Tidak akan terkena bahaya mengejut. Sandaran- hadis.

2. Tidak akan dimudaratkan oleh apa jua. Sandaran- maksud bacaan.


PENGGUNAAN

1. Baca 3 kali pada waktu pagi dan 3 kali pada waktu petang, pada setiap hari. Sandaran- hadis.

2. Sebagai pendinding diri pada bila-bila waktu diperlukan. Sandaran- amalan para ulama.


Bersalin di dalam Air

Posted by Alexanderwathern | 10:44 PM | , | 0 comments »


Untuk bersalin di dalam air, seorang ibu perlukan kolam dengan air dengan suhu bilik 37 darjah Celsius, tidak terlalu sejuk dan tidak pula terlalu panas.


SECARA umumnya kita mengetahui tentang kelahiran di dalam air menerusi dokumentari yang disiarkan di kaca televisyen. Penulis juga pernah melihat satu dokumentari di mana seorang ibu yang memilih untuk bersalin di dalam air berkongsi pengalaman tersebut bersama sanak saudara dan jiran-jirannya, sungguh mengagumkan.

Jika dilihat dari sejarah kelahiran bayi di dalam air ini, ia bermula pada tahun 1960-an apabila seorang penyelidik dari Rusia, Igor Charkovsky melakukan kajian tentang kebaikan kelahiran di dalam air. Pada penghujung tahun tersebut seorang pakar perbidanan dari Perancis, Frederick Leboyer mencuba kaedah kelahiran di dalam air untuk membiasakan bayi yang sebelum ini berada di dalam uri.

Seorang lagi pakar perbidanan Perancis, Michel Odent, menambahbaikkan lagi kajian Leboyer dengan menggunakan kolam bersalin sebagai salah satu cara mengurangkan rasa sakit bersalin. Odent juga mencari kebaikan bayi yang dilahirkan di dalam air dan di penghujung tahun 1990, ribuan bakal ibu telah memilih untuk bersalin di Pusat Bersalin Odent di Pithivier dan sejak itu, kaedah bersalin di dalam air mula digemari.

Kini, kaedah bersalin di dalam air menjadi satu perkara yang biasa di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Ramai yang mempraktikkan kaedah ini mengakui bersalin di dalam air lebih merehatkan dan umpama spa yang memberi kelegaan serta ketenangan fikiran.

Pakar perbidanan dan kelahiran, Pusat Perubatan Pantai, Bangsar, Kuala Lumpur Dr. Choong Kuo Hsiang berkata, di Malaysia, kaedah ini tidak begitu diterima rakyat Malaysia memandangkan ia agak bertentangan dengan adat dan budaya sesetengah kaum di negara ini.

"Memang ada permintaan untuk kelahiran cara ini di Malaysia tetapi kebanyakan yang memilihnya adalah wanita Inggeris yang menetap di Malaysia kerana mengikut suami bertugas di sini," jelasnya ketika ditemui di kliniknya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Justeru, katanya, Pusat Perubatan Pantai telah merasmikan pusat kelahiran air yang pertama di Lembah Klang awal tahun ini. Sejak dari tarikh tersebut sebanyak tiga percubaan melahirkan anak di dalam air, namun hanya dua yang berjaya dilahirkan dengan kaedah ini.

"Terdapat dua aspek bersalin di dalam air, pertama sewaktu sakit di dalam air dan bersalin di luar serta kedua, bersalin dan melahir anak di dalam air. Semuanya terpulang kepada ibu. Pihak doktor tidak akan memaksa,'' kata Dr. Kuo Hsiang yang telah mempunyai 17 tahun pengalaman sebagai doktor pakar perbidanan.

Untuk bersalin di dalam air, seorang ibu perlukan kolam dengan air dengan suhu bilik 37 darjah Celsius, tidak terlalu sejuk dan tidak pula terlalu panas.

Kondisi seorang ibu pula mestilah sihat, tidak mempunyai penyakit lain seperti tekanan darah tinggi atau kencing manis.

