MagzNetwork

Ibu Ghaib Tiba-tiba

Posted by Alexanderwathern | 2:31 PM | , , | 0 comments »

Akhir-akhir ini heboh kisah seorang gadis asyik hilang dari rumah. Kisah tentangnya sering jadi bahan berita di dada-dada akhbar. Beberapa orang perawat sudah berikhtiar dengan cara masing-masing tapi nampaknya masih gagal memulihkan keadaan. Akhirnya timbul pula cerita mengatakan si gadis hanya mereka-reka cerita. Tak tahulah apa kebenarannya.

Bercakap tentang orang ghaib tiba-tiba, ada satu kisah yang saya mahu kongsikan. Baru-baru ini di tempat saya ada juga kes sedemikian.

Seorang ibu (yang punya kemahiran sebagai bidan kampung tetapi sudah tidak aktif lagi) menerima panggilan telefon daripada anak gadisnya. Anak gadisnya sedang menghadapi masalah dan berada jauh pula. Hal ini menyebabkan si ibu tiba-tiba jadi lemah, bingung dan nampak benar-benar tertekan. Dia duduk mendiamkan diri dalam keadaan buntu. Ahli keluarga yang lain pun tidaklah mengganggu si ibu. Ketika itu jam sekitar pukul lapan malam.

Setelah beberapa lama kemudian, si ibu bangun berdiri lalu berjalan. Secara tiba-tiba sahaja ahli keluarganya melihat si ibu berdesup hilang di depan mata mereka, seolah-olah disambar oleh sesuatu. Ketika itu juga mereka mencari si ibu di dalam dan luar rumah, langsung tiada kesan. Hal ini sangat menghairankan mereka. Belum pernah mereka melalui situasi seperti ini. Sudah berjam-jam mencari masih tidak ketemu. Akhirnya mereka ambil keputusan untuk menunggu sahaja.

Sekitar pukul dua pagi, seorang anak lelakinya pergi melihat lagi ke luar rumah. Tiba-tiba ternampak ibunya sedang duduk di bawah pokok. Sebelum ini sudah beberapa kali mereka mencari di situ tetapi tidak pula ternampak si ibu. Si ibu kelihatan begitu letih.

Mereka berbicara dengan si ibu, tapi nampaknya si ibu marah-marah. Suaranya sudah jadi suara orang lain. Mahu diangkat masuk ke dalam rumah dimarahnya. Mereka angkat juga beramai-ramai bawa masuk.

Di dalam rumah, soal jawab bermula. ‘Penumpang’ tubuh si ibu membahasakan dirinya sebagai ‘tok’. Katanya dia baru sahaja membawa cucunya itu ke gunung. Dia berpesan kepada semua yang ada agar jangan lagi membiarkan cucunya itu susah hati. Jika berlaku lagi, dia akan membawa cucunya pergi buat selama-lamanya (mengugut pulak jin ni).

Ada ahli keluarga yang mencadangkan agar dibacakan ayat-ayat Al-Quran, tapi si tok marah-marah. “Tak payah baca apa-apa, tok sendiri boleh ubat cucu tok!” marahnya. Beberapa lama kemudian, si tok pun beredar. Cucunya terus terlena hinggalah tengah hari esoknya.

Setelah sedar, si ibu mengesahkan dirinya memang ada dibawa ke atas gunung. Tempat di atas gunung itu sangat cantik. Entahlah ke gunung mana ke alam mana dia pergi semalamnya.

0 comments

Post a Comment