MagzNetwork

Mimpi Akan Dr. Haron Din

Posted by Alexanderwathern | 6:08 PM | , , | 0 comments »


-->

Malam ke tujuh Ramadhan 2010. Saya bermimpi menghadiri satu majlis di suatu tempat, yang dalam mimpi itu dimaklumi sebagai tempat Tuan Guru Dr. Haron Din. Malangnya saya tidak tahu majlis apa dan tempat apa. Majlis itu berlaku dalam sebuah dewan yang sebahagian dindingnya ialah cermin, macam restoran berhawa dingin. Saya senang hati berada di situ (seolah-olah sedang mengikuti satu kursus perubatan Islam di bawah Dr. Haron Din).

Pada malam harinya (dalam mimpi itu), saya dan orang-orang lain tidur di dalam dewan tersebut. Kami tidur di tengah dewan dalam satu barisan memanjang. Yang tidur di sebelah kanan saya ialah Dr. Haron Din sendiri. Sebelum melelapkan mata, saya berbaring di sebelah Dr. Haron Din. Lampu dewan sudah ditutup, hanya disuluh lampu dari luar dewan.

Dalam lena tak lena, saya terdengar Dr. Haron Din bercakap sesuatu. Rupa-rupanya dia sedang bersembang dengan dirinya sendiri. Dia bertanya, dia juga yang menjawab. Ketika itu dia dalam keadaan separuh sedar. 

Mungkin para pembaca biasa terjumpa perawat tradisional yang mengalami kehadiran makhluk halus dalam dirinya. Perawat itu bertanya kepada seseorang yang kita tidak nampak, kemudian si perawat itu juga yang menjawab soalan-soalannya sendiri, tanpa ada sebarang perubahan bunyi suara. Ketika itu si perawat itu dalam keadaan separuh sedar. 

Saya berikan contoh dialog untuk memudahkan pembaca memahami situasinya:

Perawat : Ada orang datang hendak berubat ni. Boleh tolong tak?
Perawat : Dia sakit apa?
Perawat : Apabila makan asyik muntah saja. Apa benda pun tak boleh masuk. Apa cara boleh bantu?
(Diam beberapa ketika)
Perawat : Cari daun sekian-sekian, masak air, makan pada waktu Subuh bla bla bla...

Dia bertanya, dia juga yang menjawab. Sebenarnya ketika menjawab itu ialah makhluk halus yang menumpang tubuh dan suaranya sebentar. Para pesakit pun ada juga yang melalui situasi yang sama. Dia sendiri berbual dengan makhluk halus pada tubuhnya. Lebih kurang begitulah situasi Dr. Haron Din dalam mimpi ini.

Dalam keadaan mengantuk itu, saya dengar soalan pertama yang diajukan oleh Dr. Haron Din ialah : “Kamu datang nak buat apa ni?” Jawapan dan dialog seterusnya tidak saya ingati. Ketika itu kami semua masih berbaring menelentang.

Jari tangan kiri Dr. Haron Din mencuit tangan saya, yang saya faham sebagai arahannya supaya saya mengikuti dialog tersebut kerana ada sesuatu maklumat yang begitu penting. Ketika itu Tuan Guru seolah-olah mengalami kejutan kerana menerima kunjungan tetamu yang tidak diduga itu membuatkan dia tidak boleh menggerakkan badannya. Namun dia seperti tidak mahu melalui saat-saat sebegitu tanpa saksi. Atas dasar itulah agaknya dia mengejutkan saya.

Saya cuba mengingat isi dialog tetapi gagal kerana agak mengantuk. Saya bingkas bangun duduk lalu mengeluarkan telefon bimbit. Saya bercadang untuk merakam dialog itu, lagi senang. 

Sekali lagi Dr. Haron Din mencuit keras tangan kanan saya hingga terasa seperti dicubit. Hal itu menunjukkan keseriusannya agar saya mengikuti dialog yang berlaku dengan teliti. Ketika itu saya baru memetik punat telefon bimbit...

Terjaga dari mimpi!

Saya masih terbaring terlentang. Seluruh tangan kanan terasa sangat kebas, kaku dan agak sakit terutamanya pada jari kelingking. Dalam suasana samar-samar itu saya memandang sekeliling ruang, tidak ternampak apa-apa yang luar biasa.

Tangan kanan tidak cuba saya gerakkan. Kebas dan sakit dibiarkan, untuk menguji apa bendanya. Keputusan itu diambil kerana timbul persoalan, bagaimana boleh kebas dan sakit sedangkan tangan tidak terhimpit. 

Timbul syak di hati, apakah ada ‘gangguan’ pada tangan kanan? Setelah agak lama tidak ada perubahan, saya bacakan ayat al-Quran dan mengaktifkan jurus membakar. Saya lalukan dari bahu menuju ke pergelangan tangan tiga kali, dengan harapan sekiranya ada puak-puak yang mengganggu, ia dapat dihimpunkan di hujung tangan. 

Tapi memang benar! Kawasan yang diusap menurun kebas dan sakitnya dengan mendadak. Hanya di hujung tangan sahaja yang masih terasa. Saya tarik dengan tangan kiri dan berniat menghantar pengganggu-pengganggu itu ke tempat lain. Tiga kali saya usaha menghantar, terasa betapa leganya tangan kanan. Barulah saya gerak-gerakkan jari dan telapak tangan untuk menghilangkan sisa-sisa ketidakselesaan. 

Saya bangun duduk. Lama saya menungkan mimpi yang baru berlaku dan kesannya itu...
Bingung... terus tidur kerana waktu sahur tidak berapa lama lagi. Wallahua'lam. 

Abu Zulfiqar
17 Ogos 2010

0 comments

Post a Comment