"Ibu juga bebas untuk memilih cara paling selesa untuk bersalin dan tubuh mereka berasa ringan kerana apungan air. Jadi mereka boleh bertinggung, melutut semuanya mengikut keselesaan mereka ketika waktu bersalin. Malah, suami juga boleh turut sama berada di dalam kolam untuk memberi sokongan kepada si isteri," jelasnya.

Apabila bercakap tentang kelahiran di dalam air, ramai yang menggeleng kepala kerana membayangkan risiko bayi akan lemas di di dalam air selepas dilahirkan.

"Ramai yang bertanggapan bahawa kemungkinan bayi yang dilahirkan akan lemas di dalam air, tanggapan tersebut salah kerana bayi yang baru dilahirkan tidak akan bernafas untuk beberapa saat. Ketika itu bayi pun akan terus disambut oleh bidan atau doktor," katanya.

Bagi yang menganggap geli kerana kolam akan berlumuran darah juga perlu membetulkan tanggapan tersebut kerana darah ibu hanya akan keluar selepas uri dikeluarkan sahaja.

"Jadi air di dalam kolam bersalin akan bersih sahaja dan uri ibu biasanya akan dikeluarkan oleh bidan atau doktor selepas dia keluar dari kolam," jelas Dr. Kuo Hsiang lagi.

Dr. Kuo Hsiang menambah kelahiran di dalam air sebenarnya hanyalah salah satu alternatif tambahan bagi ibu yang tidak mahu menggunakan sebarang intervensi.

"Kelebihan kelahiran di dalam air hanya memberi ibu rasa relaks terutama apabila berhadapan dengan kontraksi kelahiran. Falsafah saya apabila seorang ibu mahu bersalin, keselesaan adalah keutamaan yang perlu diberi kepada mereka.

"Berdasarkan kajian saya, posisi bersalin yang paling baik untuk si ibu ialah dengan bertinggung," ujarnya.

sumber

Apa Itu Ketuat?

Posted by Alexanderwathern | 10:37 PM | , | 0 comments »


KETUAT leper.



Dr. Noraziah Abd. Kadir Jailani


SERING kali disalah anggap sebagai tahi lalat ataupun jeragat pada kulit, masalah ketuat (warts) sebenarnya berlaku secara meluas di seluruh dunia. Memandangkan kebanyakan kes hanya melibatkan masalah ringan dengan saiz ketuat yang kecil serta jumlah yang sedikit, ia sering kali diabaikan begitu sahaja.

Sememangnya masalah ketuat yang berpunca dari jangkitan Human Papilloma Virus (HPV) kebiasaannya tidak menjejaskan kesihatan dan hidup seharian. Ini mengelakkan banyak perhatian terhadap masalah ini, dengan kebanyakan kes akan pulih sendiri selepas tempoh masa tertentu.

Namun, penemuan dua kes ketumbuhan ketuat yang ekstrem pada 2007 mengejutkan dunia, terutamanya berita 'lelaki pokok' di Indonesia yang menjadi contoh serangan teruk virus HPV ke atas kulit manusia.

Membezakan

Mungkin ramai kini yang tahu mengenai ketuat alat kelamin yang dikaitkan dengan kanser serviks (pangkal rahim) di samping kontroversi pemberian vaksinnya untuk gadis dan wanita di negara ini. Namun, ramai yang tidak mengetahui mengenai bermacam jenis ketuat lain memandangkan ia tidak membahayakan kesihatan atau mengancam nyawa.

"Ketuat berpunca dari jangkitan virus HPV sahaja. Terdapat lebih 100 jenis virus HPV dan setiap jenis ketuat berpunca dari jenis virus berbeza.

"Berbanding ketuat alat kelamin, ketuat biasa, plantar mahupun ketuat leper tidak memerlukan vaksin dan tidak membawa komplikasi besar," jelas Dr. Noraziah Abdul Kadir Jailani, Pakar Perunding Perubatan dan Dermatologi, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC).

Namun, berita mengenai Dede Koswara, 34, yang badannya dipenuhi ketuat seakan kulit pokok menunjukkan masih ada yang bernasib malang apabila badan mereka gagal menentang jangkitan HPV.

