MagzNetwork

Hadiah Pertama

Posted by Alexanderwathern | 5:56 PM | , | 0 comments »

Percaya atau tidak, saya tidak pernah mengambil apa-apa bayaran sepanjang melibatkan diri dalam rawatan alternatif ini (secara cuba-cuba sejak 6 tahun lalu dan secara agak aktif sejak 2-3 tahun lalu)?

Memang benar. Saya tidak berbuat demikian memandangkan saya hanyalah perawat sambilan, tidak kerap merawat, jarang bergerak jauh, tidak banyak ilmu dan memang berasa sangat puas hati jika dapat berkhidmat tanpa mengambil apa-apa bayaran. Tapi baru-baru ini saya mendapat bayaran pertama berupa HADIAH wang sebanyak RM 10.

Asalnya saya diminta ‘memagar’ rumah seorang sahabat. Saya pun beli dan cari bahan-bahannya, doakan dan beri kepada sahabat itu untuk dipagarnya sendiri. Selang dua tiga hari, dia bertanyakan bayaran. Saya cakap kos bahan semuanya RM 3.40. Jika mahu membayar, cukup dengan harga kos itu sahaja. Sahabat saya tertawa mendengar bayaran sekecil itu. Pada saya, tidak dibayar pun tidak mengapa kerana kosnya kecil. Sebelum ini pun saya tidak mengambil apa-apa bayaran apabila memagar rumah ataupun merawat, kecuali rawatan bekam kerana ia ada kos alatan dan merenyahkan. Itu pun sekadar RM 3 untuk satu ‘cup’. Biasanya orang ambil RM 5 dan ke atas untuk satu ‘cup’.

Esoknya sahabat saya menghulurkan sekeping sampul putih. Sebelum menyambutnya saya bertanya terlebih dahulu : “RM 3.40 ye?” Dia tersenyum sambil mengangguk, “Ye, RM 3.40.” Barulah Saya menyambutnya.

Sampai di rumah saya buka sampulnya. Ternyata ada RM 10. Terima kasih kepada sahabat saya itu atas hadiahnya. Secara automatik dia memegang rekod sebagai orang pertama memberi hadiah kepada saya selaku seorang perawat.

Pernah juga dibawa membuat rawatan lebih kurang 40 km dari rumah. Saya tidak ambil apa-apa bayaran, tapi kebetulan selepas itu terserempak dengan tuan rumah di kedai ketika saya sedang makan mi goreng. Terus dia bayarkan.

[Ada seorang sahabat perawat, diambil pukul 2-3 pagi pergi merawat di tempat yang jauh. Selepas dihantar pulang, dia dihadiahkan RM 5. Memang tak patut. Sudahlah kerja ‘overtime’ (sepatutnya dibayar ‘triple’ tu) , berdepan dengan gangguan, dapat RM 5 sahaja. Patut-patutlah wahai manusia]

Sepanjang mengajar kitab, berceramah, kendalikan usrah dan seumpamanya pun begitu. Tiada sebarang bayaran dikenakan. Biasanya saya yang keluarkan wang untuk nota dan risalah. Tapi saya pernah dapat RM 100... selepas hampir 20 kali mengajar kitab di sebuah tempat. Di sebuah tempat pula, sudah lebih 50 kali mengajar, tidak pernah mengambil apa-apa bayaran. Selain itu, saya pernah dapat sehelai t-shirt sebagai hadiah selepas berceramah di satu tempat, lebih kurang 60 kilometer dari rumah.

Ada sebuah tempat menawarkan RM 200 setiap kali mengajar, tapi jauh lebih kurang 250 kilometer dari rumah. Tak payahlah. Bukan kerana bayarannya kecil, bagi saya sudah besar rahmat RM 200 itu, tapi saya berasa sangat rugi habis masa perjalanan pergi 3 ½ jam dan pulang 3 ½ jam. Lebih baik masa itu saya gunakan untuk ‘top-up’ ilmu sendiri, banyak yang boleh saya lakukan.

Adakah saya banyak wang? Gaji tinggi? Tidak. Dalam kalangan rakan-rakan sejawat di tempat kerja, sayalah yang paling rendah gajinya (kerana kelulusan tidak tinggi) dan mungkin juga yang paling buruk kereta utamanya (Iswara Aeroback 1.3 berharga RM 12,300. Kini harganya mungkin tinggal 5-6 ribu sahaja. Kereta utama teman-teman lain... paling murah pun rasa-rasanya RM 30,000 dan ada yang lebih seratus ribu ).

Saya terkejut juga apabila mendengar khabar ada perawat tertentu yang mengajar ilmu bekam dalam masa satu dua jam dengan bayaran ratusan ringgit. Mahal betul! Sahabat saya mengendalikan kursus bekam 5-6 jam dengan bayaran RM 50 sahaja, sekali dengan alat keseluruhannya RM 80. Jika alatannya jenis berkualiti tinggi, keseluruhannya hanya RM 170.

Kesimpulannya setakat ini saya berpuas hati dengan khidmat yang mampu saya berikan tanpa mengambil apa-apa bayaran. Namun jika suatu hari nanti saya terpaksa bergerak ke sana sini selalu dan banyak masa merawat, tidak mustahil saya juga akan mengambil sedikit bayaran.

WaAllahua’lam.

21 Januari 2011

0 comments

Post a Comment