MagzNetwork

Amalan Perisai Ghaib

Posted by Alexanderwathern | 10:48 PM | | 0 comments »




SUNGGUHPUN pemergian vokalis nasyid bersuara 'emas', Muhammad Asri Ibrahim sudah tiga bulan berlalu, namun terasa seperti baru semalam berlaku.

Saat berita kembalinya ikon kumpulan nasyid ini ke rahmatullah, dunia dakwah tanah air terpaku seketika. Pada 13 Ogos lalu, Allahyarham rebah sewaktu menjalani rakaman di Radio Televisyen Malaysia (RTM), sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 11.15 pagi.

Perginya pahlawan nasyid yang diibaratkan sebutir permata ini di saat umat Islam sedang menanti-nantikan bulan penuh keberkatan dan keistimewaan iaitu Ramadan al-Mubarak.

Muhammad Asri atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Asri pergi mengadap Ilahi pada usia 40 tahun. Allahyarham hakikatnya bukan sekadar penghibur yang turut mewarnai dunia seni tanah air malah merupakan pendakwah yang menyampaikan mesej Islam menerusi genre nasyid kontemporari.

Malah kejayaan dan pengiktirafan yang diperoleh Allahyarham bersama kumpulan Rabbani dalam tempoh lebih 12 tahun, berjaya menghasilkan sebanyak 19 buah album seperti Arah Dari Mana Ke Mana (1997), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000), Yalla Beena (2004) dan yang terbaru, Nostalgia Nada Murni.

Ini tidak termasuk album solo Allahyarham mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran serta rakaman berbentuk cakera padat (CD) dan kaset rintihan zikir dan munajat.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, pendakwah kesayangan ramai ini memiliki posisi yang mencakupi pelbagai sudut... Seorang hamba Allah, seorang anak, seorang suami, seorang bapa, seorang pendakwah, seorang penggiat seni, seorang pahlawan nasyid dan seorang ahli perniagaan.

Terkini, Hijjaz Records Sdn. Bhd. (HRSB) menghasilkan album berjudul, Amalan Perisai Ghaib merupakan buah tangan istimewa daripada Allahyarham Ustaz Asri yang sempat dirakamkan arwah sebelum kembali ke rahmatullah.

Sekurang-kurangnya, album yang telah berada di pasaran pada akhir Oktober lalu ini dapat mengubati rindu di hati peminat-peminat seni nasyid tanah air kepada insan tersohor ini.

Sememangnya album berbentuk zikir dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran adalah tidak asing dan sinonim dengan Allahyarham. Malah album-album sebegini mempunyai pengikutnya yang tersendiri, apa lagi yang mengalunkan itu adalah suara lunak daripada Allahyarham sendiri.

Album Amalan Perisai Ghaib ini menghimpunkan 24 amalan para ulama dan wali yang muktabar. Antara amalan-amalan tersebut ialah; Amalan Saidina Abu Hurairah: Untuk Kekuatan Jiwa, Amalan Saidina Saad Ibnu Abi Waqqas: Menghilangkan Kegerunan, Amalan Sheikh Abd. Qadir Al-Jailani: Memusnahkan Permainan Syaitan, Amalan Habib Nuh: Untuk Ketenangan Hati, Amalan Tokku Paloh: Meleraikan Segala Kesulitan, Amalan Tok Kenali: Hindari Ketakutan dan Amalan Mat Kilau: Wajah Tidak Dimamah Usia.

Kesemua amalan ini adalah benar-benar diperlukan oleh masyarakat kini bagi menguatkan kekuatan rohani dan memelihara diri daripada segala kesulitan hidup, dengan izin Allah SWT. Malah ia telah terbukti keberkesanannya.

Album ini boleh didapati di pasaran dengan harga RM19.90. Bagi peminat-peminat nasyid, khususnya peminat Allahyarham Ustaz Asri, segeralah miliki album ini sebagai tanda kenang-kenangan. Al-Fatihah.

sumber


*Ikhtiar Muslim menasihatkan agar diminta terlebih dahulu pandangan para ulama atau mereka yang ahli sebelum mengamalkan apa-apa amalan daripada album ini. Nama-nama tokoh yang dinisbahkan dengan amalan-amalan itu bukan sandaran untuk mensahihkan/ mengharuskan amalan-amalan itu. Wallahualam.

0 comments

Post a Comment