"Kes Dede berpunca daripada masalah imuniti badan yang lemah dan gagal mengawal mahupun menghapuskan virus HPV yang menjangkiti kulitnya.

"Individu lain yang mengalami masalah lemah sistem imuniti akibat penyakit atau pengambilan ubat juga terdedah kepada ancaman penyakit biasa, walaupun penyakit seperti ketuat," kata Dr. Noraziah.

Menurutnya, selagi badan masih sihat dan kuat, jangkitan kuman seperti HPV masih mampu ditentang, walaupun mungkin mengambil masa untuk pulih.

Pada 2007, Dede dan Ion Toader dari Romania menjadi antara pesakit disahkan menghidap penyakit Epidermodysplasia verruciformis (EV) yang ditemui Dr. Felix Lewandowsky dan Dr. Wilhelm Lutz dari Jerman di awal 1920-an. Keadaan kulit seakan kulit pokok pesakit EV dikaitkan dengan virus HPV jenis 5 dan 8 yang biasanya hadir sebagai jangkitan ringan pada 80 peratus populasi dunia.

Dede dilaporkan membuang sekitar enam kilogram ketuat di badannya pada Ogos 2008, ada di antaranya menggunakan gergaji kuasa tinggi. Walaupun lebih 95 peratus ketuat di badan Dede telah dibuang, masalah 'kulit pokoknya' itu masih berterusan dan doktor menganggarkan dia memerlukan dua pembedahan setiap tahun untuk seumur hidupnya bagi mengawal ketumbuhan tersebut.

Muda

Walaupun kes ketuat seperti Dede dan Toader sesuatu yang jarang berlaku, umum perlu mengetahui bahawa virus HPV wujud secara meluas dalam komuniti manusia. Mampu menyebabkan jangkitan ringan hingga sederhana, ketuat yang timbul sebenarnya boleh dirawat terutamanya jika ia menjejaskan penampilan fizikal seseorang.

"Kanak-kanak merupakan yang paling mudah diserang masalah ketuat biasa - di kaki dan tangan, akibat sentuhan semasa mereka bermain di luar ataupun bersama kawan-kawan.

"Sebarang bentuk hubungan dengan virus HPV boleh menyebarkannya, terutamanya jika ada luka," jelas Dr. Noraziah.

Menurut beliau, badan akan melawan jangkitan tersebut dan kebiasaannya kanak-kanak akan pulih sendiri dari masalah ketuat.

Namun tegasnya, jika ketuat tidak hilang selepas berbulan lamannya ataupun semakin banyak, rawatan boleh diberikan untuk mengawal dan memulihkannya.

Apa yang penting adalah mengelakkan anak ataupun diri sendiri daripada mengopek, memotong, memecah atau mengutil ketuat yang timbul. Perbuatan ini hanya akan memburukkan keadaan dan menyebarkan virus HPV ke bahagian badan yang lain.

"Virus HPV mudah merebak di kalangan mereka yang sering berkaki ayam mahupun melalui air seperti di dalam kolam renang yang tidak dijaga rapi.

"Selain itu, perkongsian pakaian, tuala, kasut dan alat membersihkan kulit serta kuku juga boleh menyebarkan virus HPV punca ketuat," tegas Dr. Noraziah.

Rawatan

Dr. Noraziah menjelaskan bentuk rawatan yang diberikan bergantung kepada kedudukan dan juga jenis ketuat.

"Ada yang leper, ada juga yang bertangkai. Jika ketuat kecil tunggal, lama-kelamaan akan hilang sendiri.

"Untuk ketuat yang tidak hilang, terdapat beberapa cara rawatan termasuk krim tertentu, pembedahan dan juga laser."

Beliau menerangkan kaedah pembekuan ketuat dan pembedahan menggunakan jarum elektrik menjadi antara kaedah rawatan paling biasa digunakan. Asid salasilik pula menjadi antara pilihan mudah bagi pesakit yang tidak mahu berjumpa doktor.

"Ramai penghidap ketuat bermula dengan rawatan sendiri. Bila sudah merebak teruk barulah mereka akan datang mendapatkan rawatan dari doktor," ujar Dr. Noraziah.

