MagzNetwork

Bakal Pewaris Mahaguru Diperlukan

Posted by Alexanderwathern | 3:05 PM | | 1 comments »

Saya seorang mahaguru silat. Di bawah saya ada ramai anak murid. Dalam kalangan mereka ada beberapa orang yang sudah bertaraf guru. Oleh kerana saya sudah berumur, saya mahu mewariskan semua khazanah ilmu silat ini termasuklah jawatan mahaguru kepada salah seorang daripada guru-guru itu, tetapi tidak ada yang berani melalui ujian untuk tahap mahaguru. Oleh itu saya buka kepada anak-anak murid yang belum bertaraf guru, masih juga tidak ada yang berani. Jadi, kepada siapa hendak saya wariskan rahsia-rahsia perguruan peringkat tertinggi?

Saya tidak mahu ilmu-ilmu peringkat tertinggi ini hilang begitu sahaja. Nampaknya terpaksalah saya membuka tawaran kepada semua umat Islam yang bukan dari aliran silat saya. Sesiapa yang berminat dan sanggup melalui ujian peringkat mahaguru ini, bolehlah berhubung dengan saya nanti.

Ujiannya? Pada tarikh yang akan ditetapkan, mereka yang berminat sama ada ramai ataupun seorang hendaklah datang ke rumah saya selepas Subuh. Bawa bersama sebilah parang dan sebatang cangkul atau skop. Anda dikehendaki menggali sebuah lubang berukuran 7 kaki lebar dan 7 kaki dalam. Kemudian pada pukul 12 tengah hari, anda akan diminta mencari 7 batang buluh. Buluh-buluh ini akan dipotong dalam ukuran kira-kira 4 kaki panjang. Bahagian hujungnya akan diruncingkan.

Pada sebelah petangnya, saya sendiri akan pergi ke lubang yang digali dan mencacakkan 7 batang buluh runcing ini dengan disaksikan oleh para peserta. Buluh-buluh itu ditanam 1 kaki ke dalam tanah, bakinya 3 kaki terpacak ke atas.

Selepas itu calon-calon mahaguru akan dibekalkan dengan amalan peringkat mahaguru. Amalan ini akan mereka lakukan bermula selepas Isya’ sehinggalah menjelang tengah malam. Tepat pada pukul 12 tengah malam, para peserta mestilah sudah duduk pendekar di sekeliling lubang dalam jarak 7 depa. Ujian pun bermula.

Ujiannya... calon-calon diminta berlari-lari anak dan terus terjun ke dalam lubang yang digali siang tadi itu. Sesiapa yang sanggup dan terselamat tanpa sebarang kecederaan, dialah bakal pewaris segala ilmu hulubalang dalam aliran silat yang saya pegang ini. Sesiapa yang terjun terlebih dahulu dan terselamat, orang itulah pilihan saya.

Ada yang sanggup?

Setakat ini belum ada yang sanggup. Bahkan sebaik-baik sahaja mendengar peraturan pada malam itu, ada yang terus lari pulang. Mereka takut dikaitkan dengan jenayah pembunuhan, jika ada yang terkorban. Anda bagaimana?

Sebab itulah sampai sekarang saya masih gagal mencari pewaris. Padahal dahulu saya mewarisi ilmu ini selepas lulus dengan cemerlang dalam ujian yang dinyatakan tadi.

@@@@@@@

Sebenarnya cerita di atas tidak berkaitan dengan diri saya selaku penulis. Tugas saya hanyalah untuk menceritakan rahsia ujian ini, sebagaimana pendedahan-pendedahan dalam bidang perubatan yang biasa saya buat di blog saya. Ujian ini pada hakikatnya lebih kepada menguji kekuatan semangat juang si bakal mahaguru/ pewaris. Tidak ada apa-apa bahaya, kerana sebelum tengah malam si mahaguru pergi sekali lagi ke lubang dan mencabut kesemua bilah buluh. Yang tinggal hanyalah lubang kosong. Sebab itu ia dibuat pada waktu tengah malam gelap agar tidak nampak isi lubangnya.

Oleh itu, hanya murid yang betul-betul berani, hati kering dan berkeyakinan tinggi sahaja yang dapat melalui ujian ini. Si mahaguru bukan hendak uji kebal atau tidak, tapi hendak uji berani atau tidak. Itu sahaja. Sudah tentulah murid-muridnya tidak berani terjun, kecuali yang betul-betul hebat. Memang layaklah si penerjun jadi pewaris silat.

Namun secara peribadi, jika saya seorang mahaguru, saya lebih suka memilih murid-murid yang enggan terjun. Mengapa? Kerana mereka punya pertimbangan akal yang baik, tidak bertaqlid begitu sahaja : )

Abu Zulfiqar

10 Mac 2011

1 comments

  1. Anonymous // March 13, 2011 at 3:22 PM  

    Insya Allah Saya berani.

Post a Comment