MagzNetwork

MALIK telah menukil daripada Abur-Rijaal, daripada Amrah, daripada SITI AISYAH r.a. bahawa seorang jariahnya telah menyihirnya, lalu seorang Sindi datang melawatnya, dan MEMBERITAHU SITI AISYAH yang sedang sakit itu, bahawa DIA TELAH KENA SIHIR.

Siti Aisyah bertanya : “Siapa yang menyihirku?”

Katanya : “Seorang jariah yang memangku anak yang telah kencing dalam pangkuannya itu.”

Siti Aisyah segera memanggil jariah itu, maka dia menjawab : “ Tunggu sebentar sehingga aku mencuci kencing pada kainku.”

Kemudian Siti Aisyah bertanya kepada jariah itu lagi : “Benarkah engkau telah menyihirku?”

Jawabnya : “Benar!”

Tanya Siti Aishah lagi : “Apa sebab engkau membuat begitu?”

Jawabnya : “Aku mahu dapat merdeka segera.”

Lalu Siti Aisyah r.a. menyuruh saudaranya menjual jariah itu kepada kaum Badwi yang biasa menyusahkan hamba sahayanya, dan jariah itu pun dijualkan kepadanya.

Kemudian Siti Aisyah r.a. bermimpi, ada yang memberitahunya – Ambillah air dari tiga telaga, dan campurkanlah air itu lalu mandilah dengannya. Siti Aisyah r.a. pun menurut arahan itu, dia mandi dengan air tiga telaga itu, maka dia telah sembuh dari sihir itu.

(Petikan kitab Ar-Ruh karya Ibnu Qayyim ms 386, terbitan Pustaka Nasional Pte Ltd Singapura)


HURAIAN

Ketika membaca kitab Ar-Ruh ini, saya terjumpa bahagian di atas yang jelas bersangkut-paut dengan beberapa isu dalam dunia rawatan. Kita bincang sama-sama.

Kisah bermula dengan Sayyidatina Aisyah yang jatuh sakit. Aisyah TIDAK TAHU PUNCA SAKIT yang dialaminya. Berita Aisyah jatuh sakit diketahui orang lalu seorang Sindi datang menziarahinya. Identiti orang Sindi ini tidak dimaklumkan, ringkasnya mungkin menunjukkan dia bukanlah seorang sahabat atau tabiin besar/ terkenal.

Orang Sindi itu MENZIARAHI AISYAH KERANA AISYAH SAKIT, memberikan kita petunjuk bahawa kemungkinan besar dia seorang perawat/ berilmu dalam hal ehwal rawatan. Jadi pada zaman itu sudah ada muallij/ perawat yang berperanan dalam masyarakat.

Berdasarkan maklumat di atas, bolehlah kita anggap KEDUDUKAN AISYAH tentunya lebih utama dan lebih berilmu agama berbanding orang Sindi itu, tetapi orang Sindi itu yang merawat/ menasihati Aisyah. Hal ini menunjukkan kebolehan merawat tidaklah bergantung kepada ketinggian ilmu agama, kesolehan, keutamaan dan sebagainya. Tidak semestinya seorang yang ada PHD dalam ilmu agama lebih mahir merawat ataupun lebih makbul doanya. Lihat saja kisah Uwais al-Qarni yang lebih makbul doanya berbanding dua orang Khulafa Ar-Rasyidin iaitu Saiyidina Umar dan Saiyidina Ali. Padahal kedudukan Uwais dunia dan akhirat tidaklah melebihi mereka.

Janganlah kita punya pandangan sebegini:

“Si A ada PHD/ bergelar ustaz/ bertaraf wali Allah/ ada ribuan pengikut/ hafal 10,000 hadis/ sebagainya... maka SUDAH TENTU dia lebih berkebolehan merawat/ makbul doa & usahanya berbanding kamu yang hanya ada SPM/ bukan ustaz/ maqam rendah/ tak ada pengikut/ hafal Quran sejuzuk pun tak sampai/ dan sebagainya.”

Mengapa? Kerana kebolehan merawat yang dikurniakan Allah kepada seseorang umumnya tidak bergantung kepada hal-hal yang disebutkan.

Sambung cerita...

Ketika si Sindi menziarahi Saiyidatina Aisyah yang sakit, si Sindi memberitahu Aisyah bahawa Aisyah sebenarnya disihir. Malah MEMBERITAHU TERUS IDENTITI SI PENGAMAL SIHIR! Jelaslah si Sindi lagi muallij itu tahu bagaimana hal ehwal seseorang yang terkena sihir dan tahu juga bagaimana hal ehwal seseorang yang mempraktikkan amalan sihir. Sudah tentu ia berdasarkan ilmu dan pengalamannya.

Hari ini timbul isu yang mengatakan kononnya para perawat LANGSUNG TIDAK BOLEH memberitahu pesakit :

- “Sebenarnya anda disihir orang.”