Katanya, ketuat di muka menjadi contoh jenis yang mudah merebak, terutamanya jika terluka ketika bercukur.

Selain pembekuan dan jarum elektrik, terdapat kaedah lain untuk merawat ketuat. Ini termasuk Cantharidin, pembedahan laser, immunoterapi, Bleomycin dan retinoid yang dipilih mengikut keperluan dan kesesuaian keadaan.

"Rawatan mungkin perlu diulang beberapa kali sebelum pesakit pulih sepenuhnya.

"Kos rawatan juga cuma sekitar beberapa ratus ringgit, tetapi mungkin mencecah ribuan ringgit untuk kaedah rawatan laser," jelasnya.

Dr. Noraziah bagaimanapun menekankan perkara yang paling penting adalah untuk tidak memburukkan keadaan dan menyebarkan jangkitan virus HPV itu.

"Jangan dikacau ketuat yang timbul. Walau apa jenis sekalipun, jangan dikutil atau ia akan merebak ke seluruh badan!"

sumber

SJ- Ilmu Ismu Khafi

Posted by Alexanderwathern | 9:10 PM | , , , | 4 comments »

SOALAN OLEH TETAMU 12/11/09:

Assalamualaikum. Bolehkan saudara Abu Zulfiqar menulis tentang Ismu Khafi?

Apa itu Ismu Khafi? Saya ada terbaca dalam satu laman web perubatan tentang amalan Ismu Khafi.



JAWAPAN:

Saya sendiri tidak tahu apa intipati ilmu Ismu Khafi ini. Lagi satu yang biasa disebut ialah ‘Hizb Khafi’. Kedua-duanya ilmu yang berbeza. Apabila disebut ‘ismu’, teringat saya kepada ‘isim’. Kan biasa kita dengar orang ‘gila isim’?


Mungkin kita membaca laman web yang sama. Ilmu itu dijual pada harga RM 350 untuk tingkat biasa dan RM 590 untuk tingkat guru. Laman itu mendakwa ilmu ini sangat hebat, seperti katanya:


“Dikenali sebagai Ilmu Hulubalang @ Malaikat Empat @ Isim Bikhafi @ Sahabat Empat. Daya Rohaniah yang dipadukan dengan 2 kekuatan memancarkan daya sesuai dengan kehendak anda. Dapat mewujudkan daya pengasihan, memancarkan karisma, cepatkan jodoh, terhindar sihir, penarikan rezeki, selamat dari senjata tajam dan tumpul, pukulan lawan tidak mengenai anda, pengubatan zahir dan spiritual, mematahkan benda yang keras dengan tangan kosong, silat tanpa guru, membuat pemagaran ghaib dan seribu jenis niat. Boleh dipelajari secara online. InsyaAllah.”


Nama-nama lain bagi ilmu ini disertakan juga iaitu:



"Selain dari nama Ilmu Sahabat Empat, ilmu ini juga mempunyai berbagai nama mengikut tempat perguruan yang mengamalkannya seperti Ismu Khafi, Isim Bikhafi, Ilmu Hulubalang, Ilmu Malaikat Empat dan Ilmu Tongkat Nabi Musa."


Begitulah kata laman tersebut. Wallahualam.


Ada pendapat mengatakan pengamal ilmu ini sebenarnya akan dibantu oleh empat orang malaikat, manakala sebahagian lagi mengatakan dibantu oleh empat jin Islam yang menggunakan nama ‘malaikat’. Ada amalan tertentu untuk memanggil empat ‘malaikat’ ini. Apabila mereka sudah hadir, kita boleh minta apa-apa ilmu yang berkenan di hati. Ada juga yang menamakannya sebagai Ilmu Sapujagat Agung. Pengamalnya boleh membelah dimensi untuk pergi ke alam jin dengan ilmu ini. Selain itu pengamal mampu memindahkan hujan dan mengghaibkan diri dari pandangan musuh.


Ada pihak yang percaya ilmu ini dulunya digunakan oleh salah seorang Wali Songo iaitu Sunan Kalijaga untuk mengalahkan seorang sami Hindu Buddha yang sakti. Sunan Kalijaga berjaya membelah sungai menggunakan ilmu ini. Mungkin atas sebab itulah ia dinamakan Ilmu Tongkat Nabi Musa. Wallahualam.