- “Pada pandangan saya, masalah ini ada kaitan dengan sihir.”

- “Saya cenderung mengatakan hal ini berlaku akibat sihir.”

- ... dan seumpamanya.

Kita mengetahui atau mengesyaki sesuatu kes itu ada kaitan dengan sihir bukannya secara teka-teka, tilikan dan ramalan, tetapi BERDASARKAN ILMU DAN PENGALAMAN. Yang tidak dibenarkan ialah meneka-neka ataupun berbohong kononnya perkara itu akibat sihir dan orang sekian-sekian ialah penyihirnya. Tapi jika si muallij MEMANG YAKIN (atas dasar ilmu, pengalamannya ataupun petunjuk Tuhan yang diperolehinya, bukan yakin kerana meneka-neka) bahawa sesuatu perkara itu berkaitan dengan sihir dan sekian-sekian oranglah penyihirnya, tentulah tidak boleh kita katakan perbuatannya salah. Kisah di atas sebagai buktinya.

Selepas dimaklumkan, Aisyah memanggil dan bertanya kepada jariah/ hamba yang dimaksudkan oleh si Sindi. Di sini menunjukkan tindakan yang perlu diambil oleh seseorang yang diberitahu oleh perawat bahawa dia disihir dan sekian-sekian orang ialah penyihirnya. Pesakit tidak boleh terus percaya bulat-bulat, tetapi hendaklah MELAKUKAN SIASATAN. Dalam kes di atas, Aisyah bertanya sendiri kepada pelaku sihir tersebut. Mudah bagi Aisyah berbuat demikian kerana orang yang disyaki ialah hamba di bawah kekuasaannya dan mudah untuk ditemui.

Bagaimana jika si penyihir itu orang lain dan jauh? Tetap kita tidak boleh terus percaya, tapi mesti siasat. Antara kaedahnya ialah dengan meminta petunjuk daripada Tuhan, membuat pemerhatian, berhati-hati ketika berurusan dengan orang yang disyaki itu dan sebagainya. Apabila bukti-bukti yang ditemui sudah memadai, barulah boleh disahkan bahawa orang yang dimaksudkan memang sudah menyihir diri kita. Selagi tidak cukup bukti, kita hanya boleh berwaspada terhadap orang itu tanpa meyakini dirinya sebagai penyihir.

Isu seterusnya ialah HUKUMAN BUNUH ke atas pengamal ilmu sihir. Berdasarkan kisah di atas, bukanlah semua pengamal ilmu sihir dihukum bunuh. Penyihir Aisyah hanya dihukum dijualkan kepada majikan yang suka menyusahkan hamba-hamba mereka.

Oleh itu hukuman ke atas para penyihir bergantung pada sebesar mana kemudaratan yang mereka lakukan. Jika sihirnya itu diyakini menyebabkan kehilangan jiwa (dengan niat), ketika itulah hukuman mati dikenakan. Yang menjatuh dan menjalankan hukuman pula tentunya pihak berkuasa.

Timbul masalah! Bagaimana jika diyakini seseorang itu melakukan sihir sehingga menyebabkan kematian tetapi tidak ada bukti yang dapat dikemukakan kepada pihak berkuasa? Bolehkah perawat melakukan pukulan jarak jauh (salah satu bentuk doa dan ikhtiar sebenarnya) sehingga mencederakan atau mengorbankan si tukang sihir? Menggunakan tindakan fizikal tentunya tidak boleh kerana tidak ada bukti fizikal. Jika kita memukul atau membunuh si tukang sihir, dari segi undang-undang kitalah yang bersalah kerana mencedera atau membunuh orang. Jadi bagaimana?

Ataupun... sesuaikah jika doa dan ikhtiar kita begini (sebagai contoh) : “Ya Allah, aku yakin si polan ialah tukang sihir yang menyebabkan kematian orang ini (jika dibiar, tidak mustahil tukang sihir itu akan membunuh lebih banyak jiwa). JIKA BENAR si polan orangnya, Engkau sampaikanlah pukulan jarak jauhku ini untuk mencederakannya/ membunuhnya.” Pukul secara fizikal tak boleh, bagaimana dengan pukulan secara ghaib seperti di atas?

Ataupun cukup saja dengan perawat dan pesakit berdoa, “Ya Allah, Engkau patah balikkanlah segala kemudaratan yang dirancang oleh tukang sihir ini kepada dirinya sendiri dengan segera/ sekarang juga/ hari ini juga.”

Kita lihat pertembungan Nabi Musa dengan ahli-ahli sihir Firaun. Ahli-ahli sihir menyerang secara ghaib dan mencarik adat, iaitu tali-temali meerka bertukar jadi ular-ular. Nabi Musa juga membalas secara ghaib dan mencarik adat iaitu dengan melemparkan tongkatnya lalu tongkat itu bertukar jadi ular besar yang menelan ular-ular kecil. Maksudnya Nabi Musa kena usahakan sesuatu, tidak sekadar doa sahaja. Padahal boleh saja Nabi Musa berdoa (contohnya) : “Ya Allah, Engkau patah balikkanlah ular-ular itu agar menyerang tukang-tukang sihir dan Firaun sekarang juga.” Kan itu sudah cukup untuk membuktikan mukjizatnya tanpa perlu dia melakukan keghaiban?