Antara bacaan ilmu ini ialah:


Syahadah

Selawat

Al-Fatihah

Bismillah...

Selawat...

Bikhafiyyi luthfillah

Bilathiifi shun’illah

Bijamiili sitrillah

Bibadi’il afwillah

Bisarii’il karamillah

Biighasati juudillah

Bi alfi alfi laahaulawala quwwataillah

...dan seterusnya...


Sebagai bacaan tambahan (entah berkaitan entah tidak), saya sarankan tulisan saya bertajuk “Rijalulghaib Menurut Warisan Perubatan Melayu” di http://ikhtiarmuslim.blogspot.com/2009/11/rijalul-ghaib-menurut-warisan-perubatan.html


Sekadar itu saja maklumat yang saya ada. Penjelasan saya boleh jadi berkaitan, dan boleh jadi juga tidak berkaitan dengan ilmu Ismu Khafi itu. Wallahualam.




Abu Zullfiqar @ Alexanderwathern

Buat Duit dengan Barang Kebal

Posted by Alexanderwathern | 2:50 PM | , | 1 comments »

CONTOH SITUASI:

Tiga orang penjual berteriak sakan mempromosikan barangan mereka di pasar malam. Apa yang dijual? Sekeping syiling yang aneh ukiran pada kedua-dua belah mukanya. Syiling-syiling asing itu dijual dengan harga RM20 sekeping. Apa kelebihannya? Dakwaan dibuat mengatakan syiling-syiling itu akan membuatkan seseorang kebal (tidak lut senjata tajam) jika diletakkan dibawa ke mana-mana di dalam poket ataupun beg duit.

Tak kan laku barangan jika tiada pembuktian. Dengan itu demonstrasi pun dipertontonkan. Penjual memanggil sesiapa yang sudi menjadi bahan demo. Seorang penonton pun ditarik keluar lalu diminta duduk di atas sebuah kerusi. Kemudian penjual menyuruh orang tadi memegang sekeping syiling hikmat.

Penjual mengeluarkan sebilah pisau belit yang berkilat. Dihiris-hirisnya sehelai kertas, habis terpotong menunjukkan betapa tajamnya pisau belit itu. Kemudian penjual menarik ke atas beberapa helai rambut orang tadi lalu menyiat-nyiat rambut itu dengan pisau belit yang sama. Menakjubkan, rambut langsung tidak terputus!

Para penonton semakin berminat. Apatah lagi selepas demo disambung. Duit syiling diambil kembali. Pisau belit ditores ke rambut orang tadi. Putus! Sekali lalu saja! Hal ini membuktikan syiling itu memang membawa kekebalan.

“Tuan-tuan, syiling-syiling ni kalau saya jual seratus sekeping pun orang sanggup beli. Tapi hari ni saya kira hadiah je lah, lima belas ringgit saja. Lagi pun tinggal yang ni je, dulu saya ambil dari guru saya Syeikh xxxxxxxxx dari Arab Saudi 500 keping. Nasib tuan-tuan le siapa yang dapat hari ni.”

“Tak pe, tuan-tuan jangan beli lagi! Saya tunjuk satu lagi demonstrasi, kita sama-sama tengok betul tak syiling ni boleh buatkan kita kebal. Tuan-tuan dah puas hati nanti baru beli, ok?”

Rakan penjual membawa sebiji tembikai kecil. Tembikai diletakkan di atas meja. Di tangan penjual pula ada sebilah pedang yang berkilat mengerlit. Dengan satu tetakan yang tidak berapa kuat, tembikai kecil terbelah dua. Pedang itu kalau tebas di leher, mahu putus dibuatnya.

Didatangkan pula sebiji tembikai lain yang lebih kurang besarnya, diletakkan di atas meja. Di bawah tembikai diselitkan sekeping syiling ajaib yang lain pula. Pedang pun dihayunkan dari atas ke bawah ke arah tembikai. Tembikai tidak terbelah, walaupun ditakik tiga kali! Hanya terpecah sedikit kulitnya! Para penonton tersenyum sesama sendiri sambil mempamerkan rasa ketakjuban.