Pihak berkuasa boleh menjatuhkan dan melaksanakan hukuman mati ke atas tukang sihir. Bagaimana KAEDAH PEMBUKTIANNYA? Satu kaedah ialah melalui PENGAKUAN si pengamal sihir. Selain itu?

Sihir ini melibatkan keghaiban dan mencarik adat. Bolehkah pihak berkuasa mengumpulkan bukti? Jika mahu dikumpul, apa bukti yang boleh dikumpul? Apakah kerana di rumahnya ada tangkal, tengkorak, rajah-rajah sihir, lembaran-lembaran mentera sihir maka semua itu membuktikan seseorang itu mengamalkan sihir? Apa bukti orang itu melakukan sihir?

Berdasarkan kisah Saiyidatina Aisyah tadi, dia tidak menghadapkan si penyihir kepada pihak berkuasa walaupun si penyihir bersedia mengaku mengamalkan sihir. Sebaliknya Aisyah MENJATUHKAN HUKUMAN SENDIRI, iaitu dengan menjualkan si hamba kepada majikan yang kurang baik. Begitu bentuk hukumannya.

Isu seterusnya ialah berubat dengan mandi air kolah masjid, air sungai, air danau dan sebagainya. Selaraskah dengan kehendak agama Islam?

Saiyidatina Aisyah mengambil air dari tiga buah telaga lalu mandi. Dengan ikhtiar itu, sakit akibat sihir yang dialaminya hilang. Di Madinah pada zaman itu tentunya sukar mencari kolah masjid, sungai, danau, laut dan lain-lain. Yang ada ialah perigi/ telaga, maka air telagalah yang dicari

Pada saya, usaha merawat menggunakan air dari beberapa sumber ini tidaklah bertentangan dengan agama Islam. Mengapa air kolah masjid sesuai? Mungkin kerana tenaga penyembuhan yang dijadikan Allah padanya. Kita sedia maklum yang isi kandungan cecair akan berubah jadi lebih bertenaga dan membantu kesembuhan jika dibacakan/ diperdengarkan perkataan-perkatan yang baik terutamanya ayat-ayat suci Al-Quran dan zikir-zikir. Kolah-kolah masjid mendengar laungan azan lima kali sehari sedangkan air ialah antara perakam yang sangat hebat. Boleh jadi kuasa kesembuhan pada air kolah lebih sedikit berbanding air biasa.


PERBINCANGAN

Tulisan ini sebenarnya untuk membuka perbincangan dan mencetuskan perkongsian. Oleh kerana saya yang mengulas maklumat daripada kitab Ar-Ruh itu, maka tentulah banyak pandangan saya sendiri yang dikeluarkan. Oleh itu saya ingin mendengar pandangan para sahabat muallij khususnya dan saudara-saudara seIslam lain umumnya tentang hal ini. Antara persoalan yang boleh kita bincang dan kongsi ialah:

1. Dibenarkankah seseorang perawat itu mengatakan sesuatu kes itu sebagai akibat sihir (berdasarkan ilmu dan pengalamannya, bukan meneka-neka)?

2. Dibenarkankah seseorang perawat itu menyebut mana-mana individu sebagai penyihir kepada masalah yang dialami oleh pesakitnya?

3. Bolehkah mimpi dijadikan sandaran untuk berubat?

4. Apakah doa seseorang yang punya kelulusan tinggi, pangkat/ jawatan besar, pengaruh kuat, darjat tinggi dan seumpamanya sudah tentu lebih makbul daripada orang yang lebih rendah daripadanya?

5. Dibenarkankah seseorang perawat melakukan pukulan jarak jauh (iaitu salah satu bentuk doa dan ikhtiar sebenarnya) untuk menyakitkan dan mencederakan penyihir (jika perlakuan penyihir menyebabkan kesakitan dan kecederaan), bahkan hingga ke tahap membunuh penyihir (jika kesalahan penyihir sampai ke tahap membunuh)?

6. Apa lagi kaedah untuk mengaitkan seseorang di mahkamah/ di hadapan pihak berkuasa dengan jenayah sihir selain daripada pengakuan si pengamal sihir?

7. Apakah kaedah perubatan seperti mandi air tujuh kolah, atau tujuh sungai, tujuh tasik dan sebagainya dibenarkan dalam Islam?

8. Dan mungkin ada sudut-sudut lain yang boleh dibincangkan berpandukan kisah Saiyidatina Aishah di atas tadi.

Wallahua’alam.


Abu Zulfiqar

0 comments

Post a Comment