“Saya dah cakap, kalau saya jual seratus sekeping pun orang beli. Ini stok ‘last’ punya tuan-tuan. Lepas ni tahun depan pula saya pergi jumpa guru saya di Mekah.”

“Ada sesiapa nak beli? Ada? Satu, dua, tiga.... . Wui, ramai! Tunggu sekejap ye tuan-tuan. Sabar dulu! Saya nak tunjuk satu lagi bukti. Bukan apa, supaya tuan-tuan faham yang tuan-tuan dapat ni bukan benda kecil-kecil punya nilai. Tuan-tuan tengok ni!”

Si penjual menyentengkan lengan baju kanannya. Tangan kanannya itu didepangkan ke hadapan sementara tangan kirinya memegang sekeping syiling hikmat yang lain pula.Salah seorang pembantunya mengambil pedang tajam tadi lalu menetakkannya ke tangan penjual beberapa kali dengan agak kuat. Tangannya tidak terbelah atau terluka, hanya berjalur merah akibat tetakan pedang. Memang kebal betul!

Kalau tadinya tujuh orang hendak membeli, kini sudah lebih dua puluh orang. Sambil itu si penjual terus bersyarah:

“Cuma satu saya nak nasihat tuan-tuan, benda ni tak oleh dibuat main-main dibuat cuba-cuba. Jangan balik nanti tuan-tuan ‘test’ pula kebal ke tidak. Kalau kita nak ‘test-test’, tak jadi. Tapi waktu kecemasan, insyaallah. Ambillah satu letak dalam beg duit ke, poket baju ke, dalam gulung kain pelekat ke... insyaallah tuan-tuan.”

“Lagi kegunaan dia tuan-tuan, boleh mengindarkan sihir dan gangguan setan Iblis. Masa nak tidur, letak je bawah bantal. Kalau letak di pintu, gerenti setan tak berani masuk. Kemudian kalau sakit, rendam syiling dalam air kosong, baca selawat dan minum. Insyaallah afiat. Blab la bla... proh preh proh preh...!

Dalam hati penjual- Untung jugak aku dekat lima ratus ringgit. : )

PENDEDAHAN

Jika Allah mengizinkan mana-mana makhluknya untuk kebal pada masa tertentu tertentu, memanglah tidak mustahil. Namun dalam contoh di atas, yang berlaku ialah:

Pisau belit itu sudah ditumpulkan salah satu bilahnya. Ketika rambut tidak terputus, penjual menggunakan bilah yang tumpul. Ketika rambut terputus, dia menggunakan bilah yang tajam. Dia sudah berlatih untuk menukar-nukar/ mengalih-alihkan bilah pisau cukur.

Pedang itu tidak tajam keseluruhan matanya, hanya bahagian tengah ke hulu saja yang tajam (bahagian pangkal). Dari tengah ke hujung pula tumpul (ataupun sebaliknya). Ketika tembikai terbelah, dia menetak dengan bahagian pangkal yang tajam. Ketika tembikai kebal, dia menetak dengan bahagian hujung yang tumpul. Ketika menetak tangannya, dia menggunakan bahagian hujung yang tak tajam.

Macam mana? Hujung minggu ini bolehlah anda buat duit di pasar malam. Carilah apa-apa barang seperti besi-besi buruk, ataupun batu jalan, ataupun tulislah apa-apa ayat pada kertas sebagai tangkal dan lain-lain. Kemudian lakukan demo-demo di atas dan juallah produk anda, insyaallah anda mewah pada malam itu. Tapi... tak mustahil juga anda akan disekeh dan dihenyak beramai-ramai oleh para pengunjung pasar malam seandainya mereka pun terbaca artikel ini. : )



Abu Zulfiqar @ Alexanderwathern

13 November 2009



*Dari semasa ke semasa Ikhtiar Muslim akan terus membuat pendedahan demi pendedahan, untuk kesejahteraan umat. Teruskan bersama Ikhtiar Muslim di bahagian 'AWAS' : )